Sunday, May 2, 2010

Budaya Kerja Cemerlang

Cemerlang atau terbilang merupakan satu istilah yang terlalu tinggi nilainya. Meskipun begitu, istilah ini bukanlah sesuatu yang mustahil untuk kita nikmati, rasai dan kita pegang. Kalau orang lain boleh menggapai pencapaian kerja cemerlang mengapa kita tidak boleh? Untuk cemerlang, bukanlah orang lain yang menentukannya. Cemerlang terhasil daripada usaha dan tindakan kita sendiri. Kalau setiap tindakan kita, setiap kerja kita dan setiap usaha kita inginkan kecemerlangan, sudah tentu hasilnya cemerlang. Kerja Cemerlang tidak mungkin dapat kita realisasikan jika usaha kita, kerja kita dan tindakan kita hanya sekadar 'asal buat' atau 'aku tak tau'. Kalau itu, yang berlaku sudah pasti hasil kerja kita hambar dan hangat-hangat tahi ayam. Kita juga tidak harus mendabik dada dan menganggap kita tahu semua dan yang lebih penting kita tidak seharusnya menyalahkan orang lain yang lebih baik daripada kita. Untuk cemerlang, harus ada budaya untuk mencuba yang terbaik, bersedia untuk ditegur dan lakukan sesuatu yang luar biasa. Jadikan orang yang terbaik, terhebat dan terbukti cemerlang dari segi budaya kerja sebagi model untuk kita ikut dan kalau boleh kita buat lebih baik daripada mereka.Insya Allah, jika itu yang kita lakukan, kita juga boleh cemerlang.
Budaya Kerja Cemerlang harus menjadi prinsip hidup kita agar hidup kita berasa puas dan seronok. Jangan kita bekerja untuk pangkat, untuk pujian atau untuk mendapat sesuatu imbuhan. Terdapat sebahagian daripada kita, bekerja hanya untuk mendapat perhatian daripada orang lain. Kerja 'menunjuk' atau 'buat-buat kerja' adalah sesuatu yang amat keji. Jika itu yang kita lakukan, kita bukan sahaja tidak iklhas tetapi kita juga akan diperlekehkan oleh rakan-rakan kita yang lain. Percayalah budaya kerja 'membodek' tidak akan kekal lama dan lambat laun diri kita akan ditempelak oleh masa dan keadaan. Budaya kerja cemerlang bukan hanya boleh dibuktikan dengan kata-kata tetapi mestilah ada bukti daripada segi dokumentasi, keputusan dan juga ada sesuatu yang dapat kita banggakan.
Terdapat data dan statistik yang jelas, pengiktirafan budaya kerja cemerlang hari ini terlalu longgar dan sangat memualkan. Terdapat sesetengah agensi atau jabatan yang mengiktiraf pekerja cemerlang atas dasar kasih sayang, kekeluargaan, hubungan rapat dan 'mesra' majikan. Dasar kerajaan yang terlalu murni dan mulia ini telah disalahguna hanya kerana 'ada udang disebalik batu' atau 'untuk membalas budi'. Fenomena ini, sedikit sebanyak mematikan budaya kerja cemerlang kakitangan lain terutama pekerja yang sememangnya telah terbukti akan kehebatan mereka. Secara tidak, langsung moral majikan seperti ini akan dipertikaikan dan akan menjadi 'buah mulut' kakitangan yang sememangnya nampak dengan jelas adanya proses 'pilih kasih' itu. Kadang kala, sesetengah majikan tidak sedar bahawa, ada beratus-ratus mata memandang akan tindakan songsang yang mereka rasakan itu betul dan benar tetapi sebenarnya mereka salah.
Budaya Kerja Cemerlang bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai. Selagi ada kemahuan, sudah pasti di situ ada jalan. Jangan jadikan 'alah bisa tegal biasa' sebagai budaya yang boleh menghalang wujudnya budaya kerja cemerlang.

No comments:

Post a Comment