Thursday, April 24, 2014

Kepentingan Semanagat Kejiranan

KEPENTINGAN SEMANGAT KEJIRANAN
             Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara bersama sehati sejiwa ibarat seikat bak sirih serumpun bak serai.  Sehubungan dengan itu, kebanyakan anggota masyarakat hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Namun ada lakaran suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin terhakis ibarat hidup segan mati tak mahu. Banyak kempen dan  usaha telah dijalankan oleh pelbagai pihak untuk merapatkan kembali hubungan dalam kalangan jiran kerana semangat kejiranan begitu penting dalam kehidupan bermasyarakat.
            Sebenarnya semangat kejiranan dapat memupuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu tempat . Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan perayaan  atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan merapatkan hubungan . Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Hal ini menunjukkan bahawa semangat kejiranan yang dipupuk dapat membentuk kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat seterusnya membentuk ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
            Selain itu semangat kejiranan juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan masyarakat yang bersatu padu. Mengimbas kembali Peristiwa 13 Mei 1969 menunjukkan bahawa jika masyarakat tidak bersatu padu dan berpecah-belah, negara akan musnah dan kehidupan anggota masyarakat tidak akan selesa dan aman. Tuntasnya, semangat kejiranan membolehkan semua anggota masyarakat memahami antara satu sama lain. Masyarakat yang berbilang kaum ini boleh mempelajari  perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami sensitiviti mereka agar dapat bertoleransi, bekerjasama dan saling menghormati. Tegasnya semangat kejiranan penting dalam membentuk masyarakat yang bersatu padu dan seterusnya dapat memacu pembangunan negara ke arah kegemilangan.
            Di samping itu, semangat kejiranan juga penting kepada negara kerana memudahkan kerajaan melaksanakan pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya membina pelbagai kemudahan dan infrastrukutr di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai, balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif, semangat kejiranan dan perpaduan yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Jelaslah semangat kejiranan penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan.
            Negara yang cemerlang lahir daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata . Jika masyarakat dapat berganding bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan gemilang. Semangat kejiranan merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan  semangat cinta akan negara . Melalui hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan. Sebagai contoh, mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan  contoh paling jelas, dan atas sokongan  rakyat Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan jalur gemilang dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka  melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melaonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
            Semangat kejiranan yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar. Sebagai contohnya pada sambutan Hari Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita yang amat  disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar, produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan semangat hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya . Maka sememangnya semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia sangat berfaedah dan membawa pulangan ekonomi yang begitu memberangsangkan kepada negara.
            Intihanya, semangat kejiranan merupakan sebahagian daripada amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang menjadikan negara kita unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Tuntasnya, Semangat kejiranan bukan sahaja penting dalam mengekalkan suasana harmoni dalam kalangan rakyat di negara kita malah sumbangannya cukup besar terutamanya bagi memastikan Malaysia terus cemerlang dan mampu berdaya saing pada masa akan datang kerana  rakyatnya yang bersahsiah terpuji bagi melahirkan modal insan berminda kelas pertama yang dapat memacu negara tercinta ke arah kegemilangan di puncak jagat.
(Dikongsi dari Blog Bahasa Melayu SPM)

Sunday, March 30, 2014

Harapan Seorang Guru Cemerlang


 
 Harapan dan Wawasan sebagai Guru Cemerlang

       Kecemerlangan dalam bidang pendidikan memanglah menjadi harapan dan matlamat kita. Perkembangan dan kemajuan negara banyak bergantung kepada kecemerlangan dan kualiti pendidikan yang dihasilkan. Untuk mencapai kecemerlangan, memang kita tidak dapat lari dari peranan yang dimainkan oleh para guru. Gurulah yang mencorakkan generasi pewaris bangsa sama ada mereka mampu mengharungi kehidupan sebagai seorang yang bekerjaya atau sebaliknya. Guru perlu menimbulkan kesedaran dalam diri pelajar agar mereka dapat merancang masa depan mereka dengan teratur dan sistematik. Guru kreatif dan inovatif memainkan peranan penting bagi menjayakan wawasan diri pelajar seterusnya menjadi pemangkin kepada pencapaian wawasan negara.

       Bagaimanakah sikap, tindakan dan tanggungjawab yang harus dimainkan oleh guru-guru bagi mencapai matlamat ini? Tidak lain dan tidak bukan, jawapannya ialah guru-guru harus melaksanakan satu perubahan yang menyeluruh dan bersepadu iaitu yang dinamakan kreatif dan inovatif. Guru harus selalu menilai daya usaha mereka selama ini, supaya pegangan dan matlamat tidak menjadi sia-sia. Seringkali kita lihat, kita mengharapkan sesuatu yang luar biasa tetapi cara dan teknik lama yang kita gunakan dalam proses pengajaran. Guru-guru sepatutnya dapat merancang setiap pengajaran mereka secara bijaksana dan melaksanakan perancangan tersebut secara berhikmah supaya hasil pendidikan itu seimbang dengan penat lelah yang telah dicurahkan. Adalah sesuatu yang amat malang, jika jerih perih dan penat lelah yang kita usahakan tidak mendatangkan impak yang ketara dan cemerlang.

       Memang tidak dapat dinafikan, tugas mendidik tidak semudah yang digambarkan. Ibu bapa yang hanya mempunyai 4 orang anak sudah merasai keperitan mendidik anak-anak mereka dengan kepelbagaian perangai, sikap dan tingkahlaku. Apatah lagi dengan guru yang berhadapan dengan 30 pelajar dalam sebuah kelas malah terpaksa berhadapan dengan beberapa kelas setiap hari. Hanya guru yang mempunyai kekuatan mental dan emosi yang ampuh sahaja mampu menghadapi situasi ini dengan baik. Tidak ada bidang pekerjaan lain yang tugas utamanya mengurus manusia dengan tujuan untuk menghasilkan manusia yang sempurna. Itulah tugas seorang guru. Manusia bukan barangan atau robot yang boleh dijangka hasilnya secara objektif. Justeru itu, tugas menghasilkan manusia tulen yang dapat berjalan dengan baik di muka bumi ini sangat rumit dan sukar. Oleh demikian, situasi ini memerlukan seorang guru yang kreatif dan inovatif. Bak kata peribahasa Melayu alah bisa tegal biasa. Itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh semua guru.

      Guru perlu melakukan suatu perubahan atau refomasi dalam pengajaran dan pembelajaran atau dengan kata lain guru perlu membebaskan diri daripada pemikiran lama yang membelenggu mereka dalam kaedah pengajaran. Kaedah ‘chalk and talk’ atau murid hanya membisau haruslah tidak berlaku lagi dalam situasi pembelajaran hari ini. Sebagai guru cemerlang kita hendaklah senantiasa bersedia sebelum kita melangkah masuk ke dalam bilik darjah supaya dapat mendatangkan hasil yang baik. Janganlah menganggap merancang pengajaran hanya perlu dilakukan oleh guru-guru pelatih sahaja. Sebagai guru, perancangan pengajaran amat penting supaya proses penyampaian ilmu kita tidak tersasar daripada kehendak sukatan pelajaran.

       Di dalam menjalankan tugas mendidik, guru perlulah tekun, tabah, gigih dan inisiatif. Hanya dengan sifat-sifat ini sahaja guru-guru akan dapat mencapai kejayaan dalam usaha mereka. Guru perlu disiplin yang kuat bagi mencapai sifat dedikasi dalam pembelajaran. Apa yang diperlukan dalam pembentukan disiplin ialah pengawalan yang datang dari dalam diri seseorang hasil daripada pembentukan hati kecil dan kesedaran untuk menghasilkan tingkah laku yang baik. Pengawasan atau disiplin dari dalam diri memerlukan penggunaan pemikiran dan penaakulan seseorang. Pembentukan disiplin dalam profesion perguruan perlu ditanam, semasa seseorang itu menjalani latihan perguruan dan perlu dikekalkan selagi seseorang itu menjadi guru.

       Dalam membicarakan tentang wawasan dan harapan guru ini, seseorang guru itu perlulah memberi sepenuh perhatian terhadap apa yang diajar di dalam bilik darjah. Guru yang benar-benar berjaya dalam pengajarannya ialah guru yang mengibaratkan dirinya seperti lilin yang terus menyinar walaupun dirinya kian hancur. Guru yang baik iaitu guru yang dapat menerangkan isi pengajaran dengan teratur dan lancar serta dapat difahami oleh pelajarnya.

      Kearah melonjakkan sistem pendidikan, masa kini, seseorang guru perlu membanyakkan latihan, tunjuk ajar, kelas tambahan dan sebagainya untuk memastikan pelajar-pelajarnya memahami dan memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar. Melalui langkah ini, sudah pasti guru yang rajin akan disanjung tinggi dan secara tidak langsung mampu memberi kejayaan cemerlang kepada pelajar-pelajarnya.

       Untuk menjadikan kita guru cemerlang, beberapa ciri penting perlu disemai. Seseorang guru itu perlulah melengkapkan diri dengan ilmu yang cukup dan bersepadu sesuai dengan bidang pengajarannya dan juga ilmu-ilmu sampingan yang lain. Pendek kata, guru perlulah bersedia kearah seorang guru yang serba boleh dan berketerampilan. Kesepaduan ilmu juga penting untuk membuktikan bahawa kita adalah guru yang hebat. Sebagai guru Bahasa Melayu, kita perlu menyepadukan dengan ilmu-ilmu bantu yang lain seperti sains dan teknologi, keagamaan dan sejarah.

