Sunday, March 20, 2011

Novel Papa...akhinya kau tewas jua!



Papa…(akhirnya kau tewas jua!)

Sinopsis:

Novel ini mengisahkan kehidupan sebuah keluarga bahagia yang terdiri daripada Intan Juliana (Julia), mama (Intan Maliana), papa (Jefri) dan Mak Cik Noraini. Pada awal cerita, hubungan mama dan papa digambarkan sangat erat dan mesra. Pada suatu hari, mama jatuh sakit. Papa memberitahu Julia bahawa mama telah mengandung. Julia sangat gembira namun Mak Cik Noraini berasa amat bimbang apabila mendengar berita itu. Hal ini disebabkan mama pernah mengalami komplikasi semasa melahirkan Julia dahulu. Ketika pulang dari sekolah, Julia terdengar perbualan antara mama dengan Mak Cik Noraini. Dalam perbualan itu, Mak Cik Noraini mengingatkan Mama tentang peristiwa semasa melahirkan Julia. Mama telah koma akibat kehilangan banyak darah manakala Julia menghidap penyakit demam kuning dan alah pada susu tepung. Mama menjelaskan bahawa dia sanggup berkorban kerana papa menginginkan anak lagi. Mama dan papa telah berbincang tentang perkara tersebut. Rakan sekerjanya, Cikgu Suzie turut melahirkan perasaan bimbangnya. Namun begitu, mama tetap berkeras untuk meneruskan kandungannya demi papa yang sangat dicintainya. Kandungan mama semakin membesar dan dijangka akan melahirkan anak kembar lelaki. Ketika di dapur, Julia bertanyakan Mak Cik Noraini keadaan mama semasa melahirkannya dahulu. Mak Cik Noraini menceritakan segala-galanya dan memberitahu bahawa badan Julia hanya sebesar anak kucing yang berumur sebulan.

Di kolej tempat papa mengajar, terdapat seorang pelajar yang amat meminati pengajarannya, iaitu Aisyah. Kadangkala papa menumpangkan Aisyah hingga ke rumahnya. Julia pernah menguji kesetiaan papa supaya menjadikan Aisyah sebagai isteri keduanya. Papa meyakinkan Julia bahawa dia tidak akan menduakan mama. Mama dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia kerana sudah tiba masanya untuk mama untuk melahirkan anak. Doktor memberitahu papa bahawa bayi kembar lelaki yang dikandung mama ialah bayi kembar Siam. Walau bagaimanapun bayi kembar tersebut telah meninggal dunia sewaktu dalam kandungan lagi. Mama kehilangan banyak darah dan berada dalam keadaan koma. Kini, tugas menghantar dan mengambil Julia diambil alih oleh papa. Di sekolah, Julia telah berkenalan dengan pelajar baru di kelasnya, Rasylan. Mereka saling bertukar cerita. Mama masih lagi koma dan berada di hospital. Mak Cik Noraini meminta papa agar berkahwin lagi kerana dia tidak sampai hati melihat papa bersendirian dan tidak seceria dahulu. Papa mengatakan bahawa dia sanggup menunggu mama pulih dan perlu menjaga hati Julia. Julia telah meminta kebenaran papa untuk pergi ke rumah Rasylan. Papa menyuruh Julia memperkenalkan Rasylan kepadanya terlebih dahulu agar maruah Julia sebagai seorang perempuan terpelihara.

Apabila Julia pulang selepas kertas terakhir peperiksaan SPM, dia mendapati bahawa mama telah dibawa pulang oleh papa. Papa telah mendapat kebenaran oleh doktor dan mama ditempatkan di bilik yang dilengkapi dengan peralatan seperti di hospital. Hampir 8 bulan mama koma dan tidak menunjukkan tanda-tanda akan sedar. Keputusan SPM Julia akan diumumkan tidak lama lagi. Papa masih lagi tidak putus asa dan sentiasa berdoa kepada Tuhan agar mama cepat sedar daripada komanya. Papa tetap menunjukkan kasih sayangnya kepada mama dan sentiasa berbual dengan mama yang sedang koma itu. Selepas beberapa minggu peperiksaan tamat, Rasylan menziarahi Julia dan papa. Rasylan dan papa berbual-bual dari tentang mama hingga latar belakang Rasylan. Rasylan kehairanan kerana papa seolah-olah sudah mengenali bapa angkatnya. Papa menjelaskan bahawa bapa angkat Rasylan, Datuk Mustakim telah melanggar ibu dan bapa papa. Dalam kemalangan tersebut, bapa papa telah meninggal dunia manakala ibu papa lumpuh. Hubungan Julia dan Rasylan bertambah intim dan mesra. Sifat-sifat Rasylan telah memikat hati Julia. Namun begitu, papa menunjukkan perasaan kurang senang hatinya Julia berkawan dengan Rasylan.

Julia dan Rasylan telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM. Julia ternampak papa dan Aisyah sedang makan di sebuah restoran seperti sepasang kekasih semasa dia dan Rasylan ingin meraikan kejayaan mereka di Starbucks Coffee. Julia dan Rasylan melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Keesokannya, Julia dan Rasylan keluar untuk membeli buku dan sekali lagi dia ternampak papa bersama-sama dengan Aisyah. Fikiran Julia runsing memikirkan hubungan papa dengan gadis tersebut. Pada suatu hari, Rasylan mengajak Julia makan di A&W. Dalam perjalanan, Rasylan memberitahu Julia bahawa Encik Muaz al-Khalibi, pensyarah daripada Jabatan Sains Politik telah memintanya menjalankan ujian DNA. Apabila sampai, Julia telah melihat papanya sedang berbual dengan Aisyah di suatu sudut restoran tersebut. Julia mengajak Rasylan meninggalkan restoran itu.

Pada minggu berikutnya, Julia pulang ke rumah. Dia terdengar perbualan antara Mak Cik Noraini dengan papa. Mak Cik Noraini bersetuju dengan hasrat papa untuk berkahwin semula kerana sudah bertemu dengan orang yang sesuai. Di ruang tamu, Julia melihat papa membaca artikel “Poligami’. Julia memberitahu papa bahawa dia telah terserempak dengan papa dan Aisyah beberapa kali. Julia mengaitkan artikel tersebut dengan niat papa yang ingin berkahwin lagi. Julia mengingatkan papa bahawa mama masih hidup lagi dan menganggap papa curang dan mengkhianati mama. Papa telah menampar pipi Julia kerana kelancangannya itu. Rasylan menasihati Julia agar menerima hasrat papa kerana papa manusia biasa yang memerlukan seseorang yang boleh berkongsi segala-galanya. Kemudian, Rayslan memberitahu Julia bahawa DNAnya sama dengan Encik Muaz. Rasylan tidak dapat menerima kenyataan ini kerana dia dipelihara di rumah Jabatan Kebajikan Masyarakat sejak kecil.

Sudah dua minggu Julia tidak balik ke rumah selepas peristiwa dia ditampar itu. Papa telah datang ke kampus UIA untuk berjumpa dengannya. Papa meminta keizinan Julia untuk mencari pengganti mama dan menjelaskan bahawa dia memerlukan seseorang bagi mengejutkannya tidur untuk solat Subuh, berkongsi cerita dan mengingatkan tarikh perjumpaannya dengan doktor. Mama tidak dapat melakukan semua perkara itu lagi. Akhirnya, Julia akur dengan permintaan papa demi kebahagiaan papa.

Rasylan memberitahu Julia tentang nasib dirinya sebagai anak luar nikah bapanya, Encik Muaz dengan seorang warga Indonesia. Dia telah ditinggalkan oleh ibunya berhampiran dengan longkang besar. Ibunya berharap agar dia mati kerana kelahirannya tidak berayah dan ibunya tidak sanggup menanggung malu besar. Kini, ibunya telah pulang ke negara asalnya. Bagi Rasylan, Datuk Mustakimlah yang dianggap sebagai ayah bukannya Encik Muaz.

Papa telah memperkenalkan bakal isterinya kepada Julia. Pada hujung minggu itu, papa meminta Julia pulang untuk menghadiri majlis pernikahannya pada malam tersebut. Namun begitu, Julia enggan dan memberikan alasan untuk menjaga mama. Pada pagi berikutnya, Julia diserang demam panas. Ketika terlantar di hospital, Julia telah bermimpi berjumpa dengan seorang lelaki yang mirip papa cuma masih muda dan bernama Jeffri. Dalam mimpi tersebut, Jeffri memujuk dan menasihati Julia agar membenarkan papa berkahwin lagi. Papa sudah lama menanggung penderitaan sejak mama koma. Menurut Jeffri lagi, papa memerlukan seseorang yang dapat berkongsi kehidupannya dengannya. Walaupun mama masih hidup, namun mama tidak dapat berbuat sedemikan dan tidak tahu masanya mama akan pulih. Julia memberitahu Jeffri bahawa dia takut kehilangan kasih sayang papa. Pada penghujung mimpi tersebut, Julia merelakan perkahwinan papanya demi kebahagiaan mereka sekeluarga. Julia terlantar di hospital selama tiga hari. Apabila cuti semester berakhir, Julia meneruskan pengajiannya.

Selepas peperiksaan semester kedua, Julia pulang ke rumah. Julia terdengar papa menegur Mak Cik Aisyah yang telah masuk ke bilik mama seorang diri. Perbuatan Julia mendengar perbualan ibu bapanya secara curi-curi ditegur oleh Mak Cik Noraini. Julia memberitahu Mak Cik Noraini bahawa papa memarahi Mak Cik Aisyah yang mungkin akan meletakkan racun kepada mama. Mak Cik Noraini yang terdengar kata-kata Julia telah berkecil hati. Julia meminta maaf dan menyatakan kerelaannya menerima Mak Cik Aisyah dengan hati yang ikhlas. Hubungan antara Julia dengan Rasylan semakin intim dan perasaan cemburu mulai timbul dalam hati masing-masing. Rasylan menegaskan bahawa dia akan menolak tawaran Encik Muaz apabila ditanya oleh Julia tentang hal itu.

Julia sedang menghadapi masalah hubungan cintanya dengan Rasylan. Mak Cik Aisyah yang menyedari hal itu telah memberikan nasihat dan pandangannya untuk membantu Julia. Selepas solat, papa meluru masuk ke bilik mama. Papa menegur mama seperti biasa dengan harapan ada keajaiban akan berlaku. Tiba-tiba mama membuka mata, mengerakkan tangan dan jari-jarinya serta mulutnya terkumat-kamit seperti ingin menyatakan sesuatu. Papa amat gembira dengan perkembangan mama itu. Ketika papa sedang berbual dengan mama, Mak Cik Aisyah muncul. Mama memandang Mak Cik Aisyah dengan kehairanan. Papa memperkenalkan Mak Cik Aisyah dan menjelaskan sebab-sebab dia berkahwin lagi. Namun begitu, mama kelihatan tidak dapat menerima kenyataan itu. Mama tiba-tiba nazak dan telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sejak kelahiran Julia, papa tidak pernah menangis, namun kali ini papa akhirnya tewas jua.


TEMA NOVEL PAPA:

Novel karya Deana Yusof ini bertemakan kasih sayang.Buktinya mama sanggup mempertaruhkan nyawanya untuk mengandung kali kedua sebagai tanda kasih sayang yang mendalam terhadap papa yang inginkan anak meskipun tahu risiko yang bakal dihadapi sekiranya mama meneruskan kandungannya itu. Papa juga membuktikan kasih sayang yang mendalam terhadap mama dengan cara menjaganya, berbual-bual dengan mama sepanjang masa mama koma dengan harapan mama akan pulih seperti dahulu.Malah, Intan Julia turut membuktikan kasih sayangnya dengan mengizinkan papa mengahwini Aishah meskipun pada peringkat awalnya dia menentang hasrat papa.

