Wednesday, September 21, 2011

Detik Itu...Ku Tunggu.



Sajak ini ditujukan khas buat semua calon SPM 2011
terutama pelajar tingkatan 5 SMK Sijangkang Jaya



Kelmarin berlalu
Semalam jugak telah berlalu
Ku lalui hari ini
Terasa resah, terasa gelisah
Esok..tidak pasti...

Cabaran itu kian menjelma..menghampiriku
Tiap detik dihitung
Tertusuk pertanyaan di dada
Sudahkah aku bersedia atau masih alpa
Yang pasti..aku tidak mahu hampa

SPM...penentu perjalanan ku
apakah ada sinar di hadapan
untukku bina harapan

atau tersandung langkah perjalanan
terpaksa berundur untuk seketika
sebelum ku bina langkah bermakna
ku tinggalkan rasa derita

Aku tidak rela berputih mata
melihat rakan taulan ketawa
mereka riang ria...
sedangkan
aku berduka lara

Mulai detik ini
Akan ku redah lautan sukar
Akan ku daki punca jaya
Akan ku gapai hasrat mulia
Demi untuk sebuah kejayaan...

SPM - akan ku pastikan
Tertera tinta-tinta indah
Terpapar bait kata bermadah
Tercalit bicara megah
Tanda bermaknanya helaian putih salju itu

SPM - ingin ku lihat
Biar bangga ibu bapaku
Biar tersenyum manja guru-guruku
Biar ku dijulang teman-temanku
Biar meniti namaku dibibir tetangga
Dek kerana..sebuah kejayaanku.

Yang pasti...
Jika sijil itu bermakna
Menara gading akan ku jejak

Nukilan Rasa ;
saharuddin abdullah
(Teratak Desa)

Bantuan Untuk Membantu Negara Yang Dilanda Bencana




Bencana alam yang berlaku di dunia ini banyak mengorbankan nyawa dan memusnahkan harta benda.

Nyatakan pendapat anda tentang bantuan yang dapat diberikan untuk membantu negara-negara yang dilanda bencana ini.


Format: Tiada


Pendahuluan:

Banyak negara di dunia dilanda bencana alam – bencana alam sering melanda dan menunjukkan belang – satu fenomena yang tidak dapat kita halang bak kata pepatah, geruh tidak berbunyi, malang tidak berbau - banjir, gempa bumi, letupan guunung berapi – bencana alam menyebabkan pelbagai kesulitan yang dihadapi – sebagai masyarakat yang mempunyai sifat kemanusiaan, kita sepatutnya bersimpati dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan bantuan ibarat hulurkan tangan, ringankan beban – bantuan segera perlu diberikan kepada negara-negara yang terlibat


Isi-isi:

(a) Memberikan sumbangan kewangan – kita boleh menyalurkan bantuan dengan kutipan derma – derma yang dihulurkan akan disalurkan kepada mangsa bencana alam yang amat memerlukan dan mendambakannya bagi meneruskan kehidupan di bumi ciptaan Tuhan ini – tidak hanya berfokuskan wang ringgit, tetapi bantuan lain seperti ubat-ubatan, pakaian dan makanan juga diperlukan - setelah bencana berlaku, pastinya mangsa bencana tidak memiliki kelengkapan yang sempurna untuk hidup kerana semua harta mereka telah dimusnahkan oleh bencana alam yang di luar jangka ini - pelbagai peringkat kutipan derma telah dijalankan oleh pihak berwajib sama ada pihak swasta ataupun pihak kerajaan yang berasa bertanggungjawab untuk membantu sesama manusia - meringankan beban – berat mata memandang, berat lagi bahu memikul – kita tidak harus lokek dalam menghulurkan sumbangan kerana cubit paha kiri, paha kanan pun sakit juga agar mangsa dapat hidup sempurna seperti kita

(b) Sumbangan dalam bentuk tenaga dan kepakaran – mencari mangsa-mangsa yang tertimbus atau hilang – pasukan sukarela atau badan-badan bukan kerajaan turut memberikan bantuan – pasukan yang terdiri daripada Pasukan Gerak Cepat dan Pasukan SMART di samping pasukan bomba sentiasa dihantar sebagai kumpulan awal untuk turut sama dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa – membantu atas dasar kemanusiaan demi menginsafi diri bahawa mereka perlu bersyukur dengan segala keselesaan dan telah terselamat daripada bencana alam ini – sudah terang lagi bersuluh bahawa menyumbangkan tenaga boleh menjadi satu platform untuk menyalurkan bantuan dalam melaksanakan usaha murni ini lantaran kita berpegang pada kata pepatah, hari tidak selamanya panas.


(c) Memberikan rawatan kesihatan dan kecemasan – pelbagai jenis penyakit akan merebak selepas bencana akam – bekalan air bersih akan terjejas – keadaan persekitaran akan kotor dan tercemar - doktor-doktor pakar dihantar untuk memberi rawatan terbaik kepada mangsa-mangsa bencana dan mendirikan pusar rawatan atau hospital sementara - memastikan lebih banyak nyawa mampu diselamatkan


(d) Bantuan psikologi – bimbingan dan kaunseling kepada mangsa bencana alam – mereka menjadi trauma – memberikan semangat baru untuk meneruskan kehidupan – Sokongan yang dihulurkan, sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka di samping dapat memberikan sinar kehidupan yang baharu kepada mereka selepas diuji dengan musibah yang tidak diduga itu.


(e) Bantuan membina prasarana dan infrastruktur yang rosak semula – sekolah, hospital, klinik, jalan raya – membantu menggerakkan sektor ekonomi yang lumpuh semula - Kerajaan menghantar pegawai-pegawai perancang ekonomi bersama-sama ahli perniagaan tempatan untuk menghidupkan semula aktiviti ekonomi yang sudah lumpuh di kawasan bencana itu. Hubungan ekonomi ini memastikan masa depan penduduk terbabit bertambah baik.


Penutup:

Semua orang seharusnya melupakan batasan geografi dalam menghulurkan bantuan dan tidak menjadi enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing – peka dengan permasalahan yang dihadapi oleh negara jiran – walau di mana-mana jua kita berada, kita harus sedar bahawa manusia semuanya sama iaitu menginginkan kehidupan yang sempurna – amat wajar membudayakan sikap saling membantu selagi kita termampu lantaran buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat, malah buat baik berpada-pada buat jahat jangan sekali - Semua pihak haruslah bersama-sama menghulurkan bantuan dengan apa-apa cara sekalipun kerana ada pepatah mengatakan hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih – perasaan muhibah dapat dipupuk – melahirkan dunia aman dan sejahtera

Membentuk Keluarga Impianku




"Rumahku, syurgaku". Kenyataan ini menunjukkan betapa pentingnya peranan ahli keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga impian saya ialah keluarga bahagia. Apakah ciri-ciri yang harus ada pada sesebuah keluarga bahagia? Cuba fikirkan sejenak! Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, setiap individu harus memikul dan melaksanakan kewajipannya untuk mewujudkan keluarga bahagia.

Ibu bapa memainkan peranan yang paling penting dalam mewujudkan kebahagiaan dalam keluarga. Ibu bapalah yang akan membentuk keperibadian dan sahsiah anak-anak. Ibu bapalah yang akan membekalkan kehidupan sempurna kepada anak-anak. Anak diibaratkan sebagai sehelai kain putih, ibu bapalah yang akan mencorakkannya sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Ibu bapanya yang merupakan guru terdekat harus menunjukkan teladan yang baik. Ibu bapa ialah teladan anak-anak, bak kata pepatah ,”bagaimana acuan, begitulah kuihnya”.

Pendidikan bermula dari rumah. Ibu bapa hendaklah mengajar anak-anak untuk membezakan “yang mana intan, yang mana kaca”. Ibu bapa harus mengawasi perlakuan dan memantau kegiatan luar anak-anak supaya mereka yang baru berumur setahun jagung, darah setampuk pinang tidak terjebak dalam kancah negatif. Ibu bapa harus memastikan anak-anak tidak bergaul dengan rakan sebaya yang buruk akhlak. Selain itu, ibu bapa harus mencurah kasih sayang sepenuhnya kepada anak-anak seperti “menatang minyak yang penuh” . Didikan agama dan moral yang teguh harus disemai dalam jiwa anak-anak sejak kecil lagi, bak kata pepatah “melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Seseorang yang tidak mempunyai pegangan agama dan moral yang teguh diibaratkan seperti “kapal tanpa nakhoda”.

Tambahan pula, ibu bapa harus meluangkan masa untuk menemani anak-anak dan memahami masalah mereka di samping berusaha menyelesaikannya. Ibu bapa hendaklah mengambil berat terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa janganlah begitu rakus mengejar fatamorgana mereka dalam aspek kebendaan sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka terhadap anak-anak. Hukuma-hakam Arab pernah mengatakan bahawa anak- anak yang kehilangan kasih sayang daripada ibu bapa yang sibuk adalah yatim.

Untuk mewujudkan keluarga bahagia, anak-anak hendaklah menuruti ajaran ibu bapa. Anak-anak harus belajar bersungguh-sungguh, mendapatkan keputusan cemerlang untuk membalas jasa ibu bapa. Anak-anak sepatutnya memuliakan dan menjaga maruah diri dan keluarga dengan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sihat seperti vandalisme, lumba haram, menagih dadah dan sebagainya. Anak-anak yang berjaya hendaklah mengenang jasa ibu bapa dan janganlah bersikap seperti “kacang lupakan kulit”. Anak-anak janganlah lupa bahawa ibu bapalah yang mendidik, membimbing, dan menjaga mereka. Kalau bukan ibu bapa, siapakah kita?

Anak-anak hendaklah mentaati ibu bapa. Dalam sesebuah keluarga, ahli-ahli keluarga saling menghormati dan memahami. Ahli-ahli keluarga sepatutnya bertolak-ansur dan mengawal diri bagi mengelakkan berlakunya pertelingkahan dan perselisihan faham. Keluarga bahagia ialah keluarga yang harmani, aman dan damai. Ahli-ahli keluarga akan saling membantu dan bekerjasama, bak kata pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

Natijahnya, semua ahli keluarga berperanan mewujudkan keluarga bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Keluarga bahagia banyak memerlukan unsur juga. Contohnya, kasih sayang, kerjasama, toleransi dan sebagainya. “Rumahku, syurgaku.” Keluarga bahagia ialah keluarga impian saya.

(Dipetik dari Blog Cikgu Anelyza )

Usaha Membendung Kenaikan Harga Barangan Keperluan




USAHA MEMBENDUNG KENAIKAN HARGA BARANG

Belakangan ini, kenaikan harga barang telah melanda negara kita. Kenaikan ini menyebabkan perbelanjaan rakyat Malaysia semakin bertambah. Bagi golongan yang hidup seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang atau kurang berada ini, kenaikan ini sudah pasti menimbulkan beban kepada mereka. Terdapat beberapa langkah yang perlu diambil oleh pelbagai pihak untuk menghadapi kenaikan ini, bak kata pepatah, ingat sebelum kena jimat sebelum habis.

Satu daripada langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah ini ialah setiap rakyat Malaysia perlulah mempraktikkan amalan berjimat cermat. Amalan ini dapat dilaksanakan dengan mengurangkan perbelajaan atau ikat perut. Sebagai contohnya, jika pada suatu ketika dahulu kita berbelanja sebanyak 100 peratus, perbelanjaan tersebut hendaklah dikurangkan kepada 50 atau 60 perataus sahaja. Wang selebihnya hendaklah kita simpan. Melalui cara ini, kita dapat mengurangkan pengaliran wang di pasaran dan seterusnya dapat mengurangkan permintaan terhadap sesuatau barangan sekali gus dapat mengurangkan kenaikan harga barang.

Selain itu, ketua sesebuah keluarga pula hendaklah merancang perbelanjaan keluarga dengan teliti. Semua perbelanjaan hendaklah dibuat berdasarkan keperluan yang sebenarnya. Hal ini bermaksud barang-barang yang tidak diperlukan hendaklah diketepikan. Sebagai contohnya, setiap ahli keluarga hendaklah menangguhkan pembelian pakaian yang berjenama mahal, peralatan perabot, dan sebagainya. Mereka hendaklah menumpukan pembelian barangan keperluan utama seperti beras, gula, tepung, dan sebagainya.

Di samping itu, semua ahli masyarakat hendaklah memboikot barang-barang di pasaran yang harganya naik secara mendadak. Dalam hal ini, masyarakat hendaklah bersatu hati seperti yang terungkap dalam pepatah Melayu, iaitu bersatu teguh bercerai roboh. Sebagai contohnya, masyarakat janganlah membeli ayam daging di pasar yang mengalami kenaikan harga yang tidak munasabah. Apabila pembeli memboikot pembelian terhadap ayam daging tersebut dalam tempoh tertentu, harga ayam tersebut akan turun kembali.

Bukan itu sahaja, pihak kerajaan pula hendaklah sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan yang tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan harga barangan tanpa mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan. Pegawai yang bertanggungjawab hendaklah mengadakan lawatan secara mengejut dari semasa ke semasa untuk memastikan penjual mematuhi peraturan yang telah ditetapkan atau tidak bersikap seperti lintah darat. Sebagai contohnya, mana-mana penjual yang menaikkan harga barangan secara sesuka hati atau cuba memasang lukah di pergentingan, mereka hendaklah didakwa di mahkamah. Tindakan ini akan menyebabkan mereka tidak berani untuk mengambil kesempatan dalam suasana negara menghadapi kemelut kenaikan harga minyak.

Kesimpulannya, kenaikan harga barang telah menyusahkan banyak pihak. Oleh itu, semua pihak haruslah bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk menangani masalah ini. Bagi sesetengah pihak pula, janganlah bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Semua rakyat Malaysia mestilah bertindak seperti ke bukit sama-sama didaki dan ke lurah sama-sama dituruni untuk mencari jalan bagi menyelesaikan kemelut yang berlaku. Sebagai pengguna pula, kita mestilah memboikot barang-barang tertentu jika ada pihak yang ingin mengambil kesempatan dalam situasi genting yang bagai telur di hujung tanduk ini.

Peranan Ibu Bapa Untuk Kecemerlangan Akademik Anak-anak.



PERANAN IBU BAPA DALAM MEMBERIKAN SOKONGAN DAN DORNGAN KEPADA ANAK-ANAK DEMI MEMASTIKAN KECEMERLANGAN AKADEMIK ANAK-ANAK

Keluarga boleh ditakrifkan sebagai kaum kerabat atau sanak saudara yang saling mengasihi, mencintai dan bersifat belas kasihan terhadap saudaranya yang lain. Tambahan pula, keluarga merupakan aset terpenting dalam kehidupan setiap insan. Seseorang yang tidak mempunyai keluarga, iaitu hidup sebatang kara, tidak mempunyai tempat bergantung untuk menumpang kasih serta hidup bagaikan layang-layang terputus tali. Pada tahun 2003, Malaysia pernah digemparkan dengan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Nur Amalina yang amat membanggakan. Hal ini kerana beliau berjaya mendapat 17A1 sekali gus menjadikan beliau pelajar cemerlang SPM 2003

Kejayaan ini adalah kerana Nur Amalina mempunyai sebuah keluarga yang penyayang dan sanggup memberikan sepenuh sokongan dan dorongan dalam bidang akademik beliau. Jelaslah bahawa faktor kejayaan anak-anak dalam bidang akademik banyak bergantung kepada dorongan dan sokongan daripada keluarga. Terdapat pelbagai jenis sokongan dan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk memastikan kecemerlangan anak-anak kerana keluarga bahagia pemangkin kecemerlangan anak-anak.

Antara peranan daripada keluarga ialah kepimpinan melalui teladan. Anak-anak akan lebih terdorong untuk mengikut jejak langkah kejayaan ibu bapa mereka kerana ibu bapa lebih mengenali dan rapat dengan anak-anak . Ibu bapa yang berjaya akan menjadi idola dan inspirasi untuk kecemerlangan anak-anak. Tambahan pula, kejayaan ibu bapa akan menyebabkan anak-anak cuba mememotivasikan diri mereka sekali gus merubah kehidupan mereka agar berjaya atau lebih berjaya daripada ibu bapa mereka. Dalam era globalisasi ini, kebanyakan ibu bapa yang berjaya mempunyai anak-anak yang berpotensi untuk berjaya seperti mereka. Buktinya, kajian statistik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati hampir 50 peratus rakyat Malaysia terlibat dengan gejala negatif lazimnya mempunyai konflik keluarga. Oleh itu, benarlah bahawa kepimpinan melalui teladan merupakan dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga untuk kecemerlangan anak-anak.

Malah, pada realitinya, ibu bapa sanggup memerah keringat, membanting tulang dan bekerja keras dengan tulang empat kerat mereka agar memperoleh pendapatan yang lumayan dan mewah. Hal ini kerana ibu bapa mahu memberikan kemudahan dan keselesaan yang secukupnya kepada anak-anak bagai menatang minyak yang penuh. Semua ibu bapa menginginkan kejayaan daripada anak-anak supaya anak-anak mempunyai masa depan yang cerah. Mereka tidak mahu anak-anak mereka hidup susah.Sebagai contoh, ibu bapa yang tidak berkemampuan terpaksa kais pagi makan pagi, kais petang makan petang semata-mata untuk membiayai persekolahan anak-anak mereka. Dalam era modenisasi ini, pendidikan semakin memerlukan kos yang tinggi. Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa bekerja dengan lebih kuat dan lebih masa untuk menampung kos pendidikan anak-anak mereka. Buktinya, mantan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga pernah menyatakan bahawa wang ringgit bukanlah pengganti kasih sayang malah semua ibu bapa sanggup mengorbankan apa-apa sahaja untuk kebahagiaan cahaya mata mereka. Kenyataan ini membuktikan bahawa ibu bapa rela berkorban demi anak-anak mereka sekali pun terpaksa bergadai nyawa. Sudah terang lagi bersuluh bahawa pengorbanan ibu bapa menjadi dorongan untuk anak-anak cemerlang dalam bidang pelajaran.

