Luahan ini bukan untuk membuka pekung di dada tetapi sekadar meluahkan rasa hati.
Rasa hati seorang guru.
Tanggal 03 Jun...dalam situasi tidak selesa, badan yang kurang sihat...aku gagahkan jua diri untuk bangun dan terus melangkah. Timbul rasa bersalah sekiranya aku tidak membekalkan kerja-kerja sekolah buat pelajar-pelajar yang aku ajar. Dalam keadaan lemah dan lesu, aku belek-belek fail bank soalan dan keluarkan beberapa soalan untuk dibuat salinan untuk diberikan kepada pelajar-pelajar. Aku bergegas ke kedai untuk membuat salinan mengikut bilangan pelajar yang diajar. Bukan sehelai tetapi 4 helai untuk 132 orang pelajar. Dalam hati, moga pelajar-pelajarku dapat sesuatu bila menyiapkan latihan tersebut. Setelah siap dibuat salinan, aku bergegas ke sekolah walaupun aku mendapat cuti sakit pada hari itu. Latihan itu aku berikan pada semua pelajar bersama arahan yang lengkap. Aku minta pelajar jawab latihan tersebut dalam kertas kajang. Bimbang mereka lupa, aku tulis dalam FB aku sebagai peringatan untuk mereka kerana aku tahu ramai diantara mereka yang suka melayari laman sosial itu. Esoknya, iaitu hari terakhir persekolahan, aku memang tidak ke sekolah kerana terlalu tidak sihat dan mendapat cuti sakit.
Tingginya harapan aku...aku bayangkan apabila sekolah dibuka pada 21 Jun 2010. Semua latihan tersebut disiapkan oleh anak muridku. Maklumlah mereka bakal menghadapi peperiksaan SPM. Lagipun, mereka semua sudah dewasa dan matang. Ada diantaranya dah berperwatakkan seperti seorang anak dara dan anak teruna ; tanda kematangan mereka.
Malang sungguh nasibku...gunung yang kusangka tinggi, rupanya terlalu rendah; lautan yang kusangka dalam, rupanya tersangat cetek; bumi yang kusangka luas terbentang, rupanya sangat sempit. Daripada 138 orang, yang membuat dengan lengkap cuma dalam 30 orang sahaja. Pelajar yang lain, beri alasan tidak siap, tidak buat, kertas soalan hilang, tidak hadir...kecewanya aku. Hatiku remuk redam...hatiku hancur berkecai. Timbullah emosi yang sangat sukar aku kawal...soalan yang aku berikan langsung tidak dihargai atau dipandang. Aku tidak tahu apa yang mereka buat dalam tempoh cuti selama 14 hari itu. Masya-Allah, sampai hati anak didikku...
Timbul persoalan dihatiku...kalau inilah sikap pelajar-pelajarku terutama pelajar-pelajar Melayu...apakah guru masih dipersalahkan jika pelajar-pelajar kita gagal? Dimana ibubapa pelajar untuk memantau kerja sekolah anak2 mereka? Bila agaknya pelajarku akan sedar?...lantaran timbul rasa kesal dan marah...aku terpaksa merotan pelajar-pelajar yang tidak menyiapkan kerja sekolah ini....wajarkah tindakan ku ini?
No comments:
Post a Comment