PERSOALAN NOVEL PAPA:


1. Pengorbanan suami dan isteri demi kebahagian pasangan masing-masing buktinya Intan maliana sanggup mengandung kali kedua demi memenuhi kehendak suaminya. Malah, Jeffri pula berkorban dengan cara menjaga isterinya yang koma selama lebih tiga tahun

2. Kesetiaan seorang suami terhadap isterinya. Buktinya ,Jeffri setia menemani isterinya yang koma selepas kehilangan banyak darah semasa melahirkan kembar Ahmad dan Muhammad. Malah, Jeffri juga enggan berkahwin lain ketika didesak oleh Mak Cik Noraini sebagai bukti kesetiaannya itu.Namun, keputusan untuk berkahwin lain dibuat selepas bertahun-tahun hidup keseorangan.

3. Ketabahan menghadapi dugaan daripada Tuhan. Buktinya, Jeffri tabah menghadapi dugaan ketika isterinya koma dan berusaha untuk mengubatinya. Malah, dia juga tabah tatkala kedua-dua anak kembarnya turut meninggalkannya.

4. Keprihatinan terhadap masalah orang lain dapat dibuktikan melalui watak cikgu Suzie yang cuba menasihati Intar Marliana agar tidak terus mengandung kerana sedar akan risiko yang bakal dihadapi.

WATAK DAN PERWATAKAN
INTAN JULIA

Intan Julia atau lebih dikenali sebagai Julia ialah watak utama novel ini. Julia ialah seorang remaja yang menuntut ilmu di sekolah menengah dalam tingkatan lima. Bapanya bernama Jeffri manakala ibunya bernama Intan Maliana. Pada mulanya, keluarga Julia amat bahagia. Dia memperoleh kasih sayang yang mendalam daripada ibu dan bapanya. Kehidupannya bertukar suram selepas ibunya koma dan adik kembarnya meninggal dunia. Namun Julia tabah menghadapi dugaan tersebut.

PENYAYANG
Julia amat menyayangi ibu bapanya. Semasa ibunya jatuh koma, dia sentiasa mendoakan agar ibunya segera sembuh. Dia juga berusaha untuk menjaga ibunya setiap kali pulang daripada kampus pada hujung minggu. Julia turut menyayangi bapanya. Demi membahagiakan bapanya, Julia merestui bapanya untuk memperisterikan Aisyah.

KEGIGIHAN DAN KETEKUNAN
Julia gigih mengulang kaji pelajarannya. Berkat kegigihan dan ketekunannya, dia Berjaya lulus SPM dengan cemerlang. Akhirnya, dia ditawarkan peluang untuk menyambung pengajian di Kolej Matrikulasi Universiti Islam Antarabangsa.

KETABAHAN
Julia banyak menghadapi cabarn hidup. Antaranya ialah keadaan ibunya yang jatuh koma, kematian adik-beradik ekmbarnya, kenyataan bahawa bapanya ingin berkahwin lagi, pertengkaran antara dia dengan Rasylan, dan kematian ibunya. Namun Julia sentiasa tabah dan sabar mengharungi cabaran serta dugaan hidup.

BERTOLAK ANSUR
Walaupun pada awalnya Julia tetap dengan pendiriannya yang tidak mengizinkan papanya berkahwin lagi, namun, setelah dibawa berbincang, Julia membenarkan atas sebab-sebab kesihatan .


JEFFRI (PAPA)

Jeffri merupakan bapa kepada Julia. Sebagai ketua keluarga, jeffri memikul tanggungjawabnya dengan baik. Dia bekerja sebagai pensyarah dalam bidang ekonomi di Kolej Iktisas. Kasih sayangnya terhadap mama tidak berbelah bahagi dan berlandaskan keikhlasan hati. Lantaran itu, dia amat sedih apabila mama jatuh koma. Kesunyian yang dialaminya membawa kepada pperkahwinan antara dia dengan Aisyah.