Dorongan lain yang boleh diberikan oleh keluarga adalah dengan memberikan anak-anak didikan agama yang sempurna. Hal ini kerana anak-anak yang mempunyai didikan agama yang sempurna akan terang hati dan lebih mudah untuk menerima pelajaran. Mereka akan mempunyai prinsip hidup yang teguh, sekali gus menyebabkan mereka tidak mudah terpengaruh oleh gejala negatif yang semakin berleluasa seperti kudis dalam masyarakat marcapada ini. Kejayaan Nadia Amira yang cemerlang dalam SPM 2006 menunjukkan bahawa pelajar yang mempunyai didikan agama yang sempurna mampu meraih kejayaan. Albert Einstein pernah mengatakan bahawa agama tanpa ilmu adalah buta, manakala ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Oleh itu, jelaslah bahawa didikan agama yang sempurna merupakan salah satu dorongan yang boleh diberikan oleh keluarga demi kecemerlangan anak-anak dalam bidang akademik.

Sebagai intiha, dorongan daripada keluarga merupakan faktor terpenting kejayaan anak-anak. Rentetan itu, ibu bapa serta ahli keluarga yang lain wajarlah bersatu padu bagai aur dengan tebing dan sama-sama berusaha seperti hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah untuk merealisasikan impian murni mereka. Dorongan keluarga dapat melahirkan anak-anak yang cemerlang, gemilang dan terbilang seperti yang dilaungkan mantan Perdana Menteri kita yang lebih dikenali sebagai "Pak Lah". Marilah kita buktikan kepada dunia bahawa pemikiran rakyat Malaysia tercinta ini tidak lagi dibelenggu atau tidak lagi umpama katak di bawah tempurung, malah telah bertamadun dalam menuju era globalisasi untuk berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara lain untuk negara maju yang lain di seluruh sarwajagat ini.

(Dipetik dari Blog Cikgu Anelyza)

Kesan Buruk Merokok



Pelbagai usaha telah dilakukan untuk menjayakan kempen anti merokok, namun kesannya sangat mendukacitakan.
Nyatakan kesan buruk tabiat merokok kepada kesihatan.

Pendahuluan:
Gejala merokok semakin membimbangkan – selain orang dewasa ianya turut melibatkan kanak-kanak serta berlakunya peningkatan perokok tegar dalam kalangan wanita – merokok memberi kesan negatif kepada individu dan masyarakat sekeliling - pelbagai usaha telah dan sedang dibuat untuk menyedarkan orang ramai - namun usaha tersebut 'bagaikan mencurah air di daun keladi' - di manakah silapnya ? apakah sudah tiada jalan lain ? Ayuh, kita kupaskan kesan buruk merokok untuk dijadikan sempadan.

Isi-isi (kesan buruk tabiat merokok)
1. Menjejaskan kesihatan - mendatangkan pelbagai penyakit seperti barah otak, barah paru-paru, sesak nafas dan sebagainya - telah terbukti melalui kajian saintifik oleh pakar - perokok yang mengalami masalah ini, hanya menunggu maut.
2. Menjejaskan ekonomi keluarga– memerlukan perbelanjaan yang besar akibat kenaikan harga – sepatutnya wang disalurkan untuk perbelanjaan keluarga atau simpanan hari tua - simpanan berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit.
3. Mencemarkan alam sekitar – asap rokok bukan sahaja membahayakan kesihatan tetapi mencemarkan udara sekeliling – meninggalkan kesan negatif kepada individu yang menghidu bau rokok - menjadikan rakan tidak selesa apabila terhidu bau asap rokok.
4. Menjejaskan keterampilan diri – kesan asap rokok menyebabkan gigi kuning, nafas berbau – penampilan diri akan terjejas – pandangan negatif daripada masyarakat yang menghargai kesihatan diri.
5. Meningkatkan kadar kematian – rokok mengandungi pelbagai bahan kimia yang mengancam kesihatan – terdapat tar, nakotin dan beberapa bahan kimia lian - kajian membuktikan ramai manusia mendapat pelbagai penyakit yang membawa kematian akibat merokok.
6. Meningkatkan perbelanjaan negara – kerajaan terpaksa menggunakan perbelanjaan yang banyak untuk mengubati penyakit orang yang ketagihan merokok – sepatutnya perbelanjaan itu digunakan untuk pembangunan negara.


Penutup :
Masyarakat harus menyedari bahaya merokok - merokok mendatangkan kesan yang sangat buruk kepada penghisapnya – pihak yang bertanggungjawab harus meningkatkan usaha untuk mengurangkan tabiat merokok dalam kalangan masyarakat.

Kepentingan Ilmu dan Kesan Buruk jika Kita Tidak Berilmu




Ilmu sangat penting dalam hidup kita. Ilmu boleh menjamin masa depan kita.
Nyatakan kepentingan ilmu dalam hidup manusia dan apakah kesan buruk jika kita tidak berilmu.

Pendahuluan:
“Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad” – pepatah itu membuktikan kepentingan ilmu dalam diri manusia – ilmu perlu dipelajari dan dituntut – ilmu yang diperolehi perlu dimanfaatkan untuk kepentingan diri, masyarakat, agama dan negara – ilmu tanpa amal ibarat pohon rendang yang tidak berbuah.

Isi-isi (Kepentingan Ilmu).
1. Ilmu memberi peluang kerjaya – dapat kerja yang lebih baik untuk menyara kehidupan – memperoleh pendapatan bulanan yang tinggi dan tetap - kehidupan lebih selesa dan terjamin.
2. Dihormati dan dipandang mulia oleh masyarakat – orang yang berilmu menjadi rujukan dalam bidang kepakaran masing-masing – doktor, peguam, hakim, arkitek dan guru -masyarakat akan menyanjung tinggi dan menghormati – dapat membantu masyarakat dalam kerja-kerja amal.
3. Taraf hidup dapat ditingkatkan – memperbaiki kehidupan sendiri atau keluarga – impian akan menjadi kenyataan seperti untuk memilik rumah, kereta dan kemewahan hidup – dapat memperolehi kesenangan dalam hidup.
4. Mengelakkan diri daripada ditipu atau ditindas – mampu berfikir dan membezakan antara perkara baik atau buruk, betul atau salah – menjadikan kita lebih berwawasan untuk menjamin masa depan.

Impak negatif Jika Tidak Berilmu.
1. Kehidupan terumbang ambing dan tidak menentu – peluang untuk mendapat pekerjaan bagi menyara kehidupan menjadi tipis –
2. Peningkatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat – taraf kehidupan rendah, berlakunya masalah kemiskinan, kehidupan tidak menentu.
3. Daya saing tenaga kerja menjadi rendah – peluang untuk menjawat jawatan yang lebih baik tidak mampu menjadi kenyataan- hanya bekerja diperingkat bawahan.
4. Dipandang rendah oleh masyarakat – masyarakat tidak dapat menaruh harapan yang tinggi untuk membantu mereka – menganggap kehadiran mereka tidak penting.

Penutup :
Pepatah ada menyatakan “ yang bulat tidak datang menggolek , yang pipih tidak datang melayang” – membuktikan bahawa ilmu perlu ditimba dan dicedok – ilmu tidak datang sendiri. Orang yang tidak berusaha mendalami ilmu akan ketinggalan dalam zaman globalisasi yang sangat mencabar ini.

(Perkongsian ilmu - perluaskan isi untuk menjadikan karangan anda lebih baik)

Kepentingan dan Impak Negatif ICT Kepada Masyarakat



Kemahiran Teknologi Maklumat sangat penting dalam kehidupan hari ini.
Huraikan faedah-faedah ICT dan juga keburukan ICT kepada masyarakat.

Pendahuluan:
Dalam era globalisasi dan ledakan maklumat, ICT sangat cepat berkembang dalam kehidupan manusia hari ini – mereka yang tidak menguasai ICT dianggap ketinggalan – Contoh kemudahan ICT ialah internet, telefon dan Astro – membawa banyak faedah dan keburukan kepada masyarakat.

Isi-Isi ( Faedah ICT)
1. Boleh mendapat maklumat secara mudah dan lebih terperinci – pelajar dapat mencari maklumat untuk menyiapkan kerja sekolah – maklumat dapat diakses secara mudah – maklumat berkaitan dengan pendidikan, kesihatan, pelancongan, berita dalam dan luar negara dan sebagainya.
2. Boleh menghubungkan kita ke seluruh dunia – laman-laman social yang wujud seperti Facebook, twitter dan Myspace – manusia dapat berkenalan – dapat mengenali rakan-rakan luar – menghubungkan semula dengan rakan-rakan lama.
3. Memudahkan urusan harian manusia – pembayaran bil, pembelian barang-barang dan pembayaran cukai – boleh dibuat secara dalam talian – tidak perlu beratur panjang dan dapat menjimatkan masa.
4. Dapat mengetahui maklumat lebih cepat, tepat dan pantas – berita disampaikan secara atas talian dari seluruh dunia– tidak perlu menunggu – perkembanga dunia yang terkini dapat diperolehi.

Keburukan ICT.
1. Fitnah dapat disebarkan secara lebih mudah – sukar dibendung kerana sesiapa sahaja boleh menulis dan menyiarkan maklumat – maklumat sahih sukar ditentukan
2. Pelajar leka dengan penggunaan internet – mengabaikan pelajaran dan tanggungjawab lain – seperti membantu ibu bapa, hidup bermasyarakat dan sebagainya – membuang masa dengan bermain game
3. Terdedah kepada perkara tidak baik – cerita lucah, gambar lucah dan bicara lucah – merosakkan akhlak dan jiwa remaja – boleh mempengaruhi pengguna untuk melakukan perkara yang tidak baik.
4. Bertambahnya kes jenayah seperti kecurian – remaja terpaksa mencari duit untuk mengunjungi pusat-pusat siber atau menambah nilai telefon bimbit – ada yang mencuri duit ibu bapa, merompak dan meragut.

Penutup :
Kebaikan ICT memang tidak dapat dinafikan - namun teknologi masa kini memerlukan pemantauan dan pengawasan yang sewajarnya agar tidak menimbulkan kesan negatif – masyarakat perlu saling mengingatkan agar ICT mampu memberi faedah yang berguna untuk kepentingan masa hadapan.

(Rangka ini sebagai panduan dan bimbingan sahaja - mungkin ada isi lain yang lebih baik)

Langkah-langkah Menjaga Kesihatan Dan Kesannya Jika Kesihatan Terganggu



Kebahagiaan hidup bukan terletak pada harta kekayaan tetapi terletak pada kesihatan yang baik.
Nyatakan langkah-langkah untuk memastikan kesihatan kita baik dan kesannya jika kesihatan kita terganggu.

Pendahuluan :
Manusia lebih mementingkan material berbanding dengan kesihatan – Kita berangggapan bahawa wang ringgit dapat membeli segala-galanya dan nereka lupa tentang kepentingan menjaga kesihatan. Pepatah Melayu - "Mencegah lebih baik daripada mengubati" - membuktikan bahawa penjagaan kesihatan sangat penting dalam hidup kita.

Isi-Isi Karangan : (Langkah-langkah untuk memastikan kesihatan kita baik)
1. Pengambilan diet yang seimbang – ambil makanan mengikut keperluan dan tenaga yang akan digunakan – Makanan yang dimakan perlulah mengikut pyramid makanan – mempunyai pelbagai khasiat dan zat seperti protein, kanji. Karbohidrat, vitamin dans ebagainya - kita tidak perlu mengambil makanan berkolestrol tinggi kerana ianya akan ditukarkan menjadi lemak yang menjadi punca obesiti.
2. Bersenam – membolehkan badan kita sentiasa bergerak – sistem perpeluhan membuang sisa toksid dari badan - jogging, senam robik, berbasikal dan sebagainya.
3. Mengamalkan cara hidup sihat – tidak merokok, tidak meminum minuman beralkohol, menjauhi dadah – bahan yang terkandung adalah bahan kimia yang boleh merosak sistem organ manusia – kesan mendapat penyakit barah otak, jantung dan kanser.
4. Kerap melakukan pemeriksaan kesihatan – dapat mengetahui penyakit lebih awal dan mudah untuk merawatnya – jika penyakit berada pada peringkat awal, rawatan segera dapat dilakukan dan mengelakkan daripada penyakit itu merebak dan sukar diubatai – contohnya penyakit barah, demam denggi, H1N1 dan sebagainya – rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa.

Kesan jika kesihatan terganggu :
1. Emosi dan mental kita terganggu – mereka yang menghidapi penyakit akan mengalami tekanan perasaan, cepat marah dan murung – tekanan lebih kuat jika penyakit telah berada pada tahap kronik-hidup menjadi tidak menentu.
2. Tumpuan terhadap kerja/pelajaran akan menurun – jika kita sakit - kerja tidak dapat dilakukan dengan sempurna – badan lesu dan tidak bermaya – produktiviti akan menurun – bagi pelajar, pelajaran mungkin terganggu.
3. Kos sara hidup meningkat – terpaksa mendapat rawatan di hospital kerajaan atau swasta – memerlukan perbelanjaan untuk mendpat rawatan lebih-lebih lagi di hospital swasta.
4. Masa banyak terbuang – terpaksa menggunakan masa untuk mendapatkan rawatan – menganggu aktiviti harian – menunggu untuk mendapatkan rawatan – terpaksa berehat di rumah jika mendapat cuti sakit .

Penutup :
Kita perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk mendapatkan kebahagiaan – kesihatan lebih penting daripada wang ringgit – pepatah ada menyatakan “sediakan payung sebelum hujan” "jangan sudah terhantuk baru terngadah".

Punca-Punca Masalah Sosial dan Cara Mengatasi



Ini bukanlah yang terbaik - Sekadar panduan dan pencetus idea untuk semua calon SPM

Masalah sosial dalam kalangan remaja semakin membimbangkan. Semakin hari, masalah ini semakin berleluasa.
Nyatakan punca-punca timbulnya masalah sosial dan bagaimanakah kita boleh mengatasinya.

Pendahuluan:
Masalah sosial dalam kalangan remaja masa kini makin berleluasa. Boleh dikatakan setiap hari ada sahaja berita tentang masalah sosial remaja dipaparkan di muka akhbar mahupun di kaca televisyen. Antara masalah sosial remaja masa kini ialah merempit, ragut, curi motosikal, menagih dadah dan pergaulan bebas.

Punca-Punca:
1. Pengaruh rakan sebaya – tersalah pilih kawan – terjerumus dalam masalah sosial dengan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah dan memudaratkan diri – tidak ada benteng ketahanan diri – berasa seronok berada dalam kelompok kawan yang mampu memberi kegembiraan.
2. Pengaruh media massa – sama ada media cetak atau media elektronik -dipaparkan dengan filem-filem atau cerita-cerita ganas dan berunsur sex - filem dan bahan tidak bermoral boleh didapati dengan mudah – remaja yang melihat akan terpengaruh, meresap dalam diri dan cuba untuk melakukannya.
3. Masalah dalam keluarga – pertengkaran ibu bapa, kurang kasih sayang, bebanan tugas – remaja tertekan dan emosi terganggu – ambil jalan keluar dengan lari dari rumah, mengikut kawan-kawan, mengambil dadah dan sebagainya – sebagai usaha meredakan tekanan dalam diri.
4. Perasaan ingin mencuba – jiwa remaja yang penuh dengan emosi sangat suka kepada sesuatu yang baru – apabila melihat rakan dapat melakukan aksi / membuat sesuatu yang menyeronokkan mereka akan terikut-ikut. Seperti aksi merempit, hubungan sex dan sebagainya.
5. Kurang didikan agama – remaja hari ini kurang menghayati didikan agama – mereka tidak takut kepada dosa – mereka tidak takut kepada balasan hari akhirat – mereka lebih pentingkan keseronokkan walaupun bertentang dengan nilai dan agama – masyarakat pula mengamalkan budaya lihat dan pandang tetapi ada usaha menegur.

Cara Mengatasi :
1. Memberi didikan agama dan moral yang secukupnya – anak mampu membenteng diri mereka daripada pelbagai pengaruh – anak-anak akan berasa bersalah melakukan perkara yang bertentangan dengan nilai-nilai agama – secara tidak langsung akan menolak gejala buruk yang datang kepada mereka.
2. Ibu bapa memberi kasih sayang secukupnya kepada anak-anak – anak-anak rasa diri mereka dihargai dan disayangi – mereka akan menjaga maruah diri, maruah ibu bapa dan maruah keluarga – bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya.
3. Penguatkuasaan oleh pihak berkuasa – tindakan terhadap media massa yang menyiarkan bahan atau filem berunsur ganas dan sex yang boleh mempengaruhi jiwa remaja. Garis panduan yang lebih telus dan jelas digubal untuk memastikan tiada filem atau bahan yang boleh merosakkan jiwa remaja.
4. Menggubal dan meminda undang-undang – tindakan lebih berat sebagai pengajaran kepada pihak yang cuba mengekploitasi remaja untuk kepentingan diri – tindakan terhadap remaja yang terlibat sebagai pengajaran kepada rakan-rakan lain.
5. Mengadakan kempen kesedaran untuk remaja – mengingatkan remaja tentang impak negatif atau kemudaratan yang akan mereka perolehi jika terlibat dengan masalah sosial seperti penyakit, kecederaan, kematian dan kemusnahan hidup.

