Sunday, January 30, 2011

Peribahasa : Binatang Yang Dikaitkan Dengan Peribahasa




Pendahuluan:

Peribahasa ialah sejenis ungkapan atau kata-kata yang padat, yang biasanya mengandungi perkara-perkara yang berkait rapat dengan pengalaman manusia dalam pelbagai aspek kehidupan dan rempah ratusnya. Ia merupakan kata-kata yang penuh dengan kebijaksanaan. Biasanya ia dibentuk daripada gaya kiasan, menggunakan imaginasi dan mudah dihafal. Ia merupakan ayat atau kelompok kata yang mempunyai susunan yang tetap dan mengandungi pengertian yang tertentu. Peribahasa dalam bahsa Melayu boleh dibahagikan kepada empat bahagian, iaitu perumpamaan, simpulan bahasa, bidalan dan pepatah (Kamus Sastera Melayu terkini 2000: 69).

Perumpamaan ialah perbandingan makna yang sangat jelas dan terang. Biasanya ia didahului oleh kata pembanding seperti bagai, laksana, umpama, bak, ibarat, macam, seperti, seolah-olah, dan seakan-akan. Dalam ayat Budak itu seperti lembu, lembu dan budak itu dianggap menyerupai antara satu sama lain. Perumpamaan menjelaskan penilaian yang dibuat terhadap sesuatu benda itu dan biasanya penilaian itu melibatkan emosi dan perasaan yang kuat (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 3). Contoh perumpamaan adalah seperti yang berikut:
a. Bagai: Bagai ubur-ubur airnya hitam (Daripada tingkahlaku dan bahasanya, kita tahu orang itu jahat).
b. Laksana: Laksana golok kayu (ditetak tak makan, dijual tak laku). Perbandingan ini dibuat untuk menerangkan sesuatu yang tidak mendatangkan faedah.
c. Umpama: Umpama enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing (tidak semuafakat; mementingkan diri sendiri)
d. Bak: Bak birah dengan keladi (Hampir serupa sahaja)
e. Ibarat: Ibarat mencangkul angin (angan-angan yang tidak diserta usaha)
f. Macam: Macam kapal tiga tiang (Rupawan dan anggun).
g. Seperti: Seperti ikan dalam belanga (Keuntungan yang tidak akan terlepas lagi).

Simpulan bahasa pula ialah ungkapan yang biasanya terdiri daripada dua atau tiga perkataan dan mempunyai makna yang berlainan sama sekali daripada makna asal yang dibawa oleh perkataan-perkataan tersebut. Contoh simpulan bahasa ialah seperti makan gaji, bulan madu, simpul biawak, senyum kambing dan sebagainya.

Peribahasa yang dicipta untuk memberi nasihat dan tunjuk ajar pula dipanggil bidalan. Antara contohnya adalah seperti jika pandai menggunting, hendaklah pandai menjahitnya (kerja yang sudah dimulakan hendaklah diselesaikan), dan jangan bijak terpijak, biar bodoh bersuluh (jangan berasa diri bijak tetapi dihina orang, biar bodoh asal suka bertanya, pasti akan berjaya) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 5).

Pepatah atau perbilangan ialah ungkapan yang berasal daripada pusaka adat resam. Makna ungkapan itu tidak berubah-ubah. Pepatah berfungsi sebagai pedoman hidup anggota masyarakat yang mengamalkan sesuatu adat resam. Pepatah memliki ciri-ciri puisi tradisional Melayu. Contohnya:
a. Nak kaya berdikit-dikit, nak ramai berkabur urai (jimat cermat ialah tangga kejayaan, murah hati ialah tangga tuah).
b. Pada sangka pohon beringin, kiranya tersandar di punggur lapuk (menyangka dapat berkahwin dengan orang kaya, rupa-rupanya miskin).
c. Ringan sama dijinjing, berat sama dipikul, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni (bekerjasama dan tolong-menolong dalam semua pekerjaan, baik senang mahupun susah) (Ainon Mohd & Abdullah Hassan 2003: 4).

Peribahasa Melayu dicipta berdasarkan dua cara, iaitu melalui perbandingan makna dan perluasan makna. Proses perbandingan makna boleh dilakukan menerusi dua cara, iaitu melalui perbandingan rupa bentuk dan melalui perbandingan sifat. Mengikut cara perbandingan rupa bentuk, sesuatu benda akan dibandingkan dengan benda lain yang mempunayai ciri-ciri rupa bentuk yang serupa. Mengikut cara perbandingan sifat pula, sesuatu benda itu akan dibandingkan dengan benda lain yang serupa sifatnya walaupun rupak bentuknya berlainan (Ainon Mohd. & Abdullah Hassan 2003: 7).

Mengikut kaedah perluasan makna pula, makna sesuatu perkataan diperluaskan supaya meliputi makna-makna baru. Sebagai contoh, daripada perkataan tua, diterbitkan makna-makna lain, yang tidak lagi membawa makna tua. Contoh: ketua,pengetua, yang dipertuan, mertua, pertua dan sebagainya (Ibid: 8).

Binatang dalam peribahasa Melayu

Bangsa Melayu hidup dalam persekitaran yang dipenuhi dengan binatang, sama ada binatang itu binatang buas/liar ataupun binatang ternakan. Kehidupan mereka yang terdedah pada persekitaran yang dikelilingi oleh hutan rimba, kebun dan ladang, sungai dan laut menyebabkan mereka serng bertemu dengan banyak binatang. Kalau ke hutan mereka akan bertemu harimau, gajah, ular dan sebagainya. Kalau ke kebun/ladang, mereka akan bertemu lembu, kambing dan sebagainya yang biasanya dipelihara sebagai punca pendapatan.Dengan itu, mereka dengan sendirinya mengenali binatang-binatang tersebut. Perkongsian hidup mereka dengan bintang-bintang ini membuatkan tempias binatang-binatang itu terpantul dalam peribahasa mereka. Antara binatang yang sering menjadi tumpuan mereka sehingga ia disebut dalam peribahasa mereka ialah harimau, gajah, kera, anjing, serigala, kambing, kerbau, babi, ayam, rusa, kancil, singa, cacing, rama-rama, kura-kura, monyet, belalang, siput, arnab, merak, pipit, enggang, ular, kucing, katak, lembu, kutu, badak, kuda, dan sebagainya.

Beberapa contoh:

Harimau - sebagai simbol untuk raja dan menunjukkan pangkat dan kekuasaan. Antara contoh peribahasa Melayu yang menggunakan perkataan harimau ialah:
1. Anak harimau (anak orang ada kuasa).
2. Harimau ditakuti sebab giginya (pembesar itu ditakuti kerana kuasanya).
3. Harimau memperlihatkan kukunya (pembesar memperlihatkan kuasanya.
4. Harimau menunjukkan belangnya (pembesar memperlihatkan kuasanya).

Harimau – sebagai seorang yang bersifat bengis dan kejam, mengancam orang lain.Contoh:
1. Anak harimau diajar makan daging (orang yang zalim diberi galakan untuk membuat aniaya ).
2. Seperti harimau beranak kecil (sifat orang yang sangat bengis dan garang).

Gajah - Gajah: menunjukkan kuasa dan kekuatan. Contoh:
1. Gajah lalu rumpai layu (perbuatan orang yang berkuasa membawa kesusahan kepada orang yang lemah).
2. Gajah masuk kampung, kalau pohon tak tumbang, rumput layu juga). (orang yang berkuasa dapat berbuat sesuka hati kepada orang yang lemah).
3. Gajah mati tulang setimbun (orang kaya meninggal dunia banyak meninggalkan hartanya).
4. Gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati ditengah-tengah. (kalau para pemimpin berselisih faham rakyat mendapat susah).

Orang yang berpangkat dan berkuasa hilang pengaruh atau kuasa boleh disamakan dengan gajah yang dibinasakan.
Contoh:
1. Gajah dialahkan oleh pelanduk (orang berkuasa dapat dialahkan oleh orang yang lemah).
2. Gajah ditelan ular lidi (Orang berkuasa dapat dialahkan orang lemah).
3. Gajah empat kaki lagi tersaruk (pembesar sekalipun, ada waktunya akan kehilangan kebesarannya).

Naga: dianggap simbol orang besar dan berkuasa.
Contoh:
1. Cacing hendak menjadi naga (orang kecil hendak menyamai orang besar).
2. Cacing menelan naga (orang yang berkusa dapat dialahkan oleh orang yang lemah).
3. Naga ditelan ular lidi (orang bangsawan berkahwin dengan orang biasa).

Anjing dan babi – sebagai simbol kejahatan dan kehinaan. Contoh:
1. Anjing kurap (hina kerana kemiskinan).
2. Anjing biasa makan tahi, jika tidak dimakan, mencium ada juga ( orang yang biasa berbuat jahat, sekali-sekala teringat juga akan mengulangi lagi perbuatan itu)
3. Seperti anjing dengan kucing (selalu bertengkar).
4. Kepala tersangkut dengan kulit babi (mendapat malu besar).
5. Mutiara terkalung di leher babi ( tidak tahu menilai barang berharga, yang mulia jadi hina).

Melalui peribahasa Melayu, dapat dikenal pasti binatang-binatang yang melambangkan kejahatan seperti buaya, lintah, tupai, musang dan ular. Contoh:
1. Buaya darat (penjahat; penggemar perempuan).
2. Adakah buaya menolak bangkai (orang jahat tentu akan berbuat jahat, kalau ada kesempatan).
3. Seperti lintah menghisap darah (membungakan wang dengan bunga yang terlalu mahal, menipu dengan cara yang lemah lembut).
4. Jika kepalanya ular, takkan ekornya belut (yang jahat itu tetap jahat).
5. Sudah tampak kaki ular (telah diketahui tingkah laku seseorang yang buruk (yang dahulunya tidak diketahui).
6. Seperti nyiur ditebuk tupai (anak dara yang diperkosa).
7. Musang berbulu ayam (orang jahat menyamar sebagai orang baik-baik).
8. Musang terjun lantai terjungkat (tempat yang dimasuki pencuri ada juga sesuatu alamatnya).

Lembu – dalam masyarakat Melayu, adalah simbol atau lambang kebodohan. Contoh:
1.Lembu dogol jangan dibalun (orang yang tidak melawan jangan diusik-usik, jika melawan dia bersungguh-sunguh.
Lembu juga dijadikan simbol orang yang tidak seberapa kuasanya.
1. Laksana lembu dogol, tak boleh ditanduk hanya disondol (orang yang hanya suka menggertak tetapi tidak merbahaya; melawan dengan seberapa kuasanya dalam perkelahian.

Kucing: simbol orang yang ditakuti. Contoh:
1. Kucing lalu, tikus tiada berdecit lagi (apabila orang yang ditakuti datang, maka diamlah mereka yang bising.
2. Kalau kucing tidak bermisai, takkan ditakuti tikus lagi (orang besar yang hilang martabatnya (pangkatnya) tiak disegani orang lagi.

Kuda: simbol orang miskin yang berlagak seperti orang kaya. Contoh:
1. Bak rasa kuda pula kukuran (perihal orang miskin yang berlagak seperti orang kaya).
2. Seperti kuda lepas dari pingitan (terlalu gembira sebab lepas dari kurungan atau pembelengguan).

Kambing: simbol orang yang ditakuti. Kambing juga dijadikan simbol kepada orang yang pengecut, orang yang berada dalam ketakutan, orang yang berperangai tidak senonok, keanak-anakan, orang yang malas, orang yang tidak mempunyai kuasa/lemah. Contoh:
a. Kambing keramat (orang yang ditakuti dan bebas membuat sekehendak hatinya).
b. Anak kambing tak akan jadi anak harimau (orang yang pengecut (bodoh) tidak akan jadi orang yang berani (pandai).
c. Bagai kambing dalam biduk (orang yang ketakutan (tidak dapat berbuat apa-apa).
d. Bagai kambing harga dua kupang = menggelinjang bagai kambing berulat (tidak senonoh perangainya, keanak-anakan).
e. Bagai kambing diseret ke air = bagai kambing dimandikan pagi (perihal orang yang malas dan enggan kalau disuruh melakukan sesuatu).
f. Seperti kambing dengan harimau (orang yang lemah bertanding dengan orang yang kuat.
g. Umpama kambing kecil, merentak tidak memutus tali, berantuk tidak melambung bumi (orang yang dianggap ringan kerana tidak berkuasa apa-apa).

Kerbau: simbol kepada orang yang jahat, orang yang bodoh, hina,
1. Bagai kerbau runcing tanduk (orang yang terkenal kerana jahatnya).
2. bagai jelongak kerbau rampung (orang bodoh yang sombong dan tidak sedarkan dirinya diperbodohkan orang).
3. Bermain-main dengan kerbau, dilontarnya muka dengan ekor (berkawan dengan orang bodoh (hina) tentu mendatangkan kerugian).
4. Seperti kerbau dicucuk hidung (orang yang bodoh yang menurut sahaja kemahuan orang lain).

Kancil: simbol kepada kecerdikan/tipu muslihat, lalu dikatakan "akal kancil" (tipu muslihat yang licin, cerdik dengan tipu muslihatnya).

Kijang: simbol kepada negara/tempat asal. Contoh:
1. Kijang dirantai dengan emas, jikalau ia lepas, lari juga ia ke hutan (seseorang itu akan ingat juga negeri asalanya sekalipun senang hidupnya dinegeri orang.
2. Seperti kijang lepas ke rimba (orang yang telah kembali ke tempat asalnya dan sukar dijumpai lagi.

Kera: Simbol kepada orang yang tidak tahu menghargai sesuatu, resah gelisah, orang yang takut bergaul.
1. Kera dapat (diberi) bunga = bagai kera diberi kaca (mendapat (diberi) sessuatu yang tidak tahu (tidak dapat) dipergunakannya).
2. Seperti kera kena belacan (sangat gelisah (resah), tidak senang diam).
3. Seperti kera sumbang (orang yang takut (tidak gemar) mencampuri orang ramai).

Keldai: simbol kebodohan. Contoh:
1. Keldai hendak dijadikan kuda (orang yang bodoh hendak dianggap (dijadikan) orang pandai).

Ayam:
Ayam tak patuk, itik tak sudu (dikatakan kepada seseorang yang hina atau tidak berharga)

Beruk:
Berhakim kepada beruk (meminta hukum kepada orang yang tamak).

Badak:
1. Sayang anak badak tampung, cucu konon badak raya (seseorang yang bukan bangsawan tetapi mengaku dirinya kerabat diraja).

Belalang: belalang telah menjadi helang (orang yang bodoh dan hna telah menjadi cerdik dan panai).

Biawak: mendukung biawak hidup (melakukan sesuatu yang menyusahkan diri sendiri),

Cacing: cacing naik ke muka (kelakuan yang melampau).

Cicak:
Seperti cicak makan kapur (beroleh malu kerana kesalahannya sendiri; bersenang hati (gembira) KD: 239

Merak: tidak ada dalam kamus dewan.

Helang: simbol kebesaran, kegagahan,
1. Helang terbang mengawan, agas hendak mengawan juga (orang miskin mahu meniri kelakuan orang kaya).
2. seperti helang menyongsong angin (gagah dan berani apabila menentang musuh).
3. cerdik helang bingung si kikih, lamun murai terkecoh jua (biarpun cerdik atau bodohnya orang besar-besar, orang yang rendah jua yang terpedaya (menanggung rugi).KD: 449

Burung gagak:
1. Burung gagak itu jikalau dimandikan dengan air mawar sekalipun, tiada akan menjadi putih warnanya (orang yang sudah bertabiat jahat tidak dapat diperbaiki lagi ) KD: 194.

Enggang: simbol kebesaran,
1. pipit meminang anak enggang (orang yang miskin (kecil-kecil dll) meminang anak orang kaya (besar0besar dll) tentu tidak munasabah) KD: 339-340.

Serigala: simbol kejahatan, kecurangan. Contoh:
1. serigala berbulu domba (orang yang kelihatan bodoh dan penurut tetapi sebenarnya culas, jahat lagi curang).
2. serigala dengan buah anggur (orang yang mencela sesuatu yang diingininya kerana ia tidak berupaya untuk mendapatkan benda itu).

Unta: simbol kebodohan, lurus, patuh. Contoh:
1. Bagai unta menyerahkan diri (orang yang sangat patuh menurut perintah; mengaku salah serta bertaubat daripada kesalahan itu; orang yang bodoh dan lurus itu selalu menjadi keuntungan dan kesukaan orang yang cerdik). KD: 1524)

Sumber : http://maharani-mamailham.blogspot.com/

Saturday, January 29, 2011

Deklamasi Sajak : Mesyuarat Agung PIBG SMK Sijangkang Jaya




(sajak ini dideklamsikan oleh Adik Azlina (tingkatan 3 Amal)
dalam Mesyuarat Agung PIBG SMK Sijangkang Jaya)


alam ini,

berbenih jutaan tanaman dan tumbuhan;
terhampar luas laut,kali dan danau;
megah berdiri bukit,gunung-gemunung dan lurah;
tempat diam makhlukpelbagai rupa;
petanda ada dia yang maha pencipta.

alam ini;

merata dihuni insan tersesat;
dirinya mengusung dosa dicengkam noda;
hidupnya diselimuti perca sengsara;
jauh di sanubarinya terkelimut rasa insaf;
hanya dia penerima taubatnya;

alam ini;

tidak pernah ada yang sama mahupun serupa;
walau si kembar,masih ada beza;
tidak mungkin ada makhluk boleh menyayanginya;
walau sebutir padi,tidak dapat dicipta;
mustahil ada yang kekal selamanya;
walau bumi ini,pasti bercerai akhirnya;
kerana alam ini,di bawah takluknya;

oh dia,tuhan

dia yang maha mencipta;
dia yang maha pengampun;
dia yang maha penyayang;
dia yang maha agong;
dia yang maha segalanya;
seisi dunia pasti kembali kepadanya;


subhanallah,subhanallah,
subhanallah(maha suci allah)
allahhuakhbar,allahuakhbar,
allahhuakhbar

sekian terima kasih....

Thursday, January 27, 2011

Gejala Buang Bayi : Isu Yang Perlu Dirungkai Dengan Segera



Tahun 2011 baru seminggu membuka tirainya tetapi dalam tempoh itu tujuh kes buang bayi dilaporkan.

Angka itu perlu diberi perhatian serius dan bimbang dengan gejala yang berterusan itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata kerajaan akan memperhebatkan kempen kesedaran dalam usaha menyekat gejala itu daripada berlarutan.

"Kerajaan komited terhadap usaha membanteras perbuatan membuang bayi yang kini menuntut tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen 'Kami Prihatin' di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.
Kempen itu adalah untuk mencetuskan rasa keinsafan dan menebalkan kembali nilai kemanusiaan di kalangan masyarakat dalam usaha menangani kes penderaan kanak-kanak dan buang bayi.

Shahrizat berkata kementerian akan terus mendekati golongan remaja hingga ke peringkat akar umbi selain mempergiatkan kerjasama dengan badan bukan kerajaan dalam menjalankan kempen kesedaran mendidik masyarakat.Beliau berkata media massa dan badan-badan agama juga perlu terus memainkan peranan yang lebih kritikal bagi membendung gejala itu.

Petikan yang saya coretkan itu adalah antara paparan yang membuktikan bahawa gejala buang bayi terus menular dalam masyarakat Malaysia.Mengapa perkara ini terus berlaku? Di mana nilai kemanusiaan dalam diri masyarakat? Sampai bila kita akan terus menatapi peristiwa ini ? Melampau, perangai binatang, tidak berguna, haiwan berkepala manusia, dan pelbagai istilah lain yang diberikan kepada mereka yang melakukan perkara terkutuk itu.

Yang pasti, hati kita terguris luka, benak kita memberontak dan jiwa kita terseka apabila menyaksikan insan suci terdampar dalam sungai, terperosok dalam timbunan sampah, tergantung dipintu pagar masjid, ditanam hidup-hidup, tubuh badan digonggong anjing, dikerumuni semut atau terbiar kaku berulat. Air mata mana yang tidak mengalir menyaksikan semua situasi ini. Itupun sekadar kes yang dapat dikesan, mungkin banyak kes yang tidak mampu dikesan dan hanya menjadi igauan pelakunya. Mengapakah ini boleh berlaku? Di manakah silapnya ? Siapakah yang harus dipersalahkan ?

Untuk mengatasi masalah ini, pelbagai pihak sama ada kerajaan, pihak berkuasa, ahli politik, masyarakat, guru dan ibu bapa harus berganding bahu dan seia sekata untuk sama-sama membasmi kebejatan sosial yang semakin melampau ini. Kita buangkan sikap ego dalam diri kita, kita satukan idea, kita satukan tekad dan kita satukan kerjasama. Mengalah bukan bererti kita kalah. Mengenepikan perbezaan politik bukan kerana menjaja maruah tetapi demi melihat dan membina sebuah bangsa yang tidak kembali dengan sifat jahiliah.

Untuk mengatasinya, kita perlu kembali melihat puncanya. Jika punca tidak dikekang atau diatasi, buatlah apa saja program pembasmian, semuanya akan menjadi sia-sia. Sediakanlah peruntukkan berjuta ringgit semuanya akan menjadi "seperti mencurahkan air ke atas daun keladi".Kita bukan menolak pembangunan tetapi, pembangunan perlu seiring dengan pembangunan modal insan yang berakhlak dan beretika atau lebih tepat menyediakan modal insan yang mantap iman di hati.

Kerajaan sebagai pihak berkuasa, perlu menggubal sistem pendidikan negara supaya dapat membentuk iman yang mantap dalam jiwa generasi pewaris bangsa. Tidak cukup sekadar untuk melahirkan seorang insan berpendidikan sahaja. Kita berlumba-lumba untuk mendidik generasi yang mengenali sejarah negara atau kita risau kalau anak bangsa kita lupa pada sejarah tetapi tidak risau kalau kita gagal menanamkan iman dalam jiwa pelajar. Sedangkan iman itulah yang menentukan kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Kita tidak mahu didakwa oleh anak bangsa kita, kehinaan yang berlaku dalam diri mereka disebabkan dasar pendidikan kita yang tidak mampu membentuk keperibadian mereka.

Kita juga perlu menamatkan program-program yang menjadi bibit-bibit kepada pergaulan bebas dan "kekacauan" jiwa remaja. Program hiburan sempena sambutan tahun baru, program ambang merdeka dan pelagai program hiburan selalunya menjadi "tiket" untuk pergaulan bebas. Bukan tidak boleh menyambut dan meraikan majlis itu, tetapi biarlah kita raikan berlandaskan ajaran Islam. Sekurang-kurangnya kita mampu mengajak remaja mendekati Allah dan membersihkan jiwa remaja kita daripada melakukan perkara tidak baik.

Pihak berkuasa juga harus tegas dalam menangani bunga-bunga kepada permasalahan sosial. Tindakan segera perlu diambil berdasarkan peruntukkan undang-undang supaya memberi pengajaran kepada mereka yang terlibat. Pihak berkuasa tidak perlu memberi muka kepada mereka yang didapati berdua-duaan atau dalam keadaan yang 'memualkan' di tempat-tempat awam. Apa yang menghairankan, terdapat terlalu ramai remaja yang berlaku sumbang di tempat-tempat awam dan inilah salah satu punca kepada masalah buang bayi.

Selain itu, pihak berkuasa perlu membanteras faktor-faktor yang boleh mengghairahkan pelajar untuk melakukan maksiat yang berakhir dengan pembuangan anak. Operasi membanteras CD lucah, media lucah, filem lucah, bahan bercetak lucah harus dilakukan dengan berkesan agar dapat dipadam terus dari minda rakyat Malaysia. Tentu ada kaedah atau cara yang boleh diambil untuk mengatasi masalah itu. Janganlah operasi hanya bermusim atau ada "tangan-tangan" yang boleh terlepas dan berdondang sayang dengan penyebaran bahan-bahan tersebut. Jika ini dapat dikuatkuasakan, sudah tentu kita mampu membendung masalah sosial yang tercetus akibat bahan rangsangan yang mudah didapati.

Ibu bapa juga perlu menilai balik tanggungjawab mereka. Kegagalan ibu bapa menanam jati diri dalam jiwa anak-anak menyebabkan mereka tidak mampu mengawal diri mereka. Ibu bapa berperanan ;
a) Memberikan didikan agama secukup dan selengkapnya.
b) Mengawal dan mengawasi pergerakkan anak-anak
c) Mengambil tindakan ke atas anak yang "liar"
d) Menghalang anak-anak terlibat dalam pergaulan bebas.
e) Mengadakan perbincangan dengan anak-anak'
f) Menjadi suri teladan kepada nak-anak
g) Jangan terlalu mementingkan kerjaya
h) Memastikan anak-anak sentiasa mengamalkan amalan agama
i) Memastikan anak-anak tidak terpengaruh dengan bahan memudaratkan spt CD
Apalah ertinya kesenangan dan kekayaan, jika anak kita boleh menguggat maruah keluarga atau memalukan keluarga kita.

Pihak sekolah juga seharusnya mengingatkan pelajar tentang kesan buruk yang akan berlaku jika mereka terlibat dengan masalah sosial. Peringatan haruslah diberikan setiap masa, bukan hanya sekali. Dedahkan kepada mereka tentang dosa dan hukuman jika mereka terlanjur atau terlibat dalam gejala buang bayi.

Bukanlah hasrat saya untuk mengajar tetapi kita perlu kembali kepada persoalan pokok untuk untuk menangani masalah pembuangan bayi ini. Kita mahu generasi kita tidak lagi terlibat dalam masalah ini.

Gejala Buli Dalam Kalangan Pelajar : Isu Besar Yang Harus Ada Penyelesaian



Sama ada di dada akhbar mahupun di paparan media elektronik, masyarakat seringkali diwar-warkan dengan pelbagai berita yang menyentuh hal yang berkaitan dengan sekolah. Mengapa terlalu banyak masalah dikaitkan dengan sekolah hari ini?. Dari isu lapok seperti merokok dan ponteng hinggalah kepada masalah gengsterisme. Sekarang ini tiba-tiba sahaja orang sibuk mengaitkan sekolah dengan buli walaupun ini merupakan bentuk keganasan yang terawal dan biasa di sekolah. Jika tidak kerana kejadian yang menimpa seorang pelajar Tingkatan 4 sebuah sekolah menengah agama baru-baru ini, orang ramai masih menganggap buli adalah perkara biasa, khususnya di sekolah-sekolah berasrama.

Persoalan pokok yang wujud dan timbul dibenak pelajar yang terlibat dengan kejadian buli ialah mereka tidak memahami erti buli yang sebenar. Pembuli atau mangsa buli kadang-kadang tidak tahu bahawa tindakan yang mereka lakukan itu dikategorikan sebagai kes buli. Lebih menyedihkan lagi ada sesetengah menganggap hal buli sebagai perkara remeh dan tidak perlu dijadikan isu.Bagi mereka "bunga-bunga" buli tidak memberikan apa-apa kesan. Sikap sudah terhantuk baru terngadah ini harus dikikis dalam jiwa mangsa buli. Janganlah berasa tersentak hanya setelah berlakunya kecederaan parah atau tinggal nyawa-nyawa ikan barulah terasa diri di buli.

Hampir semua pelajar yang pernah belajar di sekolah berasrama penuh mengetahui wujudnya buli, walaupun hanya segelintir yang menjadi mangsa atau pembuli.Tetapi saya percaya sebahagiannya tidak pula menganggap perkara ini serius dan perlu diperbesar-besarkan. Bagi mereka, buli yang dilakukan oleh pelajar senior ke atas pelajar junior adalah satu bentuk yang boleh diterima sebagai satu cara untuk menambahkan keyakinan hidup di asrama, untuk belajar hidup berdikari, menerima sedikit tekanan dan tidak dimanjakan. Malahan hubungan lebih mesra antara pelajar senior dengan pelajar junior akan berlaku selepas itu.

Tetapi orang lupa bentuk buli itu tidaklah sampai membunuh seperti yang berlaku pada diri Muhammad Farid Ibrahim. Buli bolehlah dimaksudkan sebagai tingkah laku agresif di mana seorang pelajar atau satu kumpulan pelajar mengganggu seorang mangsa secara fizikal atau psikologi bagi satu jangka masa yang panjang. Tingkah laku ini berlaku berkali-kali (Hazler & Hoover, 1993).

Oleh kerana gejala buli berlaku dalam tempoh yang panjang dan berkali-kali ia sepatutnya mudah untuk dikesan kerana ia memungkinkan wujud petanda-petanda awal. Petanda-petanda awal itu sepatutnya boleh dihidu, diramal dan dikesan oleh pengurusan sekolah.Kajian tentang buli telah dilakukan di kebanyakan negara sejak 1970-an lagi. Misalnya kajian di Norway oleh Olweus (1978), Kanada oleh Bentley (1994), USA oleh Hoover et al. (1993), Itali oleh Genta et al. (1996), Jepun oleh Hoover et al. (1993) dan Australia oleh Rigby (1996).

Di Malaysia orang yang paling menonjol kajiannya tentang buli ialah Prof Datin Dr Noran Fauziah Yaakub, dari Universiti Pendidikan Sultan Idris. Malahan apabila Kementerian Pelajaran di bawah kepimpinan yang baru mula menangani kes samseng dan buli ini secara serius sehingga dibentuk Jawatankuasa Petugas Khas, dan talian hotline tentangnya ia merupakan satu pengiktirafan secara tidak langsung terhadap usaha gigih wanita ini tentang buli dan implikasinya terhadap pengurusan sekolah.

Walau apapun matlamat baik yang cuba diketengahkan daripada tindakan buli, buli tidak boleh dibenarkan. Tindakan menyakitkan perasaan dan fizikal orang lain apatah lagi mencederakan dan membunuh tidak dibenarkan baik dalam agama apa sekalipun. Ia bukan boleh dibuat jenaka atau dilakukan dengan tujuan berseronok-seronok. Dalam budaya Melayu buli hampir tidak ada seperti juga April Fool. Dalam Islam lebih-lebih lagilah. Allah berfirman bermaksud: “janganlah kamu melakukan kerosakan di atas muka bumi ”.

Jika kita ingin memerangi keganasan, dan tidak bersetuju dengan tindakan pengganas kita hendaklah menyekat buli ini kerana dari sinilah punca-punca keganasan bermula dan bakal-bakal pengganas amatur dibentuk.Menurut Trump, KS (2000) dalam bukunya Classroom Killers? Hallway Hostages?: How Schools Can Prevent And Manage School Crises buli akan melahirkan sekumpulan orang muda yang bertindak sebagai penyerang. Menurut beliau lagi jika pendidik peka terhadap masalah perlindungan, mereka harus bermula dengan sebab-sebab yang mencetuskan gejala buli, berusaha untuk meminimumkannya ketika pelajar masih dalam usia kecil dan memeranginya secara konsisten. Ini termasuklah dalam melaksanakan strategi-strategi perlindungan dan pencegahan ketika anak-anak membesar dalam saat-saat persekolahan mereka.

Adalah penting untuk kita ingat bahawa buli, konflik verbal, sentuhan fizikal dan yang berhubung dengan tindakan agresif masih menjadi bentuk yang biasa dalam masyarakat. Trump menegaskan bahawa bentuk-bentuk keganasan sekolah ini merupakan petanda awal kepada bentuk keganasan yang lebih besar dalam masyarakat. Sebab itu mengendalikan masalah kecil di sekolah adalah penting untuk kita mengelakkan berlakunya masalah yang lebih besar.

Kita tentu tidak mahu insiden buli ini menjadi lebih teruk seperti yang berlaku di Amerika Syarikat di mana tembakan rambang kerap berlaku di sekolah. Salah satunya ialah insiden Columbian High School. Urutan kehangatan peristiwa-peristiwa tembak-menembak yang berlaku di sekolah di sekitar Amerika Syarikat pada akhir 1990-an, satu dokumen bertajuk Early Warning, Timely Respons: A Guide to Safe Schools (Dwyer, Osher, Werger 1998) telah diterbitkan. Dokumen itu menyenaraikan satu panduan amaran awal bagi membantu orang dewasa bagi mendekati kanak-kanak yang bermasalah secara cepat dan berkesan. Dalam dokumen itu, penulisnya menekankan akan bahaya menyalahertikan atau mengabaikan tanda-tanda pengenalan ini. Penulis menambah budak-budak yang bermasalah selalunya menunjukkan banyak tanda amaran awal dan ini berlaku secara berulang dengan yang akhir lebih teruk atau serius dari yang awal. Inilah yang perlu dikesan oleh pengurusan sekolah, terutamanya guru kaunseling.Kesan psikologi, kesihatan mental, jenayah, keganasan dan serangan semuanya merupakan isu yang kompleks.

Walaupun kita tidak dapat mengelakkannya atau hanya melihat secara luaran sahaja terhadap isu-isu ini, namun kita tidak perlu menunggu hingga ke tahap “paralysis by analysis” atau menanti indidvidu tertentu yang mempunyai ijazah kedoktoran dan bertahun-tahun pengalaman dalam profesion kesihatan mental untuk mengesan petunjuk awal keganasan.(Zain-ter).Realitinya, kemahiran pemerhatian yang baik dan “common sense” oleh para guru, ibu bapa dan orang ramai tentang petanda amaran awal ini akan membantu mengatasi masalah ini. Common sense dan kesedaran yang tinggi tentang tanda-tanda awal keganasan, digabungkan dengan masa yang mencukupi serta “follow-through” yang sesuai akan membantu sekolah menangani tragedi keganasan ke atas remaja yang lain. Di samping itu ia akan dapat mengelakkan penglabelan yang tidak sesuai dan salah kenal terhadap remaja sebagai pesalah-pesalah keganasan.

Wujudnya hot line buli di bawah kementerian pelajaran yang baru dilihat betapa seriusnya masalah buli. Sesetengah pula melihat sebagai satu sindiran kepada pihak pengurusan sekolah yang gagal menangani masalah disiplin sehingga menteri terpaksa campurtangan. Apakah tidak ada sesiapa lagi di sekolah yang tidak boleh diharapkan oleh pelajar sehingga mereka terpaksa berhubung terus dengan kementerian untuk membuat aduan?. Pendedahan oleh sesetengah media menunjukkan betapa sekolah gagal memainkan peranan yang sepatutnya. seolah-olah sekolah tidak selamat lagi untuk para pelajar.

Sama ada disukai atau tidak, pengetua dan guru besar selaku pemimpin di sekolah harus menerima perkembangan ini dengan fikiran terbuka. Tindakan terbaru ini harus dilihat sebagai perkembangan yang positif kerana ini menunjukkan semua pihak semakin sedar masalah ini dan berghairah untuk membantu pihak sekolah.Inilah masanya sekolah mengambil kesempatan untuk mendedahkan punca sebenar masalah ini kepada umum. Inilah masanya sekolah menuntut peranan semua pihak terutama ibu bapa dan masyarakat agar melihat peranan masing-masing untuk membantu sekolah.Perasaan kita tentang sebilangan kecil yang tidak senang dengan sekolah harus disingkirkan kerana majoriti masyarakat kita masih sayangkan sekolah.

Alasannya mudah. Bukankah di sinilah anak-anak, anak-anak saudara, dan cucu-cucu mereka ditempatkan dalam suatu tempoh yang bukan pendek. Mereka menyerahkan tugas mendidik dan menjaga keselamatan anak-anak mereka kepada guru-guru. Mereka percaya guru-guru mampu melakukannya dan menunaikan tanggungjawab sebagai in loco parentis dalam tempoh masa rasmi persekolahan.Walaupun dikatakan segala-galanya bermula di rumah, tetapi dengan segala kemudahan pendidikan yang ada di sekolah, ditambah dengan kepakaran mendidik yang ada pada guru-guru, sekolah dilihat berupaya memainkan peranan lebih utama dalam pembentukan calon pemimpin, pekerja dan ahli masyarakat masa depan. Justeru, sekolah wajar mengambil langkah berjaga-jaga yang berpatutan supaya tidak dituduh cuai dalam menjalankan tugasnya sebagai in loco parentis.

Al-hamdulillah dengan pendekatan berakhlak dan beragama yang dibawa oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi segala-gala yang tidak berjalan menurut akhlak dan agama diperangi habis-habisan. Dari memerangi cetak rompak, video lucah, sehinggalah kepada rasuah, sehinggalah kini memerangi gejala ponteng dan buli.Usaha mengatasi masalah disiplin pelajar umumnya dan buli khasnya hanya akan berjaya jika ia dilakukan secara ikhlas, konsisten dan melibatkan semua pihak secara sedar dan terancang. Tindakan secara ad hoc dan berkala hanya dilihat sebagai tindakan hangat-hangat tahi ayam. Usaha murni ini tidak wajar dilakukan dengan melihat kesalahan orang lain.

Selagi ada pihak yang mendakwa ada pihak yang lebih bersalah daripada pihak yang lain, usaha ini tidak akan ke mana-mana.Ingat kita melaksanakannya bukan untuk menunjukkan siapakah di antara kita yang lebih hebat, jauh sekali untuk mencari kesalahan pihak lain tetapi semua ini dilakukan atas satu kesedaran bahawa semua pihak bertanggungjawab atas apa jua yang berlaku pada anak-anak bangsaMalaysia yang merdeka. Apa sahaja yang kita lakukan hari ini, baik sebagai guru, ibu, bapa, masyarakat, pemimpin, media dan sesiapa sahaja akan memberi impak yang besar bagi pembentukan generasi akan datang. Tentulah cara kita berbeza-beza menurut peranan dan fungsi kita masing-masing.

Hakcipta Abd Bashid Harun

Kepentingan Kegiatan Kokurikulum Kepada Pelajar

KEGIATAN kokurikulum di sekolah seperti unit beruniform, sukan dan olahraga, permainan serta kelab dan persatuan mampu memperkembangkan potensi seseorang murid.

Melalui pengalaman yang didedahkan dalam kegiatan kokurikulum murid akan diberi ilmu, kemahiran, bimbingan serta latihan yang merupakan satu nilai tambah untuk mencapai kecemerlangan diri.

Malah pada masa ini kecemerlangan seseorang murid bukan sahaja diukur dari segi pencapaian akademik sahaja tetapi juga pencapaian kokurikulum.

Hal ini bermakna pencapaian dalam kokurikulum membantu meningkatkan prestasi serta memberi peluang yang lebih luas untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi atau untuk mendapat pekerjaan.

Antara ilmu dan kemahiran yang dapat dipelajari melalui aktiviti kokurikulum adalah seperti berikut:

Kepimpinan: Seseorang insan yang dilahirkan adalah pemimpin. Oleh itu bimbingan perlu diberikan agar ciri-ciri kepimpinan ini dapat dihayati dan di gunakan dalam kehidupan nanti.

Melalui aktiviti kokurikulum murid akan didedahkan dengan pelbagai situasi dan ciri-ciri kepimpinan ini dapat dipupuk dan digunakan sejak permulaan lagi.

Sebagai contoh pelantikan sebagai pengawas sekolah, pengerusi persatuan atau pengacara majlis memberi ruang dan kepekaan tentang tanggungjawab yang perlu dipikul dalam mengetuai sesuatu tugas.

Perancangan: Aspek perancangan adalah amat penting untuk mencapai kejayaan.

Dalam aktiviti kokurikulum, aspek ini diberi penekanan seperti merancang masa dan jadual pelaksanaan sesuatu projek, merancang program atau merancang sumber kewangan.

Keadaan ini memberi kesedaran kepada murid betapa pentingnya aspek perancangan untuk menjayakan sesuatu projek.

Kerjasama: Kerjasama adalah asas kepada kejayaan dalam kehidupan. Aspek ini diberi penekanan dan pendedahan dalam melaksanakan sesuatu aktiviti.

Penubuhan jawatankuasa bagi sesebuah persatuan atau kelab, mengendalikan majlis atau membuat kerja amal memerlukan semangat kerjasama yang erat. Hal ini merupakan asas ke arah pembentukan semangat berpasukan yang menjadi teras kejayaan sesebuah organisasi.

Kreativiti: Melalui pertandingan, pameran, seminar, mesyuarat atau pertunjukan, memberi ruang kepada murid-murid mencetus idea ke arah yang lebih kritis dan kreatif serta menggalakkan inovasi.

Kegiatan seperti ini mampu mencungkil potensi murid yang akhirnya mampu memberi keyakinan, semangat dan menyuburkan pertumbuhan emosi murid secara lebih seimbang.

Pendedahan ini amat penting untuk membentuk budaya kerja yang sihat personaliti diri yang mampan di masa hadapan.

Melalui ilmu dan kemahiran yang disenaraikan di atas menunjukkan peranan kokurikulum amatlah penting. Ia bukan sahaja sebagai kegiatan tambahan yang dibuat secara sambil lewa tetapi perlu diberi perhatian dan penglibatan yang sepenuhnya oleh murid-murid.

Wednesday, January 26, 2011

Puteriku - Nurul Batrisyia



Bait-bait ini dinukilkan khas buat puteri bongsuku


Tanggal 13 Disember 2010
lahirlah seorang insan
lahirlah seorang puteri
lahirlah seorang hamba Allah
menjadi penyinar sebuah kehidupan
seorang ayah dan mama
menjadi permata rindu
seorang abang dan kakak

Nurul Batrisyia nama dijulang
membawa maksud cahaya cerdik pintar
sepintar seorang ulamak
sepintar seorang aulia
sepintar seorang umarak
itulah doa seorang ayah
itu jua harapan seorang ibu
buat seorang puteri

Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa
Maha Agung Lagi Bijaksana
mencipta seorang insan
untuk sebuah keluarga
untuk menjadi pengikat dan penguat
sebuah kehidupan yang bahagia
bahagia didunia dan bahagia di sana

Batrisyia anakku,
kutitipkan sebuah desa rindu
kuabadikan sebuah kota cinta
kuukirkan selautan kasih
kubukukan segunung harapan
untuk sebuah perjalanan
untuk sebuah masa hadapan

Batrisyia puteriku
bila dapat ku gapai awan
bila dapat ku daki gunung
bila dapat kuredah samudera
akan kutulis namamu
tanda kasih ayah dan ibu

Batrisyia
kita lalui perjalanan ini
sederap dan seiring bersama
kupegang erat jari jemarimu
kuikat kasih abadi
untukmu, abangmu dan kakakmu


Nukilan rasa:
SAHARUDDIN ABDULLAH

Kenapa Masalah Sampah Terus Berlaku - Dimana Tanggungjawab Pihak Berkaitan dan Tanggungjawab Masyarakat?

MASALAH pembuangan sampah yang semakin tinggi oleh rakyat Malaysia nampaknya masih tidak ada jalan penyelesaian. Program kesedaran yang dilancarkan dan yang digerakkan oleh agensi kerajaan yang diamanahkan masih gagal menyedarkan rakyat. Sikap keprihatinan rakyat terhadap masalah sampah yang semakin meruncing, nampaknya tidak wujud di hati rakyat.

Tong-tong sampah kitar semula yang diletakkan di beberapa tempat, juga tidak mendapat sambutan rakyat. Di manakah silapnya? Adakah ketamadunan rakyat Malaysia terhadap kebersihan sudah terhakis atau kempen-kempen kesedaran yang dilancarkan tidak sebaik seperti kempen 'Tak Nak' yang dilancarkan oleh Kementerian Kesihatan.

Saya sebagai rakyat yang prihatin terhadap masalah sampah, amat kecewa dengan sikap segelintir rakyat Malaysia yang suka membuang sampah di merata-rata. Mereka tidak memikirkan akibat di kemudian hari, jika sampah-sampah yang dibuang akan tersangkut di dalam longkang dan ia boleh menyebabkan longkang-longkang tersebut tersumbat.

Jika hujan lebat berterusan, ia akan mengakibatkan masalah banjir jika masalah longkang tersumbat tidak diatasi segera. Kemudian, rakyat yang menghadapi masalah banjir akan memarahi dan menuduh kerajaan gagal menjalankan tugas sehingga mengakibatkan banjir, sedangkan sebahagian punca banjir adalah kerana aliran longkang dan sungai tidak teratur akibat banyaknya sampah yang tersangkut di dasar sungai dan longkang.

Walaupun kerajaan telah berbelanja ribuan dan jutaan ringgit bagi menangani masalah banjir, namun kerana ada segelintir rakyat yang tidak prihatin ini (suka membuang sampah di merata-rata tempat), ia telah mengakibatkan sebahagian besar rakyat merana kerana masalah banjir yang berpunca daripada aliran air yang tersangkut dari longkang-longkang yang sepatutnya mengalirkan air terus ke sungai dan kawasan tadahan.

Namun, saya tidak hanya ingin menyalahkan 'segelintir rakyat yang tidak prihatin' ini, tetapi kesalahan juga harus dipikul dan ditanggung bersama oleh agensi kerajaan yang telah diamanahkan oleh kerajaan persekutuan untuk menangani masalah sampah ini.

Kempen kesedaran pembuangan sampah yang kosnya berharga ratusan dan jutaan ringgit telah dihabiskan oleh agensi tersebut, namun impaknya masih gagal dan tidak berjaya menukar minda rakyat mengenai masalah pembuangan sampah yang betul. Malah saya difahamkan masalah ketidakmampuan mengurus sampah di beberapa tempat pengumpulan sampah juga semakin meruncing. Ini menunjukkan sikap rakyat dalam pembuangan sampah masih kekal sama dan gagal diperbetulkan.

Soalnya, tidakkah pegawai-pegawai di agensi sisa pepejal negara tidak melihat perkara ini sebagai kegagalan dari agensi tersebut? Atau mereka ini tahu bahawa kerajaan akan sentiasa memberikan dana untuk mereka habiskan dengan membina beberapa lagi cadangan kempen kesedaran tanpa ingin mengetahui sejauh mana kempen tersebut berjaya.

Inilah hakikatnya yang perlu kerajaan tahu iaitu sikap segelintir pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mementingkan kepuasan dan kepentingan rakyat. Yang mereka tahu dan lakukan setiap hari ialah membuat kerja bagi mencukupkan masa kerja harian sahaja dan menuntut bayaran lebih masa jika disambung kerja pada waktu petang tanpa melihat keberhasilan kerja yang dilaksanakan, 'adakah ia dapat menyelesaikan masalah kerajaan dan rakyat'?.

Sikap tidak profesional segelintir ketua-ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif (syarikat berkaitan kerajaan, GLC) juga telah merencatkan perjalanan kerajaan dalam memastikan 'rakyat didahulukan' dan 'pencapaian diutamakan'. Kegagalan dan ketidakcekapan pegawai tertinggi ini juga telah menyebabkan rakyat 'menunjukkan' kemarahan kepada kerajaan, sedangkan 'mereka' ini yang sepatutnya dipersalahkan.

Di sini saya tidak menyalahkan menteri atau timbalannya di kementerian tersebut kerana gagal menyedarkan rakyat kerana mereka ini silih berganti. Yang harus dipersalahkan ialah Ketua Setiausaha Kementerian tersebut dan Ketua Pengarah Jabatan yang seharusnya memikul tanggungjawab itu sepenuhnya.

Pegawai tertinggi kerajaan ini haruslah meletakkan jawatan atau mengambil tindakan drastik terhadap jabatan yang diamanahkan dengan menukar pengurusan agensi tersebut kepada pegawai yang lebih berdedikasi.

Masalah pemborosan perbelanjaan pejabat, memberikan tender-tender berimpak tinggi kepada syarikat-syarikat kroni serta memberikan syarikat yang tidak berkelayakan dalam menjalankan urusan kempen haruslah dihentikan segera.

Saya juga menyarankan pihak SPRM untuk melihat lebih mendalam terutamanya penglibatan agensi ini dalam pengurusan syarikat kerana kegagalan melaksanakan tugas yang diberi serta 'ada'nya pemberian tender yang tidak telus sehingga mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta.

Apa yang diluahkan ini, tidak ada sekelumit pun irihati terhadap mana-mana pegawai di dalam kerajaan tetapi kerana kehabisan duit kerajaan yang keterlaluan tanpa ada banyak membantu rakyat, yang membuatkan kekecewaan terhadap kakitangan kerajaan yang diamanahkan oleh rakyat terhadap kerajaan yang memerintah.

Siti Nur Nadhirah Hazirah

Melaka

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Thursday, January 20, 2011

NOVEL TING 4 : PAPA...(Akhirnya kau tewas jua!)



Biodata Pengarang:

Nama sebenar Deana Yusof ialah Norhaiza binti Yusof yang dilahirkan pada 3 Mac 1957 di Kepong, Selangor. Beliau memperoleh pendidikan awal di Sekolah Menengah Kampung Baru, Kuala Lumpur.Seterusnya, melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi MARA di Shah Alam, Selangor.Kini, Deana merupakan suri rumahtangga sepenuh masa dan menjadi penulis di Pekan Ilmu Publications. Beliau, berazam menulis sebuah novel setahun kerana lebih mementingkan kualiti karya daripada kuantiti.

SINOPSIS NOVEL PAPA

Cerita bermula pada suatu petang, ketika Intan Julia perasan akan kemesraan papa dengan mama.Mak cik Noraini, pembantu rumah mereka menyediakan minuman petang. Ju berasa kagum tetapi jengkel melihat kehangatan hubungan tersebut meskipun mereka sudah lama mendirikan rumahtangga.


Mak cik Noraini sering bercerita tentang sejarah percintaan mama dan papa Juliana. Perbualan mereka terputus tatkala papa memberitahu Juliana bahawa mamanya sedang mengandung anak yang kedua.Mendengar berita tersebut, membuatkan hati mak cik Noraini bimbang. Malah rakah-rakan Intan Marliana juba bimbang risiko yang bakal dihadapi oleh Intan Marliana memandangkan mama pernah mengalami komplikasi yang teruk tatkala melahirkan Juliana.Namun, kedegilan Intan Marliana untuk membuktikan kasihnya kepada papa, beliau bertekad untuk meneruskan kandungannya dan pasrah kepada Tuhan.Hal ini demikian kerana, papa memang sudah lama teringin menimang cahaya mata kedua.


Di dalam kereta, Cikgu Suzie mengingatkan Intan Marliana tentang risiko yang bakal dihadapi oleh sahabatnya itu. Namun Intan Marliana tetap dengan pendiriannya untuk terus mengandung dan melahirkan cahaya mata demi cintanya yang mendalam kepada Jefri. Julia yang mendengar perbualan tersebut perasan akan perubahan air muka mamanya. Hal ini menyebabkan Julia ingin tertanya-tanya dan mencari jawapan daripada mak cik Noraini. Makcik Noraini menceritakan sejarah kelahiran Julia yang tidak cukup bulan dan keadaan mamanya yang pengsan serta betapa susahnya untuk menjaga Ju.


Memandangkan Intan Marliana mengandungkan anak kembar, maka Jefri menyediakan dua buah katil buat bakal bayi mereka. Intan Marliana dibawa ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia tatkala saat melahirkan tiba.Doktor memaklumkan bahawa mama perlu menjalani pembedahan kerana komplikasi terhadap kandungannya itu.Akhirnya, bayi kembar lelaki yang melekat dari bahagian kepala hingga punggung dilahirkan melalui pembedahan. Namun, tidak panjang umurnya dan meninggal dunia. Manakala Intan Marliana pula koma akibat kehilangan banyak darah.Kembar tersebut dinamakan Ahmad dan Muhammad.

Kesedihan menyelubungi keluarga mereka lantaran anak yang dinanti-nantikan pergi menyahut seruan Ilahi. Jefri menggantikan tempat Intan Marliana menguruskan kehidupan dan tidak jemu-jemu menjaga dan mendoakan agar isterinya pulih seperti sediakala. Ketika di rumah, Ju menatap foto-foto lama milik mama dan papa sambil membayangkan kisah mereka semasa usia muda. Sepucuk surat yang pernah dikirimkan oleh papa kepada mama dibaca.Melalui surat itu, Ju mengetahui betapa tingginya kasih sayang papa terhadap mama.

Juliana pula kian dewasa dan rapat dengan Rasylan, rakan sekolahnya. Papa benar-benar menentang akan hubungan tersebut memandangkan Rasylan merupakan anak angkat yang status keturunannya serta asal-usulnya tidak diketahui.Ju dan Rasylan memperoleh keputusan cemerlan dalam SPM dan berjaya melanjutkan pelajaran di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa(UIA).Dalam masa yang sama, papa mula rapat dengan pelajar beliau yang bernama Aishah. Aishah, sentiasa mengambil berat dan memberi perhatian kepada papa menyebabkan hubungan mereka menjadi rapat. malah ,Ju telah beberapa kali terserempak mereka berbual-bual di kedai makanan segera.

