Wednesday, March 9, 2011

Latihan Rumusan - Latihan Kendiri

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang punca-punca berlakunya keracunan makanan dan kepentingan makanan berkhasiat kepada orang ramai. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


Kes keracunan makanan terutamanya di sekolah semakin kerap disiarkan oleh media sejak akhir-akhir ini. Isu ini bukan suatu perkara yang baharu tetapi telah lama dibincangkan oleh pihak-pihak yang terlibat. Keracunan makanan bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di mana-mana sahaja disebabkan berlakunya pencemaran makanan. Malah keracunan makanan juga boleh berlaku di rumah jika cara penyediaannya tidak dijaga dengan baik.
Namun, kita sering memerhatikan bahawa ramai pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan mereka, sama ada di kantin sekolah, restoran, gerai di tepi jalan atau di pasar malam. Sepatutnya pengendali makanan mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum menyentuh atau menyediakan makanan. Mereka juga dilarang menghisap rokok, batuk dan meludah semasa menyediakan atau mengendalikan makanan. Bahan yang digunakan untuk memasak makanan hendaklah bersih. Proses memasak makanan juga memainkan peranan yang penting. Makanan yang tidak dimasak dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya pembiakan mikroorganisma berbahaya terutamanya dalam bahan makanan yang berprotein tinggi seperti daging, ayam, makanan laut, telur dan hasil tenusu. Makanan dari peti sejuk mestilah dinyahbekukan dengan sempurna dan dimasak secukupnya untuk memastikan bakteria berbahaya terhapus. Bakteria juga boleh membiak dengan cepat pada suhu bilik. Makanan yang telah dimasak atau disediakan awal jika tidak disejukbekukan akan terdedah dengan pembiakan bakteria yang mencemarkan makanan. Malah makanan yang disimpan pada suhu bilik dengan begitu lama juga tidak selamat walaupun telah dipanaskan kerana cara ini tidak akan menghapuskan bakteria atau kuman penyebab keracunan makanan.
Keracunan makanan juga boleh berlaku apabila seseorang individu mengambil makanan dan minuman yang tercemar oleh bakteria, virus atau organisma berbahaya. Keadaan ini berlaku disebabkan penyediaan makanan yang tidak bersih di samping penggunaan bekas makanan yang tercemar. Malah penggunaan bahan kimia dan bahan beracun yang semakin berleluasa terhadap sayur-sayuran juga akan mencemarkan bahan makanan itu tanpa mengira cara memasaknya. Gejala yang dialami mangsa keracunan juga berbeza mengikut individu bergantung pada tahap ketahanan seseorang. Keracunan makanan juga akan berlaku dalam kalangan bayi, kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai imuniti yang rendah terhadap penyakit. Mangsa keracunan makanan akan mengalami gejala-gejala yang berikut seperti loya atau pening, muntah, cirit-birit, sakit di bahagian abdomen dan demam.
Isu keracunan makanan dapat diatasi jika semua pihak melaksanakan peranan masing-masing dengan baik. Yang paling penting, kesedaran semua pihak terhadap kepentingan memakan makanan yang bersih dan berkhasiat. Mencegah sesuatu lebih baik daripada mengubatinya.


(Dipetik dan diubahsuai daripada Keracunan Makanan,
Dewan Siswa, Oktober 2007).




Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan HIKMAH 2 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata hasil tenusu. [2 markah]

(ii) Apakah keadaan yang menggalakkan pembiakan bakteria dalam makanann?
[3 markah]

(iii) Sebagai seorang pelajar, apakah tindakan yang perlu dilakukan jika anda mendapati makanan di kantin sekolah anda tidak bersih dan boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan?
[4 markah]

No comments:

Post a Comment