       Selain itu, guru juga seharusnya mempunyai sifat bertolak ansur dalam melaksanakan aktiviti pengajaran. Sesungguhnya guru perlu menunjukkan minat yang mendalam terhadap tugas walaupun di luar waktu kerjanya. Sebagai seorang guru, ikhtisas perguruan haruslah dijaga supaya tidak dicemarkan oleh sifat-sifat yang tidak baik. Guru hendaklah bertanggungjawab terhadap rakan setugas dengan menasihatinya jika beliau melanggari tatasusila profesion perguruan. Jika terdapat rakan-rakan yang cemerlang, guru-guru harus mengikut jejak langkahnya serta menjadi guru cemerlang tersebut sebagai suri teladan untuk diri mereka.

Friday, March 28, 2014

Kesan Rasuah Kepada Negara




Tajuk Perbincangan Kumpulan 1 :
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya.

Rasuah perosak utama masyarakat dan negara.

Bincangkan kesan-kesan rasuah kepada Negara.

            Dalam era modenisasi kini, isu rasuah kepada negara kerap kali terpampang di dada-dada akhbar atau di skrin televisyen. Isu rasuah kepada negara ini juga turut menjadi bualan pelbagai lapisan masyarakat sama ada di warung-warung, di stesen-stesen bas malah turut mendapat perhatian oleh pemimpin-pemimpin masyarakat. Perkara ini perlu   diberi perhatian oleh semua anggota masyarakat dan tindakan yang sewajarnya harus dicari untuk merungkaikan kebimbangan masyarakat terhadap isu ini. Kesan-kesan rasuah kepada negara ini, akan saya jelaskan dalam huraian saya yang berikutnya.

      Perbincangan mengenai rasuah adalah sangat penting kerana kegiatan rasuah akan melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Dengan adanya kegiatan rasuah,tiada sesiapa akan dapat mengagak tindakan seseorang atau hasil daripada sesuatu rancangan untuk masa depan kemajuan sesebuah negara bergantung kepada cerdik pandai dan profesional yang ada. Kegiatan rasuah akan hanya menghakis kepercayaan awam terhadap cerdik pandai negara kita.

      Selain itu, pemerintahan menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintahan kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cuai terhadap sesuatu yang telah ditentukan,maka pemberian rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah .

      Kesan yang paling besar daripada gejala rasuah ini ialah akan menyebabkan pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir.Akhirnya,ia menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi,pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Budaya rasuah juga boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara seperti yang berlaku di filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak dibendung

            Seterusnya,rasuah juga menyebabkan tumpuan pelaburan dan pembangunan tidak seimbang dan saksama,iaitu jika berlakunya rasuah dan penyelewengan,maka ia akan mewujudkan golongan masyarakat yang terpaksa menanggung kesan buruknya.Tumpuan pembangunan dan pelaburan berpusu ke sektor tertentu sahaja. Ketidakseimbangan ini wujud bukan kerana sektor ini mempunyai permintaan dan keuntungan yang timggi tetepi kerana rasuah. Maka berlakulah pertumbuhan ekonomi yang berat sebelah dan sektor-sektor lain yang tidak ada peluang untuk melakukan rasuah, maka ia tidak diperkembangkan

            Akhir sekali,kesan rasuah kepada negara ialah menyebabkan pengaliran wang ke luar negara. Mengumpul dan menyimpan wang rasuah di dalam negara dirasakan tidak selamat oleh penerima-penerima rasuah kerana ia boleh dikesan oleh pihak berkuasa dan merampasnya. Oleh yang demikian,wang rasuah yang merupakan wang negara disimpan di bank-bank luar negara. Ini bermakna negara akan kehilangan pertukaran wang asing dan modal.

       Daripada penjelasan yang saya utarakan di atas,ternyatalah rasuah perlu ditangani secara bijaksana. Peribahasa ada berbunyi hendak seribu daya,tidak hendak seribu dalih. Oleh itu,semua pihak perlulah seia sekata dan sederap melangkah dalam memahami isu ini. Sikap saling menunding jari bukanlah jalan penyelesaian yang konkrit dapat dilaksanakan dan secara tidak langsung masyarakat yang cemerlang dan gemilang dapat dilahirkan. Mereka yang terlibat dalam isu rasuah harus bertindak secara proaktif demi untuk kebaikan bersama

Peranan Remaja Untuk Membentuk Remaja Cemerlang





Tajuk Perbincangan Kumpulan 4:
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya

Pelbagai masalah remaja menjadi bualan semua pihak dan dikatakan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Sebagai remaja, huraikan peranan anda bagi membentuk remaja yang cemerlang