Penutup :

Remaja adalah pewaris bangsa. Pemuda adalah harapan bangsa dan pemudi ialah tiang regara. Semua pihak harus memainkan peranan untuk mengurangkan masalah sosial yang boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Pengacara Majlis : Sambutan Merdeka Raya




PROGRAM SAMBUTAN KEMERDEKAAN 2011
ATUCARA MAJLIS
7.30 - Pendaftaran / Persiapan
7.45 - Ketibaan VIP
7.50 - Nyanyian lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah
8.00 - Kata alu-aluan Pengerusi Majlis
8.03 - Bacaan Doa
8.05 - Membaca Perutusan YAB Perdana Menteri
8.10 - Membaca Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia
8.15 - Ucapan Perasmian Oleh Puan Pengetua
8.20 - Pidato Penghayatan Kemerdekaan oleh tetamu jemputan.
8.55 - Penyampaian hadiah Pertandingan Bulan Kemerdekaan,
9.10 - Penyampaian cenderamata kepada Tetamu
9.15 - Persembahan Pelajar
- Nyanyian lagu patriotik
10.00 - Bersurai untuk Fasa 1.


------------------------------------------------------------------------------------
SKRIP JURUACARA


MAJLIS SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE - 54
TAHUN 2011
SMK SIJANGKANG JAYA, KAMPUNG MEDAN
42500 TELOK PANGLIMA GARANG, SELANGOR DARUL EHSAN.


TARIKH : 15 SEPTEMBER 2011 (KHAMIS)
MASA : 7.30 PAGI – 10.00 PAGI
TEMPAT : FOYER CEMPAKA, SMK SIJANGKANG JAYA
PERASMI : PENGETUA,
SMK SIJANGKANG JAYA.
-----------------------------------------------------------------------------------

Pengumuman :
1.Program Merdeka Raya akan berlangsung dalam dua fasa.
-Fasa pertama 08.00 – 10.00 pg - Majlis Sambutan Kemerdekaan ke – 54.
-Fasa kedua 10.30 – 01.00 pg - Sambutan Hari Raya
2.Pelajar diminta memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Para pengawas dan semua guru diminta memberi kerjasama dengan mengawasi para pelajar.
3.Pelajar diminta tidak membuat bising, berbual-bual dan menunjukkan reaksi tidak berminat ketika berada dalam majlis.
4.Majlis akan melibatkan tetamu luar, jaga tingkah laku, jaga tuturkata lebih penting jaga nama baik sekolah.
5.Pelajar tidak dibenarkan meninggalkan majlis. Pergerakan keluar daripada majlis mestilah dengan kebenaran guru dan dalam situasi beradab.
6.Pelajar diminta duduk dalam keadaan paling selesa, teratur dan tersusun.
7.Tindakan tegas akan diambil ke atas pelajar yang menganggu perjalanan majlis atau melakukan perkara yang tidak dibenarkan.
8.Pelajar diminta menyanyikan lagu sekolah, negeri Selangor, lagu negaraku, lagu jalur gemilang dan lagu keranamu Malaysia dengan penuh semangat.

----------------------------------------------------------------------------------


Teks Juruacara :

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Mejar Mohd Fuad bin Hj Sharif
Penolong Pengarah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Negeri Selangor.

Semua hadirin diminta berdiri.

Memulakan atur langkah majlis, marilah sama-sama kita mengumandang suara untuk menyanyikan lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah bersama iringan muzik. Semua hadirin diminta bersedia.

( lagu dimainkan PA System )

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas nyanyian itu tadi. Hadirin dipersilakan duduk.

Ulik Mayang nyanyian asli
Dilagu sigadis merdu sekali
Terima Kasih sekalung budi
Sudi datang ke majlis merai.

Dipersilakan adik Alia Izatie Mohd Adnan untuk menyerahkan bendera Malaysia kepada tetamu kehormat kita sebagai simbolik bermulanya program sambutan kemerdekaan.

•Tunggu 2 orang pengawas bawa bendera untuk disampaikan kepada tetamu

Jalur Gemilang serahan hati
Tanda ingatan kekal abadi
Biar padu seteguh jati
Budaya kita junjungan budi

Bagi meneruskan aturcara majlis, dipersilakan Cikgu Saharuddin Abdullah bagi mengemudi program seterusnya. Dipersilakan.

Terima kasih saudara pengacara majlis.

1. KATA ALU-ALUAN.

Yang Berusaha,
Pn Hajjah Noor Hayati binti Sarbini
Pengetua SMK Sijangkang Jaya

Yang Berusaha
Tuan Haji Zulkefli bin Mat Taib,
Yang Dipertua PIBG SMK Sijangkang Jaya dan AJK PIBG

Yang Berbahagia,
Tokoh Undangan Khas
Mejar Mohd Fuad bin Hj Shariff
Penolong Pengarah, Jabatan Pertahananan Awam Malaysia (JPAM),
Negeri Selangor, Darul Ehsan.

Yang Dihormati, Barisan Kepimpinan Penolong Kanan,
Pn. Ramlah bt Hj Hashim - PK Pentadbiran.
En. Kowangid bt Taufik - PK Hal Ehwal Murid.
Pn. Zaleha bt Selamat - PK Kokurikulum

Yang Dikasihi, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-Guru Cemerlang serta Rakan-
rakan guru
seterusnya putera dan puteri yang menjadi tiang negara dan harapan bangsa yang
disayangi.

Assalamualaikum wbt , salam sejahtera, Salam Keilmuan dan salam 1 Malaysia.


Ceria wajah dalam majlis
Hati berkobar, semangat dibawa
Sambutan merdeka penyeri majlis
Sematkan gagah di dalam jiwa

Selamat datang ke Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan SMK Sijangkang Jaya 2011. Sama-samalah kita memanjatkan setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sama-sama berhimpun dan menyatukan tekad di dalam majlis ini dengan penuh kedamaian dan keamanan. Kedamaian dan keamanan ini sebagai tanda bahawa negara ini berada dalam kestabilan politik dan kita mampu berkongsi muafakat untuk hidup bersama . Sesungguhnya sambutan kemerdekaan ini diadakan sebagai tanda bahawa para guru dan pelajar sekolah ini dapat seiring dan sederap melangkah, dengan semangat kesungguhan yang berkobar-kobar dan beriiltizam tinggi untuk menjadi warganegara yang patriotik .


2. DOA

Anugerah di kecap si anak watan
Mengangkat senjata bidalan suara
Menadah tangan memohon keberkatan
Mendapat restu hidup sejahtera

Untuk memberkati majlis, dengan sukacitanya dijemput Al Fadhil Ustaz Zahari bin Mamat untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan

DOA

Terima kasih kepada Ustaz Zahari bin Mamat atas bacaan doa sebentar tadi.


3. MEMBACA PERUTUSAN.

3.1. Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia.
Pepatah-petitih Adat Melayu
Warisan amalan sejak dahulu
Pohon keizinan barang sewaktu
Ucapan Perdana Menteri mohon didahulu

Sebagai pembuka acara, majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha , Pn Ramlah bt Hj Hashim, PK Pentadbiran, SMK Sijangkang Jaya untuk menyampaikan perutusan Perdana Menteri.. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan sebentar tadi.


3.2. Perutusan YB Menteri Pelajaran Malaysia

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
Ucapan PK HEM hormat dipersila,

Seterusanya, majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha, En Kowangid bin Taufik PK HEM, untuk menyampaikan perutusan YB Menteri Pelajaran Malaysia. Dengan segala hormatnya dipersilakan

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas bacaan perutusan sebentar tadi


4. UCAPAN PENGETUA

Pahlawan Melayu Gagah Perkasa,
Musuh datang habis dibasmi,
Tuan sudah diberi kuasa,
Sudilah kira, pohon merasmi

Majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha , Pn Hajjah Noor Hayati bt Sarbini, Pengetua SMK Sijangkang Jaya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis Sambutan Merdeka Raya bagi tahun 2011.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan Puan Pengetua sebentar tadi.

Hadirin yang dikasihi.
Tak Kenal Maka Tak Cinta
Tak Didayung Perahu Masakan Sampai Di seberang
Tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Tak diperkenalkan tetamu, sudah tentu jiwa tertanya-tanya

Izinkan saya untuk memperkenalkan tetamu undangan kita pada pagi ini. Nama beliau ialah Mejar Mohd Fuad bin Hj Shariff. Anak jati Kg Sijangkang Batu 1. Seorang motivator yang boleh membakar semangat dan melunturkan jiwa berkerak yang kental. Pernah bertugas sebagai guru di SMK Pandamaran Jaya. Bersara 3 tahun lepas ketika usia beliau 58 tahun. Oleh kerana berminat untuk berbakti kepada masyarakat, beliau meneruskan perkhidmatan sukarela dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Kini beliau memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Negeri Selangor. Sewajarnya, pada pagi ini kita menjemput berkongsi pengalaman bagaimana untuk kita menghayati erti kemerdekaan untuk membangunkan Negara tercinta ini.


