Wednesday, August 14, 2013

Kematangan Berkomunikasi

Oleh  : Ruhaiza Rusmin

Antara golongan terpenting dalam sistem pendidikan negara adalah guru yang menjadi barisan paling  hadapan dalam menjana kesinambungan ilmu.

Tanpa golongan itu, sukar berlaku proses kelangsungan ilmu, malah kecemerlangan pelajar tidak mungkin dapat dipertingkatkan.

Bagaimanapun, dalam usaha meneruskan usaha itu, timbul rungutan dalam kalangan guru bahawa mereka cukup terbeban dengan tanggung­jawab masa kini.

Bermula daripada pemantauan pelajar, peningkatan prestasi sekolah serta kerja perkeranian, semuanya perlu dilakukan guru hingga menimbulkan tekanan serta dilema.

Justeru, timbul insiden sebilangan guru gagal melaksanakan tanggungjawab dan tugasan dengan baik hingga wujud pula masalah lain yang saling berkait.

Apakah kerana negara dan sistem pendidikan sedang mengalami perubahan pesat menyebabkan guru kurang berkemampuan mengikut rentak? Atau guru hanya mencipta alasan biarpun pada masa sama sudah menerima imbuhan setimpal atas tanggungjawab yang dilaksanakan.

Pengetua Kirkby International College, Bismillah Abdul Kader berkata, transformasi yang sedang dilalui sistem pendidikan negara adalah sesuatu perubahan yang memerlukan guru bersedia melakukan anjakan.

Beliau berkata, selepas sekian lama guru selesa dengan sistem sedia ada, perubahan dilakukan sedikit sebanyak mampu mencetuskan bebanan serta kelainan kepada golongan itu.

“Justeru, kita tidak boleh meletakkan kesalahan kepada guru kerana mereka kini sedang belajar menyesuaikan diri dengan transformasi yang dilaksanakan dalam bidang pendidikan negara.

“Sistem yang baru boleh mengakibatkan mereka janggal, selain mungkin juga boleh mencetuskan tekanan.

“Namun, senario ini juga tidak boleh dijadikan alasan atau penyebab untuk merendahkan nilai profesional guru. Dalam setiap pekerjaan, tekanan adalah normal,” katanya.

Beliau mengakui bidang perguruan hari ini antara kerjaya paling mencabar kerana penilaian dan kualiti guru sering menjadi perhatian ramai.

“Dengan transformasi yang dilakukan itu, guru semakin dihimpit dengan pelbagai ‘permintaan’ yang berasaskan kepada indeks petunjuk prestasi (KPI).

“Secara normal, ia bagus untuk memotivasikan pencapaian guru, tapi di sebaliknya juga mungkin ia menjadikan mereka semakin terbeban dan tertekan.

“Sebab itu, usah meletakkan kesalahan pada guru jika mereka gagal menunjukkan prestasi terbaik,” katanya me­ngakui bahawa persepsi guru sebagai barisan pertama dalam sistem pendidikan juga perlu diperbetulkan.

“Selalunya masyarakat beranggapan, guru adalah mereka yang pertama memberikan pendidikan secara langsung kepada pelajar. Serba serbi urusan pendidikan terletak atas tang­gungjawab guru.

“Persepsi itu salah kerana bukan guru yang memegang peranan itu, sebaliknya ibu bapa bertanggungjawab memberi pendidikan pertama.

“Guru hanya menggalas tanggungjawab memberi pendidikan secara formal di sekolah dengan bidang kuasa terhad. Proses pendidikan seharusnya digembleng bersama untuk mewujudkan perkongsian tanggung­jawab,” katanya.

Bagi mengatasi kekeliruan itu, beliau menyarankan ibu bapa dan guru agar seiring ketika melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

Menurutnya, komunikasi berkesan harus wujud dalam kalangan pihak terbabit termasuk pelajar supaya guru terutamanya mampu memahami rentak serta kehendak mereka.

“Ibu bapa dan guru yang sering berhubung boleh mewujudkan hubungan harmoni yang secara tidak langsung juga boleh memberi impak positif kepada pelajar.

“ Dengan komunikasi dua hala, jika ada masalah berbangkit semua pihak terbabit boleh saling berhubungan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Cara ini efektif bagi mengelakkan tercetusnya pergeseran, sekali gus mengurangkan tekanan manakala proses pendidikan boleh berjalan lancar,” katanya.

Mengulas mengapa tekanan guru sukar diatasi, beliau berkata, tekanan itu harus dilihat dalam konteks lebih luas.

“Definisi tekanan berbeza dan kita perlu tahu mengapa tekanan itu wujud. Adakah kerana bebanan tugas atau pengaruh luar.

“Bagaimanapun, kita juga perlu akur, setiap kerjaya ataupun kehidupan pasti ada tekanan. Itu tidak boleh dielak.

“Yang penting bagaimana kita atau guru mencari solusi menyelesaikan tekanan itu supaya tidak memudaratkan diri, orang lain mahupun kerjaya,” katanya.

Malah, beliau optimis dengan bilangan hampir 400,000 guru di negara ini, transformasi pendidikan mampu dilaksanakan de­ngan jayanya.

“Semua pihak termasuk guru perlu yakin bahawa setiap pendekatan  yang dilakukan pasti ada manfaatnya untuk jangka panjang.

“Guru sebagai golongan pelaksana perlu menanam iltizam dan tekad merealisasikan amanah itu dengan ikhlas.

“Saya percaya, sokongan dan kepercayaan semua pihak terhadap kredibiliti guru adalah ‘penawar’ kepada golongan itu ketika menghadapi rencam kerjaya,” katanya.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment