Thursday, July 29, 2010

Guru Berpolitik - Bijak, Matang dan Proffesional

BERPOLITIK bagi golongan guru bukanlah baru. Sejarah pejuang bangsa untuk memerdekakan tanah air ini dahulu pun terdiri daripada kalangan pendidik, malah mereka dipandang tinggi dalam masyarakat.
Kelibat guru dalam politik berkurangan apabila larangan ke atas kumpulan pengurusan dan pegawai kerajaan kumpulan A termasuk guru berijazah dibuat pada tahun 1990-an.

Kini, bermula 1 Ogos depan, pegawai pendidikan perkhidmatan siswazah Gred DG41 hingga DG48 dibenarkan membabitkan diri dalam politik. Berita baik ini diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Terdahulu hanya guru yang berada pada kategori bukan siswazah iaitu DGA29 hingga DGA38 dibenar menyertai politik.

Pembabitan semula kumpulan guru ini dalam bidang politik dilihat mampu melahirkan idea baru, tambahan pula mereka dekat dan dihormati masyarakat setempat.

Tiada salah guru kembali aktif berpolitik asal mereka mempunyai minat dan bersikap profesional.

Soal kebimbangan guru mungkin mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa apabila terlibat dalam politik sebenarnya tidak timbul kerana kita yakin mereka boleh menguruskan masa dengan baik.

Kita tidak nafikan pada masa sekarang pun, ada guru secara senyap-senyap terbabit dalam politik. Daripada mereka melakukannya secara rahsia, lebih baik kerajaan memberikan kebenaran.

Kepada guru yang ingin bergiat aktif dalam politik, mereka dinasihatkan sentiasa bertanggungjawab kepada kerjaya dan politik.

Guru bebas untuk menyertai mana-mana parti politik, tetapi mereka perlu bersikap adil dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar.

Sekiranya ada guru yang taksub kepada mana-mana parti politik, janganlah mereka bawa sentimen atau emosi ke dalam kelas dan kawasan sekolah.

Jika hal-ehwal perjuangan parti politik dibawa ke sekolah, dibimbangi perpecahan dalam masyarakat negara ini bertambah buruk.

Sebaliknya, golongan guru diharap menggunakan kepakaran mereka untuk memimpin semula anak muda memahami perjuangan agama, bangsa dan negara, selain memberi nafas baru dengan cetusan idea yang bernas untuk dimanfaatkan semua pihak.

Apa pun pemansuhan larangan guru siswazah berpolitik perlu disertai kawalan bagi memastikan kelonggaran itu tidak disalah guna. Syarat-syarat ketat perlu guru patuhi supaya tugas dan fokus utama golongan itu iaitu mendidik tidak terjejas dengan pembabitan mereka dalam politik.

Pun begitu, kita sokong kebenaran berpolitik itu membabitkan guru gred DG41 hingga DG48 iaitu guru siswazah biasa. Jika ia membabitkan guru yang berada pada gred lebih tinggi dikhuatiri beban tugas mungkin terjejas dengan aktiviti tambahan di luar sekolah.

Dengan kebenaran ini juga kita mengharapkan guru terbabit mampu memberi sumbangan dalam menjalankan dua tanggungjawab serentak. Kepada guru yang bercadang menyertai parti politik, bijaklah mengurus masa dan tenaga supaya tidak wujud sebarang konflik yang akhirnya menjejaskan tumpuan hingga mengabaikan tugas hakiki yang sepatutnya diberi keutamaan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Saturday, July 24, 2010

UPSR dan PMR Perlu Dihapuskan - Sekadar Pandangan Peribadi



Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Allah s.w.t, setelah sekian lama saya menanti saat ini, akhirnya Y.A.B Timbalan Perdana Menteri yang juga merupakan Menteri Pelajaran Malaysia telah melontarkan idea dan pandangan berkaitan dengan pemansuhan peperiksaan UPSR dan PMR.

Pandangan yang dilontarkan oleh Timbalan Perdana Menteri ini, telah mendapat reaksi positif dan negatif daripada pelbagai pihak. Apa yang sangat menyedihkan, ada yang memberikan pendapat dan pandangan tanpa ada kajian dan perbincangan secara ilmiah. Ada pihak memberi pandangan berdasarkan emosi dan pandangan peribadi. Dalam hal ini, pihak yang wajar dan paling sesuai memberikan pandangan atas cetusan idea Menteri Pelajaran ini ialah guru-guru.

Guru-guru di sekolah saban hari berhadapan dengan pelajar. Guru-guru mengetahui tahap pencapaian pelajar dari segi pencapaian JERI (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek) malah dari segi disiplin, pergaulan, sikap dan sahsiah. Sistem Pendidikan yang telah berubah memerlukan perubahan dalam soal penilaian pencapaian akademik diri pelajar-pelajar.

Sebagai pelaksana dasar Kementerian Pelajaran, guru-guru melihat bahawa pelajar hari ini tidak lagi memandang berat tentang keperluan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) terutama pelajar yang berada di Sekolah Menengah Harian. Bagi mereka, lulus atau gagal, mereka masih dapat meneruskan pelajaran ke tingkatan 4 dan 5. Jadi, apakah pentingnya PMR itu ?. Bagi pihak guru, mereka bertungkus lumus dengan pelbagai program berbentuk akademik dan motivasi untuk memastikan keputusan PMR menjadi terbaik manakala di pihak pelajar menganggap PMR itu tidak penting. Percanggahan ini menimbulkan konflik yang memberikan tekanan yang sangat dahsyat dalam jiwa guru-guru. Bak kata pepatah "ditelan mati emak diluah mati bapak".

Sehubungan dengan itu, satu penilaian baharu yang lebih sesuai perlu dilaksanakan. Penilaian baharu ini nanti, hendaklah meliputi penilaian yang menyeluruh tentang diri pelajar iaitu yang melibatkan Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek dan memenuhi matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Penekanan daripada segi aspek akademik semata-mata hendaklah dielakkan.

Ada beberapa senario yang ingin saya kongsi dengan pembaca berkaitan dengan tingkahlaku pelajar yang berada di sekolah menengah pada hari ini.

a) Pelajar yang sangat lemah dari segi sahsiah (disiplin, akhlak, budi bahasa)
b) Pelajar yang sangat lemah dari segi rohani (tidak takut pada dosa )
c) Pelajar yang terpengaruh dengan teknologi ( bawa telefon, asyik dengan internet)
d) Pelajar yang sangat lemah dari segi sosial ( pergaulan bebas, masalah sosial)
e) Pelajar yang tidak mementingkan ilmu ( tidak berminat untuk belajar)]
f) Pelajar yang tidak mementingkan etika (adab belajar, adab makan, adab berguru)
g) Pelajar yang tidak mementingkan kokurikulum (tidak menyertai apa-apa kegiatan)

Kesan daripada itu, kita boleh lihat situasi yang berlaku hari ini. Ada pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang baik tetapi rosak akhlak dan peribadinya. Ada pelajar yang gagal dalam akademik dan rosak akhlak dan peribadinya. Jarang kita temui, pelajar yang baik dari segi akademik dan baik dari segi akhlaknya. Persoalannya, siapa yang harus dipersalahkan ? kerajaan dan sistem pendidikan ? masyarakat ? guru ? ibu bapa ? atau diri pelajar sendiri ? Kita tidak mahu jadi seperti lagu Bangau oh Bangau - dengan menuding jari ke arah orang lain.

Pelajar bukan barang dagangan yang boleh dijadikan bahan kajian. Jika kita tersilap langkah, kita telah merosakkan satu generasi dan jika itu adalah kesilapan kita, kita akan dipertanggungjawabkan oleh Allah di alam yang mendatang.

Mansuhkan UPSR dan PMR - Sokongan Padu Daripada Guru-Guru

Kesatuan guru setuju mansuh UPSR, PMR

PUTRAJAYA 19 Julai – Kesatuan-kesatuan guru bersetuju dengan cadangan memansuhkan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada perbincangan Meja Bulat pertama di sini hari ini.

Bagaimanapun, pemansuhan itu bersyarat dengan menggantikan kedua-dua peperiksaan awam tersebut dengan ujian penilaian lain untuk mengukur tahap pencapaian pelajar.

Perbincangan Meja Bulat yang bermula pukul 2 petang dan berakhir pukul 5.30 petang itu dipengerusikan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom dan disertai kesatuan-kesatuan guru, wakil-wakil institusi pengajian tinggi (IPT) dan wakil-wakil guru.

Bercakap kepada pemberita di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, Pengerusi Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Mohamad Sabri Mohd. Arsad berkata, fungsi sebenar UPSR dan PMR kurang jelas kerana ia berasaskan penilaian kognitif melibatkan penilaian intelek semata-mata.

“PMR dan UPSR boleh diertikan sebagai penilaian yang hanya menggunakan pensil dan kertas sahaja kerana tidak melibatkan bentuk penilaian yang meluas,” katanya.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng pula berkata, pihaknya sebelum ini memang menyatakan pendirian mereka menyokong cadangan pemansuhan PMR dan UPSR.

Menjunjung Martabat Guru

Cabul: Kementerian jamin ambil tindakan terhadap guru

ARAU 22 Julai - Kementerian Pelajaran memberi jaminan tidak akan berkompromi dengan mana-mana guru yang didapati bersalah melakukan jenayah seksual termasuk kes membabitkan seorang murid tahun satu sebuah sekolah rendah di sini, kelmarin.

Timbalan menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap guru berkenaan jika didapati bersalah kerana tindakannya itu jelas melanggar etika perguruan sekali gus mencemar imej warga pendidik.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada semua guru besar dan pengetua agar tidak melindungi sebarang kes jenayah sekolah kepada mana-mana pihak termasuk media.

Malah, beliau turut mengingatkan mereka supaya tidak bertindak melampaui batas dengan mengeluarkan kenyataan yang berunsur jenayah termasuk mengugut mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

"Kita tidak akan biarkan perkara ini berlarutan kerana kita tidak mahu kerana nila setitik habis rosak susu sebelanga," katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Ke-21 Sekolah Menengah Vokasional Arau di sini hari ini.

Akhbar hari ini melaporkan, seorang guru di sebuah sekolah rendah di Jelempok di sini didakwa mencabul seorang murid tahun satu, kelmarin.

Murid perempuan itu dikatakan mengalami trauma untuk ke sekolah setelah dicabul oleh seorang guru lelaki sekolah yang berusia lingkungan 50-an.

Mangsa mendakwa guru berkenaan telah mencium pipi kirinya di belakang pintu dalam bengkel kemahiran hidup ketika waktu rehat pagi kelmarin.

Malah, berikutan kejadian itu, keluarga mangsa mendakwa telah diugut oleh pihak-pihak tertentu yang marah berikutan tindakan mereka melaporkan kejadian itu kepada pihak media.

KEBERSIHAN TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA - BUKAN PENYELESAIAN SECARA BERSENDIRIAN

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

KEHIDUPAN manusia dalam dunia moden terdedah kepada pelbagai wabak penyakit dan ada antaranya boleh meragut nyawa seperti penyakit demam denggi yang sedang merebak sekarang ini memerlukan perhatian semua pihak.

Islam sudah memberikan ingatan jelas berbentuk saintifik bagaimana kita dapat mengatur kehidupan dalam keadaan sihat sejahtera dengan memfokuskan kepada langkah pencegahan, bukannya pemulihan.

Contohnya, Islam meletakkan kualiti bersih sebagai prasyarat kepada sempurnanya iman seseorang hamba.

Paradigma fikir yang hanya menghargai kepentingan kesihatan tatkala ditimpa penyakit sewajarnya dihentikan dan meletakkan aspek kesihatan pada kedudukan tertinggi.

