Pencerapan kali kedua bermula pada bulan April - Mei 2010....Tidak ada apa yang perlu dirisaukan. Pencerapan bukan untuk mencari kesilapan dan kelemahan seseorang tetapi sebagai jalan untuk mencari titik persamaan untuk memastikan proses pengajaran kita adalah yang terbaik. Kalau ada kesilapan atau kesalahan, kita perbaiki dan jika terdapat kekuatan dalam pengajaran kita teruskan. Proses pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah harus diubah daripada pengajaran yang berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan murid. Beri peluang sebanyak mungkin kepada murid untuk memberikan idea, pendapat dan cadangan berdasarkan isu yang kita ajar terutama kelas-kelas yang pandai. Minda pelajar harus digerakkan untuk mereka berfikir dan proses menyuap pelajar dengan ilmu harus diubah. Adalah sangat mendukacitakan kerana terlalu ramai pelajar yang berada di peringkat menengah atas tidak dapat memberikan idea dan pendapat ketika proses pembelajaran berlaku. Minda mereka beku dan daya berfikir mereka agak lemah. Selain itu, pelajar hari ini terlalu lemah pengetahuan sedia ada mereka. Kenapa ini terjadi? Ini disebabkan pelajar hari ini tidak suka membaca dan tidak suka menonton rancangan yang boleh memberikan mereka info. Minat pelajar terhadap ilmu sangat hambar. Mereka juga tidak tahu apa tujuan mereka datang ke sekolah. Malah ada sebahagian mereka tidak mempunyai cita-cita. Mereka tidak kisah jika gagal dalam ujian atau peperiksaan. Terdapat juga pelajar, masih mampu tersenyum dan mampu bergelak ketawa biarpun keputusan ujian atau peperiksaan mereka sangat mendukacitakan. Bagi mereka, keputusan itu tidak memberikan apa-apa kesan dalam hidup mereka. Sampai bila budaya ini akan berterusan? Bagi pihak guru, jika ada pelajar yang gagal, mereka tidak tidur malam. Pelbagai strategi, kaedah dan program yang senantiasa bermain di kotak fikiran mereka untuk mengatasi masalah kegagalan pelajar..Berubahlah anak bangsaku
No comments:
Post a Comment