Friday, October 4, 2013

Usaha-usaha Membantu Rakan Supaya Tidak Berterusan Melakukan Aktiviti Tidak Berfaedah





Usaha-usaha Membantu Rakan Daripada Berterusan Melakukan Perkara
Tidak Berfaedah.


Pepatah Melayu ada menyatakan buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Peribahasa ini menggambarkan tentang larangan untuk kita melakukan kejahatan dalam hidup kita. Sekali kita terjebak dalam perkara tidak berfaedah, berkemungkinan kita akan mengulangi perkara tersebut pada masa akan datang. Perbuatan tidak berfaedah yang dilakukan oleh rakan kita berpunca daripada beberapa faktor seperti kurang pengawasan ibu bapa, keruntuhan institusi keluarga, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media masa dan sebagainya. Apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk membantu rakan-rakan yang berterusan melakukan perkara tidak berfaedah ini? Persoalan inilah yang akan saya rungkaikan dalam huraian berikutnya.
 
Antara usaha untuk membantu rakan daripada berterusan melakukan perkara tidak berfaedah ialah dengan memberi nasihat dan teguran secara berhemah. Kebiasaannya rakan sebaya lebih berupaya memberi nasihat dan teguran kerana mereka memahami hati budi masing-masing. Teguran yang berhemah dan menusuk jiwa mampu mengubah tingkahlaku rakan daripada melakukan perkara yang sia-sia. Sebagai rakan, kita haruslah memberi nasihat dalam situasi yang sesuai seperti ketika bermain bersama-sama, ketika minum atau ketika kita bergurau senda. Memujuk rakan yang bermasalah ini umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerakan. Jelaslah bahawa dengan memberi nasihat dan teguran yang membina dapat mengelakkan rakan daripada melakukan perkara tidak berfaedah.
 
Selain itu, kita hendaklah mengajak rakan kita untuk mengikuti program-program yang menjurus ke arah pembinaan jati diri. Sekiranya kita mampu mengajak rakan-rakan mengikuti program yang boleh membina jati diri, sudah pasti mereka akan sedar daripada kesilapan dan kekhilafan yang pernah mereka lakukan.  Antara program yang boleh membina jati diri ialah kursus motivasi, program keagamaan, kursus pemerkasaan jati diri dan sebagainya. Program program sebegini selalunya dapat memberi kesedaran dan membina konsep kendiri kepada rakan kita. Terbuktilah, dengan mengikuti program membina jati diri dapat mengelakkan rakan kita daripada berterusan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
 
Di samping itu, usaha-usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan memaklumkan kegiatan rakan kita kepada pihak yang sewajarnya seperti ibu bapa, agensi penguatkuasa dan pihak kaunselor agar mereka boleh memberi nasihat atau mengambil tindakan yang boleh pengajaran dan kesedaran. Hal ini demikian, jika perkara tidak berfaedah yang dilakukan oleh rakan tersebut dibiarkan, dibimbangi mereka akan mendapat musibah atau kecelakaan yang boleh mendatang kemudaratan pada diri mereka. Pihak yang terbabit sewajarnya mengambil tindakan segera apabila laporan diterima agar tidak menyesal di kemudian hari. Janganlah mengambil sikap sudah terhantuk baharu terngadah dalam menangani isu sebegini. Ternyatalah, melaporkan aktiviti tidak berfaedah yang dilakukan oleh rakan dapat menyekat mereka daripada terus melakukan kegiatan tidak sihat.  
 
Usaha terakhir yang boleh dilakukan untuk membantu rakan daripada berterusan melakukan perkara tidak berfaedah ialah dengan mengajak mereka mengisi waktu lapang dengan aktiviti yang berfaedah seperti melancong, mendaki gunung, memancing ikan, bersukan dan sebagainya. Apabila rakan kita disibukkan dengan aktiviti seperti ini, sudah tentu ruang dan peluang untuk mereka melakukan aktiviti tidak berfaedah semakin berkurangan ataupun terhad. Ketika melakukan aktiviti ini, kita perlulah memastikan ruang yang ada diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan boleh menimbulkan suasana ceria, seronok dan gembira. Dengan cara ini, secara tidak langsung rakan kita dapat melupakan aktiviti tidak berfaedah yang sering mereka lakukan.
 
Daripada huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa rakan sebaya memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk membantu rakan agar tidak berterusan melakukan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah. Kita janganlah bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing apabila kita mengetahui rakan kita melakukan aktiviti tidak sihat. Sikap hanya sekadar memerhati, melihat dan menjeling tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada diri kita dan juga rakan. Hargailah sebuah persahabatan untuk melahirkan pelapis negara yang berguna untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.
 


No comments:

Post a Comment