Benarlah kata Nabi SAW bahawa dua nikmat yang sangat manusia lalaikan ialah masa lapang dan waktu sihat. Inilah dua anugerah Allah yang kita abaikan dengan beranggapan ia akan bertahan lama.

Keasyikan mencari nafkah kehidupan dan dalam keghairahan meneroka harta kebendaan duniawi, dua perkara khususnya kesihatan diabaikan tanpa mengambil sikap berjaga-jaga. Ada juga dalam kalangan kita prihatin mengenai kebersihan tubuh badan saja dan tidak memberi perhatian terhadap alam sekitar.

Ini juga satu lagi sikap yang bertentangan dengan tuntutan agama kerana penjagaan kebersihan dan mengekalkan kesihatan turut merangkumi alam sekitar.

Penyakit demam denggi merebak secara berleluasa akibat tidak mengambil berat kebersihan persekitaran menyebabkan aedes membiak.

Kawasan persekitaran rumah, laluan air atau longkang yang tersumbat tanpa langkah pembetulan juga menyenangkan pembawa penyakit seperti nyamuk bermaharajalela. Seandainya diteliti umat Islam jarang memberi perhatian kepada aspek kebersihan persekitaran.

Jika adapun hanya apabila sesuatu penyakit sudah merebak. Pada waktu itulah penghuninya sibuk dengan aktiviti gotong-royong secara drastik kerana takutkan penyakit.

Kelemahan masyarakat hari ini ialah pemikiran yang menganggap bahawa kerja pembersihan alam sekitar adalah tanggungjawab pihak berkuasa. Sepatutnya menjaga kebersihan alam sekitar menjadi budaya kepada semua lapisan masyarakat.

Aktiviti bersama dalam sesuatu komuniti dianggap sebagai kegiatan amar makruf yang menjurus kepada manfaat bersama. Bukan kualiti kesihatan dapat dipelihara, malah ikatan ukhuwah dapat dipertingkat.

Allah menegaskan kepada umat-Nya supaya sentiasa berlumba membuat kebajikan. Inilah medan terbaik untuk setiap mukmin mempamerkan sikap berlumba mencipta kebajikan sesama ummah selain dapat mengikis sikap mementing diri sendiri.

Ini satu lagi nilai murni ditekankan Islam kerana semangat berjemaah bukan hanya terhenti dalam aspek ibadah solat, tetapi mestilah diterjemahkan dalam aspek kehidupan lain seperti aktiviti memelihara kebersihan alam sekitar.

Alangkah indah kehidupan masyarakat Islam seandainya segala aspek penghidupan dilaksanakan secara berjemaah dan ini tentu diberi keberkatan oleh Allah. Masyarakat bagai ‘enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing’ mesti dihindari orang beriman.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan orang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh (mengerjakan) yang makruf mencegah dari yang mungkar, mendirikan solat, menunaikan zakat, dan mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana.” (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika semua pihak sedar menjaga kebersihan alam sekitar tanggungjawab bersama, maka tidak perlulah pelbagai kempen diadakan. Ini tidak, kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan terpaksa mencari pelbagai ikhtiar menyedarkan orang ramai pentingnya menjaga kebersihan alam sekitar.

Justeru, kita kena kembali menghayati seruan Islam yang mementingkan kebersihan supaya tahap kehidupan umat Islam di dunia ini terus berada pada kedudukan fizikal dan minda yang unggul.

Sumber : http ; //www.bharian.com.my/

Friday, July 23, 2010

TINTA PEMBAKAR JIWA


TIADA KEJAYAAN SEMANIS MADU
TANPA PENGORBANAN SEPAHIT HEMPEDU


"TIADA INSAN DILAHIRKAN KE DUNIA
UNTUK GAGAL"

SEMUA INSAN DIKURNIAI
KEHEBATAN TERSENDIRI

KERANA
MINDA KURNIAAN TUHAN
MENANTI MASA
UNTUK
MEMBANTU KITA MENEROKA KECEMERLANGAN

"MULAKANLAH DARI SEKARANG"








SESAL DAHULU PENDAPATAN
SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA




BUAT ANAK-ANAK DIDIK YANG DIKASIHI
DI MANA JUA KALIAN BERADA ...

SELAMAT BERJUANG MENGHADAPI PEPERIKSAAN

IBU BAPA, KELUARGA DAN GURU-GURU
SENTIASA MENDOAKAN KEJAYAAN KALIAN





TERUSKANLAH PERJUANGAN

Puisi Kemerdekaan



Malaysia Tanah Air Tercinta

Di sini tumpah darahku
Di sini aku menumpang kasih
Di sini ku kecapi nikmat kehidupan
Di sini ku tempuh rintangan dan halangan
Bukan sekadar aku
Tapi kita semua

Tanah airku,
Sejarah hitam pernah melanda
Dijajah pernah dirasa
Komunis pernah bertakhta
Jepun pernah menodainya
Tapi semua kisah lama
Kita bangun membina jati diri
Membina identiti bangsa

Biar makin dimamah usia
Makin jauh meneroka masa
Dirimu makin gagah
Dirimu makin utuh
Dirimu makin kehadapan
Berbangganya aku menjadi
Tetamu yang menetap didadamu

Tanah airku,
Hari ini dirimu mampu
Membuka mata dunia
Meneroka angkasa dan cakerawala
Membelah samudera
Berdiri dan duduk sama rasa
Hingga menjadi bualan manusia
Bukan di Asia tetapi serata dunia

Biar pemimpin silih berganti
Biar tahun datang dan pergi
Biar Tsunami telah dilupai
Tetapi
Kita terus nikmati kekayaan ekonomi
Kita rasai kemajuan IT
Semangat perpaduan kita kecapi
Oleh itu, sewajarnya
Sayang, kasih dan cinta kita
Hanya
Padamu Malaysia.



Nukilan rasa :

SAHARUDDIN BIN ABDULLAH
SMK SIJANGKANG JAYA
42500 TELOK PANGLIMA GARANG,
SELANGOR DARUL EHSAN.

KP : 700110-06-5129

Sajak ini adalah hakcipta terpelihara. Sebarang penerbitan perlu mendapat kebenaran daripada penulis

Antologi Harga Remaja : Pelayaran Yang Penuh Peristiwa

Baca petikan prosa klasik di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.

Dengan tidak berfikir panjang lagi, Tuanku nakhoda Tua percaya dengan kata-kata jurumudi yang palsu, lalu baginda menitahkan Muslim Cik Mas menikahkan puterinya dengan jurumudi itu.

Apabila jurumudi dan Mualim sudah sedia di depan Tuanku Nakhoda Tua, masuklah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan geramnya, "Ya, ayahanda, tua orang tua, berakal: makin tua makin berminyak, tetapi tua ayahanda tua cendawan makin tua makin busuk!".

Tuanku Nakhoda menjadi tersentak,"Hai anakku yang tidak tahu dek untung, mengapakah kau berkelakuan demikian ini di depan orang tua?"

"Kerana mata ayahanda sudah kabur dan telinga ayahanda sudah pekak,sebab itulah ayahanda berkata demikian.Cubalah ayahanda lihat siapakah di dalam petak jubung yang dilingkari tali sauh itu?"

Tuanku Nakhoda Tua segara menjengah ke petak jubung.Dilihatnya ada seorang muda yang sangat tampan dengan wajahnya berseri-seri bagai purnama empat belas hari bulan. Baginda terpegun kaum lalu kembali bertanya kepada puterinya. "Hai anakanda,siapakah pemuda yang di dalam jubung itu?"

"Dialah budak hitam yang meminta tolong bayarkan hutangnya kepada ayahanda dulu,tetapi telah ayahanda nyahkan dia."

(Dipetik daripada"Pelayaran yang Penuh Peristiwa", di
selenggarakan oleh Matlob dalam antologi Harga Remaja,Dewan
Bahasa dan Pustaka)Halaman 40






(i) Berikan maksud rangkai kata wajahnya berseri-seri.
[2 markah]


(ii) Adakah Tuan Puteri Dayang Seri Jawa setuju untuk dinikahkan dengan jurumudi palsu? Nyatakan sebab dan alasannya.
[3 markah]


(iii) Sikap Tuan Puteri Dayang Seri Jawa terhadap ayahandanya dianggap kurang ajar. Pada pendapat anda, mengapakah kita perlu berhemah ketika berkomunikasi dengan ibu bapa kita?
[3 markah]

Prosa Klasik : PELAYARAN YANG PENUH PERISTIWA

Sinopsis Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa (Tingkatan Empat 2010)

Dalam antologi Harga Remaja, Prosa klasik Pelayaran Yang Penuh Peristiwa, watak utama Awang Sulung Merah Muda sebagai anak raja telah menyamar sebagai budak hitam yang comot sehingga dipandang hina oleh Tuanku Nakhoda Tua. Ketika dilanda ombak yang bergelora, seisi geliung (kapal) telah mabuk dan jatuh pengsan. Anak Tuanku Nakhoda Tua, Tuan Puteri Dayang Seri Jawa telah meminta dayangnya Si Kembang Cina pergi memanggil Awang Sulung Merah untuk mengemudikan geliung itu. Atas bantuan Awang Sulung Merah, geliung itu dapat diselamatkan .

Setelah tiga hari kemudian , ketika laut sudah tenang, jurumudi di geliung itu telah sedar lalu mencabut kerisnya dan menikam seekor ayam . jurumudi itu menunjukkan keris yang berdarah kepada Tuanku Nakhoda Tua lalu mengatakan bahawa dialah yang menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua yang baru sedar daripada mabuk itu turut mempercayai jurumudi itu dan berjanji jika geliung itu selamat tiba di tanah Jawa, puterinya akan dikahwinkan kepada orang yang menyelamatkan geliung itu.

Beberapa hari kemudian, anak kapal diminta mengambil air dan kayu api. Anak kapal lain telah pergi ke pulau untuk mengambil air dan kayu bakau. Sebaliknya Awang Sulung Merah telah berkayuh ke tengah laut untuk mengambil air laut dan membawa balik batang nipah. Setelah itu Tuan Puteri minum air laut itu dan mendapati bahawa air yang masin itu telah bertukar menjadi air yang manis.

Tuanku Nakhoda Tua menghimpun semua anak kapal lalu mengumumkan bahawa sesiapa yang berjaya menyelamatkan baginda, puteri baginda dan geliung itu daripada bajak (lanun) ketika meredah kawasan Laut Sekona Lingga itu dikahwinkan dengan puteri baginda .

Ketika melintasi perairan Pulau Salah Nama, kumpulan lanun telah menyerang geliung itu. Semua anak kapal telah melarikan diri untuk menyelamatkan diri sendiri. Tuan Puteri menyuruh Si Kembang Cina untuk meminta bantuan Awang Sulung Merah. Awang Sulung Merah merajuk. Tuan Puteri pun menyuruh Si Kembang Cina menyediakan air limau dan sabun kepada Awang Sulung Merah. Setelah mandi, Awang Sulung Merah kelihatan kacak dan berseri-seri. Ketika lanun ternampak Awang Sulung Merah mereka mengenali penghulu mereka lalu meminta ampu. Semua lanun telah menyerahkan semua dinar emas kepada Awang Sulung Merah untuk melangsaikan hutang kepada Datuk Batin Alam. Semua lanun pun undur dari situ.

