Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Monday, November 15, 2010
SELAMAT BERGRADUASI PELAJAR SMK SIJANGKANG JAYA
Indah bunyi bahasanya, enak lidah menyebutnya, selesa telinga mendengarnya - MAJLIS GRADUASI - Satu program khas yang dirancang dan dilaksanakan oleh pihak sekolah sebagai pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar kerana berjaya menamatkan alam persekolahan setelah bertungkus lumus menghabiskan ruang-ruang kehidupan mengabdikan diri sebagai pelajar.
Persoalan yang timbul..berapa ramai pelajar yang menghargai majlis ini? Apa persepsi mereka terhadap majlis ini? Adakah mereka berbangga dengan majlis ini? Siapakah yang sudi menjawab persoalan ini ? Guru-guru, Ibu bapa atau pelajar itu sendiri ? Tepuk dada tanya hati dan tanya rasa? Raptai hari ini membuktikan ketidakpekaan dan sikap endah dan tidak endah pelajar-pelajar tingkatan 5.
Ketahuilah olehmu anak didikku...peluang bergraduasi ini merupakan titik bahagia dan suasana indah yang tidak pernah diberi oleh orang lain. Sekalipun anda mungkin pernah bergraduasi ketika di TADIKA, TABIKA atau PASTI...tetapi saat dan detik itu, anda belum matang dan belum tahu erti ilmu yang sebenar. Andai, anda kecundang dan kecewa dalam peperiksaan SPM dan tidak berminat untuk menyambung pelajaran..inilah peluang pertama dan terakhir anda untuk merasai "kenikmatan" dan "keseronokkan" memakai jubah akademik. Berbangganya hati seorang ibu dan hati seorang ayah apabila merasai detik dan saat anaknya mampu memakai jubah akademik dan sudah pasti memori hari ini mampu anda ceritakan pada anak, cucu dan sesiapa sahaja suatu hari nanti bahawa anda pernah bergraduasi walaupun bukan di universiti.
Kepada pelajar yang akan menyambung pelajaran, saat ini merupakan detik permulaan untuk anda menyambung perjalanan hidup anda sebagai pelajar yang berilmu...ke mana arah tuju anda selepas ini?...ke kolej?, ke institut?, ke universiti? atau ke mana-mana sahaja pusat pengajian. Yang pasti anda akan bergraduasi dalam suasana lebih meriah, lebih indah dan lebih bahagia. Cuma, mungkinkah saat dan detik itu nanti mampu anda rakamkan dihadapan ibu dan ayah anda? atau mungkinkah anda akan keseorangan ketika itu? atau mungkinkah ibu bapa kita sedang terlantar kerana uzur ketika itu ? Hibanya rasa hati dan pilunya diri kita, jika ditika dan saat itu, insan yang kita kasihi dan sayangi tidak melihat segulung ijazah yang kita genggam - bukan kerana tidak sudi tapi kerana tidak mampu untuk berdiri...mungkinkah disaat itu akan mengalir air mata suka dan duka kita? Ya Allah, aku mohon kepadamu..berilah kesempatan waktu, berilah ruang dan peluang untuk aku mengabdikan diri bersama ibu bapaku dalam majlis konvokesyen aku nanti...Aku ingin merasai kehangatan juraian air mata gembira ibu dan bapaku...
Coretan ini sebagai pembakar semangat untuk pelajarku menjulang kejayaan..
Selamat Bergraduasi, dan selamat Menerima Anugerah Kecemerlangan Akademik, Sahsiah dan Kokurikulum.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment