Wednesday, September 21, 2011

Pengacara Majlis : Sambutan Merdeka Raya




PROGRAM SAMBUTAN KEMERDEKAAN 2011
ATUCARA MAJLIS
7.30 - Pendaftaran / Persiapan
7.45 - Ketibaan VIP
7.50 - Nyanyian lagu Negaraku, Lagu Negeri Selangor dan Lagu Sekolah
8.00 - Kata alu-aluan Pengerusi Majlis
8.03 - Bacaan Doa
8.05 - Membaca Perutusan YAB Perdana Menteri
8.10 - Membaca Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia
8.15 - Ucapan Perasmian Oleh Puan Pengetua
8.20 - Pidato Penghayatan Kemerdekaan oleh tetamu jemputan.
8.55 - Penyampaian hadiah Pertandingan Bulan Kemerdekaan,
9.10 - Penyampaian cenderamata kepada Tetamu
9.15 - Persembahan Pelajar
- Nyanyian lagu patriotik
10.00 - Bersurai untuk Fasa 1.


------------------------------------------------------------------------------------
SKRIP JURUACARA


MAJLIS SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE - 54
TAHUN 2011
SMK SIJANGKANG JAYA, KAMPUNG MEDAN
42500 TELOK PANGLIMA GARANG, SELANGOR DARUL EHSAN.


TARIKH : 15 SEPTEMBER 2011 (KHAMIS)
MASA : 7.30 PAGI – 10.00 PAGI
TEMPAT : FOYER CEMPAKA, SMK SIJANGKANG JAYA
PERASMI : PENGETUA,
SMK SIJANGKANG JAYA.
-----------------------------------------------------------------------------------

Pengumuman :
1.Program Merdeka Raya akan berlangsung dalam dua fasa.
-Fasa pertama 08.00 – 10.00 pg - Majlis Sambutan Kemerdekaan ke – 54.
-Fasa kedua 10.30 – 01.00 pg - Sambutan Hari Raya
2.Pelajar diminta memberi kerjasama sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Para pengawas dan semua guru diminta memberi kerjasama dengan mengawasi para pelajar.
3.Pelajar diminta tidak membuat bising, berbual-bual dan menunjukkan reaksi tidak berminat ketika berada dalam majlis.
4.Majlis akan melibatkan tetamu luar, jaga tingkah laku, jaga tuturkata lebih penting jaga nama baik sekolah.
5.Pelajar tidak dibenarkan meninggalkan majlis. Pergerakan keluar daripada majlis mestilah dengan kebenaran guru dan dalam situasi beradab.
6.Pelajar diminta duduk dalam keadaan paling selesa, teratur dan tersusun.
7.Tindakan tegas akan diambil ke atas pelajar yang menganggu perjalanan majlis atau melakukan perkara yang tidak dibenarkan.
8.Pelajar diminta menyanyikan lagu sekolah, negeri Selangor, lagu negaraku, lagu jalur gemilang dan lagu keranamu Malaysia dengan penuh semangat.

----------------------------------------------------------------------------------


Teks Juruacara :

Mengumumkan ketibaan Yang Berbahagia Mejar Mohd Fuad bin Hj Sharif
Penolong Pengarah, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Negeri Selangor.

Semua hadirin diminta berdiri.

Memulakan atur langkah majlis, marilah sama-sama kita mengumandang suara untuk menyanyikan lagu Negaraku, lagu Negeri Selangor dan lagu sekolah bersama iringan muzik. Semua hadirin diminta bersedia.

( lagu dimainkan PA System )

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas nyanyian itu tadi. Hadirin dipersilakan duduk.

Ulik Mayang nyanyian asli
Dilagu sigadis merdu sekali
Terima Kasih sekalung budi
Sudi datang ke majlis merai.

Dipersilakan adik Alia Izatie Mohd Adnan untuk menyerahkan bendera Malaysia kepada tetamu kehormat kita sebagai simbolik bermulanya program sambutan kemerdekaan.

•Tunggu 2 orang pengawas bawa bendera untuk disampaikan kepada tetamu

Jalur Gemilang serahan hati
Tanda ingatan kekal abadi
Biar padu seteguh jati
Budaya kita junjungan budi

Bagi meneruskan aturcara majlis, dipersilakan Cikgu Saharuddin Abdullah bagi mengemudi program seterusnya. Dipersilakan.

Terima kasih saudara pengacara majlis.

1. KATA ALU-ALUAN.

Yang Berusaha,
Pn Hajjah Noor Hayati binti Sarbini
Pengetua SMK Sijangkang Jaya

Yang Berusaha
Tuan Haji Zulkefli bin Mat Taib,
Yang Dipertua PIBG SMK Sijangkang Jaya dan AJK PIBG

Yang Berbahagia,
Tokoh Undangan Khas
Mejar Mohd Fuad bin Hj Shariff
Penolong Pengarah, Jabatan Pertahananan Awam Malaysia (JPAM),
Negeri Selangor, Darul Ehsan.

Yang Dihormati, Barisan Kepimpinan Penolong Kanan,
Pn. Ramlah bt Hj Hashim - PK Pentadbiran.
En. Kowangid bt Taufik - PK Hal Ehwal Murid.
Pn. Zaleha bt Selamat - PK Kokurikulum

Yang Dikasihi, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Guru-Guru Cemerlang serta Rakan-
rakan guru
seterusnya putera dan puteri yang menjadi tiang negara dan harapan bangsa yang
disayangi.

Assalamualaikum wbt , salam sejahtera, Salam Keilmuan dan salam 1 Malaysia.


Ceria wajah dalam majlis
Hati berkobar, semangat dibawa
Sambutan merdeka penyeri majlis
Sematkan gagah di dalam jiwa

Selamat datang ke Majlis Sambutan Hari Kemerdekaan SMK Sijangkang Jaya 2011. Sama-samalah kita memanjatkan setinggi rasa kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita sama-sama berhimpun dan menyatukan tekad di dalam majlis ini dengan penuh kedamaian dan keamanan. Kedamaian dan keamanan ini sebagai tanda bahawa negara ini berada dalam kestabilan politik dan kita mampu berkongsi muafakat untuk hidup bersama . Sesungguhnya sambutan kemerdekaan ini diadakan sebagai tanda bahawa para guru dan pelajar sekolah ini dapat seiring dan sederap melangkah, dengan semangat kesungguhan yang berkobar-kobar dan beriiltizam tinggi untuk menjadi warganegara yang patriotik .


2. DOA

Anugerah di kecap si anak watan
Mengangkat senjata bidalan suara
Menadah tangan memohon keberkatan
Mendapat restu hidup sejahtera

Untuk memberkati majlis, dengan sukacitanya dijemput Al Fadhil Ustaz Zahari bin Mamat untuk memimpin bacaan doa. Dipersilakan

DOA

Terima kasih kepada Ustaz Zahari bin Mamat atas bacaan doa sebentar tadi.


3. MEMBACA PERUTUSAN.

3.1. Perutusan YAB Perdana Menteri Malaysia.
Pepatah-petitih Adat Melayu
Warisan amalan sejak dahulu
Pohon keizinan barang sewaktu
Ucapan Perdana Menteri mohon didahulu

Sebagai pembuka acara, majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha , Pn Ramlah bt Hj Hashim, PK Pentadbiran, SMK Sijangkang Jaya untuk menyampaikan perutusan Perdana Menteri.. Dengan segala hormatnya dipersilakan.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan sebentar tadi.


3.2. Perutusan YB Menteri Pelajaran Malaysia

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
Ucapan PK HEM hormat dipersila,

Seterusanya, majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha, En Kowangid bin Taufik PK HEM, untuk menyampaikan perutusan YB Menteri Pelajaran Malaysia. Dengan segala hormatnya dipersilakan

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas bacaan perutusan sebentar tadi


4. UCAPAN PENGETUA

Pahlawan Melayu Gagah Perkasa,
Musuh datang habis dibasmi,
Tuan sudah diberi kuasa,
Sudilah kira, pohon merasmi

Majlis dengan segala hormatnya menjemput Yang Berusaha , Pn Hajjah Noor Hayati bt Sarbini, Pengetua SMK Sijangkang Jaya untuk menyampaikan ucapan dan seterusnya merasmikan majlis Sambutan Merdeka Raya bagi tahun 2011.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas ucapan Puan Pengetua sebentar tadi.