Hakikatnya, papa mula tertarik kepada Aishah dan ingin memperisterikannya. Hasrat hatinya disuarakan kepada mak cik Noraini. Perbualan tersebut telah didengari oleh Ju dan bermula konflik antara mereka kerana Ju berasa kurang senang dengan hasrat papa yang ingin berkahwin lagi. kata-kata Ju menimbulkan kemarahan papa. Ju juga telah ditampar oleh papa. Akhirnya konflik tersebut dapat dileraikan apabila papa berbincang dari hati ke hati dengan Ju.Ju bersetuju kerana kasihan melihat papa yang kesunyian sepanjang mama koma.

Aishah pandai mengambil hati Ju dan sering bertanya khabar dan mengajak bermain tenis.Malah Aisyah membawa Ju pulang ke rumahnya dan ketika itu barulah Ju tahu bahawa Aisyah anak orang berada.Jefri pula tidak jemu-jemu "berbual-bual" dengan isterinya tentang masa depan anak mereka.

Papa selamat diijabkabulkan dan Ju pula akhirnya berjaya menamatkan kursus di UIA.

Intan Marliana telah bertahun-tahun koma akhirnya telah membuka mata di biliknya. Ju terkejut dan berasa amat gembira. Papa hanya tersenyum tenang menghadapi situasi tersebut. Namun keadaan bertukar sepi apabila Aishah masuk ke bilik itu sambil memegang bahu papa. Situasi tersebut menyebabkan papa serba salah lalu menceritakan keadaan yang sebenar. Mama kelihatan marah mendengar berita tersebut dan mendengus dengan kuat sambil melepaskan genggaman tangan papa. Akhirnya mama meninggal dunia selepas lebih tiga tahun koma.


TEMA NOVEL PAPA:

Novel karya Deana Yusof ini bertemakan kasih sayang.Buktinya mama sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk mengandung kali kedua sebagai tanda kasih sayang yang mendalam terhadap papa yang inginkan anak meskipun tahu risiko yang bakal dihadapi sekiranya mama meneruskan kandungannya itu. Papa juga membuktikan kasih sayang yang mendalam terhadap mama dengan cara menjaganya, berbual-bual dengan mama sepanjang masa mama koma dengan harapan mama akan pulih seperti dahulu.Malah, Intan Julia turut membuktikan kasih sayangnya dengan mengizinkan papa mengahwini Aishah meskipun pada peringkat awalnya dia menentang hasrat papa.


PERSOALAN NOVEL PAPA:

1. Pengorbanan suami dan isteri demi kebahagian pasangan masing-masing buktinya Intan Maliana sanggup mengandung kali kedua demi memenuhi kehendak suaminya. Malah, Jeffri pula berkorban dengan cara menjaga isterinya yang koma selama lebih tiga tahun

2. Kesetiaan seorang suami terhadap isterinya. Buktinya ,Jeffri setia menemani isterinya yang koma selepas kehilangan banyak darah semasa melahirkan kembar Ahmad dan Muhammad. Malah, Jeffri juga enggan berkahwin lain ketika didesak oleh Mak Cik Noraini sebagai bukti kesetiaannya itu.Namun, keputusan untuk berkahwin lain dibuat selepas bertahun-tahun hidup keseorangan.

3. Ketabahan menghadapi dugaan daripada Tuhan. Buktinya, Jeffri tabah menghadapi dugaan ketika isterinya koma dan berusaha untuk mengubatinya. Malah, dia juga tabah tatkala kedua-dua anak kembarnya turut meninggalkannya.

4. Keprihatinan terhadap masalah orang lain dapat dibuktikan melalui watak cikgu Suzie yang cuba menasihati Intar Marliana agar tidak terus mengandung kerana sedar akan risiko yang bakal dihadapi.


Watak dan perwatakan

a) Intan Julia.

Watak utama dalam novel ini ialah Intan Juliana(Ju). pada permulaan cerita, beliau dgambarkan berusia 16 tahun dan pada peleraian cerita pula digambarkan berusia 19 tahun. Fizikalnya mempunyai ketinggian 160 cm dan merupakan anak sulung kepada Jeffri dan Intan Marliana.

Ju meneruskan pengajian di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM.


Perwatakan dalaman Intan Julia:

1. taat akan ibu bapa buktinya dia sentiasa berusaha menggembirakan hati ibu bapanya dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya dalam pelajaran.

2. taat akan agama buktinya dia solat

3. penyayang buktinya dia menyayangi dan menjaga hubungan baik dengan makcik noraini yang merupakan pembantu rumah

4. berdikari buktinya dia tinggal di asrama semasa menuntut di UIA walaupun rumahnya berdekatan dengan tempat pengajiannya.

5. sensitif buktinya ketika dia mula-mula mendengar hasrat ayahnya ingin berkahwin lain, dia benar-benar terasa bahawa ayahnya sudah tidak sayang akan ibunya lagi. hal ini menyebabkan Ju menentang hasrat ayahnya itu.

b) Encik Jeffri.

Ayah kepada Intan Julia dan suami kepada Intan Marliana. Seorang yang berpendidikan tinggi dan bertugas sebagai pensyarah di salah sebuah institusi pengajian tinggi. En Jefri mempunyai hubungan yang sangat mesra dengan isteri, anak dan juga Mak Cik Noraini.

Perwatakan.

1. Seorang yang penyayang - En Jefri sangat menyayangi isterinya dan anaknya.

2. Seorang yang tabah - Sanggup menjaga Intan Marliana yang koma selama 3 tahun selepas melahirkan bayi kembar mereka tanpa ada rasa jemu.

3. Seorang yang bertanggunjawab - Tidak membenarkan Intan Julia menemui Rasylan kerana tidak elok dipandang oleh masyarakat.

4. Seorang yang setia - Setia menemani isterinya ketika isterinya sakit. Berulang alik dari rumah atau tempat kerja ke hospital.

5. Seorang yang tegas - Menampar Intan Marliana kerana dianggap biadap apabila masuk campur dalam perbincangan antara beliau dengan Mak Cik Noraini.


C) Intan Maliana.
Isteri kepada Ecik Jefri dan ibu kepada Intan Julia. Bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah menengah iaitu Sekolah Seri Gading. Pernah mengalami koma ketika melahirkan Intan Julia.

Perwatakan:

1. Sanggup berkorban - Intan Maliana sanggup mengandung lagi walaupun dia tahu risiko yang mungkin beliau alami.

2. Bersikap rasional - Percaya dan yakin bahawa dia mampu mengandung dan melahirkan anak demi untuk kebahagiaan rumah tangga.

3. Tegas dalam tindakan - Beliau tetap meneruskan kandungannya walaupun dinasihati oleh Cikgu Suzie dan Mak Cik Noraini supaya tidak meneruskan kandungannya.

4. Isteri yang penyayang - Kemesraan Intan Marlian dan encik Jefri berkekalan sejak mereka kahwin hinggalah ke akhir hayatnya.

5. Isteri yang tabah - Terpaksa menderita dalam koma kerana komplikasi ketika melahirkan Intan Julia dan juga anak kembarnya.

6. Sanggup berkorban - Sanggup mengandung lagi demi untuk kebahagiaan rumah tangga mereka.

7. Seorang yang sensitif - buktinya Intan Julia ada menyatakan bahawa sifat sensitifnya diwarisi daripada mamanya.

d) Mak Cik Noraini.
Sepupu kepada En Jeffri, Menjadi pembantu rumah di rumah En Jeffri selepas kehilangan suami dan anak-anak dalam satu kemalangan jalan raya.

Perwatakan

1. Rajin membuat kerja rumah - Selalu dipuji kerana kerajinan melakukan kerja-kerja rumah.

2. Prihati dan mengambil berat - Mak Cik Noraini bimbang selepas mendapat khabar Intan Marlian mengandung kali kedua.

3. Berani - Menasihati Jeffri supaya tidak terlalu mesra dengan Julia kerana Julia telah meningkat remaja. Menasihati Intan Marliana tentang keputusannya untuk meneruskan kandungan yang membahayakan nyawanya.

e) Rasylan
Berumur 16 tahun, berwajah Pan Asia, Anak luar nikah En Muaz Al-Khalibi (Pensyarah UIA)

1. Pernah tinggal di Jabatan Kebajikan Masyarakat.
2. Berkawan rapat dan bercinta dengan Intan Julia.
3. Rakan sekelas dengan Intan Julia di Sek Seri Gading
4. Seorang pelajar yang pintar - berjaya ke UIA
5. Anak angkat Datuk Mustakim
6. Mempunyai dua orang adik angkat
7. Seorang yang berdikari - menguruskan semua hal semasa mendaftar di UIA.

f) Aisyah/Mak Cik Aisyah
- Berkulit putih, cantik dan berlesung pipit.
- Isteri kedua Jeffri
- Anak murid Jeffri di kolej
- Anak keluarga berada iaitu anak Datuk Mohazar Syeikh Mohamad
- Mengahwini Jeffri ketika Intan Malian sedang koma
- Seorang yang baik hati, penyayang dan manja
- Suka bermain hati

LATAR :

a) Latar masa
Semua peristiwa itu berlaku dalam tempoh beberapa tahun iaitu sejak Intan Julia berusia 16 tahun hingga dia berusia 19 tahun.

b) Latar Tempat
1.Di rumah Jeffri di Kelana Jaya – Tempat Jeffri dan keluarganya serta Mak Cik
Noraini pembantu rumah mereka tinggal dalam suasana yang harmoni.
2.Di Sekolah Menengah Seri Gading – Tempat Julia belajar dan tempat Intan Maliana
menjadi guru Matematik.
3.Di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia – Tempat Intan Maliana melahirkan anak
kembarnya dan dirawat semasa dia dalam keadaan koma.
4.Di Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa (UIA) – Tempat Julia dan rakan
rapatnya Rasylan meneruskan pengajian selepas tamat sekolah menengah.
5.Di Restoran Starbucks Coffee di Mid Valley – Tempat Julia dan Rasylan kunjungi
untuk minum dan di sinilah jugalah mereka terserempak dengan papa Julia minum
bersama-sama dengan Aishah sebanyak dua kali.

c) Latar Masyarakat
1. Masyarakat bandar dan terdiri daripada golongan elit.
2. Masyarakat yang mengutamakan kasih sayang dalam hubungan kekeluargaan.
3. Masyarakat yang terdiri daripada golongan berpendidikan tinggi.
4. Masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan berusaha dengan gigih untuk mencapai
kejayaan.
5. Masyarakat yang bersikap prihtain dan mengambil berat akan masalah orang lain.


TEKNIK PLOT :
1.Pemerian
Contohnya: Petang itu cuaca sungguh nyaman. Angin bertiup beralun lembut dan
amat menyegarkan. Dengan rambutku yang ikal dan panjang memcecah bahu dan diikat
ekor kuda, dengan berseluar panjang dan berkemja T, aku yang tadinya berbaring
sebentar di atas tilam empuk bilikku turun dari tingkat atas menuju ke ruang
dapur di tingkat bawah.

2.Dialog
Contohnya, “Lia...,” sambil memegang tangan perempuan yang terbaring. ”Ini
Aisyah, isteri abang, adik Lia juga!” Lalu dia mencapai tangan Mak Cik Aisyah dan
menghulurkan kapadanya.

3.Imbas Kembali
Contohnya, Mak Cik Noraini teringat akan kisah papa Julia bertugas sebagai guru.

4.Suspens
Contoh: Pembaca tertanya-tanya akan nasib yang akan menimpa Intan Maliana setelah
doktor memaklumkan bahawa Intan Maliana perlu menjalani satu pembedahan kerana ada
komplikasi terhadap kandungannya.

5.Monolog Dalaman
Contoh: Aku hanya memandang keluar tingkap kereta, ke jalan raya dan melihat
kereta yang banyak lalu lalang. Aku meletakkan diriku di tempat mama sekarang, apa
yang bakal dirasainya kalau dia tahu semua ini?


GAYA BAHASA :

1.Simile
Contoh: Aku lihat Mak Cik Noraini, pembantu di rumahku sedang sibuk macam lipas
kudung membancuh kopi dan menggoreng karipap yang dibelinya dari pasar raya pada
petang minggu yang lalu.


2.Personifikasi
Contoh: Matahari sudah mula menunjukkan wajahnya yang garang.

3.Sinkof
Contoh: “Tak ada apa-apa, mama cuma mabuk darah…tu saja.”

4.Kata Ganda
Contoh: Dia menelan liurnya berkali-kali sebelum memberikan jawapan.

5.Peribahasa
Contoh: “Tentu you ingat lagi pada saat you melahirkan Julia enam belas tahun yang
lalu! Apa you tak takut ke?” Dia menjeling padaku yang sedap menyandar tetapi
memasang telinga.


NILAI :

1.Nilai bertanggungjawab
Jeffri bertanggungjawab membawa Makcik Noraini tinggal bersamanya setelah suami
dan dua anaknya meninggal dalam kemalangan jalan raya.
2.Nilai belas kasihan
Datuk Mustakim sanggup mengambil Rasylan menjadi anak angkatnya selepas
mengambilnya dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
3.Nilai kasih sayang
Jeffri sangat mengasihi keluarganya. Dia sanggup membawa balik isterinya daripada
hospital untuk membolehkannya meluangkan masa dan menjaga isterinya dengan rapi.
4.Nilai hormat menghormati
Julia tidak membenci Rasylan walaupun dia tahu bahawa Rasylan berasal dari
perhubungan terlarang seorang pensyarah kolej yang berasal dari Jordan iaitu Muaz
al-Khalibi dan seorang wanita Indonesia.


