Saturday, May 15, 2010

RASUAH DALAM KALANGAN MASYARAKAT

Oleh MOHD. AYOP ABD. RAZID
SEPERTI najis dadah, rasuah juga musuh utama negara yang wajib diperangi. Dalam konteks ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai tanggungjawab yang cukup besar dan mencabar dalam memerangi rasuah di negara ini. Rasuah boleh berlaku di mana-mana sahaja, tidak kira dalam agensi kerajaan mahupun swasta. Rasuah ada pemberi dan penerimanya.

Ia tidak akan berlaku jika salah satu pihak menolak amalan yang menjijikkan itu. Kaedah memberi rasuah juga pelbagai dan semakin licik sifatnya. Justeru, ia bukan perkara yang mudah bagi SPRM untuk membendungnya.

Namun, dengan iltizam dan kekentalan semangat yang tinggi, SPRM bersedia mendepani segala cabaran dan rintangan untuk menjadikan Malaysia negara yang bebas dan bersih daripada gejala rasuah. Melalui aspirasi dan slogan SPRM 2010, iaitu 'Bersama Lakukan Perubahan, Perangi Rasuah' yang dilancarkan oleh Ketua Pesuruhjaya, Datuk Abu Kassim Mohamed sempena ulang tahun pertama penubuhannya pada 9 Mac lalu, ia telah meningkatkan kesedaran di kalangan penjawat awam dan masyarakat tentang kesan dan bahaya rasuah.

SPRM ditubuhkan melalui penggubalan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan mula beroperasi pada 1 Januari 2009 bagi menggantikan Badan Pencegah Rasuah (BPR). Pada 26 April lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan telah merasmikan kempen 'Hindar Menerima, Perangi Pemberi Rasuah'. Kempen itu bertujuan mencetuskan motivasi dan meningkatkan integriti penjawat awam dengan menolak amalan rasuah, di samping melakukan perubahan minda ke arah pencapaian agenda transformasi negara.

Seperti yang disebut Mohd Sidek, mesej dan matlamat kempen itu adalah mudah, iaitu penjawat awam tidak boleh dirasuah. Kempen itu juga bertujuan menyedarkan orang awam bahawa pemberi rasuah juga tidak terlepas daripada tindakan undang-undang. Dalam ucapan perasmian kempen tersebut, beliau menyebut bahawa pelaksanaan dan kejayaan kempen ini banyak bergantung kepada komitmen dan kerjasama semua ketua agensi.

Kesedaran yang tinggi di kalangan pegawai dan anggota perkhidmatan awam mengenai 'najis' dan jenayah rasuah akan menjadikan mereka lebih tegas dan berani menolak pujukan serta godaan pemberi rasuah. Peningkatan tahap integriti ini amat selari dengan komitmen kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu mewujudkan sebuah pentadbiran yang 'mendahulukan rakyat' dan 'mengutamakan pencapaian' seperti yang terkandung dalam gagasan '1Malaysia'.

Justeru, usaha memerangi rasuah menjadi agenda utama pentadbiran beliau supaya aspirasi dan kehendak rakyat benar-benar menjadi kenyataan.

Ini terbukti apabila usaha membanteras rasuah turut dijadikan salah satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diberikan perhatian penting di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Warga perkhidmatan awam dikehendaki memberi fokus kepada penyampaian perkhidmatan yang efisien dan efektif dengan menampilkan nilai etika kerja dan tahap integriti yang tinggi.

GTP yang telah dilancarkan oleh Najib pada 28 Januari lalu bertujuan membawa perubahan perkhidmatan awam ke arah menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan semua segmen rakyat dan pelanggan. Ini membuktikan bahawa gagasan '1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' adalah gagasan serius yang menuntut warga perkhidmatan awam melakukan transformasi minda, etika kerja dan kaedah penyampaian perkhidmatan bagi mendukung agenda dan aspirasi negara.

Sektor perkhidmatan awam hari ini lebih menjurus kepada memudah dan mempercepat urusan pelanggan, sama ada urusan orang ramai ataupun sektor swasta tanpa banyak proses dan prosedur serta kerenah birokrasi. Cara ini didapati berupaya membendung berleluasanya amalan rasuah dalam perkhidmatan yang diberikan. Penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudah Cara Perniagaan (Pemudah) telah berjaya membentuk kerjasama sektor awam dan sektor swasta. Melalui Pemudah, banyak proses dan prosedur lapuk dan menyukarkan telah dapat dihapuskan atau dikurangkan.

Hasilnya, tempoh masa kelulusan sesuatu permohonan itu dipendekkan apabila berurusan di jabatan dan agensi kerajaan. Keputusan perniagaan seperti pemberian kontrak, perolehan, dan sebagainya dapat dilakukan dengan lebih efisien tanpa melalui 'jalan belakang'. Hakikatnya, banyak kemajuan sudah dirasai oleh mereka yang berurusan dengan sektor awam hari ini.

Misalnya, pendaftaran perniagaan boleh selesai dalam tempoh tiga hari, permohonan pasport selesai dalam tempoh dua jam dan pendaftaran hartanah dilakukan dalam tempoh dua hari.

Begitu juga dengan penggunaan MyID untuk semua urusan individu dengan pelbagai agensi kerajaan amat memudahkan kerana kita perlu mengingati satu nombor sahaja. Penggunaan MyCOID untuk semua urusan perniagaan telah menjadikan kerajaan lebih mesra perniagaan.

Kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut dimanfaatkan oleh kerajaan melalui talian dalam banyak urusan. Melalui Internet, pembayaran dan transaksi boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dan di mana-mana. Kini, terdapat 1,277 perkhidmatan dalam talian di pelbagai agensi perkhidmatan awam bagi memudahkan urusan orang ramai menggunakannya.

Kesimpulan, pelbagai pembaharuan yang dilakukan dalam perkhidmatan awam itu mampu menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah di kalangan penjawat awam. Rakyat kini semakin yakin dengan agensi kerajaan, terutamanya agensi pengawalseliaan dan penguatkuasaan. Melalui peningkatan integriti ini, maka hasrat kerajaan untuk mempertingkat daya saing negara di persada antarabangsa akan menjadi realiti.

No comments:

Post a Comment