            Dalam era modenisasi ini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah timbul sama hanyut, seiringan dengan negara maju yang lain.  Namun permasalahan remaja cemerlang masih tiada penghujungnya. Dari segi konsepsinya, remaja cemerlang boleh didefinisikan sebagai remaja yang mempunyai matlamat yang jelas dalam membuat sesuatu perkara. Biasanya, remaja yang cemerlang mempunyai sifat-sifat mahmudah sebagai tonggak utama mencapai kejayaan. Natijahnya, remaja yang cemerlang ini akan mengecapi masa depan yang lebih cerah. Remaja yang cemerlang boleh dianalogikan sebagai biji benih yang baik dicampakkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dicampakkan ke laut menjadi pulau yang penuh khazanah terawang di angkasa menjadi bintang kejora yang bersinar. Dalam huraian yang berikutnya, saya akan jelaskan peranan saya sebagai seorang pelajar bagi memupuk remaja yang cemerlang.

            Sudah terang lagi bersuluh, dengan menghormati ibu bapa dapat melahirkan remaja yang cemerlang. Hal ini kerana ibu bapa berasa lebih tenang dan gembira apabila kita mengormati mereka. Segala yang dilakukan pasti akan mendapat keberkatan. Oleh itu,  setiap remaja haruslah menghormati ibu bapa mereka agar mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Menurut Dato Dr Fadzillah Kamsah, setiap anak wajib menghormati ibu bapa kerana ibu bapa boleh dianalogikan sebagai cahaya yang sentiasa bersinar dengan terangnya. Bahkan dalam menghormati ibu bapa dapat memupuk remaja yang bersahsiah mulia dan berwawasan. Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nahl, ayat 125, serulah ke jalan Tuhanmu, wahai Muhammad  dengan hikmah dan bijaksana serta berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui asal usul hambanya. Oleh itu ibu bapa sewajarnya memiliki skil kontemporari dalam mendidik anak-anak. Tambahan pula, ibu bapa ialah golongan  yang wajib kita hormati. Kita sebagai anak tidak sepatutnya menjadi seperti kacang lupakan kulit. Sekiranya setiap remaja menghormati ibu bapa mereka, maka kehidupan keluarga akan sentiasa terjamin

            Selain itu, kita juga perlu bijak menguruskan masa. Hal ini kerana ramai pelajar mahupun remaja sering merungut menghadapi kekangan masa. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pelajar yang cemerlang mampu menguruskan masa dengan baik dan lebih bersistematik dengan membina jadual harian mahupun jadual belajar secara persendirian. Natijahnya, akan lahirlah pelajar yang tidak mengalami tekanan dalam kehidupan seharian mereka. Masa yang terluang perlu diisi dan dimuatkan dengan perkara yang bermanfaat. Pelajar cemerlang SPM tahun 2009, Nik Nur Madihah yang mencapai keputusan 20 A telah menggunakan masa yang terluang dengan mengulang kaji pelajaran. Biarpun masa yang ada tidak mencukupi, namun tiada rungutan yang dikeluarkan olehnya, sebaliknya berusaha menguruskannya dengan bijak. Hal ini telah membuktikan bahawa masa itu amat bernilai dalam diri seseorang pelajar mahupun remaja yang berwawasan. Pelajar yang cemerlang merasakan bahawa kehidupan yang dilayarinya begitu padat sehingga tidak mampu untuk bernafas. Sebaliknya, pelajar mahupun remaja yang tidak mempunyai wawasan hidup yang jelas akan merasakan sehari bagai seminggu untuk dijalani. Pengurusan masa yang sistematik dan teratur  mampu membina  ketenangan  diri sewaktu menghadapi peperiksaan. Sesungguhnya, amatlah rugi kehidupan seseorang remaja sekiranya membiarkan masa yang bernilai ibarat emas berlalu dengan begitu sahaja tanpa disedari. Haruslah diingatkan bahawa, masa yang bernilai tidak akan berulang untuk kali kedua. Sekiranya remaja mahupun pelajar bijak menguruskan dan memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin, nescaya kehidupan mereka akan bebas daripada mengalami tekanan mahupun stres yang hebat. Oleh itu, sekiranya setiap remaja mampu menguruskan masa dengan bijak, nescaya kehidupan seseorang individu akan lebih cemerlang dan maju kehadapan . 

            Dari sudut kodifikasi yang berbeza, remaja yang rajin berusaha dan beristiqamah untuk mencapai kejayaan tanpa mengenal erti berputus asa pasti akan berjaya. Hal ini kerana manusia yang mudah mengalah tidak akan mencapai sesuatu yang dikehendakinya tanpa berusaha. Masa depan mereka musnah dan mereka akan hidup tanpa arah tuju yang kukuh. Secara tidak langsung mereka akan menjadi seorang yang mudah terpengaruh dengan budaya kuning. Menurut seorang tokoh terapi minda terkenal iaitu Dr. Muhaya,  manusia yang tidak berharap untuk menang telah sedia kalah. Remaja seharusnya mengikut sikap seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku. Jika kita menghadapi sesuatu rintangan seperti patah kandar di tengah jalan, kita seharusnya  menghadapinya dengan kental. Remaja yang rajin berusaha pasti tidak akan takut untuk jatuh lalu tertiarap malah pasti akan bangun semula  dari kegagalan. Orang yang tidak berusaha, pasti cetek ilmunya. Sekiranya remaja berusaha ditambah pula dengan doa dan tawakal pasti akan berjaya dan mampu membangun dan membanggakan nama negara kelak.

            Seterusnya, agama sememangnya penting sebagai petunjuk supaya mereka sentiasa berada pada landasan yang sepatutnya. Oleh itu, remaja cemerlang akan mempunyai didikan agama yang sempurna dalam diri mereka. Hal ini kerana didikan agama yang secukupnya  dapat membentuk jati diri dan sahsiah yang mulia. Remaja yang mempunyai didikan agama boleh dianalogikan seperti pokok yang mendapat baja yang baik untuk terus hidup. Menurut Albert Einstein, agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Terbuktilah, agama sangat penting dalam membentuk remaja yang cemerlang, seterusnya dapat membantu untuk merealisasikan visi negara. Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan penegasan kepada anak – anak mereka untuk menunaikan solat lima waktu, mengaji dan memberi didikan fardu ain bagi membendung anak – anak terjebak dengan perkara yang sia – sia. Natijahnya, remaja tidak akan terpesong dari landasan yang betul. Jadi benarlah bahawa didikan agama memberi kesan yang mendalam untuk membentuk remaja yang cemerlang

            Kesimpulannya, remaja yang cemerlang merupakan remaja yang sanggup merentasi segala halangan bagi mencapai segala yang diimpikan dan merupakan tonggak kepada keluarga serta menjadi pelapis negara yang sentiasa mempunyai idea untuk menempatkan negara dengan acuannya sendiri. Biasanya, remaja yang ingin mencapai kejayaan di menara gading akan memerah tenaga bagi mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Ibu bapa juga akan menjadi cermin kepada seseorang remaja dan akan menjadikan mereka sebagai idola atau perangsang untuk membina kecemerlangan diri. Remaja yang cemerlang akan menjadi seperti pucuk dengan pelepah. Menurut Dato Dr Haji Fadzillah Kamsah, seorang pakar motivasi, jika tujuan kita jelas , kita boleh mencapai kecemerlangan dengan jayanya. Sebagai pemimpin pelapis, remaja yang cemerlang akan pandai meniti buih supaya selamat tiba di seberang. Janganlah hanya menjadi seperti angan – angan Mat Jenin yang akhirnya jatuh ke perdu pohon. Oleh itu, remaja perlu memiliki sifat – sifat mahmudah bagi menjadi seorang remaja yang cemerlang untuk menerangi kehidupan kelak. Remaja yang cemerlang akan dapat melayari bahtera kehidupan dengan  lebih cemerlang tanpa sebarang masalah. Semoga remaja yang cemerlang dapat merealisasikan Wawasan 2020 bagi memastikan negara duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara lain.

Peranan Pelbagai Pihak Untuk Menyemai Semangat Patriotik




Tajuk Perbincangan Kumpulan 6 :
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya.

Malaysia merupakan negara yang harmoni walaupun rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum.  Namun begitu, keharmonian yang dinikmati oleh rakyat selama ini tidak akan kekal sekiranya semangat patriotik tidak disemai dalam kalangan generasi muda.
Jelaskan peranan pelbagai pihak untuk menyemai semangat patriotik dalam kalangan remaja pada hari ini.

Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, isu semangat patriotik dalam kalangan remaja semakin kurang diberi perhatian dan sering kali terpampang di dada – dada akhbar atau disiar dalam media elektronik. Isu semangat patriotik dalam kalangan remaja semakin kurang diberi perhatian ini bukan sahaja telah menjadi bualan masyarakat sama ada di warung – warung kopi, di jabatan – jabatan kerajaan malahan telah mendapat perhatian pleh pemimpin – pemimpin masyarakat. Persoalannya, mengapakah isu ini berlaku? Hal ini perlu diambil perhatian serius oleh semua pihak dan jalan penyelesaian harus dicari untuk merungkaikan kebimbangan masyarakat terhadap isu ini. Sikap lepas tangan atau ambil mudah akan menyebabkan isu ini akan terus bernanah dan menjadi pekung yang sukar untuk dibendung. Banyak pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam memupuk semangat patriotik yan semakin menipis dalam kalangan remaja masa kini.

Antara langkah yang boleh dilakukan untuk memupuk semangat patriotisme dalam diri generasi muda ialah bermula dari ibu bapa. Misalnya, ibu bapa perlu sering bercerita tentang tokoh-tokoh pejuang tanah air kepada anak- anak. Secara tidak langsung semangat patriotik dapat diterapkan semasa anak – anak masih kecil lagi. Ibu bapa haruslah bercerita atau membacakan cerita tentang perjuangan tokoh – tokoh terkenal seperti Mat Kilau, Tok Janggut, Tok Kenali, Datuk Bahaman dan banyak lagi pejuang tanah air. Ibu bapa perlu mendedahkan jasa – jasa pejuang tanah air dengan memberitahu mereka betapa sukarnya berjuang untuk membebaskan diri daripada belenggu penjajahan. Selain itu, menceritakan peristiwa orang – orang terdahulu hidup semasa zaman penjajahan. Apabila bercerita ibu bapa perlu menekankan betapa pentingnya semangat patriotisme dalam diri kita. Hal ini dapat dilihat apabila orang terdahulu mengharungi pahit maung dan bertapa sukarnya untuk mendapatkan makanan, hidup dalam kesusahan dan kesengsaraan serta sentiasa dizalimi oleh penjajah. Mereka akan dapat membandingkan keadaan hidup dalam pascamerdeka.

            Seterusnya, ibu bapa juga perlu sering membawa anak – anak menyambut hari kemerdekaan. Ibu bapa dan anak – anak perlu melihat atau menyertai sambutan di kawasan setempat atau ibu bapa mengajak anak – anak menyaksikan kemeriahan kemerdekaan di televisyen. Hal ini demikian akan dapat menjadi medium yang sangat berkesan untuk menyemai rasa cinta akan negara dalam sanubari mereka. Di samping menyaksikan kemeriahan kemerdekaan akan dapat mengimbas kembali nostalgia dan memori sewaktu negara dijajah melalui nukilan puisi – puisi, sketsa, novel – novel kemerdekaan terbit di hati mereka semangat biar patah tulang, jangan putih mata. Ibu bapa juga perlu menerangkan kepada anak – anak nikmat menjadi anak pascamerdeka dan bersyukur kerana diberikan keamanan dan kedamaian

Pihak seterusnya yang berperanan dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja ialah pihak sekolah. Pihak sekolah memainkan peranan yang penting dalam memupuk semangat cinta akan tanah air dalam kalangan remaja. Selain ibu bapa pihak sekolah adalah pihak yang paling dekat dengan remaja. Pihak sekolah wajib menerapkan serta menyemai semangat patriotik dalam diri remaja. Inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh pihak sekolah bagi memupuk semangat patriotik ialah memberi penekanan terhadap mata pelajaran Sejarah di sekolah. Dengan ini, setiap pelajar dapat memahami dan mengenal pasti sejarah negara. Pelajar – pelajar juga dapat memperolehi kejayaan yang cemerlang dalam mata pelajaran Sejarah. Maklumat yang diperolehi secara tidak langsung dapat menginsafi para pelajar.

Selain itu, pihak sekolah juga perlu mengadakan lawatan ke tempat bersejarah untuk pelajar – pelajar sekolah supaya menjadi generasi yang mempunyai semangat patriotisme. Terdapat banyak tempat bersejarah di negara kita untuk dikunjungi. Tempat – tempat tersebut merupakan monumen yang perlu dipelihara supaya generasi kini akan dapat melihat sendiri dan merasai kesan yang amat mendalam. Sebagai contoh tempat yang boleh dilawati ialah Kota A Famosa di Melaka. Sambil melawat ke tempat bersejarah, guru yang mengetuai lawatan tersebut perlu menceritakan tentang kejatuhan Melaka lalu Portugis membina Kota A Famosa. Pelajar – pelajar akan dapat melihat kesan peristiwa tanah air dan dapat menerapkan semangat cinta akan negara. Pemerhatian mereka terhadap kesan – kesan peninggalan sejarah akan melahirkan semangat juang untuk mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Contohnya , kunjungan ke tempat bersejarah yang lain seperti Bandar Hilir Melaka yang akan mengingatkan mereka kepada sejarah hitam negara ketika dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris.

