Thursday, May 13, 2010

PANTUN 4 KERAT (JENAKA / SINDIRAN )

Tema:
Jenaka dan sindiran tentang hal-hal yang berkaitan tingkah laku dalam kehidupan manusia.

Persoalan:
Tidak berbaloi bagi seseorang jika mempunyai isteri cantik tetapi tidak tahu memasak.
Kita akan berasa pelik dan melucukan apabila sesuatu perkara itu dilakukan oleh orang yang bukan ahlinya.
Pelbagai kepelikan dan masalah dalam kehidupan yang memerlukan ilmu untuk menyelesaikannya.
Pelbagai keanehan dan luar biasa tidak mustahil berlaku dengan tanpa diduga dalam kehidupan manusia.

Nilai:
Kerajinan > seseorang isteri kena rajin belajar ilmu rumah tangga.
Bijaksana > Manusia yang berilmu dapat mengkaji keanehan dan mengatasi masalah yang timbul.
Berdikari > Mempelajari ilmu untuk membaiki kelemahan diri.

Pengajaran:
Seseorang isteri mestilah mempelajari ilmu berumah tangga untuk kesempurnaan diri bukan hanya bergantung kepada kecantikan diri semata-mata.
Kita hendaklah menuntut ilmu sebagai langkah untuk bertindak lebih bijaksana dalam mentafsirkan keanehan yang berlaku agar dapat dijadikan panduan.
Kebijaksanaan hanya dapat diperoleh dengan menuntut ilmu.



MAKSUD PANTUN

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak memakai capal;
Apalah guna beristeri cantik,
Kalau tak pandai menumbuk sambal.

Memilih isteri biarlah yang tahu menguruskan rumah tangga bukan sahaja berdasarkan kecantikan.

Dari Kelang lalu ke Jawa,
Naik sigai ke atas atap;
Ikan kering lagi ketawa,
Mendengar tupai membaca kitab.

Pekerjaan yang dilakukan oleh orang yang bukan ahli akan dicemuh dan ditertawakan orang.

Ambil segulung rotan saga,
Suruh diambil mari diurut;
Duduk termenung harimau tua,
Melihat kambing mencabut janggut.

Satu keanehan berlaku apabila kambing tidak takut akan harimau. (peristiwa pelik)

Kupu-kupu terbang melintang,
Hinggap menghisap bunga layu;
Hati di dalam menaruh bimbang,
Melihat ikan memanjat kayu.

Sesuatu keanehan yang berlaku melahirkan kebimbangan orang ramai

Lebat sungguh padi di paya,
Kayu tumbang tepi pangkalan;
Hairan sekali hati saya,
Burung terbang disambar ikan.

Perasaan hairan wujud kerana berlaku perkara yang luar biasa yang mustahil sebenarnya.

No comments:

Post a Comment