Saturday, May 8, 2010

Latihan Rumusan 2

Baca petikan di bawah ini dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang keburukan internet dalam masyarakat dan langkah langkah mengatasinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perkembangan komunikasi khususnya dalam bidang teknologi maklumat (IT) sememangnya telah membawa perubahan secara menyeluruh kepada cara hidup kita. Perkembangan teknologi tersebut begitu cepat dan pantas sehinggakan dunia ini seolah – olah tiada sempadan. Salah satu daripada rangkaian teknologi maklumat yang tidak asing bagi kita ialah internet iaitu jaringan telekomunikasi secara maya.
Internet sudah sinonim dengan rakyat negara kita. Kemudahan tersebut boleh diperoleh sama ada di rumah, sekolah, institusi –institusi pengajian tinggi, pejabat, pusat beli – belah dan sebagainya. Bagaimanapun, perkembangan tersebut telah mendapat teguran dan kritikan daripada pelbagai pihak kerana ada golongan tertentu cuba menyalahgunakan kemudahan internet untuk kepentingan peribadi. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sendiri pernah meminta pihak polis menahan dan menyoal siasat mana – mana pihak yang cuba menyalahgunakan kemudahan internet.
Sebenarnya, internet boleh mendatangkan pelbagai keburukan jika disalahgunakan. Pada kebiasaannya, kebanyakan laporan yang dikeluarkan melalui internet adalah berasaskan khabar angin dan tuduhan liar. Selain itu, internet juga boleh menimbulkan sentimen perkauman dalam masyarakat yang berbilang kaum. Penyebaran artikel, khabar – khabar angin, gosip, isu – isu sensitif seperti agama, hak istimewa orang Melayu misalnya akan merenggangkan hubungan antara kaum di negara kita. Penyebaran perkara yang tidak betul ini akan mencetuskan kekacauan sehingga memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Terdapat sesetengah pihak menggunakan internet untuk memburuk – burukkan serta menabur fitnah terhadap individu lain sehingga menyebabkan maruah dan reputasi seseorang itu tercemar. Suatu ketika dahulu, kita telah dikejutkan dengan berita penyebaran gambar – gambar lucah yang melibatkan rakyat tempatan. Perbuatan seperti ini akan menjatuhkan maruah individu tersebut dan keluarganya. Selain itu, penggunaan internet tanpa kawalan telah meningkatkan kos penyelenggaraan. Pengguna internet terpaksa menjelaskan bil – bil internet, telefon dan sebagainya. Bagi pengguna yang berkunjung ke kafe siber, mereka terpaksa membayar sewa antara RM4 hingga RM5 sejam.
Ketagihan dalam internet turut mewujudkan masyarakat yang antisosial. Hal ini terjadi demikian kerana seseorang yang ketagih dengan internet, akan terus meluncuri internet sehingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk melakukan pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Menurut kajian, seseorang yang terlalu lama meluncuri internet, tahap kesihatan mereka akan terjejas. Perkara ini berlaku kerana mereka tidak cukup tidur dan makan tidak mengikut waktu.
Walaubagaimanapun, kemunculan internet juga banyak mendatangkan kebaikan kepada manusia. Melalui internet kita dapat memperoleh banyak maklumat dan mengetahui perkembangan dunia luar. Apa yang penting, kita sebagai pengguna haruslah menjadi pengguna internet yang bijak.

No comments:

Post a Comment