Monday, May 3, 2010

Demam Peperiksaan


Bila agaknya pelajar-pelajar kita akan berhadapan dengan demam peperiksaan. Apa yang jelas, belum ada budaya demam peperiksaan menjengah dalam jiwa mereka. Pelajar kita masih leka, alpa dan lalai dalam dunia harian mereka. Pelik tapi benar, pelajar kita tidak ada perasaan takut, bimbang atau gerun dengan peperiksaan PMR dan SPM yang bakal menjelma. Seolah-olah tidak ada apa akan berlaku.Percaya atau tidak, guru-guru sedang berhempas pulas dan bertungkus lumus membuat pelbagai persiapan seperti menganalisis soalan, menyediakan modul, menyediakan set-set latihan dan kelas-kelas bimbingan demi untuk merealisasikan kecemerlangan. Siapa sebenarnya yang akan menghadapi peperiksaan. Guru atau pelajar ?
Dalam hal ini, siapa yang perlu bertindak untuk menyedarkan pelajar kita daripada mimpi indah mereka? Ibu bapa atau guru ? Di pihak guru, pelbagai cabaran telah dipasak dalam jiwa mereka agar sedar akan kepentingan peperiksaan terutama peperiksaan SPM. SPM adalah penanda aras masa depan pelajar. Gagal SPM, bermakna masa depan mereka terpaksa dilalui dengan pelbagai liku dan onak. Gagal SPM bermakna mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi? Gagal SPM bermakna hampalah harapan ibu bapa mereka. Sedih dan terharu sangat jika mereka gagal dalam ujian/peperiksaan tetapi mereka masih boleh tersenyum, masih boleh bergelak ketawa dan masih lagi tidak rasa bersalah. Dimana agaknya jiwa mereka ini.
Antara sebab pelajar tidak berminat dengan pelajaran adalah kerana mereka tidak pernah berasa susah untuk mendapatkan sesuatu. Hari ini, pelajar yang gagal dalam PMR masih boleh meneruskan pelajaran. Mereka boleh ke SM Teknik, Pusat Giat Mara, Kolej komuniti, pelbagai kolej swasta atau meneruskan pelajaran ke sekolah harian biasa. Situasi ini sedikit sebanyak meruntuhkan jiwa para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh kerana dihadapan mereka masih terbentang luas peluang belajar jika mereka gagal dalam peperiksaan. Apakah sistem pendidikan kita perlu diubah untuk membolehkan pelajar kita mempunyai demam peperiksaan supaya pencapaian mereka lebih berkualiti. Fikir-fikirkanlah

No comments:

Post a Comment