Monday, February 14, 2011

TATABAHASA - SINTAKSIS



Menggabungkan Ayat.


Tulis semula ayat-ayat di bawah supaya menjadi tiga ayat sahaja tanpa mengubah maksud dan susunan ayat-ayat itu.

Iklan memainkan peranan. Peranan iklan sangat penting. Iklan mempengaruhi pengguna. Pengguna membeli barangan. Pengguna menggunakan perkhidmatan. Iklan mempunyai kuasa yang tersembunyi. Iklan mampu mendorong pengguna membeli sesuatu barangan. Barangan itu sebenarnya tidak diperlukan. Kini, bidang pengiklanan di negara ini telah menjadi industri. Industri ini mendatangkan keuntungan. Industri ini cepat berkembang.


Memisahkan ayat


Baca petikan di bawah ini dengan teliti kemudian pisahkan kandungan petikan itu kepada enam ayat dasar. Anda hendaklah mengekalkan struktur dan maksud asalnya.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab menyelaraskan projek dan aktiviti pengembangan bahasa kebangsaan di peringkat negeri. Selain itu, Dewan Bahasa dan Pustaka diamanahkan juga untuk membina kesedaran dan mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh sebab itu, badan induk dalam bidang bahasa ini turut menjalankan kegiatan apresiasi sastera dalam kalangan remaja dan masyarakat umum.


Mengenal pasti perkataan yang tertinggal dalam ayat

Dalam setiap ayat di bawah, terdapat dua perkataan yang tertinggal. Tulis semula setiap ayat dengan menambahkan perkataan yang tertinggal itu dan garisi perkataan yang anda tambah itu.

(i) Gugusan Melayu memang masyhur semenjak abad ke-15 sebagai kawasan rempah ratus.

(ii) Persatuan Bekas Perajurit mengadakan program untuk ahlinya pada persaraan mereka.

(iii) Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan akan pembangunan di Sepang.


Menukar cakap ajuk kepada cakap pindah


Tulis dialog di bawah ini semula dalam bentuk karangan biasa dengan menggunakan cakap pindah.

Siti : Hai, Ani! Mengapa termenung?
Ani : Aku susah hati. Peperiksaan dah dekat tapi aku belum bersedia.
Siti : Kita mesti belajar betul-betul.
Ani : Siti, boleh kautolong aku?
Siti : Bagaimana?
Ani : Pinjamkan nota-nota pelajaran. Aku hendak baca dan salin.
Siti : Boleh, tapi engkau mesti berjanji akan tekun belajar.
Ani : Janji. Aku pun nak berjaya macam orang lain.


Menukar ayat aktif kepada ayat pasif

Tukar ayat aktif di bawah kepada ayat pasif tanpa mengubah maksud asalnya.

(i) Saya menulis surat itu kepada ibu untuk bertanyakan khabar.
(ii) Ali membaiki kereta Encik Ahmad pada petang semalam.
(iii) Ibu bapa harus mengawasi anak-anak supaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.





CADANGAN JAWAPAN :
(Pastikan anda melihat jawapan selepas menyiapkan latihan)
Menggabungkan ayat.

i. Iklan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi pengguna membeli barangan dan menggunakan perkhidmatan.

ii. Iklan mempunyai kuasa yang tersembunyi sehingga mampu mendorong pengguna membeli sesuatu barangan walaupun barangan itu sebenarnya tidak diperlukan.

iii. Kini, bidang pengiklanan di negara ini telah menjadi industri yang menguntungkan dan cepat berkembang.



Memisahkan ayat

i. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab menyelaraskan projek pengembangan bahasa kebangsaan di peringkat negeri.

ii. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertanggungjawab menyelaraskan aktiviti pengembangan bahasa kebangsaan di peringkat negeri.

iii. Dewan Bahasa dan Pustaka diamanahkan untuk membina kesedaran berbahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

iv. Dewan Bahasa dan Pustaka diamanahkan untuk mewujudkan budaya berbahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

v. Badan induk dalam bidang bahasa ini turut menjalankan kegiatan apresiasi sastera dalam kalangan remaja.

vi. Badan induk dalam bidang bahasa ini turut menjalankan kegiatan apresiasi sastera dalam kalangan masyarakat umum.



Mengenal pasti perkataan yang tertinggal dalam ayat

(i) Gugusan kepulauan Melayu memang masyhur semenjak abad ke-15 sebagai kawasan
tanaman rempah ratus.

(ii) Persatuan Bekas Perajurit mengadakan program untuk membantu ahlinya pada masa
persaraan mereka.

(iii) Pengisytiharan Putrajaya sebagai pusat pentadbiran kerajaan akan meningkatkan /
merancakkan pembangunan di Sepang.



Menukarkan cakap ajuk kepada cakap pindah

Siti ingin tahu akan sebab Ani termenung.
Ani menjelaskan bahawa dia susah hati kerana peperiksaan kian menjelang sedangkan dia belum membuat persiapan yang mencukupi.
Siti mengingatkan Ani bahawa mereka mesti belajar bersungguh-sungguh.
Ani meminta kepastian daripada Siti sama ada Siti boleh membantunya.
Siti meminta penjelasan lanjut daripada Ani berhubung dengan hal itu.
Ani menjelaskan bahawa dia hendak meminjam nota pelajaran Siti kerana dia hendak membaca dan menyalinnya.
Siti memberitahunya bahawa dia tidak keberatan dengan syarat Ani mesti belajar bersungguh-sungguh.
Ani berjanji bahawa dia akan belajar bersungguh-sungguh kerana dia juga mahu berjaya seperti pelajar-pelajar yang lain.



Menukar ayat aktif kepada ayat pasif

(i) Surat itu saya tulis kepada ibu untuk bertanyakan khabar.
(ii) Kereta Encik Ahmad dibaiki oleh Ali pada petang semalam.
(iii) Anak-anak harus diawasi oleh ibu bapa supaya tidak terjebak dalam penyalahgunaan dadah.

1 comment: