Saturday, April 13, 2013

Kata Nafi - Memantapkan Kemahiran Berbahasa




Kata nafi ialah perkataan yang menjadi unsur nafi frasa-frasa predikat, iaitu frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif. Dan frasa sendi nama. Ada dua bentuk kata nafi, iaitu bukan dan tidak.

Kata nafi bukan boleh menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama. Contohnya :


Contoh 1 :
Makanan itu bukan untuk Samsuri tetapi untuk kakaknya.



Contoh 2 :
Jaringan gol itu bukan kesilapan saya



Contoh 3 :
Bas yang saya naiki ini bukan dari Tanjong Malim tetapi dari Ipoh


Kata nafi tidak pula ialah unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif. Contohnya ;


Contoh 1 :
Saya tidak akan datang lagi ke tempat ini.







Contoh 2 :
Kenyataan peguam itu tidak benar


Contoh 3 :
Ikan yang saya beli di pasar itu tidak besar sangat.


Walau bagaimanapun, kata nafi bukan boleh juga hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjetif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat. Contohnya :


Mereka bukan hendak belajar tetapi hendak berlatih sukan.



Ucapan pemimpin itu bukan menghina kita tetapi sekadar memberi peringatan sahaja.



Pelajar itu bukan sahaja bijak tetapi rajin juga.


Di samping itu, ayat nafi juga boleh digunakan untuk menekankan atau menegaskan sesuatu maksud. Contohnya :

Ayat biasa :
Cadangannya harus diketepikan.

Ayat nafi :
Cadangannya tidak perlu kita pedulikan.



Ayat biasa :
Kerja ketua memang susah.

Ayat nafi :
Kerja ketua tidak pernah senang.

Walaupun kedua-dua ayat dalam setiap pasangan di atas mempunyai maksud yang sama, ayat nafi menekankan maksudnya sedangnak ayat biasa menyatakan naksud secara biasa sahaja.

Peranan ayat nafi sebagai penegas maksud  juga dapat diperhatiakn pada dalam ayat tanya.


Contohnya :
1.    Bukankah orang itu guru kamu ?
2.    Tidakkah kamu ingin menyertai pertandingan itu?
3.    Anda sudah faham, bukan?

No comments:

Post a Comment