TERUSKAN PERJUANGAN KITA. KEJAYAAN PERLUKAN PENGORBANAN.
(Cikgu paparkan beberapa contoh karangan sebagai panduan)
Permainan Tradisional :
Permainan tradisional merupakan warisan bangsa yang tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas walaupun popularitinya semakin berkurangan. Generasi muda hari ini tidak mengenali permainan tradisional dengan mendalam kerana kemajuan teknologi yang begitu pesat. Pelbagai pihak telah berusaha untuk mengembalikan populariti permainan tradisional masyarakat kita. Namun begitu, belum ada tanda-tanda permainan tradisional akan kembali diminati. Jadi, beberapa langkah yang sesuai wajar dilaksanakan untuk menghidupkan kembali warisan budaya bangsa ini.
Kerajaan wajar menganjurkan pertandingan-pertandingan permainan tradisional di semua peringkat sosial. Langkah ini bertujuan untuk menarik minat masyarakat untuk bergiat cergas dalam bidang sukan tradisional yang semakin dilupakan. Pelbagai hadiah yang menarik wajar disediakan kerana ada gula ada semutnya. Permainan tradisional seperti wau, gasing, galah panjang, congkak, dan sebagainya sesuai untuk dipertandingkan. Pertandingan ini wajar dijadikan acara bulanan atau tahunan agar pendedahannya lebih kerap dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. Jadi, penganjuran pertandingan akan dapat mengembalikan populariti permainan tradisional bangsa kita.
Selain itu, pihak berwajib perlu menjadikan permainan tradisional sebagai satu acara untuk menarik pelancong kerana jika tidak dipecahkan ruyung, manakan mendapat sagunya. Kebanyakan pelancong mancanegara sudah tentu berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang permainan tradisional Malaysia yang pelbagai jenis. Kementerian Pelancongan wajar melatih generasi muda untuk menjadi duta kecil untuk memperkenalkan permainan tradisional kepada pelancong asing. Untuk menjadikan permainan tradisional lebih popular, konsep inap desa turut memasukkan permainan tradisional sebagai acara wajib dalam program berkenaan. Oleh yang demikian, permainan tradisional dapat diperkenalkan kepada pelancong asing dengan lebih berkesan.
Satu lagi langkah untuk memperkenalkan permainan tradisional adalah dengan memasukkan permainan tradisional sebagai satu aktiviti kokurikulum di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi. Malahan, kanak-kanak di peringkat prasekolah juga wajar didedahkan dengan permainan tradisional kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kelab-kelab permainan tradisional hendaklah ditubuhkan dan murid-murid diwajibkan menjadi ahli mana-mana kelab permainan tradisional yang digemari oleh mereka. Tambahan pula, pertandingan permainan tradisional antara sekolah-sekolah akan menyemarakkan lagi semangat murid untuk memahirkan diri dengan permainan-permainan tradisional tertentu. Langkah ini sudah tentu dapat menghidupkan kembali kegemilangan permainan tradisional dalam kalangan generasi muda di negara kita.
Kesimpulannya, permainan tradisional memang wajar dikembalikan kegemilangannya dalam kalangan generasi muda. Semua pihak hendaklah berganding bahu untuk mempopularkan kembali warisan bangsa yang tidak ternilai harganya ini. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat. Jika tidak permainan tradisional warisan berzaman ini hanya tinggal nama sahaja pada suatu masa nanti. Kerjasama dan iltizam semua pihak akan dapat mempopularkan kembali warisan bangsa kita sampai bila-bila.
Topik-topik Fokus BM SPM
1. Peranan masyarakat dalam melahirkan remaja cemerlang.
2. Penularan wabak penyakit berbahaya atau masalah keracunan makanan di sekolah.
Langkah-langkah untuk menangani keracunan makanan di kantin sekolah.
3. Peranan golongan wanita dalam pembangunan negara.
4. Usaha-usaha/Cara-cara untuk membantu mangsa bencana alam di seluruh dunia.
5. Kepentingan masyarakat mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.
Modal Insan Cemerlang
Langkah-langkah melahirkan modal insan cemerlang.
Pendahuluan
- modal insan ialah tenaga manusia yang bakal memenuhi keperluan tenaga kerja masa depan.
- negara maju memerlukan modal insan yang cemerlang dan ampuh.
- pelbagai langkah untuk melahirkan modal insan cemerlang.
Isi 1
- melengkapkan golongan remaja dengan ilmu pengetahuan terkini.
- dalam bidang ICT dan bidang-bidang yang baharu.
- untuk memenuhi keperluan kerjaya masa depan.
Isi 2
- membentuk sahsiah yang positif dalam kalangan remaja.
- melahirkan generasi yang berbudi bahasa.
- hormat-menghormati dalam masyarakat majmuk.
Isi 3
- melangkapkan diri dengan komunikasi yang baik.
- komunikasi asas pembinaan kewibawaan.
- komunikasi membolehkan remaja bersaing di peringkat global.
Isi 4
- membentuk remaja dengan semangat cinta akan negara.
- remaja yang cemerlang memiliki patriotisme yang tinggi.
- semangat setia menjadi asas kedaulatan negara.
Isi 5
- remaja diterapkan semangat 1 Malaysia.
- mementingkan kecemerlangan dalam semua bidang.
- mengutamakan perpaduan.
Kesimpulan
Remaja ialah pemimpin masa depan.
Perlu dididik agar memenuhi keperluan Wawasan 2020.
Punca-punca gejala ponteng sekolah
Gejala ponteng sekolah masih menjadi masalah utama dalam sistem pendidikan di negara kita. Bincangkan punca-punca masalah ini berlaku.
Gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid sekolah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini. Hal ini telah mencetuskan kebimbangan yang berterusan dalam kalangan masyarakat terutamanya ibu bapa dan golongan pendidik. Pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi memastikan gejala ini tidak menular. Namun demikian sehingga kini belum ada penyelesaian yang konkrit untuk mengatasi gejala ponteng sekolah. Sebenarnya, gejala ini berlaku akibat pelbagai punca yang dapat dikenal pasti.
Salah satu punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berlaku ialah murid-murid berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah. Sebagai seorang remaja murid sekolah memerlukan rakan sebaya untuk bersahabat. Pada peringkat perkembangan ini, rakan sebaya merupakan satu aspek penting yang dapat mempengaruhi kehidupan. Kecenderungan untuk bercampur gaul dengan rakan-rakan sebaya menyebabkan murid sekolah tidak berhati-hati dalam membuat pilihan rakan sebaya. Masalah akan timbul apabila murid sekolah berkawan dengan rakan sebaya yang sudah meninggalkan bangku sekolah. Golongan ini hanya menghabiskan masa dengan berfoya-foya tanpa tujuan. Apabila murid sekolah bergaul dengan golongan ini, mereka juga akan turut terikut-ikut dengan cara hidup tanpa tujuan ini. Akhirnya mereka akan ponteng sekolah untuk bersama-sama dengan rakan-rakan mereka yang tidak bersekolah . Oleh itu, jelaslah salah satu punca masalah ponteng sekolah ialah murid-murid sekolah berkawan dengan remaja yang tidak lagi bersekolah.
