Pemuda Harapan Bangsa dan Pemudi Tiang Negara. Itulah salah satu kata-kata yang membuktikan kepentingan generasi muda dalam pembangunan negara. Pujangga
pernah mengatakan “generasi berwawasan pemangkin pembangunan negara”
sememangnya kata-kata ini tidak dapat disangkal lagi. Apakah maksud di sebalik frasa
generasi berwawasan itu? Generasi bermaksud pewaris masyarakat yang bakal
memimpin negara untuk menstabilkan politik, memantapkan ekonomi dan mencapai
kejayaan sosial. Wawasan pula dapat kita takrifkan sebagai suatu matlamat untuk
mencapai cita-cita ngara pada tahun 2020. Manakala jika kita gabungkan
kedua-dua perkataan tersebut, generasi berwawasan dapat kita definisikan
sebagai golongan muda masa kini yang akan menerajui negara pada masa akan
datang dengan ciri-ciri kepimpinan dan kewibawaan yang lengkap serta mantap
demi mencapai misi dan visi Negara untuk menjadi Negara maju selaras dengan
sasaran dalam Wawasan 2020. Dewasa ini, isu generasi berwawasan telah
mencetuskan polemik dalam kalangan masyarakat kita saban hari pantas meniti
dari bibir ke bibir. Isu generasi berwawasan menjadi amat penting untuk diberi
perhatian dan tumpuan yang sewajarnya. Hal ini kerana, generasi berwawasan
merupakan generasi pelapis pemimpin masa hadapan.
Sebenarnya
kelompok generasi berwawasan ini mempunyai banyak kepentingannya dalam
kehidupan seharian kita. Antaranya, negara tidak akan mundur dengan adanya
generasi yang berwawasan, mereka akan dapat memimpin negara dengan lebih
kreatif dan optimis. Generasi ini akan dapat mengatasi segala masalah negara
dengan lebih bijak. Selain itu, pembangunan negara juga akan menjadi lebih
pesat. Generasi berwawasan ini dapat menjamin masa depan negara yang baik dan
meningkatkan lagi ekonomi negara. Negara juga dapat berkembang maju dan nama
negara juga dapat diperkenalkan di persada dunia. Akan tetapi, dewasa ini, jika
kita menyoroti isu-isu semasa, terdapat pelbagai halangan untuk melahirkan
generasi berwawasan. Hal ini berlaku disebabkan beberapa faktor, antaranya
generasi kini kurang kawalan dan limpahan kasih sayang daripada ibu bapa. Hal
ini kerana, ramai ibu bapa yang terlalu sibuk mengejar kemewahan sehingga
sanggup mengabaikan anak sendiri. Di samping itu, pemikiran generasi kini masih
belum matang dan mereka sentiasa mahu melakukan sesuatu tindakan secara
terburu-buru sehingga sanggup menjebakkan diri dalam kancah masalah sosial.
Oleh yang demikian, semua pihak perlu seia sekata dan melangkah sederap untuk membina satu
kelompok generasi muda yang berkualiti demi merelisasikan misi nasional negara
iaitu menjadi negara maju menjelang tahun 2020.
Oleh
sebab hasrat murni kerajaan perlu dicapai sebaik sahaja kaki melangkah ke tahun
2020, maka remaja sendiri perlu mempersiapkan diri dengan pelbagai ciri dan
sifat mahmudah untuk mencapai misi negara itu seiring dengan panduan dan tunjuk
ajar daripada golongan dewasa. Untuk itu, generasi kita perlulah berpengetahuan
luas dan mempunyai kemahiran yang tinggi dalam pelbagai bidang. Sebagai contoh,
mereka perlu melengkapkan diri mereka dengan ilmu pengetahuan dari pelbagai
aspek, seperti ekonomi,politik dan sosial. Hal ini penting kerana apabila
seseorang itu mempunyai ilmu pengetahuan yang mencakupi semua bidang, mereka
akan dapat membuat penilaian dan keputusan yang bijak dan rasional. Golongan
ini juga perlulah menanamkan sifat tidak jemu dalam menimba ilmu pengetahuan
,bak kata pepatah ‘hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih’. Ilmu yang
diperoleh hendaklah dipraktikkan supaya tidak menjadi sia-sia sahaja. Rentetan
itu, generasi muda juga hendaklah berusaha bersungguh-sungguh supaya dapat
bersaing secara sihat antara satu sama lain. Hal ini merupakan satu amalan yang
baik kerana selain dapat meningkatkan mutu prestasi kerja individu,amalan ini
juga dapat mengeratkan silaturahim sesama manusia walaupun berlainan kaum.
Selain itu, bagi merealisasikan impian negara, generasi muda sekarang perlulah
mempunyai sifat keterbukaan. Hal ini kerana apabila golongan ini mempunyai
sifat sedemikian, mereka lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang
lain.
Dalam
nada yang serupa, generasi yang berwawasan turut memberi kesan kepada negara
kita. Kesan yang menjadi pokok kepada persoalan di sini ialah generasi
berwawasan dapat menjamin kestabilan politik. Mereka merupakan pendukung sistem
demokrasi berpelembagaan di Malaysia dan bertanggungjawab untuk mencapai
kestabilan politik melalui pilihan raya. Direnung dari aspek yang lain,
generasi berwawasan akan menerajui tampuk kepimpinan negara untuk mencapai
mercu kejayaan. Jika kita menyingkap dari aspek ekonomi pula, generasi yang
berwawasan dapat memantapkan ekonomi negara. Mereka juga memikul tanggungjawab
dan mempunyai matlamat untuk membangunkan ekonomi negara supaya Malaysia dapat
duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain.
Seterusnya, generasi berwawasan juga dapat mencapai kejayaan sosial iaitu
kesejahteraan sosial. Generasi berwawasan akan menjadi pendukung untuk mencapai
perpaduan negara atau dengan kata lain mencapai integrasi nasional. Mereka
sentiasa mengamalkan sikap bertoleransi dan bertolak ansur demi mencapai misi dan
visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni
satu bangsa, satu bahasa dan satu negara. Kita perlu mengetahui, jika kita
tidak mempunyai generasi yang berwawasan, sudah pasti negara kita akan mundur
dan porak peranda. Pelbagai masalah akan timbul dan masyarakat juga akan
berpecah belah. Maka, kita semua perlulah bersatu hati demi mewujudkan generasi
yang mempunyai wawasan untuk dijadikan pedoman hidup.
Kesimpulannya,
generasi berwawasan sememangnya memberikan pelbagai maslahat kepada kita. Kita
boleh menjadi generasi berwawasan jika kita sentiasa berfikiran kehadapan.
Generasi muda terutamanya golongan remaja perlulah sentiasa bermuhasabah dan
membaiki kelemahan diri ,bak kata pepatah sesal dahulu pendapatan, sesal
kemudian tidak berguna. Mereka merupakan tonggak negara yang bakal menerajui
pucuk pimpinan negara pada masa hadapan. Maka adalah menjadi suatu kewajipan
bagi generasi muda untuk menyiapkan diri dengan kemahiran dan skil-skil yang
kontemporari agar Malaysia dapat terus bersaing dengan yang lain. Akhirul
kalam, generasi berwawasan sememangnya merupakan tonggak pembangunan negara,
maka kita semua perlulah berusaha untuk menjadi generasi yang berwawasan demi
menyerbakkan keharuman nama negara kita di persada antarabangsa
No comments:
Post a Comment