Baca petikan di bawah ini dengan teliti. Kemudian tulis satu rumusan tentang usaha-usaha untuk membendung budaya merokok dan punca-punca budaya tersebut semakin berleluasa. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan
Dewasa ini, tabiat merokok dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat semakin membimbangkan. Budaya ini seolah-olah sudah sinonim dalam masyarakat kita tanpa mengira pangkat, agama, budaya , jantina atau status seseorang. Industri tembakau pula secara berterusan meraih keuntungan berlipat ganda walaupun pelbagai usaha menyekat tabiat buruk itu telah dilaksanakan.
Jelaslah bahawa masalah ini semakin menggusarkan dan harus dipandang serius oeh semua pihak, terutama ibu bapa. Usaha kerajaan dalam membendung budaya merokok ini harus dipandang positif oleh semua pihak. Persoalan yang timbul ialah adakah tujuan mereka merokok ini sekadar untuk membuktikan status, glamour dan personaliti atau sebagai lambang kebebasan ? Atau mungkinkah juga tabiat ini berlaku disebabkan perokok ingin melepaskan tekanan atau kekusutan yang melanda hidup? Walau apapun alasan yang dikemukakan oleh perokok, tabiat mereka ini ibarat membunuh diri secara perlahan kerana ternyata banyak kesan buruk akan timbul terhadap kesihatan. Tabiat ini tidak dipandang hina oleh masyarakat kerana telah dianggap perkara biasa dalam kehidupan, namun barah ini tidak boleh dibiarkan merebak dalam kalangan remaja termasuk pelajar sekolah rendah. Justeru, peranan ibu bapa amat penting dalam memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terpengaruh oleh budaya rokok.
Pelbagai pendekatan telah diambil oleh pihak kerajaan dalam usaha menangani isu ini. Kadar cukai rokok telah dinaikkan atas cadangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia demi menyedarkan rakyat seluruh dunia tentang keburukan merokok. Kempen anti merokok yang dilancarkan baru-baru ini dengan tema ‘Tak Nak - Setiap Sedutan Membawa Padah’ diharap menjadi satu wadah efektif dalam menyedarkan perokok dan bakal perokok tentang keburukan penggunaan rokok. Kerajaan juga telah menandatangani satu Rangka Kerja Konvensyen Mengenai Kawalan Tembakau, anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi membuktikan komitmen kerajaan untuk mengubah tabiat merokok rakyat Malaysia. Selain itu, pendekatan memujuk perokok agar berfikir sebelum merokok dilakukan melalui pemaparan foto kesan-kesan buruk akibat merokok di kotak rokok. Walaupun strategi-strategi yang dilakukan oleh kerajaan tidak dipandang serius oleh perokok-perokok tegar, sekurang-kurangnya kerajaan mungkin berjaya mengurangkan jumlah perokok baru terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah
No comments:
Post a Comment