Punca masalah ponteng sekolah yang seterusnya ialah ibu bapa tidak mengambil berat terhadap anak-anak mereka yang masih bersekolah. Ibu bapa masa kini lebih mementingkan kerjaya kerana mahu meningkatkan taraf kehidupan. Mereka menghabiskan masa yang banyak untuk mencari kekayaan dan mengejar status. Mereka juga menyerahkan tanggungjawab menjaga anak-anak mereka kepada pihak sekolah. Anak-anak mereka pula sering diabaikan seperti anak ayam kehilangan ibu. Ibu bapa tidak memberikan kasih sayang yang sewajarnya diterima oleh anak-anak yang sedang membesar. Oleh sebab ibu bapa tidak begitu mengambil berat akan hal anak-anak, murid-murid sekolah mengambil peluang untuk melakukan apa-apa sahaja. Mereka berpendapat perlakuan mereka di luar rumah tidak akan diketahui oleh ibu bapa mereka. Jadi, sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat tentang kebajikan anak-anak akan mencetuskan gejala ponteng sekolah dalam kalangan murid-murid.
Di samping itu, sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri turut menyebabkan gejala ponteng sekolah terus berleluasa. Masyarakat kita pada masa kini tidak lagi memiliki sikap tegur-menegur antara satu sama lain, apatah lagi untuk menegur anak-anak jiran yang didapati ponteng sekolah. Masyarakat mengamalkan cara hidup tidak ubah seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Tiada lagi semangat kerjasama dan hubungan akrab antara anggota masyarakat, lebih-lebih lagi dalam kalangan masyarakat bandar. Oleh sebab masyarakat tidak mempunyai semangat kerjasama, masalah ponteng sekolah seolah-olah tiada penghujungnya. Murid-murid yang terlibat dengan gejala ini berasa bebas kerana kegiatan mereka tidak ditegur oleh sesiapa, termasuk orang-orang yang dikenali oleh mereka. Hal ini menyebabkan gejala ponteng terus menular. Oleh itu, nyatalah sikap masyarakat yang mementingkan diri turut mencetuskan gejala ponteng sekolah.
Kesimpulannya, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan gejala ponteng sekolah berleluasa. Dalam hal ini, semua pihak hendaklah berganding bahu untuk membanteras gejala ini hingga ke akar umbi. Jika tidak gejala ponteng sekolah akan mencetuskan pelbagai masalah lain yang lebih buruk kesannya kerana kudis akan menjadi tokak jika tidak diubati. Kerjasama dan sikap prihatin masyarakat akan membantu pihak sekolah menangani gejala ponteng sekolah dengan lebih berkesan.
(500 perkataan)
Karangan 1 Malaysia : isi-isi karangan
Bincangkan peranan remaja dalam menjayakan Gagasan 1 Malaysia.
Pendahuluan
Gagasan 1 Malaysia telah diperkenalkan oleh pemimpin negara.
Slogan - Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.
Rakyat Malaysia perlu menghayati falsafah gagasan ini, terutama golongan remaja.
Isi 1
- Remaja melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan.
- Menguasai ilmu pengetahuan baharu selaras dengan perkembangan zaman.
- Tujuannya untuk membolehkan remaja menjadi cemerlang.
- Peribahasa : jika tidak dipecahkan ruyung, di mana akan mendapat sagunya.
Isi 2
- Remaja mengamalkan semangat perpaduan.
- Hormat-menghormati antara satu sama lain.
- Memahami budaya, agama yang pelbagai.
- Bergerak seiring untuk mencapai negara maju.
- Peribahasa : Ke gunung sama di daki, ke lurah sama dituruni.
Isi 3
- Remaja memantapkan sahsiah diri.
- Mengamalkan budaya sopan santun.
- melengkapkan diri dengan ajaran agama dan pendidikan moral.
- Remaja Malaysia menjadi ikon imej baik di peringkat global.
- Peribahasa : kalau sudah benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.
Isi 4
- Menghayati dan mengamalkan rukun negara.
- menjadi warganegara yang berintegriti.
- pembentukan modal insan yang cemerlang.
- memacu negara ke arah wawasan 2020.
- Peribahasa : bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Kesimpulan
Remaja ialah aset negara. Semua pihak perlu mendidik remaja ke arah pencapaian matlamat Gagasan 1 Malaysia. Usaha yang berterusan akan menjadikan remaja hari ini sebagai pemimpin yang berkaliber pada masa depan.
Gambar di atas ialah buku baharu saya yang diterbitkan oleh Cerdik Publications. Saya menulis bahagian tatabahasa, rumusan, dan karangan untuk buku ini. Buku ditulis untuk murid-murid tingkatan empat.
Karangan: Budaya Pelbagai Kaum
[Karangan sumbangan : Hasmah Yusuf, Semester 3, PBMP, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM]
Negara kita kaya dengan kebudayaan pelbagai kaum. Namun demikian generasi muda semakin melupakan kebudayaan yang kita warisi sejak zaman berzaman. Bincangkan langkah-langkah yang wajar diambil untuk mengekalkan kebudayaan pelbagai kaum di negara kita.
Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada rakyatnya yang berbilang kaum. Kaum-kaum utama yang terdapat di negara ini ialah Melayu, Cina dan India disamping kaum –kaum yang terdapat di Sabah dan Sarawak seperti kaum Dusun, Murut, Bajau, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya. Setiap kaum yang terdapat di Malaysia ini mempunyai budaya masing-masing yang telah diamalkan sejak zaman dahulu sehingga sekarang. Budaya yang diamalkan dan diwarisi sama ada dari aspek kesenian, bahasa, adat resam,muzik, agama, kepercayaan mahupun undang-undang mempunyai keunikannya yang tersendiri bagi setiap kaum. Oleh yang demikian, usaha-usaha perlu dilakukan oleh semua pihak agar tradisi kebudayaan dalam semua kaum tidak lenyap dari kehidupan masyarakat sekarang ekoran daripada arus pemodenan yang semakin berleluasa.
Terdapat pelbagai cara atau usaha yang boleh dilakukan oleh semua pihak untuk terus mengekalkan sesuatu budaya yang diamalkan antaranya ialah dari pihak diri seseorang itu sendiri. Seseorang individu itu meminkan peranan yang amat penting dalam mengekalkan sesuatu kebudayaaan kerana tanpa tindakan daripada individu, pelbagai usaha yang dijalankan tidak akan berhasil. Seseorang individu dalam setiap kaum itu haruslah mempunyai keinginan yang tinggi untuk meneruskan budaya yang terdapat dalam bangsa mereka itu sendiri supaya kebudayaan itu dapat terus dikekalkan, sebagai contohnya anak-anak muda dalam kaum Melayu seharusnya membuka mata mereka untuk belajar tentang tarian Melayu seperti Tarian Zapin, Tarian Ulik Mayang, Tarian Joget, Dikir Barat, dan sebagainya.
Selain dari segi kesenian, adat resam juga tidak dilupakan kerana dalam masyarakat Melayu terdapat adat sebelum perkahwinan yang masih diamalkan seperti adat merisik, meminang dan barkahwin. Walau bagaimanpun, terdapat sesetangah masyarakat melayu yang telah mengabaikannya ekoran arus pemodenan. Oleh itu, setiap individu haruslah memainkan peranan untuk terus mengekalkan setiap budaya dalam kaum mereka.
Selain dari diri individu itu sendiri, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting untuk meneruskan aktiviti kebudayaan dalam semua kaum di Malaysia. Pihak sekolah boleh mewujudkan persatuan atau kelab yang berkaitan dengan kebudayaan yang terdapat dalam sesuatu kaum. Sekolah memainkan peranan yang agak penting kerana menjadi rumah kedua kepada golongan kanak-kanak dan remaja selepas rumah mereka dan banyak masa yang akan dihabiskan oleh golongan ini di sekolah.
Oleh itu, dengan adanya persatuan atau kelab yang berkaitan dengan aktiviti kebudayaan dan kesenian bagi setiap bangsa, pasti akan dapat menggalakkan pelajar terutamanya sewaktu mereka masih muda ini untuk terus melibatkan diri dan mewarisi sesuatu aktiviti kebudayaan. Pihak sekolah bolehlah mewujudkan kelab seperti Kelab Tarian Melayu, Tarian Cina, Tarian India, Kelab Mencanting Batik dan sebagainya. Kesemuanya haruslah mengenai budaya setiap kaum di malaysia. Disamping itu, keadaan ini juga dapat menggalakkan pelajar untuk mempelajari budaya kaum-kaum yang berlainan dan kaum sendiri. Oleh itu, pihak sekolah haruslah memainkan peranan yang sewajarnya supaya dapat menanam sikap cintakan budaya Malaysia dalam diri para pelajar sejak mereka masih muda lagi.
Pelbagai usaha juga boleh dilakukan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan tradisi kaum-kaum di Malaysia. Kerajaan khususnya Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia bertanggungjawab untuk mengadakan aktiviti kebudayaan rakyat Malaysia sekurang-kurangnya sekali dalam setahun untuk memdedahkan kepada rakyat tentang keunikan budaya yang terdapat di Malaysia. Pesta Kebudayaan dan Kesenian boleh diadakan di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa untuk menunjukkan pelbagai aktiviti kebudayaan yang terdapat di Malaysia yang meliputi tarian, muzik, makanan, pakaian dan sebaginya. Selain itu, kerajaan juga boleh mengadakan rumah terbuka secara besar-basaran bagi setiap parayaan yang di sambut di Malaysia seperti Perayaan Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha, Tahun Baru Cina, Hari Deepavali, Hari Gawai, dan sebagainya. Aktiviti seperti ini akan dapat mengeratkan rakyat malaysia tanpa mengira kaum apabila semua kaum disatukan di bawah satu bumbung. Oleh itu, jelaslah bahawa peranan kerajaan amat penting dalam usaha untuk mengekalkan budaya rakyat Malaysia dalam pelbagai aspek sama ada di peringkat negeri, negara mahupun antarabangsa.
Usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan mengadakan kempen-kempen untuk menggalakkan masyarakat untuk terus memartabatkan budaya masing-masing sama ada dalam negara mahupun sehingga ke luar negara. Kempen-kempen yang diadakan oleh pihak swasta mahupun pihak kerajaan akan dapat menyedarkan masyarakat betapa pentingnya usaha untuk mengekalkan budaya yang masih diamalkan oleh setiap kaum di Malaysia. Kempen-kempen yang akan dilakukan haruslah dibuat secara berterusan supaya tidak jadi seperti hangat-hangat tahi ayam sahaja. Contoh kempen yang boleh dilakukan ialah “Bersama Kita Mengekalkan
Budaya Kita” atau “Budaya Melambangkan Bangsa”. Selain itu, pihak-pihak sasterawan juga boleh menyumbang tenaga dengan mengadakan majlis pembacaan puisi-puisi yang berkaitan kebudayaan Melayu, Cina dan India mahupun menulis puisi-puisi yang indah mengenai kepentingan dan keunikan kebudayaan Malaysia. Semua pihak boleh mendapat kerjasama daripada media cetak atau elektronik untuk menjayakan lagi kempen-kempen yang akan dijalankan.
Kesimpulannya, budaya yang masih diamalkan oleh semua kaum yang terdapat di Malaysia perlulah dihargai dan diwarisi kerana ia merupakan sebuah tradisi yang unik yang tidak terdapat dalam kaum-kaum yang lain. Kesemua budaya yang terdapat dalam masyarakat Malaysia sama ada dari segi kesenian, muzik, adat resam, kepercayaan, bahasa dan sebagainya haruslah dikekalkan untuk generasi yang akan datang supaya generasi baru juga turut mengetahui budaya yang telah diamalkan oleh nenek moyang mereka. Oleh hal yang demikian, peranan semua pihak amatlah diperlukan supaya segala usaha yang akan dilakukan akan membuahkan hasil yang lumayan dan menguntungkan semua pihak.
No comments:
Post a Comment