Saturday, March 9, 2013

Latihan Rumusan


Rumusan


Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang usaha-usaha pengurusan hutan di negara kita dan kepentingan mengekalkan hutan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Isu pembalakan haram bukanlah masalah baru yang membelenggu Malaysia. Sekiranya pembalakan ini berterusan sehingga lima tahun yang akan datang, bermakna jumlah pokok yang ditebang akan berlipat ganda. Oleh sebab itu, kegiatan pembalakan perlu dikawal agar tidak memusnahkan alam sekitar.
Keadaan ini lebih serius apabila kerja pembalakan haram dilakukan di kawasan sempadan negara. Malaysia pernah didakwa oleh Indonesia sebagai pembeli balak haram kerana terdapat pihak tertentu yang cuba menyeludup kayu balak dari Indonesia secara haram ke Malaysia. Seharusnya Malaysia dan Indonesia bekerjasama untuk memantau kawasan hutan di sempadan kedua-dua buah negara dengan lebih ketat bagi membanteras aktiviti pembalakan haram. Kedua-dua negara tidak harus saling menuding jari sehingga menjejaskan hubungan diplomatik yang telah sedia terjalin. Teknik mengesan profil deoxyribonucleic acid (DNA) pokok adalah salah satu cara untuk mengatasi aktiviti pembalakan haram. Teknik ini dikenali sebagai Random Amplified Polymorphic DNA (RAPD). Setiap spesis pokok mempunyai profil DNA unik yang berlainan dan tidak menyerupai mana-mana profil pokok yang lain. Melalui teknik RAPD, balak yang dicuri dapat dipadankan dengan tunggul pokok yang ditebang secara haram. Teknik ini telah digunakan dengan jayanya di beberapa buah negara maju.
Walau bagaimanapun, teknik RAPD memerlukan pihak penguat kuasa perhutanan menjalankan pemerhatian yang kerap di kawasan yang disyaki berlaku aktiviti pembalakan haram. Rancangan Malaysia Kelima (RMK-5) berjaya membaik pulih 1.56 juta hektar hutan kekal di negara ini dan 80 ribu hektar kawasan pembalakan di Semenanjung Malaysia. Pada 1995-2000, sebahagian kawasan hutan di Semenanjung Malaysia telah digunakan untuk menjayakan ‘Program Perhutanan Masyarakat’ yang meliputi penubuhan dan penyelenggaraan hutan lipur, hutan perkampungan, hutan bandar dan sebagainya. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai “negara dalam taman” dan memulihara alam sekitar, kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menanam 50 ribu pokok setahun dan 1.2 juta pokok menjelang tahun 2020 di negeri masing-masing. Malaysia juga begitu komited untuk melaksanakan pengurusan hutan secara berkekalan selaras dengan deklarasi RI0 pada Jun 1992. Bagi program kemajuan ekonomi jangka panjang, kerajaan berusaha memanfaatkan industri hiliran kayu. Kerajaan memberikan insentif kepada industri berasaskan kayu seperti perusahaan perabot, papan lapis dan kraf tangan. Selain itu, khidmat nasihat dan kepakaran diperluaskan untuk sektor ini.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa aktiviti pembalakan memberikan pendapatan yang lumayan kepada negara. Kayu dan hasil pengeluaran kayu menjadi penyumbang pertumbuhan ekonomi dan merupakan eksport ketiga besar negara ini. Sektor ini juga berupaya menyediakan lebih 260 ribu peluang pekerjaan kepada guna tenaga negara. Namun sekiranya aktiviti pembalakan tidak disekat, kesannya akan dirasai oleh generasi akan datang.


Diubahsuaikan daripada rencana utama ,
‘Pembalakan Haram: Malaysia Terus Menjadi Mangsa,
oleh Awang Azman Awang Par.
Dewan Masyarakat, Februari 2010)



Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan, jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i)        Terangkan maksud rangkai kata tidak harus saling menuding jari seperti yang terdapat dalam  
           petikan di atas.                                                                       

[2 markah]

(ii)        Nyatakan sumbangan-sumbangan sektor pembalakan dalam meningkatkan pembangunan negara.
           
[3 markah]

(iii)       Pada pendapat anda, huraikan cara-cara memupuk sikap generasi muda agar
            menyayangi alam sekitar?
                                                                                                                               
[4 markah]


Untuk dapatkan jawapan, sila emel kepada saya - saharuddinabdullah81@yahoo.com. 

Semoga dapat dimanfaatkan.
  

No comments:

Post a Comment