MANFAAT
DASAR 1 MURID 1 SUKAN
Dasar 1 Murid 1 Sukan mewajibkan setiap
murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini
menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani.
Dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan
menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun. Dasar ini selaras dengan
Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat dan
hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan untuk
Semua dan Sukan untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan untuk Semua
adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan semua
murid. Bagi Sukan untuk Kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan
berpotensi hendaklah terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat
Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh
pihak sekolah. Oleh halyang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan
adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1 Malaysia yang
sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat Yang
Amat Berhormat Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1 Malaysia. Terdapat
pelbagai kebaikan Dasar 1 Murid 1 Sukan. Perkara ini akan dibincangkan demi
kepentingan bersama.
Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya
membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid
dalam kegiatan sukan sepanjang tahun. Hala tuju dasar pendidikan negara kita
amat jelas iaitu melahirkan modal insan yang bersahsiah unggul dan
berkeperibadian mulia. Oleh itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan secara tidak langsung
dapat membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan
murid-murid di sekolah. Dasar ini bertujuan untuk membangunkan sukan sekolah ke
arah meningkatkan kadar penyertaan murid dalam sekurang-kurangnya satu jenis
sukan di sekolah. Setiap murid termasuk murid berkeperluan khas yang tidak
mengalami masalah kesihatan hendaklah wajib mengambil bahagian dalam
sekurang-kurangnya satu jenis sukan. Dasar 1M 1S diwajibkan untuk Tahun 4 hingga Tahun 6 di
sekolah rendah dan Peralihan, Tingkatan 1 hingga Tingkatan 6 di sekolah
menengah. Walau bagaimanapun murid-murid prasekolah hingga Tahun 3 digalakkan
menyertai program ini berdasarkan kemampuan sekolah. Hal ini dikatakan demikian
kerana kerajaan mahu membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa
dan negara melalui sukan. Tegasnya, modal insan yang syumul dan holistik dapat
dilahirkan melalui dasar ini.
Selain itu, Dasar 1 Murid 1 Sukan dapat
memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah agar menjadi ahli
masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas kerana badan sihat otak
cerdas. Aktiviti sukan berupaya meningkatkan kecergasan jasmani seseorang dan
memenuhi naluri semula jadi murid dalam aktiviti fizikal. Hal ini dikatakan
demikian kerana kerajaan sedar semakin banyak rakyat Malaysia yang mengabaikan
sukan dalam kehidupan lantaran terlalu sibuk dengan urusan seharian. Akibatnya,
bilangan rakyat Malaysia yang menghidap masalah kegemukan dan obesiti semakin
meningkat saban tahun. Senario ini amat merugikan kerana golongan ini biasanya
tidak aktif dan menghidap pelbagai penyakit yang berbahaya kepada diri mereka.
Pada tahun 2011, dilaporkan rakyat Malaysia merupakan golongan terbanyak
mengidap obesiti dalam kalangan rakyat di negara-negara ASEAN dan yang keenam
di Asia. Oleh sebab itu, tindakan kerajaan memperkenalkan Dasar 1 Murid 1 Sukan
memang tepat pada masanya dalam usaha membentuk masyarakat Malaysia yang cergas
dan cerdas sepanjang masa. Izharlah bahawa amalan gaya hidup sihat dapat
dipupuk melalui dasar ini.
Jika kita singkap dari perspektif yang
berbeza, Dasar 1 Murid 1 Sukan berupaya untuk memupuk perpaduan antara kaum
dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci
kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Malaysia sentiasa
dijadikan contoh kepada negara-negara lain di dunia ini kerana kejayaannya
membentuk perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk selama 55 tahun
kebelakangan ini. Kerajaan sedar bahawa rakyat tidak harus alpa akan
kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan
harmoni. Indikator terbaik ke arah itu adalah melalui sukan. Semangat kerjasama
dan bertolenransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan.
Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna
kulit, bangsa, dan agama. Rakyat pelbagai kaum akan dipertemukan dan bergaul
sesama mereka semasa menjalani aktiviti sukan. Dengan ini mereka akan memahami
budaya dan cara hidup kaum lain. Sudah terang lagi bersuluh, Dasar 1 Murid 1
Sukan amatlah penting untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Seperkara lagi, Dasar 1 Murid 1 Sukan
dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan
fizikal. Dasar ini boleh memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah
daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak
aktif. Murid-murid pada zaman ini lebih cenderung menjadi ulat buku kerana
terlalu mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik. Mereka beranggapan
bahawa aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka sahaja. Persepsi seperti
itu perlu dikikis dari kamus kehidupan mereka kerana mereka perlu
memperuntukkan masa untuk melakukan kecergasan fizikal seperti bermain bola
sepak, berenang, menyertai acara balapan dan sebagainya demi kebaikan mereka.
Kata orang, otak yang sihat datang dari badan yang cergas. Dengan memiliki
badan yang sihat, murid-murid dapat fokus pada pelajaran mereka. Mereka dapat
menjana idea yang bernas dan mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Secara
implisitnya, murid akan beroleh kejayaan dalam bidang akademik mereka. Pendek
kata, murid dapat mencapai keseimbangan antara kejayaan akademik dengan
kejayaan sukan melalui Dasar 1 Murid 1 Sukan yang diperkenalkan ini.
Pada masa yang sama, Dasar 1 Murid 1
Sukan juga berupaya untuk mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan.
Dasar ini memberikan peluang kepada semua murid yang berbakat dan berpotensi
untuk digilap ke tahap yang lebih tinggi. Murid boleh menyertai lebih dari satu
sukan mengikut kemampuan dan sukan yang ditawarkan oleh sekolah atau yang
dijalankan dengan pengetahuan dan persetujuan pihak sekolah. Pada masa ini,
sukan merupakan salah satu aktiviti penting. Ahli-ahli sukan yang berjaya akan
dikenali di seluruh dunia. Mereka disanjung dan dipuja serta mampu meraih
pendapatan berjuta-juta ringgit. Mereka bukan sahaja mampu menyumbang kepada
pendapatan negara malahan menjadi duta kecil untuk menaikkan imej negara di
persada antarabangsa. Kejayaan beberapa orang ahli sukan negara kita seperti
Datuk Nicol Ann David, Datuk Lee Chiong Wee, dan sebagainya dalam bidang sukan
seharusnya diteruskan.Sesungguhnya, usaha untuk memartabatkan arena sukan
negara ke persada antarabangsa dengan kelahiran jaguh sukan negara yang
digeruni dapat dicapai menerusi dasar ini.
Bulan semakin terang, bayang kian jelas
bahawa Dasar 1 Murid 1 Sukan banyak membawa
kemaslahatan kepada murid-murid di negara kita. Oleh itu, semua pihak
harus memberikan galakan kepada murid-murid sekolah untuk menyertai semua
aktiviti sukan yang dikelolakan oleh pihak sekolah berkaitan dengan Dasar 1 Murid
1 Sukan. Dalam pada itu, pihak sekolah pula haruslah melaksanakan Dasar 1 Murid
1 Sukan dengan sempurna agar segala matlamat dan objektif yang ditetapkan akan
tercapai. Pihak sekolah tidak harus bersikap sambalewa atau sekadar melepaskan
batuk di tangga. Namun begitu, sokongan daripada ibu bapa juga penting untuk
menjayakan dasar ini kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi.
Mudah-mudahan, hasrat kita untuk melahirkan modal insan yang cemerlang,
gemilang, dan terbilang dalam sukan akan menjadi realiti dan bukannya
angan-angan Mat Jenin. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepohon terus
menghijau dan biarlah sukan di Malaysia terus maju untuk bersaing di peringkat
global agar Malaysia dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara
lain di persada antarabangsa.
Dicatat
oleh Cikgu Anelyza WMS di 3:06 PM
No comments:
Post a Comment