Hadirin yang dikasihi.
Tak Kenal Maka Tak Cinta
Tak Didayung Perahu Masakan Sampai Di seberang
Tak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya
Tak diperkenalkan tetamu, sudah tentu jiwa tertanya-tanya

Izinkan saya untuk memperkenalkan tetamu undangan kita pada pagi ini. Nama beliau ialah Mejar Mohd Fuad bin Hj Shariff. Anak jati Kg Sijangkang Batu 1. Seorang motivator yang boleh membakar semangat dan melunturkan jiwa berkerak yang kental. Pernah bertugas sebagai guru di SMK Pandamaran Jaya. Bersara 3 tahun lepas ketika usia beliau 58 tahun. Oleh kerana berminat untuk berbakti kepada masyarakat, beliau meneruskan perkhidmatan sukarela dalam Jabatan Pertahanan Awam Malaysia. Kini beliau memegang jawatan sebagai Penolong Pengarah, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Negeri Selangor. Sewajarnya, pada pagi ini kita menjemput berkongsi pengalaman bagaimana untuk kita menghayati erti kemerdekaan untuk membangunkan Negara tercinta ini.


5. Ucapan Tokoh Undangan.

Tuah tersenyum pada Si Teja,
Duduk bersimpuh sambil bersila,
Kain ditenun bersama reja,
Tetamu jemputan hormat dipersila,

Dengan segala hormatnya dipersilakan Mejar. Mohd Fuad bin Hj Shariff, Penolong Pengarah, JPAM Negeri Selangor untuk menyampaikan pidato yang bertajuk “Penghayatan Kemerdekaan untuk Membangunkan Negara Tercinta”. Mohon dijemput menyampaikan pidato.

UCAPAN

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas pidato yang sangat bermakna itu tadi

(Tunggu sehingga tetamu duduk)

Hadirin yang budiman,
Meneruskan majlis, saya dengan penuh hormatnya mempersilakan Yang Berusaha Puan Pengetua untuk menjemput dan mengiringi Yang Berbahagia En Mohd Fuad bin Hj Shariff ke atas pentas untuk menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenag pertandingan yang dijalankan sepanjang bulan kemerdekaan. Dipersilakan

(Baca senarai nama pemenang pertandingan)


5. PENYAMPAIAN CENDERA HATI.
Orang berbudi kita berbahasa, Orang memberi, kita kenangkan jasa. Sebagai tanda kenang-kenangan, majlis dengan hormatnya mempersilakan Yang Berusha Puan Pengetua, SMK Sijangkang Jaya untuk menyerahkan tanda hati setulus rasa kepada Yang Berbahagian, Mejar Mohd Fuad bin Hj Shariff.

Majlis mengucapkan terima kasih atas kesudian Yang Berusaha, Puan Pengetua menyempurnakan penyampaian cenderahati.

Seterusnya dijemput semua tetamu dan puan pengetua ke bilik jamuan.

6. PERSEMBAHAN MULTIMEDIA – VIDEO KEMERDEKAAN

(MULTIMEDIA SEKOLAH BERSEDIA)

Hadirin dan Hadirat.
Sama-sama kita saksikan rentetan peristiwa suka duka kemerdekaan Negara tercinta.

Persembahan Multimedia

Majlis merakamkan ucapan terima kasih atas persembahan multimedia sebentar tadi.

7. PERSEMBAHAN PELAJAR.

Terbang tinggi si burung helang
Berkicau kenari sambil berterbangan
Insan cemerlang Negara terbilang
Bakat diserlah tanda kecemerlangan.

7.1. Persembahan Sajak.
Persembahan Pelajar pada pagi ini dimulakan dengan mempersilakan pendeklamator adik Norkiasatina bt Mohd Husaini (4SN1) dengan sajak yang bertajuk “ Pasca Merdeka” . Dengan takzimnya dipersilakan.

Sajak dengan iringan muzik

Terima kasih daun keladi, lain kali buat persembahan lagi. Hebat dan sangat bermakna deklamsai yang disampaikan oleh adik Norkiasatian itu tadi.

7.2. Nyanyian Kumpulan.
Seterusnya kita serikan lagi majlis ini dengan mendengar alunan suara nyanyian Kumpulan Anak Gemilang dari Tingkatan Lima dengan lagunya yang bertajuk “Semangat Yang Hilang”.

Terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Anak Gemilang atas persembahan itu tadi

7.3. Nyanyian Solo.
Majlis diteruskan dengan mempersilakan Adik Aina (4 PA) untuk menyampaikan sebuah lagu yang bertajuk “Pahlawanku”. Dipersilakan.

Majlis merakamkan ucapan terima kasih kepada adik Aina.

7.4. Persembahan Nyanyian Kumpulan Skyscrapper.
Hadirin yang dihormati.
Dengan tajuk lagu “Saya Anak Malaysia” dipersilakan kumpulan Skyscrapper (Tingkatan 3) untuk membuat persembahan mereka.

Terima kasih kepada kumpulan Skyscrapper atas persembahan mereka tadi.

7.5. Persembahan Pantun.
Untuk Halwa telinga seterusnya, marila sama-sama kita saksikan acara berbalas pantun yang akan dipersembahkann oleh adik Rusyaidatul Nurin Balqis bt Rusli bersama dengan Adik Aimi Najwa bt Rashid dari tingkatan 3 Amal – Majlis dengan hormatnya mempersilakan.

Yang kurik itu kendi
Yang merah itu saga
Yang baik itu budi
Yang indah itu bahasa

Terima kasih atas persembahan itu tadi

7.6. Persembahan Koir.
Dengan paduan suara pelajar tingkatan 4 Sains 1 dan 4 Sains 2, marilah sama-sama kita hayati persembahan koir dengan lagu medley mereka “Muhibbah” dan “Nyalakan Tekad”. Dipersilakan.
Terima kasih atas persembahan yang hebat dan bersemangat itu tadi.

Hadirin yang dihormati,

Pujangga Melayu berbicara,
Berdayung sampan telah tiba di seberang,
Menuruni lurah, telah sampai di kaki bukit
Setiap permulaan, pasti ada pengakhirannya

Mengakhiri majlis kita, pada pagi yang gemilang ini. Marilah kita sama-sama menyanyikan rangkaian lagu-lagu patriotik iaitu Jalur Gemilang, Keranamu Malaysia dan

Semua hadirin diminta berdiri dan bersedia. Mohon dinyanyikan dengan penuh semangat. Selepas itu, laungan merdeka akan diketuai oleh Cikgu Hashim bin Ahmad.

Dengan laungan merdeka itu tadi, maka berkahirlah majlis sambutan merdeka kita pada pagi ini. Selepas ini kita akan ke program fasa 2 iaitu Program Sambutan Hari Raya. Jika terdapat kesalahan dan kesilapan sama ada dari segi tutur bicara, lenggok bahasa dan tingkah laku sepanjang program berlangsung, sejuta kemaafan dipinta.

Tenang-tenang air di kali
Tempat mandian putra puteri
Sempurna sudah majlis dirai
Salah dan silap harap dimaafi

Saya akhiri majlis ini dengan lafaz yang mulia,
Wabillahi Taufik Walhidayah.

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh.

6 comments:

  1. assalamualaikum.. mohon copy pantun bole.. TQVM

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum. Mohon jadikan reference ya .terima kasih.

    ReplyDelete
  3. Izinkan share ye tuan.JAZAKALLAHUKHAIRANKATHIIRA

    ReplyDelete
  4. mohon share ye..tq

    ReplyDelete
  5. Mohon share. Terima kasih atas perkongsian

    ReplyDelete
  6. Cikgu minta izin share ya.Terima kasih cikgu atas perkongsian yang bermanfaat ini.

    ReplyDelete