5. Ucapan Tokoh Undangan.

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
Tetamu jemputan hormat dipersila,

Dengan segala hormatnya dipersilakan Mejar. Mohd Fuad bin Hj Shariff, Penolong Pengarah, JPAM Negeri Selangor untuk menyampaikan pidato yang bertajuk “Penghayatan Kemerdekaan untuk Membangunkan Negara Tercinta”. Mohon dijemput menyampaikan pidato.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas pidato yang sangat bermakna itu tadi

(Tunggu sehingga tetamu duduk)

Hadirin yang budiman,
Meneruskan majlis, saya dengan penuh hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Puan Pengetua untuk menjemput dan mengiringi Yang Berbahagia En Mohd Fuad bin Hj Shariff ke atas pentas untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenag pertandingan yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan. Dipersilakan

(Baca senarai nama pemenang pertandingan)


5. PENYAMPAIAN CENDERA HATI.
Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi, kita kenangkan jasa. Sebagai tanda kenang-kenangan, majlis dengan hormatnya mempersilakan Yang Berusha Puan Pengetua, SMK Sijangkang Jaya untuk menyerahkan tanda hati setulus rasa kepada Yang Berbahagian, Mejar Mohd Fuad bin Hj Shariff.

Majlis mengucapkan terima kasih atas kesudian Yang Berusaha, Puan Pengetua menyempurnakan penyampaian cenderahati.

Seterusnya dijemput semua tetamu dan puan pengetua ke bilik jamuan.

6. PERSEMBAHAN MULTIMEDIA – VIDEO KEMERDEKAAN

(MULTIMEDIA SEKOLAH BERSEDIA)

Hadirin dan Hadirat.
Sama-sama kita saksikan rentetan peristiwa suka duka kemerdekaan Negara tercinta.

Persembahan Multimedia

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas persembahan multimedia sebentar tadi.

7. PERSEMBAHAN PELAJAR.

Terbang tinggi si burung helang
Berkicau kenari sambil berterbangan
Insan cemerlang Negara terbilang
Bakat diserlah tanda kecemerlangan.

7.1. Persembahan Sajak.
Persembahan Pelajar pada pagi ini dimulakan dengan mempersilakan pendeklamator adik Norkiasatina bt Mohd Husaini (4SN1) dengan sajak yang bertajuk “ Pasca Merdeka” . Dengan takzimnya dipersilakan.

Sajak dengan iringan muzik

Terima kasih daun keladi, lain kali buat persembahan lagi. Hebat dan sangat bermakna deklamsai yang disampaikan oleh adik Norkiasatian itu tadi.

7.2. Nyanyian Kumpulan.
Seterusnya kita serikan lagi majlis ini dengan mendengar alunan suara nyanyian Kumpulan Anak Gemilang dari Tingkatan Lima dengan lagunya yang bertajuk “Semangat Yang Hilang”.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Anak Gemilang atas persembahan itu tadi

7.3. Nyanyian Solo.
Majlis diteruskan dengan mempersilakan Adik Aina (4 PA) untuk menyampaikan sebuah lagu yang bertajuk “Pahlawanku”. Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada adik Aina.

7.4. Persembahan Nyanyian Kumpulan Skyscrapper.
Hadirin yang dihormati.
Dengan tajuk lagu “Saya Anak Malaysia” dipersilakan kumpulan Skyscrapper (Tingkatan 3) untuk membuat persembahan mereka.

Terima kasih kepada kumpulan Skyscrapper atas persembahan mereka tadi.

7.5. Persembahan Pantun.
Untuk Halwa telinga seterusnya, marila sama-sama kita saksikan acara berbalas pantun yang akan dipersembahkann oleh adik Rusyaidatul Nurin Balqis bt Rusli bersama dengan Adik Aimi Najwa bt Rashid dari tingkatan 3 Amal – Majlis dengan hormatnya mempersilakan.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih atas persembahan itu tadi

7.6. Persembahan Koir.
Dengan paduan suara pelajar tingkatan 4 Sains 1 dan 4 Sains 2, marilah sama-sama kita hayati persembahan koir dengan lagu medley mereka “Muhibbah” dan “Nyalakan Tekad”. Dipersilakan.
Terima kasih atas persembahan yang hebat dan bersemangat itu tadi.

Hadirin yang dihormati,

Pujangga Melayu berbicara,
Berdayung sampan telah tiba di seberang,
Menuruni lurah, telah sampai di kaki bukit
Setiap permulaan, pasti ada pengakhirannya

Mengakhiri majlis kita, pada pagi yang gemilang ini. Marilah kita sama-sama menyanyikan rangkaian lagu-lagu patriotik iaitu Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan

Semua hadirin diminta berdiri dan bersedia. Mohon dinyanyikan dengan penuh semangat. Selepas itu, laungan merdeka akan diketuai oleh Cikgu Hashim bin Ahmad.

Dengan laungan merdeka itu tadi, maka berkahirlah majlis sambutan merdeka kita pada pagi ini. Selepas ini kita akan ke program fasa 2 iaitu Program Sambutan Hari Raya. Jika terdapat kesalahan dan kesilapan sama ada dari segi tutur bicara, lenggok bahasa dan tingkah laku sepanjang program berlangsung, sejuta kemaafan dipinta.

Tenang-tenang air di kali
Tempat mandian putra puteri
Sempurna sudah majlis dirai
Salah dan silap harap dimaafi

Saya akhiri majlis ini dengan lafaz yang mulia,
Wabillahi Taufik Walhidayah.

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

Friday, September 9, 2011

Gagasan 1 Malaysia



Bincangkan Peranan Remaja Untuk Menjayakan Gagasan 1 Malaysia

Gagasan 1Malaysia diperkenalkan oleh Y.A.B Perdana Menteri Malaysia. Gagasan ini merupakan konsep unik yang perlu diterima oleh semua pihak di negara ini sebagai lambang komitmen dan usaha oleh rakyat demi mencapai yang terbaik untuk negara. Perdana Menteri berkata ia sangat berbeza dengan konsep satu negara yang diamalkan di negara lain kerana gagasan 1 Malaysia yang mengutamakan keadilan sosial buat semua kaum dan penduduknya. Simbol 1Malaysia merupakan jenama hebat yang perlu disayangi oleh rakyat. Simbol itu sangat unik kerana menggunakan nombor satu yang dimasukkan dengan bendera Malaysia.Bagi menyemarakkan lagi kempen gagasan 1Malaysia kerajaan perlu memperbanyakkan aktiviti yang boleh melibatkan pelbagai kaum seperti akiviti kebudayaan dan permainan untuk dilaksanakan disetiap peringkat masyarakat. Pemimpin perlu turun padang melihat sendiri permasalahan rakyat setiap kaum tanpa mementingkan status pemimpin itu sendiri. Dengan itu semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan yang lebih daripada sekarang dalam mewujudkan perpaduan kaum. Apakah peranan remaja untuk menjayakan Gagasan I Malaysia ini? Inilah persoalan yang akan dikupas dalam huraian saya di bawah ini.

Isi 1 :
Remaja melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan - menguasai ilmu pengetahuan baharu selaras dengan perkembangan zaman - dengan tujuan untuk membolehkan remaja menjadi cemerlang - bak kata peribahasa "Jika tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya" yang memberi maksud bahawa jika kita tidak berusaha untuk mendapat kejayaan, nescaya kejayaan tidak akan kita perolehi.

Isi 2 :
Remaja mengamalkan semangat perpaduan - perasaan hormat-menghormati antara satu sama lain - bersikap toleransi dan memahami budaya dan agama pelbagai masyarakat yang ada di dalam negara ini - bergerak seiring untuk membangunkan negara bagi mencapai status negara maju menjelang 2020 - bak kata pujangga " Ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni". Sederap melangkah bagi memastikan negara ini dapat dibangunkan secara bersama-sama.

Isi 3 :
Remaja memantapkan sahsiah diri agar menjadi orang yang berguna untuk keluarga, masyarakat dan negara - mengamalkan budaya sopan santun dalam kehidupan seharian - melengkapkan diri dengan ajaran agama dan pendidikan moral - menjauhkan diri dari terlibat dalam gejala-gejala negatif dan masalah sosial yang boleh memudaratkan kehidupan remaja - Remaja Malaysia menjadi ikon yang membawa imej baik dan terpuji di peringkat global dan serantau - Bak kata peribahasa "Kalau sudah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau".Remaja perlu ada jati diri bagi menepis dan menangkis segala perkara buruk yang cuba diserapkan dalam jiwa mereka. Jadilah model insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Isi 4 :
Menghayati dan mengamalkan rukun negara - aspek rukun negara bukan hanya menjadi sebutan atau meniti dibibir sahaja tetapi perlu dihayati dan diamalkan agar menjadi warganegara yang berintegriti - remaja perlu berusaha membentuk diri menjadi modal insan yang cemerlang agar disanjung oleh masyarakat - remaja perlu berusaha mempersiapkan diri untuk memacu negara ke arah wawasan 2020 - Bak kata pujangga " bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Sikap mementingkan diri sendiri atau hanya mementing kaum sendiri perlu dielakkan.

Isi 5 :
Remaja perlu memerah otak dan keringat agar dapat memberikan idea, buah fikiran dan juga pandangan untuk menyatupadukan masyarakat negara ini - hal ini kerana, 70 % daripada masyarakat Malaysia terdiri daripada golongan remaja - golongan ini perlu kreatif dan inovatif bagi menjulang nama negara dalam apa-apa bidang sekalipun kecuali bidang yang boleh memudaratkan diri, keluarga, negara dan juga agama. Pepatah menyatakan "Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan".

Penutup :
Remaja ialah aset negara - semua pihak perlu mendidik remaja ke arah pencapaian matlamat Gagasan 1 Malaysia - usaha yang berterusan akan menjadikan remaja hari ini sebagai pemimpin yang berkaliber pada masa hadapan.

Wednesday, September 7, 2011

Langkah Meningkatkan Mutu Sukan Negara.




Usaha-usaha kerajaan meningkatkan mutu sukan Negara

Rangka Karangan :

1) Membawa jurulatih sukan dari luar negara. Jurultih sedia ada belum mencukupi dan kurang pengalaman - sedikit sebanyak dapat mengetahui corak dan jenis latihan yang diterima oleh pihak lawan.

i. Cth: Luis Fellipe Scolari (bola sepak), Rexy Maniarky (Badminton)


2. Dalam masa sama tidak boleh ketepikan jurulatih tempatan - Mempunyai pengalaman yang luas dalam penyertaan peringkat antarabangsa.

i. Cth : Misbun Sidek (badminton), Lee Chong Wei.


3. Kesatuan sukan / Kementerian Belia dan Sukan menghantar para atlet ke luar Negara untuk belajar - Menyertai kelab sukan luar Negara - Atlit mendapat didikan terus dari luar Negara - Mereka berpeluang melihat kegigihan atlet luar negara-menaikkan semangat

4. Menganjurkan lebih banyak perlawanan persahabatan dengan negara luar - ’curi’ kepakaran dan corak permainan - Menguji kehebatan stratergi sedia ada.

i. Cth : Air Asia dan Kementerian belia dan sukan telah menganjurkan perlawanan persahabatan (bola sepak) dengan Manchester United, Chelsea, Liverpool


5. Sekolah sukan - Bina di setiap negeri - Didikan awal - biasa dengan suasana

i. Cth : Sekolah Sukan Bukit Jalil berjaya melahirkan ramai atlet yang berbakat seperti Daniel Bego (renang), Zakwan Adha, Aidil Zafuan (bola sepak), Tan Boon Heong, Koo Kien Kiat (badminton)


6. Khidmat pemain import - Kutip pengalaman - Menaikkan semangat pemain tempatan apabila melihat mereka bersemangat bermain untuk negara - sedangkan itu bukan negara mereka.

i. Cth : Marlon Alex James (bola sepak-kedah), Muhammadou Mustapha (bola sepak-kelantan), Phillemon Chipeta (bola sepak-Perlis)


7. Cari bakat baru - Gilap mereka sedari kecil - mengadakan pelbagai program secara konsisten dan sistematik - Pertandingan program realiti televisyen -

i. Cth : Soccer Kids (bola sepak), Jaguh (badminton)


8. Memberi insentif kepada ahli sukan yang berjaya memenangi sebarang pingat dalam mana-mana kejohanan sukan dalam dan luar negara. Insentif boleh berupa wang ringgit mahupun bentuk lain.

Contoh Karangan : Perpaduan Asas Pembangunan Negara



Perpaduan Asas Pembangunan Negara

Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Seri Indah;
Pemanis kata selamat datang,
Salam sejahtera pembuka madah.


Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang arif lagi bijaksana para hakim yang budiman, yang dikasihi guru-guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa serta rakan-rakan seperjuangan sekalian.Salam sejahtera saya ucapkan.

Berdirinya saya dengan penuh hormat dan bangga di dewan yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk ’Perpaduan Asas Pembangunan Negara’.

Sidang hadirin sekalian,

Perpaduan bermaksud bekerjasama ataupun saling membantu. Pembangunan pula bermaksud segala pembaharuan dan kemajuan yang membawa kepada taraf hidup yang lebih baik. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan bersatu padu dalam kalangan rakyat merupakan dasar kepada kemajuan sesebuah negara seiring dengan gelombang modenisasi.

Para pemimpin negara kita saban hari dan setiap ketika menyeru rakyat Malaysia membentuk benteng pertahanan yang teguh menentang anasir-anasir luar. Hubungan dan kerjasama yang erat akan memastikan negara Malaysia terus maju dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, harapan dan aspirasi pemimpin kita pada masa lalu akan menjadi ’angan-angan Mat Jenin’ sahaja. Perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan akan sia-sia sahaja. Justeru, sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi dan berhati waja, kita haruslah menghargai kemerdekaan yang telah diperoleh ini dan berusaha mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam jiwa kita demi pembangunan negara.

Sidang hadirin yang dihormati,

Lihatlah keadaan kini di Bangkok, Thailand. Rakyat negara jiran kita tidak berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi secara diplomasi dan sebagai akibatnya demonstrasi, pergaduhan, keganasan dan lain-lain berlaku pada setiap hari.Perkara yang menyedihkan ialah banyak nyawa yang tidak berdosa melayang begitu sahaja.Lihatlah juga keganasan yang berlaku di Madura, Indonesia pada beberapa ketika yang lalu. Penduduk di situ diseksa dan diperkosa untuk orang-orang yang mereka kenali. Pembangunan yang wujud sebelum tercetusnya huru-hara dan kemaslahatan di kedua-dua lokasi ini tidak memberi sebarang erti lagi akibat tidak mempunyai modus operandi yang berkesan serta tidak wujud perpaduan yang mantap dalam kalangan rakyat yang berlainan agama, bangsa, budaya, kepercayaan dan pandangan.

Para hadirin yang dimuliakan,

Negara kita kini telah berjaya mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di mata dunia. Kecermelangan negara kita dalam pelbagai bidang walaupun mempunyai rakyat yang berbilang bangsa menyebabkan negara lain cemburu dengan pencapaian negara kita. Malah, negara Malaysia telah dijadikan negara contoh oleh negara-negara dunia ketiga. Biarlah mereka cemburu melihat pencapaian nusa kita yang sememangnya merupakan berkat amalan nilai bantu-membantu dan nilai toleransi. Pepatah Melayu ada mengatakan ”bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.

Para hadirin yang dikasihi,

Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada bulan Mac 2009 merupakan usaha beliau untuk menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah satu slogan yang akan menjadi

identiti rakyat negara ini. Hasrat Perdana Menteri kita untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia sekiranya mendapat sokongan padu semua lapisan masyarakat negara ini. Mengikut beliau, segelintir masyarakat perlu membuat anjakan paradigma daripada masyarakat yang terkongkong dengan pemikiran yang dangkal, cetek dan pesimistik kepada masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Dengan semangat Satu Malaysia, Wawsan 2020, aspirasi rakyat Malaysia pasti akan dapat direalisasikan.

Sedang hadirin sekalian,

Sebelum saya mengundurkan diri saya dari pentas serba cantik ini, saya berharap agar nilai perpaduan dan patriotisme akan disemai dan dibajai dalam diri anak-anak muda. Jangan biar titik hitam 13 Mei 1969 berulang semula dalam sejarah negara kita supaya negara dapat terus berkembang dan maju mengikut acuan kita sendiri. Akhir kata,


Bersatu teguh bercerai roboh,
Bermuafakat bertambah berkat,
Bersatu bertambah mutu;
Alah bisa tegal biasa,
Berbahasa kita berbangsa.



Diubahsuai daripada karangan

LOH CHOOI SHAWN
5 sains
Sek. Men. Keb. Seri Indah,

Contoh Karangan : Gagasan 1 Malaysia



1 MALAYSIA TERAS PERPADUAN NEGARA


Dalam kerancakan penduduk jagatraya berjalan bersama-sama bayang-bayang keharmonian, riang berlagu gembira, pemimpin diumpamakan sebagai jantung sesebuah negara. Pemimpin perlu bijak mengorak langkah proaktif untuk mengekalkan kestabilan keharmonian dan keamanan negara.. Umum mengetahui, keunikan Malaysia adalah bersandarkan kesejahteraan hidup kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa dan agama namun masih mampu mengekalkan keamanan sejagat. Perpaduan menjadi elemen penting dan merupakan cerucuk dominan dalam mengekalkan keamanan. Oleh hal yang demikian, idea yang dilontar dan dilemparkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke lima, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib dalam mengetengahkan gagasan 1 Malaysia merupakan satu tindakan yang wajar dicontohi oleh tampuk kepimpinan yang lain. 1 Malaysia mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan YAB Perdana Menteri ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian diutamakan’. 1 Malaysia dikatakan membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan antara kaum bagi memastikan rakyat Malaysia menjalinkan perpaduan yang lebih erat. Sekadar memetik kata-kata Datuk Seri Najib, beliau berbicara “saya berharap semua rakyat Malaysia melihat hari muka dengan lebih optimis dan keazaman untuk membina satu Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik”. Sejajar dengan ini, perpaduan yang sedia terjalin antara kaum di negara ini perlu diperkukuhkan lagi bagi mewujudkan suasana negara yang lebih aman, maju, selamat dan makmur.


