Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Saturday, March 10, 2012
Kerja Rumah Waktu Cuti Pertengahan Penggal 1
Salam keilmuan buat semua anak didikku;
Pelajar 5 SN 1, 5 MPV , 4 PA 2 dan 4 TI 1 :
SMK Sijangkang Jaya.
Sempena cuti pertengahan penggal yang bermula pada 10 Mac - 18 Mac 2012, cikgu bekalkan beberapa kerja rumah untuk pelajar-pelajar siapkan dengan sempurna. Jika ada masalah semasa menyiapkan kerja sekolah ini, sila buat rujukkan dan bertanya dengan kawan-kawan atau boleh berhubung dengan cikgu melalui blog ini @ facebook cikgu. Semua kerja ini perlu disiapkan dalam buku latihan/nota masing-masing.
1. Latihan rumusan ( 2 soalan)
2. Latihan pemahaman umum (2 soalan)
3. Latihan karangan (Tajuk : Kepentingan Hutan Kepada Masyarakat )
(isi untuk karangan ini ada dalam blog cikgu, pelajar cuma perlu mengolahnya untuk
dijadikan satu karangan yang mantap dan lengkap. Ambil 5 isi sahaja)
Semua kerja rumah ini mesti disiapkan pada @ sebelum 18 Mac 2011. Sila hantar kepada cikgu pada 19 Mac 2011.
Sekian, harap maklum.
Saturday, March 3, 2012
Kepentingan Hutan Kepada Manusia
Hutan di seluruh dunia adalah sebahagian daripada ekosistem global yang menampung serta memperkayakan kehidupan manusia. Ekosistem hutan mempunyai kitaran yang kompleks yang melibatkan air, tanah, atmosfera, tumbuhan dan fauna. Hutan yang terdapat di seluruh dunia dapat diklasifikasikan kepada beberapa jenis. Antaranya ialah hutan hujan tropika, hutan bakau, hutan pokok tirus, hutan pokok daun luruh dan sebagainya. Di Malaysia, kira-kira 77.2% daripada luas keseluruhan Malaysia adalah terdiri daripada pelbagai jenis hutan. Hutan ini banyak terdapat di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia, kebanyakan hutan dapat dijumpai di Pahang (37.6%), Kelantan (15%), Perak (14.4%) dan Terengganu (37.6%). Sebahagian besar daripada hutan di Malaysia adalah hutan hujan tropika.
Habitat flora dan fauna
Hutan merupakan habitat flora dan fauna. Terdapat pelbagai jenis hidupan liar dan burung-burung serta spesis tumbuhan yang berharga di hutan. Contohnya, hutan hujan tropika Malaysia mempunyai 14 500 spesis dimana 6 000 spesis berpotensi menjadi sumber perhutanan. Hutan juga menjadi habitat kepada 600 spesis burung, 800 spesis tumbuh-tumbuhanan, 200 spesis binatang liar, 210 spesis mamalia, 150 spesis katak, 140 spesis ular, 80 spesis cicak dan sejumlah besar spesis serangga serta hidupan liar.
Pembekal makanan
Hutan juga berfungsi sebagai pembekal makanan kepada haiwan sepanjang tahun. Di hutan hujan tropika sentiasa terdapat berbagai-bagai jenis bunga, buah, daun dan kacang untuk dimakan oleh pelbagai fauna yang terdapat di dalamnya. Penerokaan hutan secara tidak terkawal akan menimbulkan implikasi kepada fauna kerana akan menimbulkan kesukaran kepada mereka untuk mendapatkan punca makanan dan secara tidak langsung akan menjejaskan kehidupan mereka.
Pembekal ubat-ubatan
Hutan juga membekalkan herba-herba ubat yang berguna kepada manusia dalam mengatasi pelbagai penyakit. Hutan bakau memainkan peranan yang penting dalam menghasilkan herba-herba ubat. Kulit dari pokok Rhizophora boleh digunakan untuk merawat keretakan tulang, mengubati ceret-beret dan boleh juga memberhentikan pendarahan. Sementara itu pula, kulit pokok Tumu / Berus (Bruguiera sp.) biasanya dihancurkan untuk mendemah bahagian luka dan cecair dari buah pokok Perapat (Sonneratia sp.) juga boleh digunakan pendarahan akibat dari buasir.
Pembekal bahan mentah
Hutan juga membekalkan pelbagai bahan mentah bagi kegunaan beberapa industri desa. Contohnya, rotan digunakan dalam industri perabot dan mengkuang pula digunakan untuk menghasilkan tikar, bakul .Sementara itu, kayu bakau digunakan sebagai arang batu dan tiang sebagai bahan cerucuk dalam pembinaan. Hasil hutan bakau seperti daun- daun nipah yang bersaiz besar dan mudah dilentur digunakan dalam penganyaman tikar, atap dan bakul. Pneumatofor pokok Perapat (Sonnerotia sp.) yang telap air dan lembut digunakan dalam pembuatan dan hasil ukiran kayu.