PENYAYANG
Papa amat menyayangi mama dan Julia. Kasih sayangnya terhadap mama tidak berbelah bahagi walau apa jua rintangan yang terpaksa diharunginya. Dia membawa mama pulang ke rumah agar dia sentiasa dapat berdampingan dengan mama yang koma. Dia juga amat sayang akan Julia. Dia tidak membenarkan Julia berkawan dengan Rasylan kerana latarbelakang keluarganya tidak baik.

BERPENDIRIAN TEGAS
Papa amat tegas dengan pendiriannya bahawa Rasylan bukan orang yang baik-baik. Walaupun Julia menyatakan rasylan baik-baik orangnya, papa tetap melarang Julia daripada terus berkawan dengan Rasylan. Papa juga tetap dengan pendiriannya untuk berkahwin lagi. Walaupun Julia tidak bersetuju dengan keputusannya, papa cuba memujuk dengan sedaya upaya supaya Julia menerima kehadiran Aisyah dalam hidupnya.

KEPERCAYAAN KEPADA TUHAN
Papa sentiasa berdoa agar mama cepat sembuh. Papa turut sentiasa mengerjakan sembahyang tepat pada waktunya. Papa sentiasa reda dan berserah kepada takdir.

PRIHATIN
Papa prihatin terhadap kesihatan mama dan sentiasa menasihati mama agar menurut arah ndoktor. Dia jugan prihatin dengan perasaan Julia yang tidak mahu papanya berkahwin lagi lalu memujuknya.


INTAN MALIANA (MAMA)

Intan Maliana ialah isteri kepada Jeffri dan ibu kepada Julia. Dalam novel ini, watak ini lebih dikenali sebagai mama atau Kak Maliana. Mama amat menyayangi papa dan sanggup berkorban untuk kebahagiaan papa. Dia pernah menghadapi komplikasi ketika melahirkan Julia suatu ketika dahulu. Mama bekerja sebagai seorang guru di Sekolah Menengah Seri Gading.

SANGGUP BERKORBAN
Walaupun menyedari hakikat bahawa dirinya akan menghadapi kesulitan semasa melahirkan anak, mama tetap dangan keputusannya untuk mengandung lagi. Mama sanggup berkorban untuk membahagiakan papa yang ingin menambah ahli keluarganya.

TEGAS PENDIRIAN
Mama tegas dengan pendiriannya bahawa dia tidak akan menggugurkan kandungannya. Walaupun banyak orang telah menasihatinya agar tidak meneruskan kandungan ini, dia tetap dengan keputusannya demi membahagiakan raja hatinya.

BERTANGGUNGJAWAB
Mama merupakan seorang guru yang bertanggungjawab. Dia begitu berusaha member tunjuk ajar kepada pelajarnya sehingga dia disukai oleh pelajarnya. Mama dikatakan sentiasa berdedikasi dalam menyalurkan ilmu pengetahuan kepada anak muridnya.

PENYAYANG
Kasih sayangnya yang mendalam terhadap papa terbukti apabila dia sanggup mengandung lagi demi memenuhi hasrat papa.

PLOT

PERMULAAN

Keadaan keluarga Julia, Papa (Jeffri) , dan Mama (Intan Maliana) digambarkan amat bahagiia. Kasih sayang antara papa dengan mama menjadi asas keharmonian dan kesejahteraan hidup mereka. Sebagai anak, Julia berasa kagum terhadap kasih sayang antara papa dengan mama. Julia turut rasa bangga kerana mempunyai sebuah keluarga yang dibentuk atas dasar kasih sayang seorang suami yang tidak berbelah bahagi terhadap isterinya.

PERKEMBANGAN

Papa memaklumkan Julia bahawa mama telah mengandung sekali lagi. Julia akan mempunyai adik sebagai pelengkap keluarga mereka. Mak Cik Noraini bimbang Mama akan menghadapi kompilasi seperti dahulu. Mama jtuh koma manakala Julia menghidapi masalah alah susu tepung. Mak Cik Noraini terpaksa mengeluarkan susu mama dengan bantuan doktor. Namun, kejadian itu tidak menggentarkan mama. Baginya, dia hanya perlu tabah dan menyerahkan segalanya kepada Allah. Dalam pada itu, dia sanggup menghadapi risiko demi membahagiakan papa.

Di sekolah pula, Julia sempat berkenalan dengan Rasylan, seorang pelajar baru di kelasnya. Ketampanan Rasylan Berjaya menarik perhatian Julia. Rasylan merupakan anak angkat kepada Datuk Mustakim. Pada masa yang sama, rakan sekerja mama, Cikgu Suzie, turut menyuarakan kebimbangannya terhadap keadaan mama yang mengandung lagi. Beliau menasihati mama agar pandai menjaga diri kerana beliau tidak ingin melaihat mama ditimpa sebarang kecelakaan.

Tidak lama kemudian, mama sakit memandangkan sudah tiba masanya untuk mama bersalin. Papa, Julia Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia untuk bersalin. Namun, mama menghadapi komplikasi sekali lagi kerana sukar untuk melahirkan anak kembar yang dikandungnya dan terpaksa dibedah. Tidak lama kemudian, doktor yang bertanggungjawab membedah mama memberitahu bahawaanak kembar yang dilahirkan mama merupakan kembar siam. Namun begitu, mereka telah meninggal dunia sewaktu kandungan lagi. Mama pula jatuh koma. Jenazah Ahmad dan Muhammad dibawa pulang untuk dikebumikan.

Julia dan Rasylan semakin intim dan kini sepasang kekasih. Namun, papa tidak merestui hubungan mereka kerana bagi papa, Raslan tidak mempunyai latar belakang keluarga yang baik. Bapa angkatnya, Datuk Mustakim, merupakan orang yang melanggar ibu bapa papa sehingga mereka meninggal dunia.Keengganan Datuk Mustakim untuk bersemuka dengan papa selepas kejadian tersebut telah mencetuskan rasa tidak puas hati dalam diri papa. Rasylan cuba mengaturkan pertemuan antara mereka namun ditolak papa. Papa melarang Julia untuk terus berkawan dengan Rasylan membuatkan Julia terpaksa merahsiakan hubungan mereka.

Tanpa kehadiran mama di sisi, papa berasa sangat sunyi. Kehidupannya menjadi kurang ceria. Pada saat itulah, papa menjalinkan hubungan intim dengan Aisyah, salah seorang pelajarnya. Julia pernah terserempak dengan mereka dalam suasana penuh mesra di Restoran Pizza Hutt, Starbucks Coffee, dan Restoran A&W ketika dia keluar bersama-sama Rasylan. Ketidakpuasan hati Julia memuncak apabila papa ingin berkahwin dengan Aisyah. Julia yang tidak merestui perkahwinan tersebut telah bertengkar dengan papa. Dalam pertengkaran itu, papa telah menampar muka Julia. Tamparan itu telah meregangkan hubungan Julia dengan papa. Dalam kemarahan, Julia membuat keputusan untuk tidak pulang ke rumah pada hujung minggu itu. Dia menetap di kampus selam abeberapa minggu. Panggilan papa juga tidak dijawab.

Melalui Rasylan, Julia dapat mengetahui bahawa bapa kandung Rasylan ialah Encik Muaz al-Khalibi, salah seorang pensyarah UIA. Rasylan ialah anak luar nikah Encik Muaz dan pengemas biliknya yang berbangsa Indonesia. Selepas dilahirkan, Rasylan ditinggalkan oleh ibunya di tepi longkang. Nasib Rasylan baik kerana diselamatkan dan ditempatkan di rumah anak yatim sehinggalah Datuk Mustakim mengambilnya sebagai anak angkat. Encik Muaz ingin menjalin semula hubungan dengan Rasylan namun Rasylan enggan. Bagi Rasylan, sikap tidak bertanggungjawab Encik Muaz membuatkannya tidak layak untuk menjadi bapa Rasylan.

Tidak kira dalam apa jua keadaan, Julia tidak akan menafikan hubungan anak dengan bapa antara dia dengan papa. Akhirnya, papa Berjaya memujuk Julia untuk merestui perkahwinannya dengan Aisyah. Julia menerima Aisyah sebagai ibu tirinya demi membahagiakan papa yang kesunyian. Tidak lama kemudian, Aisyah mengandung. Berita tersebut cukup menggembirakan papa dan Julia.

KLIMAKS
Mama tiba-tiba sahaja sedar daripada koma. Selepas sedar, mama ingin memakan pizza. Papa pula sempat memperkenalkan Aisyah sebagai isteri keduanya.

PELERAIAN
Mama tidak dapat menerima bahawa dia telah dimadukan dengan Aisyah. Dalam tangisannya, dia telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.

TEKNIK PLOT

• DIALOG
• Perbualan antara dua atau lebih watak dalam plot sesebuah novel. Teknik ini mampu menghidupkan cerita novel di samping menyalurkan mesej-mesej penting kepada para pembaca melalui dialog antara watak.

• CONTOH

• "Apa you buat dalam bilik tu tadi?" Diam. Tiada jawapan yang kudengar.

• "Aisyah, I'm talking to you, please answer me!" Ulang papa sekali lagi dan kali ini lebih keras daripada tadi. Aku dapat mengenali suara papa. Rasa-rasanya dia sedang marah.

• "Saja, I nak jenguk Kak Maliana, salah ke?"

• PEMERIAN
• Digunakan untuk memerihalkan suatu keadaan, suasana, ciri-ciri fizikal, dan perasaan seseorang. Teknik ini memberi gambaran yang jelas tentang sesuatu peristiwa mahupun keadaan yang timbul dalam plot novel.

• CONTOH

• Kemesraan dua insan itu nyata amat payah untuk dipisahkan. Mereka sering menemani satu sama lain untuk kerja-kerja sedemikian. Mereka lebih menampakkan kemesraannya ketika mama ditemani angin petang yang bertiup lembut.

• MONOLOG DALAMAN
• Percakapan batin sesuatu watak bukan bertujuan untuk berkomunikasi tetapi untuk menyatakan sesuatu keadaan perasaan atau fikiran ketika berhadapan dengan sesuatu situasi.

• CONTOH

• Papa ada di sini? Kali ini dengan siapa pula? Mungkinkah dengan wanita yang kulihat di Starbucks Coffee di Mid Valley dahulu? Oh, tidak. Hati kecilku menjerit kerana tidak mahu terserempak dengannya.

• IMBAS KEMBALI
• Imbas kembali sesuatu watak terhadap peristiwa suatu ketika dahulu. Teknik ini memberi maklumat tentang latar belakang watak serta sebab musabab berlakunya suatu konflik.

• CONTOH

• Soalan yang berbunyi begini pernah aku dengar terkeluar daripada mulut papa ketika dia melarang mama daripada berbelanja sewenang-wenangnya. "Betullah macam apa yang you kata, tapi duit tu bukannya daun kering yang bersepah di tepi jalan,"

• UNSUR KEJUTAN
• melahirkan perasaan kejutan dalam diri pembaca. unsur ini menjadikan plot cerita lebih menarik.

• CONTOH

• "Isteri encik telah selamat melahirkan sepasang anak kembar, tetapi kedua-duanya telah meninggal dunia sewaktu masih dalam kandungan lagi. "

LATAR

LATAR TEMPAT

Sekolah Menengah Seri Gading
• tempat Intan Maliana mengajar
• tempat Julia belajar

Restoran Starbucks, Mid Valley Megamall
• tempat Julia dan Rasylan sering bekunjung
• tempat Julia terserempak dengan papa dan Aisyah

Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Cheras
• tempat mama dibedah
• tempat kembar siam diumumkan meninggal dunia

Universiti Islam Antarabangsa di Gombak, Selangor
• tempat Julia dan Rasylan menyambung pelajaran selepas berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM

Kedai Kopi (Coffee House) di Hotel Paya Serai
• tempat Papa memujuk Julia agar merestui perkahwinannya dengan Aisyah.


LATAR MASA

ZAMAN MODEN
• zaman ini sudah wujud peralatan canggih seperti kelengkapan-kelengkapan di hospital dan sebagainya
• (sekitar 2000-an)

TEMPOH MASA
• bermula dari Julia berada dalam Tingkatan 4 sehingga dia menyambung pengajiannya di UIA(3 tahun)

14 TAHUN DAHULU
• sewaktu mama mengimbas kembali kisah silamnya sewaktu melahirkan Julia

LATAR MASYARAKAT

Masyarakat Moden
• sudah wujud permainan moden seperti Tenis dan peralatan canggih di hospital

Masyarakat Pendidik
• Papa merupakan pensyarah bidang ekonomi
• Mama merupakan guru Matematik

Masyarakat anak angkat
• Rasylan diambil sebagai anak angkat oleh Datuk Mustakim

Masyarakat Berpoligami
• Papa berkahwin dengan Aisyah semasa mama koma


GAYA BAHASA

Penggunaan Bahasa Inggeris

"Have you think it over?" (m/s 38)

"Julia...I want you to remember only one thing, I LOVE YOU!" kata Papa dengan muka yang amat tenang dan penuh beremosi. (m/s 66)

Ungkapan Bahasa Cina

Macam kata orang Cina, car beh liau, iauitu dimakan tidak habis. (m/s 48)

Sinkof

"Kalau tak sekarang, bila lagi kak? Kerja saya ni bukannya tentu! Sekarang saya ada masa, buat apa nak tangguh-tangguhkan lagi!" (m/s 51)

Peribahasa

Walaupun pada mulanya mereka nampak garang, tetapi apabila digertak sedikit, akan senyaplah macam cicak berak kapur! (m/s 34)

NILAI DAN PENGAJARAN

Tabah

Kita perlulah tabah dalam menghadapi dugaan hidup.
Julia dan papa tabah menghadapi realiti bahawa anak kembar yang dilahirkan mama meninggal dunia manakala mama jatuh koma.

Kasih Sayang
Kita perlulah menunjukkan kasih sayang antara satu sama lain.
Kasih sayang antara papa, mama dan Julia tidak berbelah bahagi. Mereka saling menyayangi dan mengambil berat.

Gigih
Kita perlulah berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan.
Julia begitu gigih belajar sehingga dia berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM.

Saling Membantu
Kita mestilah saling membantu antara satu sama lain.
Mama membantu Cikgu Suzie dengan menghantarnya ke bengkel kereta di Seksyen 14. Papa pula membantu Mak Cik Noraini yang kehilangan ahli keluarganya.

Berdikari
Kita harus belajar hidup berdikari untuk kebaikan sendiri.
Julia hidup berdikari semasa menuntut ilmu di UIA.

(Dipetik daripada Blog 5 Bahagian SMK Gedangsa)

9 comments:

  1. thankyou so much. i will have my final bm paper tomorrow for form4. this really help me for my quick revision :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. u buat revision last2 minute ke?
      .... ok!
      saye pon bnyk kali wat camtuh...
      so..... we same!

      hehehe..

      Delete
    2. hehe.baguslah.chewa

      Delete
  2. thx alot...but its better to put de format to answer de novel

    ReplyDelete
  3. trimas..sye gune utk buat folio. apa rumusan utk novel ini?

    ReplyDelete
  4. knp kepentingan watak sampingan n unsur2 suspen tak ad dlm novel ni lau adpn sy tak psti tol ke tak npe la cikgu bg 16 soalan novel ni pening2...help me please..

    ReplyDelete
  5. esok spm paper bm. harini baca.

    ReplyDelete
  6. Ni baca masa form 3 baru baca novel penuh masa form 4.lol..nak baca masa spm klau taknak dpt a+ buat la

    ReplyDelete
  7. thanks.... hope u fine always...

    ReplyDelete