PENGAJARAN :

1.Suami dan isteri perlu mengekalkan hubungan mesra walaupun telah lama mendirikan
rumahtangga.
2.Janganlah membelakangkan aspek kesihatan dalam memenuhi keinginan mahu mendapatkan
zuriat.
3.Jagalah diri agar tidak terjerumus ke lembah maksiat dengan melakukan hubungan
terlarang. Kita hendaklah gigih berusaha bagi mencapai kejayaan dalam pelajaran.
4.Kita hendaklah menjaga ikatan kekeluargaan agar sentiasa hidup dalam kesejahteraan.
5.Kita perlu menjaga batasan dalam menunjukkan kemesraan kepada keluarga tetapi
jangan keterlaluan.
6.Kita hendaklah menjaga batas hubungan semasa bercinta.
7.Kita perlu bersedia memaafkan kesalahan orang lain bagi membina hubungan yang
mesra.

























1. Berdasarkan novel Papa…(akhirnya kau tewas jua!), huraikan dua peristiwa yang dapat dijadikan ikhtibar kepada pembaca.
2. Berdasarkan novel Papa…(akhirnya kau tewas jua!), huraikan tiga keistimewaan yang ditonjolkan melalui watak utama.


1. Dua peristiwa yang dapat dijadikan ikhtibar:
• Encik Muaz al-Khalibi telah melakukan perbuatan yang terkutuk sebanyak beberapa kali dengan pengemas biliknya yang berwarganegara Indonesia. Ekoran perbuatan tersebut, wanita terbabit telah mengandung. Wanita itu telah ditinggalkannya sebaik sahaja dia menamatkan pengajiannya. Ikhtibar yang diperoleh daripada peristiwa ini ialah kita hendaklah menjauhi perbuatan mungkar dan mestilah bertanggungjawab atas perbuatan dan kesalahan yang telah kita lakukan.
• Julia telah terdengar perbualan antara Mak Cik Noraini dengan Jeffri tentang niat Jeffri untuk berkahwin lagi. Julia berbual dengan papanya untuk mendapat butiran lanjut. Dalam perbualan tersebut, Julia ditampar oleh Jeffri kerana mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan hati Jeffri. Ikhtibar yang diperoleh daripada peristiwa tersebut ialah seseorang anak janganlah terlalu mengikut kata hati apabila bercakap dengan ibu bapa. Sebaliknya, jagalah tutur kata agar tidak menyinggung perasaan orang tua.






2. Tiga keistemewaan watak utama. Watak utama – Intan Julia:
• Taat akan perintah Tuhan. Intan Julia tetap taat melaksanakan suruhan Tuhan dengan melaksanakan solat Subuh, walaupun hatinya tertekan selepas ditampar oleh bapanya.

• Tabah dalam menghadapi ujian hidup. Sungguhpun Julia menghadapi pelbagai dugaan hidup seperti keadaan ibunya yang koma serta perhubungannya dengan Rasylan tidak direstui Jeffri, namun dia menghadapi semua keadaan itu dengan hati yang tabah dan sedikit pun tidak mengganggu prestasi pelajarannya.

• Tidak memandang rendah akan orang lain. Sungguhpun Julia mengetahui bahawa Rasylan tidak berbapa serta dilahirkan angkara kedurjanaan Encik Muaz al-Khalibi terhadap seorang pengemas bilik yang berbangsa Indonesia, namun Julia tidak memandang rendah terhadap temannya itu.

Wednesday, January 19, 2011

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha pengurusan hutan di negara kita dan kepentingan mengekalkan hutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Isu pembalakan haram bukanlah masalah baru yang membelenggu Malaysia. Sekiranya pembalakan ini berterusan sehingga lima tahun yang akan datang, bermakna jumlah pokok yang ditebang akan berlipat ganda. Oleh sebab itu, kegiatan pembalakan perlu dikawal agar tidak memusnahkan alam sekitar.
Keadaan ini lebih serius apabila kerja pembalakan haram dilakukan di kawasan sempadan negara. Malaysia pernah didakwa oleh Indonesia sebagai pembeli balak haram kerana terdapat pihak tertentu yang cuba menyeludup kayu balak dari Indonesia secara haram ke Malaysia. Seharusnya Malaysia dan Indonesia bekerjasama untuk memantau kawasan hutan di sempadan kedua-dua buah negara dengan lebih ketat bagi membanteras aktiviti pembalakan haram. Kedua-dua negara tidak harus saling menuding jari sehingga menjejaskan hubungan diplomatik yang telah sedia terjalin. Teknik mengesan profil deoxyribonucleic acid (DNA) pokok adalah salah satu cara untuk mengatasi aktiviti pembalakan haram. Teknik ini dikenali sebagai Random Amplified Polymorphic DNA (RAPD). Setiap spesis pokok mempunyai profil DNA unik yang berlainan dan tidak menyerupai mana-mana profil pokok yang lain. Melalui teknik RAPD, balak yang dicuri dapat dipadankan dengan tunggul pokok yang ditebang secara haram. Teknik ini telah digunakan dengan jayanya di beberapa buah negara maju.
Walau bagaimanapun, teknik RAPD memerlukan pihak penguat kuasa perhutanan menjalankan pemerhatian yang kerap di kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pembalakan haram. Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) berjaya membaik pulih 1.56 juta hektar hutan kekal di negara ini dan 80 ribu hektar kawasan pembalakan di Semenanjung Malaysia. Pada 1995-2000, sebahagian kawasan hutan di Semenanjung Malaysia telah digunakan untuk menjayakan ‘Program Perhutanan Masyarakat’ yang meliputi penubuhan dan penyelenggaraan hutan lipur, hutan perkampungan, hutan bandar dan sebagainya. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara dalam taman” dan memulihara alam sekitar, kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menanam 50 ribu pokok setahun dan 1.2 juta pokok menjelang tahun 2020 di negeri masing-masing. Malaysia juga begitu komited untuk melaksanakan pengurusan hutan secara berkekalan selaras dengan deklarasi RI0 pada Jun 1992. Bagi program kemajuan ekonomi jangka panjang, kerajaan berusaha memanfaatkan industri hiliran kayu. Kerajaan memberikan insentif kepada industri berasaskan kayu seperti perusahaan perabot, papan lapis dan kraf tangan. Selain itu, khidmat nasihat dan kepakaran diperluaskan untuk sektor ini.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti pembalakan memberikan pendapatan yang lumayan kepada negara. Kayu dan hasil pengeluaran kayu menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi dan merupakan eksport ketiga besar negara ini. Sektor ini juga berupaya menyediakan lebih 260 ribu peluang pekerjaan kepada guna tenaga negara. Namun sekiranya aktiviti pembalakan tidak disekat, kesannya akan dirasai oleh generasi akan datang.

(Diubahsuaikan daripada rencana utama , ‘Pembalakan
Haram: Malaysia Terus Menjadi Mangsa, oleh Awang Azman Awang Par. Dewan Masyarakat, Februari 2005)


Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan HIKMAH 1 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Terangkan maksud rangkai kata tidak harus saling menuding jari seperti yang terdapat dalam petikan di atas.
[2 markah]

(ii) Nyatakan sumbangan-sumbangan sektor pembalakan dalam meningkatkan pembangunan negara.

[3 markah]

(iii) Pada pendapat anda, huraikan cara-cara memupuk sikap generasi muda agar
menyayangi alam sekitar?
[4 markah]

Saturday, January 15, 2011

Sajak : Kita dan Budaya Kerja (1)




KITA DAN BUDAYA KERJA

Hari ini
kita menggalas tugas
kita menggalas beban
bukan terpaksa
tapi kita minta
kerana kita memerlukannya

Mula kerja
semangat menjulang membara
tiada rasa letih
tiada rasa tidak selesa
semua dilaksana dengan jaya

Mula kerja
semua kerja tidak menolak
tiada kerja cari kerja
kerja rakan sanggup laksana
sanggup kerja lebih masa

Mula kerja
hasil kerja bermutu
jika silap bukan dipadam
malah dibuat semula...
wah! terpegun semua

Lima tahun kerja
beban kerja mula dirasa
tidak selesa muncul dijiwa
ada kerja sudah tidak terlaksana
rakan culas diturut serta

sepuluh tahun kerja
masa kerja terasa terlalu lama
etika kerja mula dikesamping
tugas dan kerja tidak dipeduli
tunggu bulan untuk gaji

dua puluh tahun kerja
terasa diri sudah tua
terasa gaji sudah di syilling
semua kerja buat tak pusing

Itukah budaya kita?
pendapatan dicari untuk sekeluarga
halal dan haram telah serasa

Bagaimana keluarga mampu bahagia
jika ini budaya kerja kita

Muhasabah diri kita
perbaiki pada yang alpa
demi menuju ke jalan bahagia
demi menuju ke pintu syurga
hasil dari kerja kita.

Nukilan Minda :
SAHARUDDIN ABDULLAH
Teratak Pinggir Desa
15/01/11 - 3.45 pg

Friday, January 14, 2011

HADIAH ISTIMEWA BUAT SEMUA GURU CEMERLANG



GURINDAM TITIPAN AYAHANDA HJ ABDUL TALIB HAMID (ppd KUALA LANGAT)

GURU CEMERLANG
(Dititip Buat Semua Guru Cemerlang Daerah Kuala Langat)

Guru cemerlang besar peranan
Mendidik generasi pewaris keturunan

Guru cemerlang mahir ‘headcount’
Prestasi murid dipantau bertahun

Guru cemerlang cintakan ilmu
Yang kurang dicari sehingga ketemu

Guru cemerlang pengalaman dikongsi
Ilmu segar tidaklah basi

Guru cemerlang tekun mengajar
Pelajar sayang hingga dikejar

Guru cemerlang kesantunan tinggi
Perangai baik tidaklah ranggi

Guru cemerlang jiwanya tenang
Rakan taulan sering terkenang

Guru cemerlang seorang kreatif
Pedagogi terkini ia sensitif

Guru cemerlang tak lekang berfikir
Formula baharu dapat diukir

Guru cemerlang kerjanya cermat
Latihan murid diperiksa berhemat

Guru cemerlang suka mengkaji
Kelemahan murid disukat diuji

Guru cemerlang tidak mengeluh
Sabar tinggi semangat tak luluh

Guru cemerlang pemurah masa
Bimbing murid dengan selesa

Guru cemerlang serba boleh
Arahan dibuat tanpa dalih

Guru cemerlang jalannya terang
‘Fast track’ di hadapan hatinya girang

Guru cemerlang didikannya mengena
Maruah dijaga agar tidak dihina

Guru cemerlang mantap emosi
Pelbagai halangan cepat diatasi

Guru cemerlang bertindak matang
Kerja bertimbun tetap ditatang

Guru cemerlang bahagia rasa
Muridnya cemerlang lebih selaksa

Guru cemerlang bakti dikenang
Kiranya ikhlas reda ditenang

Guru cemerlang tak lupa Tuhan
Yang buruk dibuang, yang baik bertahan

Hasil Fikir,

Abdul Talib Hamid
Ahad 11 April 2010
6.45 petang
Teratak Mawaddah

ADAKAH KITA MEMPUNYAI CITA-CITA, TERLALU BANYAK CITA-CITA ATAU BELUM MEMBINA CITA-CITA



(khas untuk anak didik yang belum punya cita-cita dan juga yang banyak cita-cita tetapi belum ada pilihan yang jitu)

JADILAH SIAPA SAJA

Jadilah pelaut kautahu lautan hidup bergelombang
Jadilah petani kaukenali keringat sawah ladang
Jadilah pengayuh beca kaurasai roda lelah seharian
Jadilah pemandu teksi begitu perit memperoleh sesuap nasi
Jadilah penukang pengukir belum pasti makmur memahat diri
Jadilah penoreh getah perhatikan derita susunya di musim hujan
Jadilah pemanjat kelapa keamanan melambai keadilan.

Jadi pemuzik jadi penggubah jadi penyanyi
Jadi penulis lirik akan tercantum lagu dunia seni
Jadi pengarah jadi pelakon jadi pelawak tahu harga diri
Jadi pelukis karyamu lama tidak terhakis siang malam
Jadi pereka bentuk segalanya melakar manis masam
Jadi penulis bergelar sasterawan tahu merakam adab
Jadi pencatat zaman semua seniman berfikir hebat

Jadi pelajar kau belajar, sebagai pengajar jangan kurang ajar
Jadi pendidik tugasan guru di tanganmu lahir pemimpin besar
Jadi pelatih jangan tahu maki herdik oleh letih lesu nafsu marah
Jadi pensyarah tahu kaedah sedar insaf akan ilmu yang parah
Jadi perancang di situ berfikir selok-belok gerak ekonomi rakyat
Jadi peguam fasih tutur lidahmu kelak kebenaran hukum terletak
Jadi komander kau kawal pesawat para penumpang terselamat

Jadilah siapa saja ikut keupayaan kebolehan diri
Jadi pemimpin tanggungjawab membangun pertiwi
Jadi engkaulah penjaga bangsa agar tidak terumbang ambing
Jadi engkaulah pengawas warga agar tahu mentafsir musim
Jadi perdana menteri tahu berperi sedia berani mati
Jadi permaisuri di sisi hikmah ceria raja selalu bestari
Jadi pemaaf seumpama pendakwah terlihat amal makruf
Jadi pendorong jauhi nahi mungkar jasa bakti diselangi takruf
Jadilah kita semua pekerja tahu hidup sebelum mati
Jadikan kematian itu sanya pedoman kembara diri
Jadi satu cangkir yang setiap kata akan menghirupnya
Jadi batas dunia dan barzakh di hisab dosa pahala!

- Ab Aziz Deraman

PANDUAN MENGARANG - MENGHASILKAN KARANGAN YANG MATANG DAN BERKUALITI



PENANDA WACANA : MEMULAKAN KARANGAN

· Sedasawarsa ini sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap empat penjuru dunia ini tentang isu …

· Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita telah ….

·Sudah terang lagi bersuluh, semakin hari kita semakin menghampiri ambang 2020. Keadaan ini menandakan titik permulaan pelbagai cabaran dan rintangan yang bakal menghambat.

·Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak lantaran terlalu dihidangkan dengan pembangunan negara yang semakin gah di persada dunia. Namun disebalik itu, kita acapkali tersentak oleh pelbagai permasalahan sosial yang beronak yang dicetuskan oleh rakyat kita sendiri.

· Dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini …

· Sejak dua dan tiga dekad kebelakangan ini memang kita dapat menyaksikan …

PENANDA WACANA :
UNTUK AYAT TERAKHIR PENDAHULUAN KARANGAN

· Oleh itu, kebaikan dan keburukan yang mewarnai fokus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci demi kebaikan bersama.

· Sebagai memperkukuhkan lagi penyataan tersebut, punca-punca yang menunjangi masalah ini perlu diperincikan demi kebaikan bersama.

· Usaha pasti akan membuahkan hasil kalau pelbagai langkah yang efektif dan drastik dilakukan segera untuk mengatasi masalah yang sudah bersarang lama di negara kita ini.· Setelah meneliti dan mengkaji sehingga ke akar umbi, saya bersetuju dengan pendapat yang menyatakan …….

· Tiada ubat yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh dibasmi hingga ke akar umbi.

PENANDA WACANA :
UNTUK AYAT PERTAMA SETIAP PERENGGAN

· Kita dapat menyaksikan betapa…
· Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana…
· Lazimnya, dalam keadaan …
· Namun demikian, suatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah …
· Pada hemat saya …
· Pada pandangan saya …
· Pada realitinya, memang tidak dapat dinafikan bahawa …
· Sebagaimana yang kita ketahui
· Sebagaimana yang kita maklumi
· Sejak awal lagi
· Sejak kebelakangan ini
· Selain itu, pada masa ini juga
· Seperti yang telah dinyatakan
· Umum mengetahui bahawa
· Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas

PENANDA WACANA :
UNTUK AYAT 2 DAN SETERUSNYA DALAM KARANGAN

· Bagi sesetengah orang …
· Begitu juga dengan …
· Begitu juga halnya dengan …
· Bertitik tolak daripada itu …
· Bukan itu sahaja …
· Dalam hal ini …
· Dalam konteks ini ..
· Dalam zaman yang serba canggih ini …
· Daripada realiti ini dapat kita katakan bahawa …
· Dengan adanya …
· Dengan berbuat demikian …
· Dengan perkataan lain ..
· Disebabkan hal itu
· Disebabkan keistimewaan inilah kita ..
· Hal ini berlaku disebabkan...
· Hal ini penting dalam...
· Hal ini serupa dengan...
· Hal yang serupa berlaku apabila...
· Ini disebabkan· Ini membuktikan bahawa ...
· Ini menggambarkan bahawa...
· Ini secara tidak langsung akan...
· Ini semua meninggalkan kesan kerana...
· Ini tentu sekali membuatkan...
· Jadi kita perlu...
· Jadi kita hendaklah...
· Keadaan ini tentunya...
· Lantaran itu sehingga kini...
· Kesemua ini menyumbang kepada...
· Kita mengakui hakikat bahawa...
· Kita sering menonton di kaca televisyen...
· Kita sering membaca di dada-dada akhbar...
· Memandangkan keadaan yang sedemikian...
· Namun sejak kebelakangan ini...
· Oleh itu, bolehlah dikatakan...
· Secara logiknya masa yang...
· Sejak seawal usia kemerdekaan negara ini lagi, kita...
· Keadaan ini seharusnya boleh...
· Walaupun demikian, sejak akhir-akhir ini...
· Kendatipun demikian, kita masih...
· Yang paling nyata ialah...
· Yang perlu kita pastikan ialah...

PENANDA WACANA :
UNTUK MENYATAKAN STATISTIK

· Berdasarkan perangkaan terkini yang diperoleh didapati sebanyak..
· Bukti yang jelas dan terkini yang berkaitan dengan perkara ini menunjukkan...
· Statistik yang sahih lagi tepat telah dikeluarkan oleh Kementerian … pada tahun ... menunjukkan bahawa sebanyak ...

PENANDA WACANA:
UNTUK MENYATAKAN CONTOH

· Sebagai contohnya
· Biar kita lihat
· Biar kita ambil contoh
· Bagi membuktikan perkara ini, contoh yang boleh diketengahkan ialah
· Sebagai analoginya,
· Contoh yang ketara yang paling dekat dengan kita ialah

PENANDA WACANA :
UNTUK KESIMPULAN KARANGAN

· Intihanya,
· Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas
· Konklusinya,
· Dengan ini diharapkan
· Bukan itu sahaja
· Mudah-mudahan perkara ini
· Dengan keizinan Tuhan yang maha esa, kita yakin dan percaya bahawa
· Jika semua masyarakat berganding bahu, ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni, insyallah perkara ini akan …
· Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, marilah kita bersama-sama

KATA-KATA HIKMAT DIGUNAKAN DALAM KARANGAN

01. baik kaya ialah kaya hati,sebaik-baik bekal ialah takwa,seburuk-buruk buta ialah buta hati dan sebesar-besar dosa ialah berdusta.

02. Kecantikan yang abadi terletak pada keelokkan adab dan ketinggian ilmu seseorang, bukan terletak pada wajah dan pakaiannya. (Hamka).

03. Orang yang takut menghadapi kesukaran selamanya tidak akan maju. ~Horne

04. Yang dikatakan kawan bukanlah orang yang sentiasa memuji-muji kamu, tetapi adalah orang yang dapat menunjukkan kesalahan kamu.

05. Kalau hidup ingin merdeka, Tiada tercapai hanya berkata, Ke muka maju sekata, maju kita, Melemparkan jauh jiwa hamba. ~Usman Awang

06. "Dan berbuatlah kamu akan kebaikan supaya kamu mendapat kemenangan." ~Surah al-Hajj:77

07. "Maka sifat sabar itu adalah sikap yang baik, dan hanya Allah sajalah tempat meminta pertolongan" ~Surah Yusuf:18

08. Berunding cerdik dengan pandai, faham dua menjadi satu.

09. Yang paling kita perlukan dalam kehidupan ialah adanya seseorang yang selalu memberi semangat untuk melaksanakan hal-hal yang dapat kita kerjakan. ~Davey John Schwartz

10. "Peristiwa itu memberi pengajaran kepada saya mengenai bagaimana guru besar perlu bersikap profesional dan tidak menggunakan emosi dalam melakukan tindakan." ~Tengku Habsah Tengku Petera (Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan)

11. "Satu perkara yang menakutkan saya pada masa ini ialah peningkatan gejala rasuah. Secara umumnya, lebih tinggi rasuah yang ada, lebih kurang kemerdekaan yang dimiliki." ~Profesor Diraja Ungku Aziz

12. Sabar penghilang penat, tekun pembawa dekat.

13. Lebih berharga mutiara sebutir daripada pasir sepantai.

14. Terbang bangau sepanjang hari, ke tasik jua akhirnya dicari.

15. Biar kamu tidak cantik di mata penduduk bumi tetapi namamu menjadi perbualan penduduk langit.

16. Siapa yang banyak bicara, banyak pula salahnya; siapa yang banyak salah, hilanglah harga dirinya; siapa yang hilang harga dirinya, bererti dia tidak warak; sedangkan orang yang tidak warak itu bererti hatinya mati. ~ Saidina Ali Abu Talib

17. Sabda Rasulullah s.a.w: "Akhlak yang buruk merosakkan amal seperti cuka merosakkan madu."

18. Kita sering mengimbas kembali kenangan lalu tetapi jarang sekali berusaha untuk mengejar impian hari esok.

19. Manusia yang berbuat baik dengan mengharapkan sesuatu balasan bukanlah manusia yang jujur. Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat, asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh dengan agama Allah. (surah Al-Baqarah:214)

20. Kekitaan yang erat tiada yang berat.

21. Belajarlah berdiri dahulu sebelum cuba untuk berlari.

22. Orang bakhil tidak akan terlepas daripada salah satu daripada empat sifat yang membinasakan iaitu; dia akan mati dan hartanya akan diambil warisnya, lalu dibelanjakan bukan pada tempatnya atau; hartanya akan diambil secara paksa oleh penguasa yang zalim atau; hartanya menjadi rebutan orang-orang jahat dan akan digunakan untuk kejahatan atau; adakalanya harta itu akan dicuri dan digunakan untuk berfoya-foya. - SAIDINA ABU BAKAR

23. Kekayaan yang hilang boleh dikejar dengan usaha yang bersungguh-sungguh. Kesihatan yang hilang boleh diperolehi dengan ubat-ubatan yang baik tetapi masa yang hilang sekali hilang akan terus hilang.

24. Jadilah seperti pohon kayu yang berbuah lebat, dibaling dengan batu dibalas dengan buah.

25. Tunjuk menjadi telaga budi, ajar menjadi suluh hati.


Sumber:Cikgu Zulkarnain (SMK Sacred Heart Sibu)

PERKATAAN BOMBASTIK - JANGAN BUANG MASA HANYA UNTUK MEMIKIRKAN PERKATAAN BOMBASTIK DALAM KARANGAN ANDA



Perkataan Bombastik



Akhir-akhir ini, banyak pelajar yang mempunyai kecenderungan untuk menggunakan perkataan yang bombastik dalam penulisan karangan. Tahukah anda maksud perkataan bombastik?

Perkataan bombastik bermaksud banyak menggunakan kata yang indah-indah dan luar biasa kelihatannya tanpa membawa pengertian yang bernas atau jelas.

Dalam hal ini, Arena Wati, Sasterawan Negara, sering menggunakan bahasa yang sederhana dan mudah difahami dalam karyanya. Pemilihan kata-katanya dibuat begitu teliti dan tidak bersifat bombastik.Dalam penulisan karangan pada peringkat PMR dan SPM, calon digalakkan supaya menulis karangan yang mudah difahami dengan menggunakan bahasa yang indah dan menarik.

Penggunaan bahasa yang sukar difahami atau bersifat bombastik akan menyusahkan pembaca atau pemeriksa. Oleh hal yang demikian, pelajar dinasihati supaya tidak bersusah payah untuk mencari atau menghafal perkataan atau frasa yang bombastik untuk dimasukkan dalam karangan. Perkara yang penting ialah pelajar dapat menulis karangan dengan memasukkan perkataan atau frasa yang biasa digunakan tetapi mempamerkan keindahan.

Ayat seperti ”Malam mula merangkak tiba” merupakan satu contoh ayat atau ungkapan yang menarik. Semua perkataan dalam ayat tersebut difahami oleh kebanyakan pengguna bahasa. Dari segi gaya bahasa, ayat tersebut menggunakan gaya bahasa personifikasi. Dari segi jenis karangan pula, ayat tersebut sesuai digunakan untuk karangan jenis cerita.

Cuba baca ayat yang di bawah ini pula:"Dalam hal ini, beliau memfasiqkan bahawa keputusan itu terpaksa dibuat oleh kerajaan walakin mendapat tentangan daripada pihak pembangkang."

Persoalannya ialah mengapakah calon perlu menggunakan perkataan memfasiqkan dan walakin? Perkataan memfasiqkan dan walakin jarang-jarang digunakan oleh pengguna bahasa. Perkataan mengatakan atau menyatakan lebih tepat dan sesuai digunakan dalam ayat tersebut. Perkataan yang sepatutnya digunakan untuk maksud walakin pula ialah meskipun, walaupun atau sungguhpun.

Kesimpulannya, calon tidak perlu bersusah payah untuk mencari perkataan yang pelik-pelik atau jarang-jarang digunakan oleh masyarakat untuk dimasukkan dalam penulisan karangan. Karangan yang baik bukanlah dinilai dari segi penggunaan kata yang bombastik, tetapi penilaian dibuat secara keseluruhan termasuk penggunaan kata, frasa, pengolahan ayat, penggunaan ungkapan yang menarik, dan sebagainya

BERBAHASA DENGAN BETUL - PENGGUNAAN KATA GANTI DIRI SINGKAT (KGDS)



KAU-KU-MU-NYA

Kau, ku, mu dan nya ialah kata ganti diri singkat (KGDS) atau dikenali juga sebagai klitik. Terdapat peraturan tertentu tentang penggunaan kata ganti tersebut.KGDS `kau’ digunakan hanya di awal kata. Kedudukannya pula mestilah rapat dengan kata kerja pasif yang mengikutinya. Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat.