Sekali lagi jurumudi itu mencabut kerisnya dan menikam ayam lalu mengatakan bahawa dialah yang mengalahkan bajak dan menyelamatkan geliung itu. Tuanku Nakhoda Tua berasa gembira lalu hendak mengahwinkan Puteri Dayang Seri Jawa dengan jurumudi itu. Tuan Puteri memarahi ayahandanya lalu menjelaskan keadaan yang sebenarnya. Akhirnya Tuanku Nakhoda Tua mengadakan kenduri secara besar-besaran dan mengahwinkan Tuan Puteri Dayang Seri Jawa dengan Awang Sulung Merah.

Setelah beberapa ketika kemudian, geliung itu pun belayar hingga Negeri Pati Talak Terengganu. Bujang Selamat telah dititahkan oleh baginda untuk bertanya tentang tujuan kedatangan rombongan Awang Sulung Merah. Atas keizinan isteri, Awang Sulung Merah dan anak buah pun diundang ke istana Negeri Pati Talak Terengganu. Awang Sulung Merah dijemput bertaruh dalam sabung ayam. Setelah Awang Sulung Merah berseru-seru, ayam baginda Kinantan Suci telah berjaya menewaskan ayam Bujang Selamat.

Antologi Harga Remaja : Cerpen ISRAK



Arahan: Baca petikan cerpen di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.


“Abang tak mahu pergi kebun?” Apa kata abang pergi sebelum abang jadi ahli korporat nanti,” rayu Mikraj.

“Tak perlu!” Israk mengayun kata-kata.
“Mengapa? Abang takut nyamuk? Agas? Atau seram dengan nyanyian cengkerik? Mengapa abang terlalu berlagak akhir-akhir ini?” Suara Mikraj makin lama makin meninggi.

Israk menarik nafas dalam-dalam, dan berkata, “Mengapa kau terlalu menjaga tepi kain orang?”

“Saya kasihan melihat Wah. Abang menghina, mengeji, menyakiti Wah. Paha kanan tercubit paha kiri turut berasa sakit. Abang sedar tak, Wah lebih tua daripada abang!”

“Aku cukup pantang kalau diherdik oleh budak kecil!”

“Saya ajak pa dan ma bawa abang balik kampung semata-mata mahu abang mengenali Wah yang membela abang sejak berusia satu hari lagi. Abang tahu, Wah benar-benar terhiris sewaktu atuk “Perth” bawa abang lari. Sejak itu abang langsung tak mengenali Wah. Saya mahu abang belajar erti kepayahan, kekecewaan, dan ketabahan seorang wanita. Wah orangnya ...,” butir bicara Mikraj diiringi mutiara mata.

“Sudah hujan,” perli Israk.
“Abang jangan terkejut kalau saya mampu membuat abang menangis nanti!”

Israk bersahaja. Dia mencapai gitarnya lalu lagu sumbang itu kembali beralun. Perasaan meluat mula bersarang dalam kalbu Mikraj. Kalau tersilap jolok, pasti terjolok sarang itu. Bahaya.

(Dipetik daripada “Israk” oleh Erda Roslan Khairi dalam antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka.)

Latihan:

1)Mengapakah Israk sepatutnya menghormati Wah?

2)Pada pendapat anda, wajarkah seseorang memberikan nasihat kepada orang yang lebih tua daripadanya?

3)Berikan satu pengajaran yang terdapat dalam petikan cerpen di atas dan dua pengajaran lain yang terdapat dalam keseluruhan cerpen tersebut.

Wednesday, July 21, 2010

Drama : Jangan Bunuh Rama-Rama



Analisis Drama ‘Jangan Bunuh Rama-Rama’ (Noordin Hassan)

Sinopsis
Drama ini mengisahkan kehidupan dan sifat-sifat dalam diri manusia yang sentiasa bertentangan antara kebaikan dan keburukan. Manusia perlu mempunyai iman yang kuat untuk membuat pilihan antara kedua-dua sifat ini. Hal ini digambarkan melalui watak Raja yang suka memburu rama-rama untuk memenuhi keinginan permaisurinya yang mementingkan diri sendiri. Ketika mengejar rama-rama yang kecil dan cantik, Raja terjatuh ke dalam telaga air panas. Air yang mendidih itu menjadi dingin dan nyaman apabila menolong mengipaskannya. Dalam kisah Wak Keletung pula menceritakan tentang Mek Bongsu yang leka diulit kemewahan setelah berkahwin dengan saudagar Syah Alam. Akhirnya dia sedar akan tanggungjawabnya sebagai khalifah dan makhluk Tuhan. Sementara itu, Bidan Tuk Mah yang asalnya bernama Emas Asa Puteri Shahrul Karimah pula meninggalkan kemewahan dan gelarannya kerana mengikut Peran yang mengajarnya tentang hakikat kehidupan dan bahawa peranan manusia dijadikan Tuhan adalah untuk memberi manfaat dan membawa erti kepada diri sendiri, sesama manusia dan kepada Tuhan yang menjadikan makhluk dan isi alam.

Pemikiran
Keagamaan yang mendalam dapat menentukan arah pilihan yang betul

Persoalan
- Perbuatan jahat yang dibalas dengan kebaikan
- Manusia adalah sama di sisi Tuhan
- Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan

Watak dan Perwatakan
Nur Atma I dan II
- Perempuan tua yang banyak pengalaman
- Kurang penglihatan/pendengaran
- Peka terhadap persekitaran

Raja/Badut
- Lingkungan 35 tahun
- Raja yang kaya-raya
- Gemar memburu rama-rama
- Penyayang
- Insaf akan kesalahan

Bidan Tuk Mah
- Dikenali sebagai Emas Asa Puteri Shahrul Karimah
- Tidak mementingkan kedudukan dan status
- Mengikuti rombongan Peran
- Mendapat ilmu membidan dan mengubat orang sakit

Wak Keletung
- Tukang cerita
- Berdakwah melalui ceritanya

Latar
Latar Tempat
- Istana – Raja/Badut dan Permaisuri
- Telaga – tempat Raja tergelincir lalu jatuh
- Hutan – Raja mencari rama-rama
- Kampung – Peran bertapak di kampung ini

Latar Masa
- Waktu Subuh – sewaktu Raja diselamatkan oleh rama-rama
- Malam – Wak Keletung menceritakan Tuk mah menonton sebuah persembahan

Latar Masyarakat
- Golongan istana yang hidup mewah
- Masyarakat yang tidak mementingkan kemewahan dan harta benda
- Masyarakat yang sering membantu orang lain
- Kekayaan tidak menjamin kebahagiaan

Nilai
- Kasih sayang – sesama makhluk termasuk rama-rama
- Belas kasihan – Raja mempunyai sifat ihsan kepada rama-rama yang dibunuh
- Bantu membantu – rama-rama menyelamatkan Raja

Pengajaran
- Kita mestilah kasih kepada semua makhluk
- Kita hendaklah membantu orang yang berada dalam kesusahan
- Kita mestilah menggunakan kebijaksanaan membuat keputusan

Cerpen : TRAGEDI



Analisis Cerpen ‘Tragedi’ (Amil Jaya)

Sinopsis
Pak Ismawan kehilangan anaknya Iswan dalam satu kemalangan jalan raya. Iswan dilanggar oleh seorang sahabat baiknya George Bulang ketika berbasikal bersama-sama Irnawati. Iswan ialah seorang jaguh badminton. Irnawati ke rumah Pak Ismawan untuk mengucapkan takziah dan meminta raket badminton Iswan sebagai kenang-kenangan. George Bulang yang didapati memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian telah digantung lesennya selama lima tahun. George Bulang meminta maaf kepada Pak Ismawan kerana menyebabkan kematian anaknya dan Pak Ismawan tidak berdendam terhadap George Bulang. Pak Ismawan dijemput memberikan ceramah sempena Kempen Keselamatan Jalan Raya di Dewan Rakyat Sembulan.

Tema
Ketabahan seorang ayah engahadapi takdir kematian anaknya dalam tragedy yang menyayat hati

Persoalan
- Kepentingan mematuhi peraturan jalan raya
- Persahabatan yang ikhlas
- Kebolehan dan bakat seseorang adalah anugerah Tuhan

Watak dan Perwatakan
Pak Ismawan
- Ayah Iswan
- Penyayang
- Pemaaf – memaafkan George Bulang
- Tabah menerima takdir

Iswan
- Berumur 18 tahun
- Berbakat besar dalam sukan badminton
- Berdisiplin – mengikut arahan jurulatihnya
- Berkeyakinan tinggi

Irnawati
- Kawan baik Iswan
- Simpati
- Pemain badminton yang berpotensi

George Bulang
- Teman baik Iswan
- 16 tahun
- Suka berfoya-foya/bersosial
- Cuai
- Mengakui kesalahan

Latar
Latar Tempat
- Rumah Pak Ismawan
- Persisiran Pantai Tanjung Aru
- Dewan Masyarakat Sembulan

Latar Masa
- Beberapa bulan selepas kemalangan yang menimpa Iswan
- Hari Ahad semasa pak Ismawan berucap di Dewan Masyarakat Sembulan

Latar Masyarakat
- Golongan remaja yang aktif dalam bidang sukan(badminton)
- Golongan remaja yang sering menimbulkan masalah kemalangan jalan raya
- Masyarakat yang prihatin akan kesedihan/kesengsaraan orang lain

Nilai
- Ketabahan/kesabaran menerima takdir Tuhan
- Menghormati orang tua
- Patuh kepada undang-undang jalan raya
- Kejujuran – George Bulang
- Kasih sayang – ayah/sahabat

Pengajaran
- Kita hendaklah mematuhi peraturan jalan raya
- Kita mestilah menerima takdir Tuhan dengan penuh ketabahan/kesabaran
- Kita wajar bersimpati terhadap mereka yang mengalami kesedihan
- Seseorang yang melakukan kesalahan perlulah meyedarinya dan meminta maaf

Cerpen : Virus Zel Untuk Abah



Analisis Cerpen ‘Virus Zel Untuk Abah’ ( Mawar Shafei)

Sinopsis
Zel seorang gadis yang berumur 21 tahun dibesarkan oleh ibunya apabila ibu dan bapanya bercerai. Dia diberikan sepenuh kasih sayang dan diberikan pendidikan yang sempurna. Ketika Zel berumur 10 tahun ibu dan bapanya berpisah kerana kedudukan bapanya tidak setaraf ibu Zel. Bapa Zel merasa rendah diri dan meninggalkan ibu Zel lalu bekahwin lain. Dalam perkahwinan kedua, bapa Zel dikurniakan tiga orang anak. Zel berasa marah dengan anak-anak bapanya. Zel bercadang memasukkan virus ke dalam program komputer bapanya. Win, kawan Zel memujuknya agar tidak meneruskan niatnya itu. Akhirnya, Zel mematikan suis komputer dan membatalkan niatnya itu.

Tema
Kekeluargaan dan kasih sayang sejati seorang anak walaupun mengalami kesan keretakan rumah tangga.