Tempat Rekreasi
Hutan juga bertindak sebagai tempat rekreasi. Kebanyakan kawasan hutan kini mula dijadikan sebagai kawasan-kawasan rekreasi yang terpelihara dan memperolehi keuntungan yang besar. Di Malaysia, misalnya terdapat beberapa buah taman negara yang menjadi daya tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk berinteraksi dengan alam semulajadi.
Sumber penyelidikan
Hutan juga merupakan sumber penyelidikan perubatan farmasi yang amat bernilai. Pelbagai kajian dan penyelidikan dapat dijalankan di dalam hutan bagi mendapatkan input yang baru yang boleh digunakan dalam kehidupan manusia.
Sumber Pendapatan
Hutan juga memberi sumber pendapatan kepada negara. Melalui aktiviti pembalakan. Kayu-kayan yang terdapat di hutan adalah amat bernilai dan digunakan dalam beberapa bidang yang menguntungan. Di Malaysia, hasil pendapatan dari aktiviti pembalakan telah meningkat dalam jangka masa 10 tahun. Ini dapat dibuktikan oleh jadual berikut :
Tahun Hasil (m3) Pendapatan (RMJuta)
1980 27.9 2500.0
1990 40.0 4200.0
Jadual : Pendapatan dari hasil pembalakan di Malaysia pada tahun 1980 dan 1990.
Mengurangkan pencemaran udara dan mengawal edaran gas
Hutan juga penting sebagai unsur yang boleh mengurangkan pencemaran udara dan mengawal edaran gas oksigen dan karbon dioksida. Bagi tumbuhan, gas karbon dioksida adalah diperlukan sebagai alat untuk memproses makanannya. Dalam proses membuat makanan ini tumbuhan hijau akan menyerap gas karbon dioksida dan melepaskan gas oksigen sebagai hasil sampingan daripada proses itu. Dengan adanya tumbuhan hijau maka keseimbangan kedua-kedua gas dalam udara akan dapat dikekalkan.
Mengawal banjir, hakisan tanah dan tanah runtuh
Hutan juga penting sebagai unsur yang boleh mengawal banjir, hakisan tanah dan tanah runtuh. Daun-daun pokok akan mengurangkan kesan titisan air ke permukaan tanah dan akan mengurangkan kesan hakisan tanah. Akar-akar pokok di dalam hutan yang terdapat di tanah-tanah tinggi tersebut juga akan mengikat dan menahan sebahagian daripada air hujan itu daripada mengalir deras turun ke tanah rendah dan ini boleh menghalang daripada tanah runtuh.
Memerangkap nutrien, sedimen dan bahan-bahan toksik
Hutan juga berfungsi dalam memerangkap nutrien, sedimen dan bahan-bahan toksik. Bahan-bahan organik yang kompleks sama ada dalam bentuk daun atau kayu menjadi sumber makanan penting bagi serangga dan haiwan-haiwan yang hidup di hutan bakau. Pokok bakau juga boleh memerangkap sedimen dan bahan-bahan toksik. Disamping itu juga bahan-bahan toksik seperti racun perosak dan sisa buangan domestik serta perindustrian yang kebanyakannya terlekat kepada sedimen yang mendap, turut terperangkap.
Pengawal iklim
Hutan juga bertindak sebagai pengawal iklim. Ketebalan hutan yang terdapat di sesuatu kawasan mempengaruhi ciri-ciri iklim kawasan berkenaan. Kawasan tropika misalnya mempunyai hutan tebal serta terdiri daripada beberapa lapisan yang berlainan kepentingannya. Lapisan yang berlainan ini dapat mengawal jumlah kehilangan air dari permukaan hutan melalui proses sejatan seterusnya menstabilkan kelembapan.
Daripada huraian di atas, ternyatalah bahawa hutan sangat penting kepada manusia. Pelbagai usaha secara konsisten dan sistematik harus dilakukan agar penerokaan hutan dan pencerobohan secara haram dapat dibanteras. Tindakan undang-undang yang lebih berat harus dikenakan kepada mereka yang cuba memusnahkan hutan. Kita tidak mahu, dalam usaha kita mengejar pembangunan, kita terpaksa memusnahkan alam semulajadi secara rakus. Telah terbukti, kemusnahan hutan boleh menimbulkan bencana kepada kita.
Subscribe to:
Posts (Atom)