Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Wednesday, September 7, 2011
Contoh Karangan : Perpaduan Asas Pembangunan Negara
Perpaduan Asas Pembangunan Negara
Sirih berlipat sirih pinang,
Sirih dari Seri Indah;
Pemanis kata selamat datang,
Salam sejahtera pembuka madah.
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, yang arif lagi bijaksana para hakim yang budiman, yang dikasihi guru-guru yang tidak jemu mendidik anak bangsa serta rakan-rakan seperjuangan sekalian.Salam sejahtera saya ucapkan.
Berdirinya saya dengan penuh hormat dan bangga di dewan yang serba indah ini adalah untuk menyampaikan pidato yang bertajuk ’Perpaduan Asas Pembangunan Negara’.
Sidang hadirin sekalian,
Perpaduan bermaksud bekerjasama ataupun saling membantu. Pembangunan pula bermaksud segala pembaharuan dan kemajuan yang membawa kepada taraf hidup yang lebih baik. Oleh itu, jelaslah kepada kita bahawa amalan bersatu padu dalam kalangan rakyat merupakan dasar kepada kemajuan sesebuah negara seiring dengan gelombang modenisasi.
Para pemimpin negara kita saban hari dan setiap ketika menyeru rakyat Malaysia membentuk benteng pertahanan yang teguh menentang anasir-anasir luar. Hubungan dan kerjasama yang erat akan memastikan negara Malaysia terus maju dalam bidang politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya perkara ini tidak diberi perhatian, harapan dan aspirasi pemimpin kita pada masa lalu akan menjadi ’angan-angan Mat Jenin’ sahaja. Perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun Sambathan akan sia-sia sahaja. Justeru, sebagai seorang rakyat Malaysia yang mempunyai jati diri yang tinggi dan berhati waja, kita haruslah menghargai kemerdekaan yang telah diperoleh ini dan berusaha mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam jiwa kita demi pembangunan negara.
Sidang hadirin yang dihormati,
Lihatlah keadaan kini di Bangkok, Thailand. Rakyat negara jiran kita tidak berjaya menyelesaikan masalah yang dihadapi secara diplomasi dan sebagai akibatnya demonstrasi, pergaduhan, keganasan dan lain-lain berlaku pada setiap hari.Perkara yang menyedihkan ialah banyak nyawa yang tidak berdosa melayang begitu sahaja.Lihatlah juga keganasan yang berlaku di Madura, Indonesia pada beberapa ketika yang lalu. Penduduk di situ diseksa dan diperkosa untuk orang-orang yang mereka kenali. Pembangunan yang wujud sebelum tercetusnya huru-hara dan kemaslahatan di kedua-dua lokasi ini tidak memberi sebarang erti lagi akibat tidak mempunyai modus operandi yang berkesan serta tidak wujud perpaduan yang mantap dalam kalangan rakyat yang berlainan agama, bangsa, budaya, kepercayaan dan pandangan.
Para hadirin yang dimuliakan,
Negara kita kini telah berjaya mencapai tahap yang tinggi dan dihormati di mata dunia. Kecermelangan negara kita dalam pelbagai bidang walaupun mempunyai rakyat yang berbilang bangsa menyebabkan negara lain cemburu dengan pencapaian negara kita. Malah, negara Malaysia telah dijadikan negara contoh oleh negara-negara dunia ketiga. Biarlah mereka cemburu melihat pencapaian nusa kita yang sememangnya merupakan berkat amalan nilai bantu-membantu dan nilai toleransi. Pepatah Melayu ada mengatakan ”bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”.
Para hadirin yang dikasihi,
Konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kita, Dato’ Seri Najib Tun Razak pada bulan Mac 2009 merupakan usaha beliau untuk menyatupadukan rakyat Malaysia di bawah satu slogan yang akan menjadi
identiti rakyat negara ini. Hasrat Perdana Menteri kita untuk mewujudkan satu bangsa Malaysia sekiranya mendapat sokongan padu semua lapisan masyarakat negara ini. Mengikut beliau, segelintir masyarakat perlu membuat anjakan paradigma daripada masyarakat yang terkongkong dengan pemikiran yang dangkal, cetek dan pesimistik kepada masyarakat yang mempunyai mentaliti kelas pertama. Dengan semangat Satu Malaysia, Wawsan 2020, aspirasi rakyat Malaysia pasti akan dapat direalisasikan.
Sedang hadirin sekalian,
Sebelum saya mengundurkan diri saya dari pentas serba cantik ini, saya berharap agar nilai perpaduan dan patriotisme akan disemai dan dibajai dalam diri anak-anak muda. Jangan biar titik hitam 13 Mei 1969 berulang semula dalam sejarah negara kita supaya negara dapat terus berkembang dan maju mengikut acuan kita sendiri. Akhir kata,
Bersatu teguh bercerai roboh,
Bermuafakat bertambah berkat,
Bersatu bertambah mutu;
Alah bisa tegal biasa,
Berbahasa kita berbangsa.
Diubahsuai daripada karangan
LOH CHOOI SHAWN
5 sains
Sek. Men. Keb. Seri Indah,
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment