Tip-tip penting menulis Rumusan SPM.
Kaji soalan berikut:
Baca petikan dibawah ini dengan teliti. Kemudian buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya banjir kilat dan langkah-langkah untuk menanganinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
1. Soalan pertama iaitu punca-punca berlakunya banjir kilat adalah isi tersurat. Isi ini ada dalam petikan. Dapatkan maksimum 6 isi. Gariskan isi yang berkaitan punca-punca banjir kilat tersebut.
2. Soalan kedua iaitu langkah-langkah menanganinya adalah isi tersirat yang perlu difikirkan oleh pelajar. Jumlah isi tersirat adalah [ 8-jumlah isi tersurat]. Jika isi tersurat 6, isi tersirat = 2. Anda mungkin boleh memberi lebih daripada 8 isi tetapi awas dengan bilangan perkataan anda.
3. Untuk rumusan SPM , ada 4 perenggan iaitu :
1. Pengenalan
2. Isi - isi tersurat
3. Isi - isi tersirat
4. Penutup
4. Jumlah isi adalah 8. Gabungan 6 : 2 | 5 : 3 | 4 : 4
1. Menulis pengenalan :
Tukarkan soalan isi tersurat kepada perkataan yang sinonim. Punca-punca ditukar kepada faktor-faktor. Jangan tulis semula soalan tersebut dan jangan masukkan soalan kedua ke dalam pengenalan. . Hanya dalam 1 ayat dan dimulakan dengan Petikan menyatakan/membincangkan…… Contoh :
a) Petikan menyatakan faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat. [ 2 markah ]
b) Petikan menyatakan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat [ 1 markah ]
Alasan : menggunakan perkataan punca-punca yang terdapat dalam soalan.
c) Petikan menyatakan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat dan langkah-langkah untuk menanganinya. [ 1 markah ] Alasan : salin semula soalan.
2. Menulis Perenggan Kedua - Isi-isi tersirat
1. Rujuk kepada kata kunci pertama ( soalan pertama ) dalam mengesan isi.
2. Dapatkan 6 isi tersurat jika ada.
3. Isi-isi hendaklah diolah semula tanpa meniru bulat-bulat. Caranya, anda boleh tukarkan beberapa patah perkataan asal dengan perkataan yang sinonim.
4. Antara 1 ayat dengan ayat yang lain, gunakanlah penanda wacana yang sesuai seperti selain itu, oleh itu, walaubagaimanapun. Jangan silap memilih penanda wacana!
3. Menulis Perenggan Ketiga - Isi-isi tersurat
1. Jumlah isi tersirat bergantung kepada jumlah isi tersurat. Gunakan formula di atas.
2. Isi tersirat mestilah langsung tidak dinyatakan dalam petikan.
3. Rujuk kepada soalan kedua yang dinyatakan dalam arahan.
4. Menulis kesimpulan
1. Perkara yang perlu ada dalam kesimpulan ialah :
a) tema : banjir kilat
b) unsur 1 : cadangkan supaya semua pihak melaksanakan sesuatu
c) kata hubung : untuk menyambungkan unsur 1 dan unsur 2
c) unsur 2 : nyatakan kenapa cadangan anda itu perlu
2. Bilangan perkataan antara 8-12. Ringkasnya hanya 1 ayat.
Markah Bahasa
1. Separuh daripada jumlah markah isi anda. Jika markah isi anda adalah 16, markah maksimum bahasa adalah 8. Ini maksimum. Kemungkinan akan kurang disebabkan oleh olahan, penggunaan tanda baca, kesinambungan ayat dan sebagainya.
2. Jika bahasa anda bagus, bonus 1 markah akan diberi. Jika sebaliknya, 1 markah akan ditolak.
** Jangan lupa menulis bilangan patah perkataan anda **
Mari kita lihat petikan
IBU KOTA banjir lagi. Sudah tidak terkira sudah berapa kali anggota bomba, penyelamat, wartawan dam pelbagai agensi dikerahkan ke tempat kejadian sama ada untuk membuat liputan atau menghukurkan bantuan kemanusiaan. Hujan lebat yang turun tanpa henti selama hampir tiga jam yang bermula pada waktu pagi kelmarin menenggelamkan beberapa kawasan utama ibu negara. Laluan yang menempatkan bank-bank utama di Jalan Melaka umpama diselimuti lumpur. Stesen LRT Putra yang terletak di bawah tanah juga tenggelam. Hal ini sungguh memalukan dan menjejaskan imej negara kita di mata pelancong asing. Jika dikira kerugian yang dialami oleh semua pihak termasuklah kerugian masa, tenaga dan sebagainya amatlah besar. Beratus-ratus kenderaan ringan tersadai dalam lumpur.
Banjir kilat semalam yang berlaku disebabkan hujan lebat itu turut menyebabkan dua orang mati terkena renjatan elektrik dan terjatuh. Orang ramai hari ini mendakwa sistem perparitan di sekitar ibu kota yang gagal diselenggara dengan baik menjadi punca banjir kilat paling buruk dalam sejarah itu. Satu lagi kelemahan yang ketara ialah tiadanya sistem amaran awal oleh pihak-pihak yang terbabit untuk mengingatkan orang awam mengenai kemungkinan berlakunya banjir kilat ini. Kelemahan yang tidak sepatutnya berlaku dalam pentadbiran sebuah bandar kosmopolitan ini patut diperbaiki.
Kawasan ibu kota menjadi pusat tumpuan pelbagai pihak atas urusan masing-masing. Apabila air naik, banyak urusan yang tergendala. Orang awam bukan saja terperangkap dalam kesesakan, malah kenderaan mereka turut mengalami kerosakan dan sudah tentunya memerlukan kos pembaikan.
Sehingga kini, kita masih belum dapat memastikan silapnya sehinggakan gejala banjir kilat ini telah menjadi fenomena biasa di Kuala Lumpur. Bagi orang awam , banjir kilat disebabkan perancangan yang tidak lengkap. Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan juga didakwa tidak serius dalam usaha menangani masalah banjir kilat di Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya. Ini termasuk kegagalan jabatan berkenaan mendalamkan Sungai Klang dan Sungai Kerayong yang menjadi punca berlakunya banjir kilat di beberapa kawasan sekitar ibu kota. Pihak pentadbiran JPS pula berkata kegagalan sungai utama di ibunegara menampung kandungan hujan yang luar biasa semalam menyebabkan berlakunya banjir kilat.
Buat satu rumusan tentang punca-punca berlakunya banjir kilat dan langkah-langkah untuk menanganinya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Pengenalan :
Petikan membincangkan faktor-faktor yang menyebabkan banjir kilat.
Punca-punca berlakunya banjir kilat.
Ada 6 isi yang telah dihitamkan.
1. Hujan lebat yang turun tanpa henti selama hampir tiga jam
2. sistem perparitan di sekitar ibu kota yang gagal diselenggara dengan baik
3. tiadanya sistem amaran awal
4. perancangan yang tidak lengkap
5. Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan juga didakwa tidak serius dalam usaha menangani masalah banjir kilat atau kegagalan jabatan berkenaan mendalamkan Sungai Klang dan Sungai Kerayong
6. kegagalan sungai utama di ibunegara menampung kandungan hujan yang luar biasa
Langkah-langkah menanganinya
1. Pihak yang terlibat mesti memperbaiki sistem pengurusan pembersihan longkang si seluruh ibu kota.
2. Pihak JPS perlu mengambil tindakan segera dalam usaha membersihkan Sungai Kelang dan Sungai Kerayong agar tidak dilitupi sampah.
3. Masyarakat setempat perlu menjaga kebersihan kawasan pesekitaran dengan tidak mencemarkan sungai dengan sampah sarap.
Penutup:
Kesimpulannya, semua pihak mesti bekerjasama dalam menangani masalah banjir kilat supaya kehidupan harian dapat berjalan dengan lebih lancar.
No comments:
Post a Comment