Konsep 1 Malaysia telah menjadi asas pegangan dalam menjaga keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Umum mengetahui, perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1 Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain, di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama. Sebaliknya 1 Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan dan identiti-identiti etnik setiap kaum di Malaysia dan menganggapnya sebagai satu aset yang patut dibanggakan. Disini jelas menunjukkan bahawa negara mengekalkan keadilan setiap kaum tanpa mengubah pegangan dan cara hidup mereka. Rakyat diberi kebebasan dalam menentukan pegangan hidup masing-masing tanpa sebarang halangan. Memetik kata-kata daripada seorang peguam di Indonesia, beliau berkata “keadilan yang hakiki hanya ada disyurga, tetapi kita di dunia cuba hampiri ke tahap itu”. Justeru, kelebihan yang diperoleh apabila menjadi warga Malaysia seharusnya diiringi dengan rasa syukur kerana diberi peluang untuk hidup dalam suasana harmoni tanpa sebarang diskriminasi.


Seterusnya, 1 Malaysia ialah satu gagasan bagi memupuk sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Tidak kira sama ada Melayu, Cina, mahupun India, sikap ini perlu disemat kukuh dalam sanubari generasi hari ini untuk mengekalkan perpaduan negara. Kita tidak mahu negara gah dengan kemodenan berkelas pertama tetapi masyarakat masih mengamalkan gaya hidup berkelas ketiga lantaran ketempangan sikap saling menghormati. Masyarakat Melayu misalnya, perlu menghormati pegangan dan kepercayaan bangsa lain dan begitu juga sebaliknya kerana setiap bangsa mempunyai amalan dan kepercayaan yang tersendiri . Kita tidak boleh bersikap serperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dengan mengamalkan sikap mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan sensitiviti bangsa lain. Di sinilah pentingnya sikap hormat-menghormati dalam kalangan rakyat kerana apabila hidup di bawah satu bumbung bersama tiga kelompok berbeza adalah suatu perkara yang tidak boleh diambil mudah dan dipandang enteng kerana setiap perlakuan dan tutur kata perlu dijaga rapi. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Justeru, sinergi daripada setiap lapisan masyarakat amat diperlukan dengan menjadikan sikap saling menghormati sebagai salah satu inisiatif dalam mengekalkan perpaduan.


Pemimpin perlu bijak dalam memainkan peranan untuk membina rumpunan bangsa Malaysia yang bahu-membahu atau bantu-membantu agar dapat memperkukuh ikatan kaum yang akan menjadi tunjang kepada pembangunan dan keharmonian negara. Apakah ikatan dan jalinan ini akan berterusan jika ada rakyat yang tidak tahu menilai perpaduan negara?. Oleh yang demikian, konsep 1 Malaysia yang diketengahkan mampu menyemai sikap saling bekerjasama sesama rakyat. Sekadar mengambil contoh daripada persekitaran sekeliling, rakyat Malaysia mampu menjalankan urusan perniagaan secara perkongsian walaupun berbeza bangsa. Selain itu, jika dinilai dari alam persekolahan, sekolah-sekolah Cina tidak lagi hanya didiami oleh bangsa tersebut semata-mata, malahan anak-anak Melayu dan India turut menuntut di sekolah yang sama. Begitu juga dengan bangsa India, mereka tidak hanya tertumpu kepada sekolah jenis kebangsaan tamil atau SJK(T) sahaja. Di sini jelas menunjukkan bahawa sikap kerjasama tidak hanya wujud dalam golongan profesional sahaja, anak-anak di bawah umur mahupun belia-belia harapan bangsa turut mampu mengamalkan sikap saling bekerjasama antara satu sama lain. Oleh hal yang demikian, konsep 1 Malaysia membantu memepertingkatkan lagi sikap tersebut seterusnya perpaduan negara lebih mudah dicapai.


Ketulusan dan keterbukaan sikap rakyat Malaysia hidup dalam kesatuan tiga kelompok berbeza bangsa sering menjadi buah mulut masyarakat seantero dunia yang kagum dengan perpaduan yang dikecapi. Teras perpaduan ini adalah komponen-komponen asas yang menguatkan semangat bersatu padu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Teras perpaduan ini didokongi oleh nilai-nilai murni yang seharusnya mendasari cara hidup rakyat Malaysia. Teras perpaduan yang diterapkan iaitu penerimaan. Konsep penerimaan dan toleransi adalah dua perkara yang berbeza sama ada daripada ungkapan mahupun pelaksanaan. Penerimaan akan memperlihatkan perlakuan yang positif iaitu dengan menerima sepenuhnya sesuatu perkara dengan hati yang ikhlas tanpa ada unsur-unsur terpaksa. Manakala toleransi pula berlaku kerana tiada pilihan lain atau secara terpaksa. Perlakuan atau sikap toleransi berlaku apabila sesuatu pihak tiada pilihan dan kadangkala diterima dengan tidak jujur. Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa sahaja perkara baik dan mendapat persetujuan secara kesepakatan. Penerimaan semua kaum mendapatkan apa yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara bangsa. Justeru, perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan lain-lain perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada masyarakat negara ini.


Tuntasnya, konsep satu Malaysia akan membawa aspirasi untuk memperkukuhkan hubungan kaum bagi memastikan rakyat Malaysia dapat menjalinkan perpaduan yang lebih erat sebagaimana kehendak prinsip Rukun Negara. Melalui konsep 1 Malaysia ini tidak akan wujud perasaan tidak berpuas hati kepada mana-mana kaum kerana semua rakyat adalah bangsa Malaysia dan rakyat Malaysia yang mempunyai satu hala tuju dan cita rasa untuk bersama-sama memajukan negara. Rakyat perlu menumpahkan sepenuh kesetiaan kepada negara sebagaimana setianya Hang Tuah kepada sultan. Kerajaan khususnya perlu menagih komitmen dan pengertian menyeluruh semua pihak terhadap kepentingan perpaduan negara dan peranan gagasan 1 Malaysia dalam membantu merealisasikan impian dalam membentuk sebuah negara bangsa. Keharmonian negara yang dikecapi dan keamanan menyirup udara segar hasil kemerdekaan perlu dikekalkan supaya keaman dan perpaduan ini tetap berterusan hingga generasi akan datang. Mantan Perdana Menteri Indonesia ada menyatakan, “jika ingin melihat generasi pada masa akan datang, lihatlah generasi pada hari ini.

NURUL ATHIRAH BINTI MOHAMAD YADI
5 IK 1
SEK. MEN. KEB. SERI INDAH

Tuesday, September 6, 2011

Panduan Menjawab Soalan Novel




Tips untuk Bahagian Novel.

i. Ingat beberapa peristiwa penting dalam novel.
ii. Peristiwa penting ini dapat digunakan untuk menjawab semua jenis soalan yang
dikemukakan.
iii. Peristiwa penting dijadikan bukti atau contoh dalam huraian jawaban.
iv. Contohnya, peristiwa kematian Intan Maliana dalam novel Papa... (akhirnya kau
tewas jua) dapat menjawab soalan tentang tema, persoalan, nilai, pengajaran,
latar, dan sebagainya.
v. Jangan lupa nyatakan novel yang digunakan sebagai jawaban. Kalau soalan
perbandingan, jangan lupa untuk menyatakan kedua-dua buah novel yang dikaji.
vi. Kalau ingat nyatakan juga nama pengarang novel.
vii. Nama pengarang dan judul novel hendaklah dieja dengan betul.
viii.Gunakan bahasa yang terhindar daripada kesalahan untuk mendapat markah penuh.
ix. Buat perenggan jika jawaban agak panjang.
x. Jangan lupa untuk menulis kesimpulan dalam jawaban anda.

Latihan :

Soalan 4 : Novel.

Jawab soalan-soalan di bawah berdasarkan satu daripada novel-novel berikut.

(i) PAPA…(akhirnya kau tewas jua !), karya Deana Yusof
(ii) Melunas Rindu, Karya Hartini Hamzah
(iii) Azfa Hanani, karya Halis Azhan Mohd. Hanafiah
(iv) Renyah, karya Gunawan Mahmood
(v) Kembara Amira, karya Amer Hamzah L. Kadir
(vi) Interlok karya SN Abdullah Hussain
(vii) Sutera Dalam Lukisan karya Abd. Talib Hassan
(viii) Kabus Di Perbukitan karya Mohammad Kholid bin Hamzah


Latihan 1 :

(a)Huraikan dua pengajaran yang terdapat dalam sebuah novel yang anda kaji.
(7 markah)

(b)Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan empat persoalan daripada novel tersebut.
(8 markah)

Latihan 2 :

(a)Terdapat pelbagai peristiwa yang dipaparkan dalam sesebuah novel.
Huraikan dua peristiwa paling menarik dalam satu novel yang telah anda pelajari.
(7 markah)

(b)Berdasarkan novel yang telah anda kaji, jelaskan latar masyarakat yang
terdapat daripada novel tersebut.
(8 markah)

Latihan 3 :

(a)Berdasarkan sebuah novel yang anda kaji, huraikan dua peristiwa yang menunjukkan
wujud nilai kasih sayang.
(7 markah)

(b)Sesebuah novel dapat memberikan manfaat kepada pembaca.
Huraikan dua persoalan yang terdapat dalam dua novel yang anda pelajari


Dipetik dan diubahsuai ;
Daripada Blog Dr Ghazali Lateh