. CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN
(TEMA) Dalam meniti arus globalisasi ini,
generasi yang berwawasan merupakan pelapis dan peneraju kepada kemajuan dan
pembangunan negara kerana ahli pujangga pernah berkata bahawa generasi
berwawasan sebagai pemangkin pembangunan negara. Generasi berwawasan
dapat ditafsirkan sebagai golongan muda yang mempunyai cita-cita tinggi untuk
menjadikan negara kita maju selaras dengan saranan yang terkandung dalam
Wawasan 2020. (ISU) Dewasa ini, isu generasi berwawasan
telah mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita. Isu generasi
berwawasan menjadi amat penting untuk diberikan perhatian dan tumpuan yang
sewajarnya kerana mereka merupakan nadi negara. Oleh itu, usaha untuk
melahirkan remaja yang berwawasan semakin diberikan keutamaan. (ARAHAN)
Persoalannya, apakah ciri-ciri seseorang remaja yang dikategorikan mempunyai
wawasan?
(ISI 1) Kecemerlangan dari segi akademik
merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk menelurkan remaja yang
berwawasan. (MENGAPA) Intelek merupakan faktor perdana untuk menjanakan
kecemerlangan tamadun bangsa. Remaja yang mempunyai ilmu pengetahuan yang
mencakupi semua bidang dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dalam
menghadapi kehidupan yang penuh dengan onak dan duri ini. (BAGAIMANA)
Sehubungan dengan itu, remaja kita perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di
dalam kelas tetapi juga menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu sains dan
matematik melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku , melayari lebuh raya
maklumat di dunia maya dan sebagainya. (KESAN) Ketekunan dan inisiatif
merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan menjauhi gelaran katak
di bawah tempurung. Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa keputusan yang
cemerlang, remaja sukar melanjutkan pelajaran ke menara gading untuk
merealisasikan segala impian mereka. Oleh itu remaja tidak harus terbuai dalam
dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau
mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, “Ikut hati mati, ikut rasa
binasa.” (PENEGAS) Tegasnya, remaja yang berwawasan sentiasa memastikan
dirinya tidak jemu menimba ilmu untuk memiliki mentaliti kelas pertama.
(ISI) Selain itu, remaja yang berwawasan
juga perlu sentiasa dinamik dan progresif dalam menjalankan sesuatu tugas.
Dinamik dapat diertikan sebagai perubahan yang lebih baik daripada sebelumnya. (MENGAPA)
Hal ini dikatakan demikian kerana negara yang pesat membangun seperti Malaysia
memerlukan generasi yang memiliki ciri-ciri ini untuk mencapai kemajuan dalam
setiap aspek. (BAGAIMANA) Individu yang dinamik tidak memiliki ciri-ciri
negatif seperti berputus asa sebaliknya bersemangat tinggi. Dalam mengejar
kejayaan, individu yang berwawasan seharusnya gigih menghadapi cabaran tanpa
berputus asa kerana tiada kejayaan yang datang bergolek bak kata pepatah, yang
bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. (KESAN)
Ekoran daripada itu, remaja yang dinamik dan progresif sudah pasti dapat
mencapai cita-cita yang diimpikan. (PENEGAS) Pendek kata, remaja yang
berwawasan sudah pasti akan memastikan dirinya berubah untuk memajukan diri dan
negaranya.
(ISI) Dalam nada yang sama, remaja yang
berwawasan perlu berkreatif dan berinovatif untuk memacu kegemilangan negara. (MENGAPA)
Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa berani berkreatif
dan mempelopori bidang yang baru dapat mengecap kejayaan yang terbilang. Dalam
industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani
mencuba akan menikmati buah kejayaan yang manis. (BAGAIMANA) Rentetan
daripada itu, remaja kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan
berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus
memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak mereka
melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan rekaan mat jenin
yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan praktikalnya. (KESAN)
Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama ada
kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan kreativiti
dan inovasi. Ketika berkhayal di awang-awangan, pastikan kita mampu menjejakkan
kaki di angkasa lepas kelak. (PENEGAS) Sesungguhnya, pemikiran yang
kreatif dan inovatif merupakan ciri remaja yang berwawasan.
(ISI) Jika kita telusuri dari dimensi yang
berbeza, remaja yang berwawasan seharusnya cinta akan negara. (MENGAPA)
Remaja yang berjiwa patriotik ini akan menjadi bakal pemimpin yang akan
menerajui tampuk pemerintahan negara. Sebagai bakal pemimpin negara sudah pasti
mereka perlu sentiasa berusaha untuk memelihara imej negaranya daripada
tercemar dan menjadi bahan cemuhan masyarakat luar. (BAGAIMANA) Oleh
itu, mereka haruslah menghormati lagu kebangsaan negara iaitu lagu Negaraku dan
mengamalkan prinsip-prinsip yang terkandung dalam Rukun Negara. Mereka tidak
akan sekali-kali menjadi pengkhianat negara dan tidak akan melibatkan diri
dalam gejala sosial yang akan mencemarkan imej negara. (KESAN) Jiwa
patriotik remaja yang menebal ini akan menjamin keharmonian negara dan sekali
gus berupaya menjaga maruah negara di pentas global. (PENEGAS)
Ringkasnya, remaja yang berwawasan sentiasa bersemangat patriotik untuk
mengekalkan keharmonian dan kedaulatan nusa tercintanya.
(PENUTUP) Sebagai intihanya, terdapat banyak ciri yang
memaparkan seseorang remaja itu mempunyai wawasan yang tinggi. Remaja sebagai
tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita harus terlepas daripada
belenggu angkara sosial. Generasi yang berwawasan menjadi akar pada pertumbuhan
dan pembangunan modal insan yang menjadi agenda utama negara kita. (CADANGAN)
Oleh itu, golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan membaiki kelemahan
diri sebelum terlewat bak kata pepatah, sesal di hujung jalan, balik ke
pangkal jalan. Golongan remaja kita perlulah melakukan anjakan paradigma
untuk menjadi remaja kelas pertama dan memangkinkan kecemerlangan negara. (HARAPAN)
Diharapkan kelahiran remaja berwawasan dapat merealisasikan segala aspirasi
negara di samping dan menyerbakkan keharuman negara kita di persada
antarabangsa
best essay. it is a lot new words
ReplyDeletethat"s wonderful comment
Delete# TCS students
Greeat reading your blog
ReplyDelete