Tambahan lagi, generasi kini perlu menyertai program yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Contohnya, remaja kini perlu menyerti Program Latihan Khidmat Negara. Program ini dipenuhi dengan aktiviti yang memupuk semangat patriotik seperti kawas kaki dan latihan berkumpulan. Program ini juga merupakan gabungan latihan ketenteraan dan memupuk semangat patriotik kepada mereka ke arah cinta akan negara. Pelatih – pelatih akan dapat mempelajari nilai – nilai murni seperti tanggungjawab, kerjasama dan hormat – menghormati. Pelatih akan bercampur gaul dengan pelatih lain yang berbilang kaum, budaya dan agama yang berbeza. Hal ini akan dapat memupuk semangat perpaduan yang merupakan elemen yang penting dalam semangat patriotik seperti pepatah bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Di samping itu, program ini akan dapat melahirkan generasi yang mengetahui hal kenegaraan yang berkaitan dengan kerajaan dan kedaulatan Negara

         Daripada huraian yang telah saya huraikan di atas, ternyatalah isu semangat patriotik dalam kalangan remaja semakin kurang diberi perhatian akan   dapat ditangani secara bijaksana jika semua pihak dapat seia sekata dan sederap melangkah dalam memahami isu ini. Peribahasa Melayu ada menyatakan di mana ada kemahuan, disitu ada jalan. Sudah terang lagi bersuluh, apa jua isu yang mendatang sudah tentu ada jalan penyelesaiannya. Kita haruslah bersikap rasional dan positif. Jalan penyelesaian yang konkrit akan dapat menyelesaikan isu semangat patriotik dalam kalangan remaja yang semakin kurang diberi perhatian dan secara tidak langsung mampu melahirkan generasi yang mempunyai rasa cinta akan negara dan menjadi individu yang berguna kepada bangsa dan juga negara.

Peranan Ibu Bapa Untuk Membentuk Budaya Membaca Dalam Kalangan Anak Anak




Tajuk Pembentangan Kumpulan 5
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya.

Berdasarkan beberapa kajian, kesedaran membaca dalam kalangan remaja dikatakan masih rendah.

Huraikan peranan yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan anak-anak.

Sedasawarsa ini, sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia tentang isu budaya membaca yang kian meruncing dalam kalangan remaja. Acap kali kita dengar, slogan Membaca Jambatan Ilmu sering menghiasi di dada-dada akhbar, internet dan televisyen. Hal ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca dapat memberikan banyak manfaat kepada masyarakat. Namun demikian, masyarakat Malaysia terutamanya golongan remaja tidak gemar membaca sehingga menyebabkan mereka tidak menguasai ilmu pengetahuan dan bolehlah diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Siapakah yang harus dipersalahkan sekiranya fenomena ini berlaku sehingga remaja Malaysia banyak yang buta maklumat? Tepuk dada tanya selera. Sesungguhnya Ibu bapa berperanan penting untuk mencorakkan budaya membaca dalam diri anak-anak

Apakah peranan yang perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memupuk semangat membaca dalam kalangan remaja? Hal ini kerana ibu bapalah orang yang paling hampir dengan anak-anak dan sudah tentulah ibu bapa tahu cara yang terbaik untuk berdepan dengan masalah ini. Oleh yang demikian, ibu bapa sewajarnya mengeluarkan modal dengan membeli bahan-bahan bacaan dan bahan-bahan ilmiah untuk anak-anak mereka. Dalam konteks ini, minat membaca dalam diri remaja akan dapat disemai sekali gus menambahkan ilmu pengetahuan kepada remaja. Ibu bapa juga perlulah kerap membawa anak-anak mereka ke kedai buku pada setiap hujung minggu. Berdasarkan manifestasi tersebut, remaja dapat memilih buku-buku yang hendak dibeli oleh mereka sekali gus menambahkan minat dalam diri mereka. Setelah dikaji hingga ke akar umbi, remaja dapat mengetahui jenis-jenis buku yang dibaca oleh mereka sekiranya remaja kerap ke kedai buku. Umum mengetahui, anak-anak diibaratkan kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya sama ada kearah kejayaan atau kegagalan

Pada masa yang sama, ibu bapa hendaklah menyediakan bilik khas untuk membaca di rumah seperti perpustakaan mini yang mempunyai banyak buku di dalamnya. Dalam konteks ini, remaja dapat membaca dalam keadaan yang lebih kondusif, senyap dan harmoni. Secara tidak langsung, remaja tidak akan terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah seperti melepak di pusat-pusat membeli-belah, merokok dan lumba haram. Hal ini kerana, remaja mengisi masa terluang mereka dengan membaca bahan-bahan ilmiah di rumah mereka. Mereka menjadikan rumah sebagai pusat atau gedung ilmu yang boleh mencanai minda sihat. Oleh yang demikian, remaja akan memanfaatkan masa dengan berkesan kerana masa itu emas. Manakala ibu bapa pula akan berasa selamat kerana anak-anak berada di rumah. Jadi tidak timbullah fenomena sudah terhantuk baru tergadah kerana kegagalan ibu bapa memanfaatkan masa yang terluang anak-anak, maka mereka terlibat dengan dakyah songsang.

Selain itu, ibu bapa hendaklah menyediakan banyak sudut bacaan di rumah. Secara tidak langsung, remaja tidak akan berasa bosan untuk membaca, malah semakin minat untuk membaca. Hal ini kerana mereka tidak tertakluk dalam satu-satu ruang bacaan sahaja sebaliknya mereka boleh memanfaatkan semua sudut rumah mereka sebagai tempat untuk membaca. Dalam pada masa yang sama, ibu bapa usah jemu-jemu memberi dorongan dan nasihat kepada remaja agar mereka terus mengamalkan budaya membaca dalam kehidupan mereka. Secara tidak langsung, remaja akan menyedari kepentingan membaca dalam kehidupan mereka. Ibu bapa juga harus memupuk minat membaca dalam diri mereka sendiri agar dapat dicontohi anak-anak, bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Oleh itu, sesuai dengan kata-kata mantan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Bin Muhammad iaitu Kepimpinan Melalui Teladan kerana bapa borek anak rintik

Umum mengetahui bahawa setiap tahun pihak kerajaan akan mengadakan Karnival Buku yang merangkumi pameran buku atau jualan buku di mana-mana sahaja di negara kita. Kesempatan sebegini harus digunakan oleh ibu bapa untuk membawa seisi keluarga mengunjungi karnival tersebut. Dalam konteks ini, remaja akan didedahkan secara terus tentang buku-buku terkini yang ada di pasaran. Kaedah ini secara tidak langsung mewujudkan keadaan dua dalam satu iaitu sambil mengunjungi karnival buku bersama-sama, secara konotasinya dapat memantapkan hubungan kekeluargaan. Sudah semestinya ibu bapa akan menggunakan peluang ini untuk membeli buku-buku yang banyak kerana ada potongan harga dengan kadar yang rendah diberikan. Penjimatan dapat dilakukan sambil melabur untuk kepentingan pendidikan anak-anak pada masa akan datang. Impaknya, ibu bapa mampu menyemai budaya membaca dalam kalangan remaja seawal usia muda.

Meninjau kepentingan membaca dalam kalangan remaja ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang berterusan agar mempunyai kesimbungan dengan ilmu pengetahuan. Antara kaedah yang boleh dijalankan ialah dengan menampal keratan-keratan  akhabar, artikel ilmiah baik berkaitan pelajaran ataupun pengetahuan am. Hal ini, tanpa disedari remaja akan melihat dan membaca berulang-ulang kali tentang bahan yang ditampal tersebut. Pada realitinya, budaya membaca sewajarnya ditekankan dalam lingkungan ahli keluarga amnya dan remaja khasnya. Oleh itu, penggunaan masa yang sebaik mungkin akan dapat menambahkan ilmu pengetahuan sekaligus menjadikan remaja lebih bermaklumat dan mampu untuk memberikan idea dan pandangan apabila mereka berada dalam kelompok masyarakat persekitaran

          Sebagai konklusinya, budaya membaca perlu dipupuk dalam kalangan remaja. Ibu bapa merupakan agen penting dalam memupuk kesedaran ini kerana budaya membaca mampu mencetuskan idea yang bernas dan penuh dengan visi dan misi dalam kehidupan mereka. Justeru, ibu bapa yang berjaya memupuk minat membaca dalam kalangan remaja secara langsung dapat mengelakkan remaja daripada terlibat dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan impak yang negatif kepada mereka. Biar kita menangis dahulu sebelum kita menangis kemudian kerana sesal dahulu pendapat, sesal kemudian tiada gunanya. Jelaslah bahawa Bangsa Membaca, Bangsa Berjaya.

Perancangan Untuk Mencapai Kecemerlangan Dalam Peperiksaan



Tajuk Perbincangan Kumpulan 2
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Jelaskan perancangan-perancangan anda untuk mencapai matlamat itu.

                  Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid  berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi  untuk mencapainya. Murid-murid  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid, berazam untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan  Sijil Pelajaran  Malaysia, harus berusaha untuk mencapai kecemerlangan tersebut. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut?

Antara usaha yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi terkenal pernah menyatakan bahawa “ lima puluh peratus” kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Contohnya, saya akan bertanya kepada guru sekiranya terdapat sesuatu topik yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah saya jalankan dan saya telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Jelaslah, memberi  tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Contohnya, saya akan menyediakan jadual waktu belajar  dan saya akan mengikutinya dengan tegas. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Terbuktilah, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

Di samping itu, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup. Contohnya, saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran. Ternyatalah, membuat lebih banyak latihan dan mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pastinya saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

 Seterusnya, saya akan mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Contohnya, saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan pelbagai jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Tuntasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah merupakan salah satu usaha bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Usaha yang berikutnya ialah bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah menemui kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu kejayaan tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Sudah terang lagi bersuluh, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan tidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Kesimpulannya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya hendaklah mempratikkan usaha-usaha yang telah saya huraikan dalam huraian di atas. Saya berazam untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan adalah untuk masa depan saya agar tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh  untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.