Thursday, July 15, 2010

KEPENTINGAN PERPADUAN

Bagai aur dengan tebing' merupakan peribahasa yang amat sinonim dengan kehidupan masyarakat Malaysia. Walaupun penduduk Malaysia berbilang kaum namun semangat tolong-menolong sesama masyarakat amat penting untuk melaksanakan sesuatu perkara. Bertitik tolak daripada sikap saling menolong ini, akan lahirlah masyarakat yang bersatu padu. Perpaduan merupakan aset terpenting Malaysia kerana tanpa perpaduan, tidak mungkin keharmonian dapat dinikmati ibarat 'bersatu kita teguh, bercerai kita roboh'.

Kepentingan perpaduan ialah perpaduan dapat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang merdeka. Sebelum Malaysia mencapai kemerdekaan, pelbagai ranjau berduri yang dilalui oleh generasi terdahulu untuk menuntut kemerdekaan. Hasil perpaduan masyarakat Tanah Melayu ketika itu yang berganding bahu menuntut kemerdekaan telah membuka mata pihak Inggeris supaya memberikan kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Implikasinya, masyarakat kini hidup harmoni tanpa gangguan dan kongkongan penjajah. Perpaduan yang telah wujud kini adalah warisan daripada warisan nenek moyang yang harus dikekalkan agar tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Selain itu, perpaduan kaum juga dapat mengelakkan semangat assabiah iaitu semangat kekitaan yang hanya mementingkan diri sendiri ala 'enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing'. Semangat assabiah ini akan menimbulkan permusuhan antara kaum. Hasilnya, Malaysia dapat menjadi contoh terbaik kepada negara lain seperti negara Amerika Syarikat yang mengamalkan Dasar Aparteid. Dasar Aparteid ialah dasar yang mewujudkan jurang perbezaan antara golongan berkulit putih dengan golongan berkulit hitam. Akibatnya, wujudlah pelbagai masalah sosial yang melibatkan perkauman berdasarkan warna kulit. Sebagai iktibar, masayarakat Malaysia wajar mengekalkan perpaduan demi mengelakkan semangat assabiah terjadi di atas bumi Malaysia ini.

Di samping itu, kepentingan perpaduan yang lain pula ialah perpaduan dapat membangunkan ekonomi negara. Perpaduan yang ditunjukkan oleh masyarakat Malaysia akan menarik minat pelancong asing untuk mengenali dengan lebih dekat lagi budaya masyarakat Malaysia yang berbeza kaum dan agama tetapi dapat hidup dengan harmoni di bawah satu bumbung. Selaras dengan itu, ekonomi negara akan berkembang dengan kemasukan palancong asing. Masyarakat Malaysia juga dapat berkongsi ilmu antara satu sama lain dalam membangunkan negara. Pelabur dari luar negara juga akan berminat untuk melabur di Malaysia. Rentetan itu, perpaduan kaum yang mampu meningkatkan taraf ekonomi negara akan menjadikan Malaysia berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain.

Konklusinya, pihak kerajaan perlulah mengadakan pelbagai program atau aktiviti yang dapat memupuk semangat perpaduan kaum. Masyarakat Malaysia juga perlu memainkan peranan dalam memupuk perpaduan kaum supaya negara kekal dalam kemerdekaan. Semoga 52 tahun kemerdekaan pada tahun ini akan meningkatkan kesepakatan masyarakat untuk menobatkan Malaysia agar gah dan popular di seluruh sarwajagat ini. Laungan 'Malaysia Boleh' perlu diteruskan agar semangat warganegara Malaysia ini digeruni oleh negara luar.
Posted by Cikgu Anelyza WMS at 9:35 AM

No comments:

Post a Comment