Persoalan
- Kegigihan ibu tunggal meneruskan kehidupan
- Perasaan rendah diri suami terhadap kejayaan isteri
- Wanita berkejaya dan berjaya dalam kehidupan

Watak dan Perwatakan
Zel
- 21 tahun
- Bakal menuntut di UK
- Pendendam
- Penyayang
- Sensitif
- Keras hati

Mama
- Berumur 45 tahun
- Berjaya dalam kerjaya
- Ibu tunggal
- Tabah
- Bertanggungjawab/Penyayang

Abah
- Guru sekolah rendah
- Berkahwin dengan Aunt Syarifah
- Bersifat rendah diri
- Tidak tegas

Latar
Latar Tempat
- Rumah Zel
- Gedung pakaian
- Ruang legar di sebuah pusat beli-belah

Latar Masa
- Era teknologi maklumat
- Waktu malam ketika Zel dan Abang Awi membeli pakaian untuk abah

Latar Masyarakat
- Masyarakat celik komputer/IT
- Masyarakat yang mengalami keruntuhan rumah tangga
- Masyarakat yang gigih serta tabah mengharungi cabaran hidup
- Masyarakat yang mementingkan pendidikan tinggi

Nilai
- Kasih sayang – Mama dengan Zel
- Setiakawan – Win
- Tabah/cekal – Mama sebagai ibu tunggal

Pengajaran
- Kita seharusnya cekal serta tabah dalam menempuh cabaran hidup
- Sebagai anak, kita mestilah menghormati ibu bapa
- Kita hendaklah memupuk kasih sayang antara ahli keluarga
- Sebagai sahabat kita mestilah menanam sifat setiakawan

Cerpen : Aku, Kris dan Kristal



Analisis Cerpen ‘Aku , Kris Dan Kristal’ (Dima Mazlina)

Hana seorang pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Universiti College Cardiff. Di sana Hana berkawan baik dengan Kris dan Kristal. Kris dan Kristal sering membawa Hana berjalan-jalan di tempat-tempat menarik di England. Hana tinggal bersama-sama Kris dan ibunya. Walaupun mereka berkawan baik , Hana tetap menjaga tatasusilanya sebagai orang Islam. Tidak lama kemudian Hana mendapatkan sebuah apartment dan tinggal bersama-sama pelajar Malaysia. Kristal berasa cemburu melihat Kris memberikan perhatian terhadap Hana. Hana memberitahu Kris dia telah bertunang dengan seorang guru. Kris kecewa lalu mengikut ibunya ke Jerman Barat. Kristal yang kecewa kerana cintanya ditolak oleh Kris mengambil keputusan membunuh diri. Suatu hari, Hana dikejutnya oleh satu suara memberi salam di hadapan apartmentnya dan dilihatnya Kris berada di depan pintunya.

Tema
Kekentalan prinsip hidup dan keimanan pelajar yang menuntut di luar negara

Persoalan
- Perasaan cinta tanpa mengenal batasan bangsa dan agama
- Cita-cita untuk mencari ilmu pengetahuan
- Pertembungan nilai timur dan barat
- Cinta yang tidak berbalas

Watak dan Perwatakan
Hana (Aku/Hana Hashim)
- pelajar Malaysia yang belajar di Universiti College Cardiff
- Beragama Islam/Melayu
- Berpegang teguh kepada ajaran Islam
- Berhemah tinggi

Kris
- Pemuda Inggeris
- Berambut ikal/matanya berwarna hazel
- Fasih berbahasa Melayu
- Suka menolong
- Peramah dan mesra

Kristal
- Gadis berciri remaja barat
- Tinggi lampai/bermata biru dan berambut blond
- Bebas dalam pergaulan
- Mudah berputus asa

Latar
Latar Tempat
- Universiti College Cardiff
- Barry Island
- Apartment Hana
- Rumah Mrs. Doogan (ibu Kris)

Latar Masa
- Bulan Disember(malam) – Kris mengajak Hana ke rumah Joey untuk makan malam
- Tempoh hampir tiga tahun Hana di Cardiff

Latar Masyarakat
- Masyarakat yang mementingkan nilai disiplin yang tinggi
- Masyarakat yang peramah/suka membantu dan prihatin
- Masyarakat yang mudah bergaul dan tidak mementingkan batasan sosial


Nilai
- Patuh kepada ajaran agama – Hana tidak mudah terpengaruh dengan budaya Barat
- Kegigihan – mengejar ilmu di luar negara
- Setiakawan – Hana,Kristal dan Kris bersahabat baik dan sentiasa tolong menolong
- Berhemah tinggi – Hana menjaga tatasusila sebagai seorang muslim


Pengajaran
- Kita hendaklah menjaga diri dan berdikari ketika di perantauan
- Kita perlu bertindak dengan rasional
- Sebagai sahabat, kita mestilah saling membantu
- Kita mestilah berhati-hati dalam menjalinkan hubungan sesama rakan

Cerpen : Mariah

Analisis Cerpen Mariah (Sharif Putera)

Sinopsis
Bapa Mariah menjadi kurang siuman apabila tidak dapat menerima kematian anak lelakinya. Keadaannya menjadi lebih buruk lagi apabila ibu Mariah pula meninggal dunia. Mariah yang kini belajar dalam tingkatan enam tidak dapat menumpukan perhatiannya terhadap pelajaran kerana terpaksa berkerja membantu Mak Usu Lijah menjual makanan demi meneruskan kehidupannya. Mariah malu melihat keadaan bapanya yang mengemis meminta simpati orang lalu lalang. Cikgu Tini cuba membantu Mariah menyelesaikan masalahnya. Tidak lama kemudian Mariah mendapat tahu bapanya terlibat dalam kemalangan jalan raya lalu meningggal dunia. Kemudian, Borhan muncul untuk membantu Mariah. Borhan berjanji akan membiayai perbelanjaan persekolahan Mariah dan mengambil Mariah sebagai isterinya.


Tema
Kegigihan dan ketabahan seorang anak gadis menghadapi cabaran hidup

Persoalan
- Persahabatan sejati
- Sikap ayah yang tidak bertanggungjawab
- Guru yang bertanggungjawab dan prihatin terhadap pelajarnya

Watak dan Perwatakan
Mariah
- Anak yatim
- Pelajar tingkatan 6
- Tabah/Sabar
- Mementingkan keluarga dan maruah
- Penyayang

Pak Cik Bakar
- Ayah Mariah
- Tidak teguh pegangan agama
- Mudah kecewa
- Suka minum hingga mabuk
- Keras hati
- Tidak bertanggungjawab

Cikgu Tini
- Guru kaunseling
- Lemah lembut
- Mudah bersimpati
- Mementingkan pelajaran pelajarnya

Latar
Latar Tempat
- Sekolah Mariah
- Bilik kaunseling
- Kedai Mak Usu Lijah
- Hospital

Latar Masa
- Waktu malam – Mak Usu Lijah memberi Mariah sepuluh ringgit menutup kedai jam 10.00 malam.
- Bulan Ramadan – ibu Mariah meninggal dunia

Latar Masyarakat
- Masyarakat yang bersimpati dan prihatin atas kesusahan orang
- Masyarakat yang kurang iman dan tidak bertanggungjawab
- Masyarakat yang mementingkan pendidikan

Nilai
- Kasih sayang – Mariah sayan gakann ayahnya
- Tabah – Tini tabah mengejar ilmu walaupun terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah yang melanda hidupnya
- Tegas – Cikgu Tini memastikan anak muridnya berjaya dalam palajaran
- Prihatin/Tolong menolong – Borhan/Mak usu Lijah

Pengajaran
- Kita mestilah menolong orang yang ditimpa kesusahan
- Kita hendaklah tabah menghadapi dugaan hidup
- Kita mestilah hormat kepada ibu bapa

Cerpen : Sebutir Pasir Di Kaki

Analisis Cerpen Sebutir Pasir Di Kaki (Norhisham Mustafa)

Sinopsis
Fuad yang baru balik dari Singapura terkejut kerana geran keluarganya telah diambil oleh Datuk Sukar. Fuad merasakan tindakan Datuk Sukar itu suatu penipuan kerana memperdayakan ibunya yang buta huruf. Selepas solat Maghrib, Fuad bergegas ke rumah Datuk Sukar. Tiba di dana Fuad disambut baik oleh Datin Sipah dan kekasihnya Junainah. Jam sepuluh malam Datuk Sukar sampai di rumah. Datin Sipah terus meminta suaminya memberikan penjelaskan tentang geran tanah pusaka milik keluarga Fuad. Datuk Sukar enggan memberikan geran tanah itu dengan alasan untuk membangunkan tanah pusaka tersebut. Fuad pula tidak berganjak daripada pendiriannya tidak mahu menerima tawaran Datuk Sukar yang sebanyak 280 ribu bagi tanah yang cuma 0.8 hektar itu. Akhirnya, terjadi konflik antara Datuk Sukar dengan Fuad. Datuk Sukar memberhentikan Fuad daripada bekerja dengannya dan melarang Fuad menjalinkan hubungan dengan Junainah. Fuad tidak peduli dengan ugutan tersebut lalu berjalan pulang sambil mengenggam geran tanah pusaka milik keluarganya. Sejurus kemudian, Datuk Sukar jatuh pengsan.

Tema
Perjuangan mempertahankan hak dan maruah

Persoalan
- Sikap mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain
- Hubungan cinta antara dua darjat
- Keberanian menegakkan kebenaran

Watak dan Perwatakan
Fuad
- 27 tahun
- Berkulit hitam manis
- Tegas/Keras hati
- Berani
- Bertanggungjawab
- Lekas marah/panas baran

Datuk Sukar
- 50 tahun
- Bertubuh gempal
- Ayah kepada Junainah dan suami kepada Datin Sipah
- Orang kaya yang berpengaruh
- Pandai menggunakan tipu muslihat

Latar
Latar Tempat
- Rumah Fuad
- Rumah Datuk Sukar

Latar Masa
- Waktu Maghrib – Fuad bersolat Maghrib
- Kira-kira jam 11.00 malam ketika Fuad bertemu Datuk Sukar

Latar Masyarakat
- Golongan miskin/buta huruf yang dianiayai oleh golongan kaya
- Masyarakat yang mementingkan maruah dan tanah pusaka
- Masyarakat yang tidak mementingkan kemewahan dan harta kekayaan

Nilai
- Keberanian – Fuad berani dan tegas dalam tindakannya
- Bertanggungjawab – Fuad bertanggungjawab terhadap harta pusaka milik keluarganya
- Jujur dan rendah diri – sikap Datin Sipah dan Junainah ketika melayan kedatangan
Fuad

Pengajaran
- Kita hendaklah mempunyai sikap bertanggungjawab terhadap keluarga
- Kita harus berani mempertahankan hak kita
- Kita mestilah ikhlas dalam menjalinan persahabatan

Antologi Kerusi : Cerpen Di Sisi Rinda

Analisis Cerpen Di Sisi Rinda (A.Samad Said)

Sinopsis
Jumari Jipan menjaga seorang kanak-kanak kecil bernama Deliah atau lebih mesra di panggil Nen. Semua ahli keluarga Nen meninggal dunia kerana terkena bom. Nen kemudianya dibela oleh datuknya Ripin. Setelah Ripin meninggal dunia kerana terkena bom, Jumari Jipanlah yang bertanggungjawab memeliharanya. Jumari Jipan menghadiahkan Nen seekor kucing siam yang diberi nama Rinda dan dengan kucing itulah Nen berkawan. Nen seorang pengkhayal dan sering bercakap-cakap sendirian atau dengan kucingnya. Nen sering berkhayal tentang keris pusaka datuknya. Jumari Jipan menemui sebilah keris dan nen percaya itulah keris pusaka datuknya. Suatu hari, seorang askar Jepun ingin mencarikan pasangan untuk kucingnya. Dia ternampak Rinda lalu mengejarnya. Nen dan Rinda berlari ke jeti atas arahan Jumari Jipan. Tembakan askar Jepun itu terkena pada seorang kawannya. Jumari Jipan, Nen dan Rinda sampai di jeti. Jumari Jipan menyatakan keris yang ditemuinya itu telah hilang.

Tema
Penderitaan dan kesengsaraan dalam meneruskan kehidupan dalam zaman peperangan.

Persoalan
- Tanggungjawab menjaga anak yang yatim piatu
- Kasih sayang sesama makhluk
- Persahabatan yang ikhlas
- Kepercayaan kepada cerita dogeng dan mitos

Watak dan Perwatakan
Jumari Jipan (Tuk Juma)
- Datuk angkat Deliah
- Sahabat baik Ripin
- Penyayang
- Bersimpati
- Bertanggungjawab

Deliah
- Anak yatim piatu
- Berkulit putih/rambut kerinting/kening lebat/hidung mancung sedikit
- Cucu Ripin
- Sangat lincah
- Suka bercakap sendirian
- Penyayang – Rinda(kucing Siam)

Latar
Latar Tempat
- Dalam bot
- Di tepi muara
- Belukar senduduk
- Bekas khemah tentera rejimen Melayu

Latar Masa
- Zaman pendudukan Jepun
- Awal subuh – serangan bom yang menyebabkan Ripin terkorban
- Senja – semasa Jumari Jipan merenung ke laut dan mengimbas kenangan lalu

Latar Masyarakat
- Golongan penjajah yang rakus
- Masyarakat yang menjadi mangsa peperangan
- Masyarakat yang sangup memikul tanggungjawab

Nilai
- Kasih sayang – Tuk Juma memelihara Deliah dengan penuh kasih dan tanggungjawab
- Belas kasihan – Jumari Jipan bersimpati terhadap Deliah yang yatim piatu
- Keberanian – mengharungi laut yang penuh cabaran

Pengajaran
- Kita mestilah bersimpati dan membantu anak yatim piatu
- Kita hendaklah tabah mengahadapi dugaan hidup
- Kita patutlah ikhlas dalam menjalinkan persahabatan
- Kita mestilah kasih sesama makhluk

Puisi Moden : Mahsuri



Sajak Mahsuri

Arahan: Baca sajak di bawah ini dengan teliti, kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.




Selendangmu mengibar di pantai
menyambut tetamu pulau
setiamu menjadi lagu
nyanyian ombak pagi
rambutmu menjadi jalur hitam
terapung di laut malam
air matamu dingin embun
jatuh di tujuh telaga
dendam tujuh keturunan
melengkung tujuh tanjung
putihlah pulau ini
disimbah darah suci

Mahsuri
sumpah itulah yang telah menghidupkan Langkawi
kerana tanpamu
Langkawi tidak sebegini.

Kata orang Mahsuri tidak pernah hidup
dia hanya bermula dengan
khayalan seorang seniman
pun kata orang Mahsuri pernah hidup
tetapi bahasa seorang pencerita
membuat dia lebih hidup dari kehidupannya
sastera yang mewarnai tanah air
kerana tanpa Mahsuri

Langkawi tidak sebegini bererti.
Mahsuri membesarkan Langkawi
sastera membesarkan tanah air.

Sebuah sajak yang sangat indah ciptaan Zurinah Hassan
(Antologi Harga Remaja, Dewan Bahasa dan Pustaka)


Soalan latihan:

1) Berikan maksud rangkai kata disimbah darah suci dalam sajak ini.

2) Sekiranya anda menjadi pemimpin di Pulau Langkawi, apakah usaha yang akan anda lakukan untuk memajukan lagi sektor pelancongan pulau tersebut? Sila berikan empat usaha yang bakal anda lakukan.

3) Berdasarkan sajak “Mahsuri”, nyatakan tiga gaya bahasa yang terdapat dalam sajak tersebut.

4) Jika anda pernah bercuti di Pulau Langkawi, apakah tempat paling indah yang pernah anda lawati disana?

IPTA - KESAN MERITOKRASI

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

HEBOH seketika dulu apabila jumlah pelajar wanita ke insititusi pengajian tinggi (IPT) bagi sesi kemasukan 2009/2010 mengatasi pelajar lelaki. Daripada 40,366 calon yang ditawarkan mengikuti program ijazah pertama di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bermula Jun lalu misalnya, 65 peratus atau 26,200 orang daripada mereka ialah pelajar wanita.

Namun, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend pelajar perempuan mendominasi IPT sudah menjadi sesuatu yang biasa. Ia turut berlaku di kebanyakan negara apabila kebanyakan wanita hari ini mempunyai akses yang sama rata kepada sistem pendidikan.

Tetapi ada perkara lain daripada jumlah pengambilan pelajar baru ke IPTA di negara ini yang sepatutnya lebih mendapat perhatian. Secara komposisi kaumnya, daripada jumlah keseluruhan pelajar ke IPTA sesi kali ini, sebanyak 27,829 orang adalah calon bumiputera. Seramai 10,116 orang pula merupakan pelajar kaum Cina manakala selebihnya iaitu sebanyak 2,421 terdiri daripada pelajar kaum India dan kaum lain.

Pada dasarnya, kemasukan pelajar bumiputera masih tinggi berbanding pelajar bukan bumiputera. Tetapi apa yang tidak kelihatan ialah bagaimana pecahan sebenar komposisi pelajar itu jika dilihat daripada kaedah kemasukan iaitu berdasarkan prinsip meritokrasi?

Sejak 2003, pengambilan pelajar ke IPTA tidak lagi berdasarkan kuota yang mana 55 peratus tempat diperuntukan kepada bumiputera manakala 45 peratus yang lain kepada bukan bumiputera. Sebaliknya, kerajaan memperkenalkan prinsip meritokrasi yang membuka peluang sama rata kepada pelajar pelbagai kaum berdasarkan kemampuan pelajar.

Ketika diperkenalkan, sistem meritokrasi antara lain dirujuk sebagai satu bentuk pengajaran kepada kaum bumiputera supaya tidak mensia-siakan peluang pendidikan yang telah disediakan oleh kerajaan. Dengan pelaksanaan itu juga, para pelajar akan dipilih berdasarkan 90 peratus markah akademik dan 10 peratus markah kokurikulum.

Pemilihan itu pula dibuat oleh sebuah badan yang ditubuh khas iaitu Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar (yang dahulu dikenali Unit Pusat Universiti atau UPU). Ketika peringkat awal pelaksanaannya, kemasukan pelajar bumiputera ke IPTA dicatatkan sebanyak 68.9 peratus. Ia memeranjatkan banyak pihak terutamanya mereka yang menentang pelaksanaannya kerana bimbang sistem itu akan dibolot oleh pelajar bukan bumiputera yang diketahui lebih pandai dan cemerlang.

Rekod penguasaan pelajar bumiputera itu terus dipertahankan untuk tahun-tahun berikutnya iaitu 62.6 peratus pada sesi 2003/2004 dan 63.8 peratus pada 2004/2005. Bagaimanapun selepas kira-kira lapan tahun pelaksanaannya, jumlah pelajar bumiputera itu menunjukkan perbezaan yang sangat ketara.

Tahun ini, iaitu bagi pengambilan pelajar sesi 2009/2010 yang bermula Jun lalu, jumlah pelajar bumiputera yang layak berdasarkan prinsip meritokrasi dikatakan hanya sebanyak 26 peratus sahaja. Bakinya iaitu 74 peratus tempat yang lain, dibolot oleh pelajar-pelajar bukan bumiputera.

Meskipun fakta ini tidak didedahkan oleh agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam urusan pengambilan pelajar ke IPTA, namun ia mempunyai asas yang kukuh untuk diyakini.

Ini bermaksud, apa yang dibimbangi oleh banyak pihak sebelum ini mengenai akan berlakunya tempat yang dibolot oleh pelajar bukan bumiputera menjadi kenyataan.

Asas kebimbangan itu sebenarnya sangat jelas kerana pelajar bukan bumiputera mempunyai kelebihan dari sudut pencapaian akademik kerana beberapa faktor. Antaranya kerana kedudukan ekonomi mereka yang lebih baik yang membolehkan pelajar bukan bumiputera mendapatkan pendidikan tambahan di luar sesi persekolahan.

Malah, ada yang mampu mengupah guru persendirian khusus untuk mengajar anak-anak mereka secara peribadi. Sudah semestinya, keputusan peperiksaan mereka jauh lebih baik jika dibandingkan dengan pelajar-pelajar bumiputera yang rata-ratanya hanya bergantung kepada pendidikan asas di sekolah biasa.

Ketidakadilan itu lebih dirasai oleh pelajar-pelajar di luar bandar yang mana akses mereka kepada pendidikan tambahan lebih terhad. Belum pun satu dekad prinsip meritokrasi itu dilaksanakan, jurang antara pelajar bumiputera dan bukan bumiputera yang layak ke IPTA sudah kelihatan begitu besar.

Tidak mustahil, tiada lagi pelajar bumiputera yang layak ke IPTA berasaskan sistem merit sekiranya dasar ini dikekalkan untuk satu jangka masa panjang. Kerana itu adalah wajar bagi kerajaan mengkaji semula dasar ini dengan mengambil kira survival pendidikan tinggi bumiputera.

Perkara ini bukan tidak disedari oleh pihak kerajaan kerana khabarnya, kerajaan terpaksa menambah bilangan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) bagi mengimbangi jumlah pelajar bumiputera dan bukan bumiputera di IPTA.

Ini kerana UiTM ketika ini merupakan satu-satunya universiti khusus milik bumiputera dan tidak mengamalkan sistem merit sepenuhnya dalam pengambilan pelajar. Akan tiba masanya, UiTM juga tidak lagi mampu menampung lebihan pelajar berkenaan dan ketika itu, ke mana pelajar-pelajar bumiputera akan ditempatkan?

Soal menjamin pendidikan kepada bumiputera adalah sesuatu yang jelas dalam Perlembagaan dan menjadi tanggungjawab kerajaan. Tidak perlu ada rasa bersalah dalam memastikan bumiputera mendapat kelebihan kepada akses pendidikan yang sempurna termasuk di peringkat pengajian tinggi kerana itu merupakan hak mereka.

Sementelah, kaum bumiputera juga berdepan dengan persekitaran yang tidak adil untuk diajak bersaing secara terbuka menerusi pelaksanaan prinsip meritokrasi. Ini kerana mereka tidak berkemampuan untuk ke sektor pengajian swasta seperti kaum lain sekiranya gagal ke IPTA kerana kos pengajian yang terlalu tinggi.

Kaum bukan bumiputera pula seharusnya sedar bahawa sistem kuota yang dilaksanakan sebelum ini tidak sedikit pun menafikan hak mereka untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA. Dengan komposisi kemasukan pelajar mengikut kaum yang terlalu kecil, kuota 45 peratus yang disediakan kepada bukan bumiputera ke IPTA masih meninggalkan baki yang tidak dipenuhkan.

Selain itu, mereka juga disediakan beberapa buah universiti khusus untuk kaum tertentu yang dananya disalurkan oleh kerajaan. Sebagai contoh Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Universiti Terbuka Wawasan, Kolej New Era dan beberapa universiti lain. Begitu juga dengan lambakan universiti dan kolej universiti swasta yang majoriti pelajarnya terdiri daripada bukan bumiputera.

Dalam erti kata yang lain, kaum bukan bumiputera sebenarnya tidak mempunyai banyak masalah untuk melanjutkan pelajaran di peringkat tertinggi di negara ini meskipun ketika amalan kuota diguna pakai.

Malah jika faktor itu juga diambil kira, kita akan menyedari bahawa kaum bumiputera sebenarnya berdepan dengan peluang yang sangat terhad untuk mendapatkan pendidikan tinggi. Sekiranya keadaan ini dibiarkan berterusan, bukan hanya kekuasaan ekonomi yang akan terlepas daripada tangan kaum bumiputera. Malah kita juga akan kekurangan kumpulan cerdik pandai yang akan menguruskan negara pada masa depan.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Friday, July 16, 2010

Perubahan Sistem Peperiksaan & Pemberian Biasiswa

SETIAP kali keputusan dibuat mengenai pelajar yang berjaya mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), ada saja rungutan tidak puas hati daripada beberapa pihak kononnya ada pelajar yang sepatutnya layak diberi biasiswa, tidak dipilih.

Maka akan wujud pelbagai berita atau rungutan melalui surat yang disiarkan media bagaimana seseorang calon itu menepati segala yang dikehendaki, iaitu mendapat markah terbaik misalnya semua A+ dalam mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), aktif dalam pelbagai kegiatan kokurikulum, tetapi masih tidak layak menerima biasiswa JPA.

Walaupun tahun ini pengumuman dibuat yang memberi gambaran bahawa prihatinnya kerajaan melakukan yang terbaik dan adil dalam pemilihan memberikan biasiswa itu, tentunya akan ada di antara beribu-ribu yang ditolak mempunyai kelulusan yang diperlukan, selain daripada menepati beberapa kriteria lain yang menjadi ukuran pegawai yang membuat pilihan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sendiri membuat penjelasan mengenai cara pemilihan dibuat. Beliau yang juga Menteri Pelajaran menerangkan, ada terlalu ramai pelajar yang mendapat markah tinggi dalam SPM tahun lalu.

JPA menyediakan 1,750 biasiswa untuk penajaan Program Ijazah Luar Negara. Ia menerima 18,844 permohonan dan 10,956 daripada pemohon itu melepasi kelayakan minimum yang ditetapkan mengikut bidang pengajian yang dimohon.

Ini bermakna 9,206 di antara mereka yang menepati kelayakan minimum yang ditetapkan itu (bermakna mereka yang mendapat kelulusan terbaik dalam SPM, iaitu 9A ke atas) tidak akan dipilih untuk diberi biasiswa itu dan tentunya akan berasa amat kecewa dengan keputusan itu.

Setiap daripada lebih 9,000 pelajar itu tentunya mempunyai cerita tersendiri mengenai kenapa permohonan mereka tidak harus ditolak. Apa pun, angka ini menunjukkan kerajaan akan hanya dapat menyediakan sekian banyak saja biasiswa untuk pelajar cemerlang dan tidak mungkin menampung mereka semua.

Inilah hasil daripada cara peperiksaan yang sekarang kita kendalikan, iaitu dengan soalan objektif dengan calon dikehendaki untuk memilih jawapan betul daripada empat atau lima jawapan disediakan untuk setiap soalan itu. Kiranya ada calon yang tepat meneka semua soalan tentunya calon itu akan memperoleh markah 100 peratus.

Tetapi ini tidak bermakna calon itu seorang yang bergeliga. Apa yang ditunjukkan hanyalah dia memilih jawapan yang betul bagi semua soalan yang dikemukakan. Ini boleh saja diperoleh bagi seseorang yang menghafal jawapan.

Maka itulah, kini wujud pelbagai pusat tuisyen hanya bertujuan membolehkan pelajar yang mengikuti tuisyen itu memilih jawapan betul daripada soalan yang dimajukan dalam kertas peperiksaan untuk sesuatu mata pelajaran itu.

Maka itulah juga ruangan ini beberapa kali mengesyorkan sistem peperiksaan objektif dimansuhkan saja dan ditukar kepada soalan yang memerlukan pelajar menjawab secara menulis apa yang diperlukan bukan setakat tekaan saja.

Kira inilah caranya peperiksaan SPM misalnya dikendalikan tidak mungkin boleh wujud keputusan sehingga beribu-ribu pelajar boleh mendapat kelulusan A+ bagi semua mata pelajaran yang mereka ambil, hingga berbelas-belas mata pelajaran pun boleh mendapat A+.

Itulah juga apabila seorang daripada pelajar yang gagal itu menulis surat kepada akhbar New Straits Times yang menyiarkan suratnya hari ini, akhbar itu memberikan tajuk seolah-olah ada kegagalan dalam sistem pemilihan itu.

Pelajar itu yang perkenalkan dirinya sebagai RE dari Puchong, Selangor, menerangkan bahawa dia mencapai tahap semua A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR), manakala dalam SPM tahun lalu dia pula mendapat semua 11A+.

Dalam pada itu, pelajar ini pula amat aktif dalam kokurikulum di sekolahnya, iaitu bermain bola jaring dan bola tampar serta olahraga pada peringkat sekolah. Selain itu, dia pernah menjadi ketua pengawas ketika di sekolah rendah dan menengah, selain menjadi editor majalah sekolah dan juga pendebat di sekolahnya.

Pelajar itu juga menerima kemasukan bersyarat mengikuti pengajian perubatan di Universiti Kolej London. Kini dia menunggu keputusan peperiksaan A-Level yang akan diumumkan pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun dia merungut kenapa belum pun keputusan A-Level itu diumumkan, JPA sudah pun mengeluarkan semua 30 biasiswa untuk pengajian perubatan, tanpa menunggu keputusan A-Level itu, yang tentunya JPA mengetahuinya.

Jika dakwaan itu benar, ini sekali lagi menunjukkan betapa tidak prihatinnya JPA dalam membuat keputusan. Umum mengetahui bagaimana ada sesetengah pegawai JPA yang sememangnya tidak prihatin terhadap pemohon. Kita faham ada beribu-ribu pemohon, tetapi pegawai JPA yang membuat keputusan tidak harus bertindak seperti dia yang menentukan hala tuju masa depan seseorang pemohon.

Ini bermakna pegawai itu hendaknya bertindak dengan perasaan kemanusiaan dan amat prihatin dengan apa yang diputuskan kerana merekalah yang akan menentukan masa depan seseorang pemohon.

Dalam pada itu, pemilihan itu juga harus mengambil kira satu lagi kriteria iaitu perasaan patriotik seseorang pemohon itu untuk negaranya. Kiranya perasaan ini menebal di kalangan mereka, itu tentunya tidak akan berlaku keadaan yang mana sebuah negara lain seperti Singapura begitu mudah sekali menarik beribu-ribu graduan kita khususnya doktor dan jurutera yang dengan mudah mengumpan mereka untuk bekerja di sana.

Penulis ialah Felo Kanan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Thursday, July 15, 2010

Disiplin Pelajar : Punca dan Cara Mengatasi

Masalah disiplin boleh dikaitkan dengan kegagalan pelajar di sekolah untuk mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Isu ini menjadi perbualan hangat masyarakat lantaran kegagalan golongan pendidik untuk membentuk sahsiah pelajar. Jadi, apakah faktor yang mendorong masalah ini berlaku dan apakah peranan yang boleh dilakukan oleh ibu bapa dan kerajaan?

Masalah ini semakin meruncing ekoran kurangnya kasih sayang dan perhatian ibubapa era globalisasi ini. Ibubapa lebih mengutamakan kerjaya mereka sehingga alpa tanggungjawab mereka mendidik anak yang dahagakan kasih sayang mereka. Akibatnya, pelajar terbabit mencari jalan keluar dengan melakukan tindakan-tindakan disiplin yang bertujuan untuk menarik perhatian ibubapa mereka. Sesungguhnya, kelalaian ibubapalah yang menyebabkan masalah disiplin menjadi-jadi.

Sementara itu kemunculan media massa turut mendorong masalah ini memuncak dengan drastik. Kelakuan yang tida senonah yang mereka saksikan telah menimbulkan rasa untuk mencuba pula dalam hati pelajar. Kebanyakan masalah disiplin dikatakan satu cubaan meniru kelakuan yang telah mereka tonton sebelum ini. Jadi, disiplin mempunyai kaitan rapat dengan kejadian disiplin pelajar yang terus merosot itu.

Rakan sebaya turut menjadi punca masalah disiplin pelajar menjadi-jadi. Pelajar sering menganggap rakan sebaya mereka sebagai rakan yang sebenar. Rakan yang mendengar dan sanggup berkorban untuk mereka berbanding ibubapa yang gagal menjalankan tanggungjawab mereka. Ringkasnya, rakan sebaya yang negatif akan memastikan disiplin pelajar itu akan turut merosot dengan drastiknya.

Tambahan pula, kegagalan pihak sekolah bertindak pantas dan telus dalam isu ini turut menjadi faktor yang mendorong meluasnya masalah ini. Ada pihak sekolah yang merahsiakan masalah disiplin sekollah mereka kerana tidak mahu nama sekolah terjejas. Tindakan ini menyebabkan ada pelajar yang beranggapan tindakan mereka melanggar disiplin tidak akan dilaporkan oleh pihak sekolah. Sikap acuh tak acuh sekolah yang turut kekurangan guru disiplin ini menyebakan pelajar semakin berani melakukan kesalahan disiplin. Oleh itu, cara pihak sekolah menangani masalah disiplin turut menentukan peningkatan masalah disiplin pelajar.

Malah, ketiadaan program selepas sekolah yang sesuai dengan pelajar turut menjadi punca masalah ini terus berleluasa. Program yang menarik dapat menghalang pelajar menghabiskan masa mereka di pusat-pusat beli-belah dan terjemurus ke dalam aktiviti menyalahi disiplin. Masa yang mereka habiskan untuk menjalankan aktiviti ini menyebabkan mereka lebih berdisiplin.

Kemelut ini mudah dibendung jika ibubapa terlebih dahulu sanggup menngorbankan masa mereka. Ibubapa hendaklah mengutamakan masa depan anak mereka daripada kejayaan peribadi mereka dalam kerjaya. Ibubapa harus memberi ruang kepada anak untuk menjadi manusia yang berhemah tinggi. Ringkasnya, ibubapa penting dalam membanteras isu disiplin ini.

Kesimpulannya, kemelut disiplin ini sudah lama diperkatakan oleh masyarakat. Saban hari kita disogokkan dengan pelbagai cadangan yang tinggal cadangan sahaja. Mungkin kali ini kita perlu bertegas dan berpijak di bumi nyata.

Punca-Punca bencana Alam

Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggung jawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

Punca-Punca bencana Alam

Bencana alam turut berlaku di negara ini. Banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan merupakan antara bencana alam tersebut.

Nyatakan punca-punca menangani masalah ini.

Bencana alam merujuk kejadian alam yang mampu memusnahkan negara dan penduduknya. Negara kita memang sering dilanda banjir, ribut, kemarau dan kebakaran hutan kerana pelbagai faktor yang mendorong keadaan ini mudah berlaku terutama ketiak bumi dikatakan sedang mengalami perubahan cuaca yang drastik dalam tempoh yang terdekat ini. Sesungguhnya, ada banyak faktor yang mendorong keadaan ini dan ada banyak langkah yang boleh diambil untuk membendungnya daripada terus berlaku.

Kejadian bencana alam sering dikaitkan dengan kemusnahan alam sekitar terutama kemusnahan hutan belantara negara. Keadaan ini wujud kerana hutan dianggap menjadi pelindung atau penahan berlakunya kejadian banjir dan kemarau kerana keupayaannya untuk menakung air dan menyalirkan air dengan baik. Kemusnahan hutan menyebabkan muka bumi menjadi kosong dan mendorong mudahnya berlaku semua bencana alam ini. Oleh itu, kemusnahan hutan perlulah dipantau dengan lebih teliti oleh pihak kerajaan.

Malahan, keghairahan negara untuk membangun dengan pesat turut mendorong berlakunya bencana alam ini. Pembukaan kawasan bandar baru, industri dan kawasan perumahan telah menyebabkan sistem ekologi yang asal tidak mampu untuk menghalang sebarang kejadian bencana alam daripada tidak berlaku. Manusia menganggap kemodenan mampu menghalang bencana alam berlaku lantas terus menerus menjalankan projek pembangunan tanpa mempunyai rasa takut atau bimbang berlakunya bencana alam di kawasan projek mereka. Justeru, pembangunan yang pesat memang penting tetapi perlulah dikawal atau dilakukan dengan berhati-hati supaya tidak menjejaskan sistem ekologi secara drastik.

Tambahan pula, sikap kita dalam menguruskan sumber asli terutama penyelenggaran sungai dan pembalakan hutan yang tidak praktikal. Naluri manusia yang sering mengutamakan keuntungan kewangan daripada berfikir secara rasional perkara yang bakal berlaku pada masa depan telah mengundang padah. Semua sumber alam negara akan terus dieksploitasi kerana manusia memang menganggap diri mereka lebih baik dan bijak daripada alam. Jadi, bencana alam akan terus berlaku kerana kegagalan manusia untuk menguruskan sumber alamnya dengan baik.

Kesimpulannya, bencana alam akan terus berlaku di negara kita. Sikap masyarakat yang sambil lewa kerana menganggap alam bukan tanggung jawab mereka telah menyebabkan masalah ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan. Mungkin kita semua lupa bahawa setiap kali bencana alam melanda negara ini setiap kali itulah ada nyawa manusia yang melayang. Agaknya kita menilai nyawa manusia sama seperti alam?

TIPS - Membentu Sebuah Keluarga Bahagia

Panduan buat pengantin dan yang mereka yang sudah menjadi suami isteri. Langkah Bestari Suami Mithali ( Dato’ Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah)

1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa.

2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik.

3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda.

4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah.

5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari ?

6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut.

7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan.

9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan.

10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

11. Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

12. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil?

14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin.

15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam.

16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera.

17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

18. Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah.Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga.

22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah.

24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini.

25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia.

26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia,penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa.

27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang.

28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga.

29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras,bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita.

32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan.

34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga?

35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan unutk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga.

36. Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlahilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga.

37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah.

38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak.

39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji.

40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum,lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah.

41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu.

42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa.

43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yan isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia.

44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama.

46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian.

47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati.

48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekali-sekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur.

49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa.

50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakuakan riadah,berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

Dipetik daripada blog http://syafiza.wordpress.com

Membentuk Keluarga Bahagia

Marilah sama-sama kita bersungguh-sungguh dan berusaha untuk meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan sentiasa mematuhi dan melaksanakan perintah Allah dan meninggalkan segala larangan Allah. Mudah-mudahan kita memperolehi kesejahteraan dan kerahmatan dari Allah dalam menjalani kehidupan kita di dunia dan akhirat.

Kita sedia maklum bahawa institusi keluarga adalah merupakan asas sebuah masyarakat bagi melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh. Hakikat yang tidak boleh dinafikan juga bahawa kejayaan dan keharmonian dalam sebuah keluarga adalah bermula dari ketua keluarga. Justeru itu Islam meletakkan kepimpinan atau ketua keluarga itu ialah kepada seorang bapa yang bertanggung jawab dalam memastikan keluraganya dalam keadaan aman dan sentiasa diberkati Allah. Peranan sebagai seorang ketua keluarga itu adalah merujuk kepada sabda Nabi s.a.w. yang berbunyi:

Maksudnya:

“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan terhadap pimpinannya, seorang pemimpin Negara adalah pemimpin kepada rakyatnya dan ia bertanggungjawab terhadap mereka, seorang suami adalah pemimpin keluarganya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya, seorang wanita adalah pemimpin dan ia bertanggungjawab terhadap rumahtangga suaminya dan ia bertanggungjawab terhadap pimpinannya”.

Sebagai seorang ketua keluarga hendaklah menunjukkan dan mempamerkan contoh dan tauladan terbaik untuk di ikuti dan dicontohi oleh anak dan isterinya. Keluarga yang menginginkan kebahagiaan juga hendaklah menjiwai dan mengamalkan sifat yang baik dan mulia.

Hakikatnya masyarakat kita pada hari ini kurang menjaga dan menjiwai akhlak sebagaimana yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. menyebabkan kita dilanda dengan gejala social yang kian meruncing. Anak-anak tiada contoh dan teladan yang boleh dijadikan rujukan akibat dari ketandusan akhlak dan kerosakan sifat ketua keluarga sendiri. Ibu bapa kurang penekanan berkaitan adab dan budi bahasa kerana bahasa pertuturan yang digunakan dirumah amat mengecewakan dan mengaibkan.

Bahasa-bahasa yang kasar, kesat, kurang beradab, lucah dan seumpamanya sering dituturkan oleh ketua keluarga menyebabkan anak-anak terlalu mudah untuk menuturkan perkataan tersebut di luar rumah dan dalam kehidupan seharian mereka. Oleh yang demikian sebagai ketua keluarga perlu sedar tentang peranan dan tanggungjawab besar yang perlu ditanggung oleh seorang ketua keluarga dalam melahirkan sebuah keluarga yang bahagia. Ketua keluarga perlu menunjukkan Qudwah Hasanah (teladan yang baik) kepada ahli keluarganya seperti yang telah disarankan oleh Nabi s.a.w.:

Maksudnya:

“Muliakanlah anak-anak mu dan tunjukkanlah kepada mereka adab adab yang baik”.

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah

Bagi merealisasikan hasrat untuk melahirkan generasi yang bertaqwa dan beramal soleh dalam sebuah institusi keluarga maka bapa selaku pemimpin keluarga hendaklah mengambil perhatian berat terhadap perkara berikut :

1) Sentiasa mengutamakan dan peka tentang pendidikan agama kepada diri dan keluarganya.

Kepekaan tersebut bagi memastikan seluruh ahli keluarganya mendapat pendidikan dan kefahaman yang sempurna berkaitan Islam . Islam amat menekankan soal tujuan dan matlamt kehidupan didunia ini dan sentiasa memperhitungkan soal kehidupan di alam Akhirat. Ini adalah bertepatan dengan perintah Allah sepeti mana yang telah dijelaskan dalam Surah At-Tahrim ayat 6:

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu, penjaganya adalah malaikat yang kasar dan keras dan mereka tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan”.

“Berjayalah sesiapa yang menyimpan keimanan yang ikhlas dalam hatinya, orang yang mempunyai hati yang sihat, lidah yang benar dan jiwa yang tenang serta akhlak yang lurus dan mulia”.

Berdasarkan ayat dan hadis tersebut, maka jelaslah bahawa peranan ketua keluarga dalam menyelamatkan diri dan ahli keluarganya dari azab api neraka adalah merupakan satu kewajipan. Tersebut tidak dapat dilaksanakan melainkan mereka yang benar-benar menjiwai dan menghayati soal keimanan kepada Allah.

1) Ibu bapa perlu memastikan rezeki yang diperolehi adalah dari sumber yang halal lagi baik .

Ibu bapa harus sentiasa memperhitungkan setiap rezeki yang diperolehi untuk menyara diri dan anak-anak. Jauhilah dari sumber yang syubhat dan apatah lagi dari sumber yang haram. Ketua keluarga wajib menjauhkan diri dari pendapatan yang mengandungi unsur penipuan, rasuah ,riba dan seumpamanya. Sudah pasti bahawa rezeki yang halal akan menjamin ahli keluarganya untuk menjadi anak yang soleh sihat dan pintar dan sebaliknya jika pendapatan yang diperolehi dari sumber yang syubhat dan haram maka generasi yang lahir akan menjadi manusia yang rendah akhlak dan lemah fikiran. Mereka sukar menerima teguran dan jauh dari rahmat dan keberkatan dari Allah. Inilah juga bencana yang menimpa masyarakat kita pada hari ini yang menyebabkan gejala sosial semakin berleluasa dan tiada berkesudahan. Semoga Allah melindungi kita dari musibah ini.

Sabda Rasulullah SAW :

“Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya”.

Sidang Jumaat yang di kasihi sekelian

3) Ibu bapa perlu memperuntukkan masa untuk bersama ahli keluarga .

Dalam mengejar kehidupan dunia yang sementara ini sudah pasti ibu bapa kan dilanda masalah kesibukan usaha mencari rezeki untuk menampung kehidupan . Namun begitu sebagai ketua keluarga hendaklah memperuntukkan sebahagian masa untuk keluarga dan anak-anaknya. Jangan menyerahkan tugas mendidik anak-anak dan keluarga kepada orang lain. Jadikankanlah aktiviti seperti solat berjemaah, makan bersama sebagai rutin waib bersama keluarga. Demikian juga aktiviti luaran seperti berkelah, riadah, melancong, bergotong-royong, mengemas rumah dan seumpamanya. Ibu bapa perlu memastikan bahawa suasana dalam rumah adalah ceria dan menganggap rumahku adalah syurgaku. Apabila aktiviti seperti itu di wujudkan di dalam keluarga maka akan wujudlah suasana yang harmoni dan bertambah kasih sayang.

Selain dari tiga perkara yang telah disebutkan sebenarnya banyak lagi perkara yang seharusnya diberi perhatian oleh ketua keluarga dalam memastikan kebahgiaan keluarga terus berkekalan . Sebagai bapa yang prihatin perlu sentiasa meluangkan masa untuk anak remajanya. Berkongsilah pengalaman dan membina kasih sayang dengan memahami dan membimbing kemahuan mereka. Bantulah mereka dalam mencari keyakinan diri dan sentiasa menggalak serta mengasah potensi diri mereka. Yakinkanlah mereka bahawa bapa sebagai insan tempat dijadikan rujukan terbaik. Sentiasa melibatkan diri dengan aktiviti persekolahan mereka di samping sentiasa cuba tahu dan mengenali rakan mereka. Sesungguhnya dewasa ini peranan seorang ketua keluarga amat mencabar dan memerlukan kesabaran yang tinggi serta pengetahuan yang mendalam.

Marilah kita menanamkan azam dan menguatkan tekad untuk kita menjadi ketua keluarga yang cemerlang yang sentiasa melaksanakan kewajipan terhadap perintah Allah. Insafilah bahawa kewajipan dan tanggung jawab terhadap keluarga adalah merupakan suatu amanah Allah yang melibatkan soal dosa dan pahala. Mereka yang mencuaikan amanah tersebut akan dihukum dan diseksa dengan seksaan yang amat berat di akhirat nanti.

Amat menyedihkan sekali apabila mutakhir ini ramai ketua keluarga gagal melaksanakan tugas mereka dengan baik, isteri dan anak ditinggalkan tanpa sebarang nafkah, anak-anak menjadi mangsa perceraian kedua ibu bapa, pendidikan anak terabai tanpa pengawasan, ibu-bapa lebih mementingkan kerjaya dari memikirkan soal keluarga. Sebahagian mereka lebih mementingkan hawa nafsu dengan menjalinkan hubungan dengan orang ketiga yang menyebabkan urusan rumah tangga porak-peranda.

Apakah suasana keluarga seperti ini dapat kita harapkan untuk menjamin sebuah masyarakat yang harmoni?. Adalah mustahil akan lahir sebuah masyarakat yang bermoral apabila institusi keluarga tidak dipastikan keharmoniannya. Oleh itu, marilah kita kembali menghayati tugas dan peranan kita sebagai ketua keluarga demi menjamin keharmonian dan kebahagiaan rumahtangga.

Maksudnya:

“Dan orang-orang yang berkata: Wahai Tuhan Kami anugerahkanlah kami isteri dan keturunan kami sebagai penyenang hati kami dan jadikanlah kami imam bagi orang yang bertakwa”.

(Surah Al-Furqan, ayat 74)

Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang maha berkuasa, kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat, sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat Islam khususnya Negeri Selangor, sebagai Negeri yang maju, sejahtera dan berkebajikan. Justeru kami pohon kehadratmu ya Allah, tetapkanlah iman kami, tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami, murahkanlah rezeki kami, kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat, suburkanlah jiwa kami dengan budi pekerti yang mulia, kembalikanlah generasi muda kami ke jalan yang engkau redhai, lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar, kemarau panjang, wabak penyakit,persengketaan , kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian, Negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat .

Sumber : JAIS

Memupuk Budaya Membaca

Budaya dan amalan membaca boleh dipupuk dalam kalangan masyarakat. Peranan pelbagai pihak diperlukan dalam usaha ke arah itu, memandangkan budaya membaca belum dihayati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia. Maka dicadangkan perkara-perkara berikut untuk meningkatkan amalan membaca:

* Peranan ibu bapa - membelikan bahan bacaan bermutu di rumah. Ibu bapa perlu wujudkan ruang pembacaan untuk anak-anak. Ibu bapa juga boleh membawa anak-anak ke kedai buku dan memberi kebebasan kepada anak-anak untuk memilih bahan bacaan. Mereka juga perlu memberi contoh dan teladan, iaitu mereka sendiri perlu mempunyai budaya membaca. Sekurang-kurangnya ada akhbar harian, atau majalah seperti Dewan Siswa atau Dewan Pelajar supaya anak-anak dapat membaca. Sediakan sedikit peruntukan untuk membeli bahan bacaan setiap bulan.

* Peranan sekolah - Sekolah perlu adakan kempen membaca. program NILAM perlu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan guru-guru kena pastikan pelajar menjayakannya. Panatia dan guru mata pelajaran perlu galakkan pelajar membaca. Pusat Sumber perlu bergerak lebih ke depan dalam menarik pelajar ke perpustakaan. Di SMK SIJANGKANG JAYA, semua guru bahasa sama ada Bahasa Melayu mahupun Bahasa Inggeris, berusaha gigih ke arah itu. Pelajar diwajibkan mengunjungi pusat sumber untuk membaca apa-apa bahan yang boleh memberi manfaat kepada mereka. Selain itu, pameran buku boleh diadakan di sekolah. Pembelian bahan bacaan yang bermutu perlu ditingkatkan di sekolah. Program Akhbar Dalam Darjah perlu diperluas. Petikan rencana yang berinformasi perlu diletakkan di papan kenyataan sekolah supaya pelajar boleh membaca.

* Peranan kerajaan – Kerajaan perlu menambah peruntukan ke sekolah untuk membeli bahan bacaan tambahan di pusat sumber sekolah . Kerajaan perlu mengadakan kempen membaca, sama ada di tempat awam atau menggunakan media kerajaan seperti radio dan televisyen. Pelepasan cukai untuk pembelian buku perlu ditambah. Setiap pejabat kerajaan dan agensinya perlu ada sudut bacaan.

* Peranan pihak swasta – Mereka perlu menyokong kempen membaca pihak kerajaan. Pekerja mereka perlu digalakkan membaca. Mereka perlu memberi sumbangan untuk program/kempen membaca anjuran pelbagai pihak. Sudut bacaan juga perlu diwujudkan oleh pihak swasta, misalnya di klinik, hospital, restoran dan kompleks membeli-belah. Harga bahan bacaan yang mereka terbitkan perlu diturunkan. Adakan promosi dan kempen membaca.

* Peranan pelajar. Pelajar perlu menghayati matlamat kempen membaca yang diadakan.Mereka perlu ada kesedaran dalaman untuk membaca dan bukan kerana tujuan peperiksaan semata-mata. Jangan lupakan buku apabila peperiksaan berakhir atau apabila meninggalkan bangku sekolah.

* Peranan penulis buku dan majalah- Mereka perlu menghasilkan bahan bacaan yang menarik dan dalam masa yang sama terapkan budaya membaca dalam karya mereka. Mereka perlu mempelbagaikan isi kandungan karya mereka untuk menarik hati pembaca. Wujudkan jaringan/link dengan pembaca agar pembaca kekal membaca pada masa depan. Sertai program galakan membaca di sekolah, anjuran kerajaan dan swasta.

Kejayaan usaha memupuk budaya membaca bergantung kepada kerjasama semua pihak. Pembabitan semua pihak itu dapat menjadi pemangkin budaya membaca dalam masyarakat dan negara.

Kempen Budi Bahasa

Yang merah itu saga, yang kurik itu kendi. Yang indah itu bahasa yang elok itu budi”, demikianlah ungkapan yang menggambarkan kepentingan berbudi bahasa dalam kehidupan masyarakat kita. Ungkapan ini disusuli pula dengan bidalan yang mengatakan bahawa budi bahasa tidak boleh dijual beli. Namun, semuanya ini hanya suatu retorik sehingga kerajaan terpaksa melancarkan Kempen Berbudi Bahasa untuk menghidupkan kembali budaya berbudi bahasa ini. Kempen Berbudi Bahasa yang dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) baru‐baru ini jelas menunjukkan betapa kroniknya budi bahasa masyarakat kita pada hari ini.

Melalui kempen ini, kita digalakkan supaya memberi ucapan dalam salam dan senyuman manis sebagai tanda perkenalan atau menjalinkan hubungan yang lebih mesra. Dengan cara ini, kita akan dapat membersihkan jiwa nurani kita daripada sifat sombong, meninggi diri dan ujub. Malah, agama Islam menganggap senyuman itu sebagai satu ‘sedekah’ antara sesama manusia. Selain memberi senyuman dan ucapan salam, amalan hormat‐menghormati antara satu sama lain juga amat dianjurkan melalui kempen itu. Amalan ini akan dapat menjalinkan kemesraan dan seterusnya merapatkan hubungan masyarakat majmuk di negara ini. Apatah lagi jika penghormatan itu diberikan kepada orang tua tidak kira di mana‐mana sahaja kita berada. Bukankah pepatah ada menyebut bahawa yang muda kita kasihi manakala yang tua harus kita hormati? Sekiranya amalan ini dapat dipraktikkan, saya yakin bahawa matlamat kempen ini dapat dicapai dalam jangka masa yang sangat singkat.

Bagi kakitangan kerajaan dan swasta yang bertugas di bahagian kaunter, layanan mesra terhadap pelanggan atau orang ramai yang berurusan di kaunter mestilah diberi keutamaan. Layanan yang sedemikian bukan sahaja akan memberi kepuasan maksimun kepada orang ramai bahkan dapat meningkatkan imej kerajaan atau agensi tertentu yang selama ini telah tercalar. Pada masa yang sama, amalan bertegur sapa yang dicanangkan melalui Kempen Berbudi Bahasa ini dapat memenuhi aspirasi kerajaan untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang mempunyai sikap kasih sayang. Dengan mempunyai sikap budi bahasa yang baik, seseorang akan mempunyai kepekaan dan perasaan cinta yang mendalam serta berkekalan yang lahir daripada hati yang ikhlas.

Secara tuntas, amalan berbudi bahasa bukan bersifat sementara atau hangat‐hangat tahi ayam. Sebaliknya, amalan ini harus menjadi paksi kehidupan kita yang mesti diteruskan kerana amalan ini merupakan nilai‐nilai murni yang telah kita warisi sejak turun‐temurun. Sikap budi bahasa akan mengalakan seseorang bersikap toleransi yang dedifinisikan sebagai kesanggupan bertolak ansur,sabar dan mengawal diri bagi mengelekkan berlakunya pertelingkahan dan persisihan faham demi kesejahteraan hidup. Bak kata pepatah, hidup dikandung adat mati dikandung tanah.

PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBENTUK MASYARAKAT PENYAYANG

Pada alaf baru ini, ibu bapa memberi peranan yang penting kepada masyarakat dan negara. Media cetak mahupun media elektronik sering menyiarkan isu ini. Dalam kalangan ibu bapa dalam masyarakat ini selalu diberi perhatian oleh orang ramai terutamanya kerajaan. Menurut Perdana Menteri Malaysia ke-5 Dato Seri Abdullah Bin Haji Ahmad Badawi memberitahu bahawa membentuk masyarakat penyayang amat penting sekali. Oleh itu, terdapat pelbagai langkah-langkah yang boleh diambil untuk membentuk masyarakat penyayang.

Sehubungan dengan hal itu, ibu bapa seharusnya memberikan kasih sayang kepada anak-anak. Namun begitu, terdapat kalangan ibu bapa yang mengabaikan anak-anak mereka. Hal ini kerana, ibu bapa tersebut lebih mementingkan kemewahan hidaup dan kekayaan. Oleh itu, ibu bapa seharusnya meluangkan lebih banyak masa dengan anak-anak mereka pada alaf globalisasi ini. Di sini saya memberi contoh ibu bapa boleh membawa anak-anak mereka semasa cuti sekolah untuk meneratkan hubungan dan mengurangan tekanan anak-anak dalam aspek pembelajaran serta ibu bapa. Jadi, impian ibu bapa atau negara untuk membentuk masyarakat penyayang akan tercapai jua.

Sejajar dengan itu, ibu bapa sewajarnya memberi didikan agama kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Bak kata pepatah “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Sebaliknya, ibu bapa mengagung-agungkan kemodenan sehingga mengabaikan anak-anak dalam didikan agama. Hal ini kerana, mereka beranggapan didikan agama tidak penting dalam arus kemajuan teknologi satelit masa kini. Oleh itu, ibu bapa sewajarnya menerapkan didikan agama kepada anak-anak mereka. Misalnya, menggalakkan anak-anak mengikut kelas kifayah supaya anak-anak akan menjadi insan yang berakhlak mulai. Di samping itu, mereka seharusnya memberikan pengajaran yang baik kepada anak-anak mereka ketika anak-anak itu masih dalam buaian lagi. Jelaslah, hasrat ibu bapa dalam melahirkan generasi yang berguna akan menjadi kenyataan pada suatu hari nanti.

Malahan, ibubapa haruslah menyediakan semua keperluan atau kemudahan kepada anak mereka. Penyediaan tempat belajar yang sesuai amat penting. Begitu juga dengan hubungan ayah dan ibu yang mesra tanpa sebarang masalah sudah pasti akan memberi keselesaan kepada anak untuk menjadi manusia yang penyayang. Ringkasnya, sikap ibubapa yang sebegini mampu melahirkan satu generasi muda yang penyayang di negara ini.

Seiring dengan itu, ibu bapa seharusnya menunjukkan contoh teladan yang baik kepada anak-anak. Namun demikian, terdapat kalangan ibu bapa yang berperangai buruk. Comtohnya, menjadi penangih dadah, pencuri, penjengah, perogol dan sebagainya. Hal ini jelas, mereka akan mengalami kesempatan wang dan tekanan emosi. Bak kata pepatah “ bagai acuan begitulah kuihnya”. Hal ini demikian, ibu bapa perlu menunjukkan sikap yang baik kepada anak-anak sejak kecil lagi. Umpamanya, mengamalkan tabiat rajin membaca buku di hadapan anak-anak. Lama-kelamaan tabiat ini dalam kalangan generasi muda akan mengikut tabiat yang positif ini. Ringkasnya, peranan ibu bapa amatlah besar dalam melahirkan masyarakat yang berguna pada alaf globalisasi ini.

Tuntasnya, semua pihak sewajarnya memberikan kerjasama kepada pihak kerajaan dan pihak swasta. Dalam hal ini, ibu bapa memainkan peranan yang terpenting untuk memupuk masyarakat penyayng. Justeru, peribahasa “bagai aur dengan tebing” hendaklah diamalkan oleh semua warganegara Malaysia terutamanya generasi muda sejak belakangan ini.