Ayat contoh:
1a. Buku itu telah kaubaca.[/]
1b. Buku itu telah kau baca [x]

2a. Kau telah membaca buku itu. [x]
2b. Engkau telah membaca buku itu. [/]

KGDS `ku’ boleh digunakan di awal dan di akhir kata.Kata ini tidak boleh menjadi subjek ayat.

Ayat contoh:
1a. Segala masalah akan kuselesaikan.[/]
1b. Segala masalah akan ku selesaikan.[x]

2a. Terimalah pemberian daripada ayahku ini. [/]
2b. Terimalah pemberian daripada ayah ku ini. [x]

3a. Ku akan melawat ke Jepun. [x]
3a. Aku akan melawat ke Jepun. [/]

KGDS `mu’ digunakan di akhir kata sahaja. Kata ini tidak boleh dijadikan subjek ayat dan kata ini tidak boleh dijarakkan dengan kata sebelumnya. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.

Ayat contoh:
1a. Saya akan meminta sahabatmu tunggu di sini. [/]
1b. Saya akan meminta sahabat mu tunggu di sini. [x].

2a.Terimalah doa daripada hambu-Mu yang kerdil ini.[/]
2a.Terimalah doa daripada hambamu yang kerdil ini. [x]

KGDS `nya’ digunakan di akhir kata sahaja.Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.

Ayat contoh:
1a. Dia memberitahunya tentang perkara itu.[/]
1b. Dia memberitahu nya tentang perkara itu. [x]

2a. Kita hendaklah berdoa kepada-Nya untuk memohon perlindungan. [/]
2b. Kita hendaklah berdoa kepadanya untuk memohon perlindungan.[x]

Akhir sekali, kesemua kata tersebut tidak boleh digandingkan supaya menjadi ianya, kukau, mukau, kumu, munya, nyamu, nyakau, dan sebagainya.

KEMAHIRAN BERBAHASA - KATA HUBUNG KOMPLEMEN "UNTUK"



Kata `untuk’ dalam bahasa Melayu lebih dikenali oleh pengguna bahasa Melayu sebagai kata sendi nama. Banyak pengguna yang tidak menyedari bahawa kata `untuk’ juga merupakan kata hubung pancangan keterangan dan kata hubung komplemen. Apabila perkara ini tidak diketahui, pengguna sering mengabaikan penggunaan kata `untuk’ di tempat yang sepatutnya.

Kesilapan ini sering kita lihat dalam ayat seperti yang berikut:

1. Langkah menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

2. Usaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjadi tanggungjawab setiap penduduk.

3. Anda dikehendaki menulis jawaban tersebut dengan lengkap.

Penjelasan:Ayat (1) hingga (3) di atas sebenarnya tidak tepat.

Ayat yang tepat ialah:

1a. Langkah untuk menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.

2a. Usaha untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes menjadi tanggungjawab setiap penduduk.

3a. Anda dikehendaki untuk menulis jawaban tersebut dengan lengkap.

Dalam ayat (1a) hingga (3a) di atas, klausa komplemen seperti ` untuk menangani gejala perlumbaan haram dalam kalangan remaja’, ` untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes’, dan `untuk menulis jawaban tersebut dengan lengkap’ merupakan pelengkap kepada subjek.

Jika bahagian tersebut tidak ada, maka ayat tersebut menjadi ayat yang berikut:

1b. Langkah perlu dberikan perhatian oleh semua pihak.
2b. Usaha menjadi tanggungjawab setiap penduduk.
3b. Anda dikehendaki dengan lengkap.

Dalam ayat (1b) hingga (3b) di atas, subjek kelihatan tidak lengkap, iaitu `langkah apa?’, `usaha apa?’ dan `dikehendaki apa?’.

Untuk mengetahui perkara ini lebih jelas, sila lihat ayat (3).
Ayat tersebut sebenarnya berasal daripada ayat yang berikut:

4. Cikgu menghendaki anda menulis jawaban dengan lengkap. [aktif]

4a. Anda dikehendaki oleh cikgu menulis jawaban tersebut dengan lengkap.[pasif]

3. Anda dikehendaki menulis jawaban tersebut dengan lengkap.
[Selepas oleh + FN digugurkan]

Ayat di atas tidak akan lengkap jika ditulis seperti yang berikut:
4b. Cikgu menghendaki anda.

Persoalannya ialah `Cikgu menghendaki anda apa?’

Dalam ayat 4b di atas, ayat tersebut memerlukan pelengkap. Jadi, pelengkap ayat tersebut merupakan klausa komplemen. Hal ini membuktikan bahawa klausa komplemen penting dan perlu ada dalam ayat.

Persoalannya ialah mengapakah pengguna menggugurkan kata komplemen?
Jika kata komplemen tidak penting dalam bahasa Melayu, mengapakah kata ini diwujudkan? Oleh sebab itu, penggguna bahasa Melayu hendaklah mendalami ilmu tentang komplemen dalam bahasa Melayu.

Thursday, January 13, 2011

ISU NOVEL INTERLOK - MENGALAH ADA BATASNYA -




Oleh MOHAMAD ABDULLAH

PERISTIWA pembakaran buku dan gambar penulis novel Interlok menggambarkan kerendahan budi pekerti kita dalam menangani isu yang berkaitan dengan kaum di negara ini. Terasa dangkal dan ceteknya pemikiran mereka yang melakukan tindakan sedemikian tanpa memikirkan implikasi kepada pembangunan intelektual dan ketinggian budi dalam menangani isu berkenaan.

Apa pun alasannya, perbuatan sedemikian sukar diterima akal yang waras, apatah lagi ia sekadar pertelingkahan tentang interpretasi dan pemahaman sejarah, keengganan untuk menerima fakta sejarah dan kekalutan dalam menjadi wira masyarakat tanpa berlandaskan pemikiran yang rasional di sebalik penulisan berkenaan.

Apatah lagi bagi sebuah buku yang telah lama ditulis, yang telah lama digunakan di sekolah-sekolah dan telah lama pula berada dalam pasaran. Kenapa tidak novel itu dibantah tatkala ia mula diisytiharkan memenangi sayembara penulisan dan kemudian diterbitkan kepada umum sekian lama. Kenapa pula baru kini ia menjadi sasaran?

Melihat dari aspek yang lebih positif, tindakan sedemikian memberi peluang kepada masyarakat untuk berdebat mengenai sastera negara yang selama ini mungkin jarang mendapat tempat.

Kita harap mereka yang berbincang, berdebat malah membakar buku berkenaan telah pun membaca sepenuhnya dan memahami konteks penulisan buku itu, bukan membuat tafsiran sendiri terhadap satu penulisan kreatif yang dijalin berdasarkan fakta sebenar. Mereka termasuk pihak yang memulakan isu ini, diharap telah berhujah dan mencari fakta sebenar kerana buku ini ditulis berasaskan fakta sejarah yang telah dikaji dan diteliti oleh penulisnya, bukan hanya ditulis sesuka hati.

Kita juga harap ia menjadi satu permulaan yang baik untuk masyarakat negara ini turut membaca buku-buku sastera dan budaya lain yang banyak dihasilkan sekarang. Sekurang-kurangnya, ia dapat memperkayakan akal budi kita dalam membentuk masyarakat berilmu untuk masa depan negara dalam acuan sendiri, walaupun nampaknya ia semakin di kesampingkan dalam menjayakan KPI yang ada.

Semoga nanti, tidak ada lagi mereka yang akan mempertikaikan karya-karya besar lain yang dihasilkan oleh sasterawan negara, mahu pun penulis-penulis tersohor lain termasuk karya tradisional seperti Sulalatus As Salatin secara dangkal dan dari perspektif sendiri semata-mata. Melihat Hang Tuah sebagainya pahlawan kuno yang tidak masuk akal, sedangkan kita menerima dengan mudah kewujudan pelbagai hero lain termasuk Harry Potter yang membolehkan penulisnya mengaut kekayaan besar.

Selagi kita memahami ia adalah hasil kreatif yang harus ditafsir dalam konteks penulisan, bukan dibuat sesuka hati, maka mereka yang belum membaca novel ini, perlu membacanya, kemudian membincang dan mengkaji pelbagai aspek karya untuk mengayakan lagi ilmu dan pemahaman kita terhadap kehidupan.

Novel ini perlu dilihat dalam konteks akal budi yang jelas, bukan dengan emosi yang boleh menimbulkan banyak masalah pada masa depan. Ia akan membuka laluan dalam kalangan anak-anak muda kita melihat karya sastera secara terbuka sebagai sumbangan kepada pembinaan bangsa Malaysia yang terbuka, harmoni dan berakal budi.

Hakikatnya, karya sastera sedemikian harus menjadi sumber mengayakan lagi daerah pengalaman hidup kita, ia perlu dibincang, bukan dicincang. Ia perlu diteliti, bukan dibunuh mati. Ia perlu dijadikan cerminan kehidupan bukan dibakar yang hanya merugikan semua pihak dan dilihat dalam konteks apa sekali pun.

Kerana itu juga, masyarakat harus kembali menghayati makna budi bahasa, budi pekerti, budi bicara dan tentunya akal budi yang tinggi untuk memastikan kita berupaya menjadi masyarakat madani, masyarakat contoh dan masyarakat yang bertamadun tinggi. Budi bahasa bermakna, kita memahami bahawa dalam kata-kata harus ada tertib. Budi bicara bermakna kita membuat pertimbangan atas kemaslahatan yang lebih utama dan jika kita melakukan tindakan, gunakan akal budi yang tinggi, bukan dilakukan sesuka hati.

Ini bererti jika kita tidak bersetuju dengan kata-kata orang lain, fikir dahulu, pertimbangkan dengan penuh hemah, cari kebenarannya, cari maknanya, cari interpretasi yang betul, cari faktanya sebelum kita bertindak menentang hujah berkenaan. Jika ingin bertindak, pastikan tindakan kita tidak melukakan hati orang lain, berasas dan tidak menafikan kebenaran. Jika ingin marah, marahlah sebagai orang berilmu, berakal budi yang bukan ditujukan secara peribadi tetapi kepada pemikiran dan pendapat yang berbeza yang diutarakan orang berkenaan.

Malangnya kita makin hilang hemah. Makin hilang akal budi yang dijunjung selama ini. Sesuatu harus dilakukan untuk mengubah keadaan ini. Proses pendidikan kita harus diteliti untuk membentuk pemikiran positif yang dapat menyumbang dalam pembentukan masyarakat yang harmoni dan tahu makna toleransi. Bijak dalam menggunakan budi bicara bicara, berbudi bahasa yang tinggi tetapi bukan sehingga dipijak orang. Berhujah, tetapi bukan menyerang peribadi. Yang penting, bersedia menerima pandangan orang lain, yang mungkin berbeza dari pandangan peribadi kita.

Kita barangkali terbawa-bawa dengan cara dan kaedah yang diguna oleh sesetengah pihak dalam memperjuangkan sesuatu isu, sehingga lupa bahawa perbezaan pendapat dan pandangan bukan bermakna menjadi sebab untuk mewujudkan ketegangan sehingga menghina orang. Kita harus terima kepelbagaian yang ada secara terbuka dan bersedia membuat perubahan apabila terbukti adanya pandangan lain yang lebih tepat.

Jangan lupa sejarah dan jangan juga nafikan fakta di mana bermulanya kita. Jangan ketepikan begitu sahaja tentang apa yang menjadi permulaan kita. Jangan mudah mentafsir yang orang lain menghina kita semata-mata kerana sejarah menunjukkan bagaimana sesuatu itu bermula. Kita tidak boleh memadamkan masa lalu begitu sahaja jika benar masa lalu itu sudah sedemikian suratannya.

Ilmu pengetahuan yang kita timba selama ini, di sekolah hinggalah ke universiti mahu pun pelbagai pengalaman hidup yang dilalui harus menjadikan kita lebih rasional dan berakal budi tinggi. Pelajaran yang kita kuasai harus berupaya menjadikan tindakan kita lebih bertamadun, bukannya menurunkan darjat keilmuan yang ada. Teruskan mengupas, membincang dan mengkritik karya-karya di sekeliling kita malah di mana sahaja, tetapi jangan menghina dan membakarnya hanya kerana tidak setuju dengan pandangan yang diberikan oleh penulis atau karyawan berkenaan.

Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain tidak harus terus bersedih dengan sikap mereka yang menolak karyanya. Walaupun dalam keadaan uzur, seorang sasterawan adalah manusia hebat yang sekurang-kurangnya kontroversi ini menjadikan orang ramai akan lebih mendekati Interlok, malah juga diharap akan membaca lebih banyak karya Malaysia yang kian kurang khalayaknya.

Biarkanlah anak-anak muda kita berbincang secara ilmiah tentang karya sastera yang ada secara terbuka, berdebat dan memberikan pandangan terhadap idea dan pemikiran besar dalam karya sastera seperti Interlok, bukannya menghalang mereka dengan menarik balik daripada cadangan asal untuk terus diguna dalam bilik darjah.

MOHAMAD ABDULLAH

Pejabat Naib Canselor

Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/