Sunday, November 14, 2010

FOKUS SPM 2010 (Pemahaman KOMSAS)



Berikut saya sertakan beberapa maklumat terbaru untuk panduan semua calon. Beberapa tajuk telah saya paparkan dalam tulisan saya sebelum ini

TEKS BELUM DIGUNAKAN

Senarai teks yang masih belum digunakan dalam mana-mana peperiksaan SPM bermula tahun 2001 hingga Jun 2010 adalah seperti di bawah :

Prosa Moden (Cerpen/ Drama)
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau

Prosa Klasik
1. Sabor

Sajak/ Puisi
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Jalan jalan raya kotaku
4. Seloka Pak Kadu
5. Pantun Enam Kerat
6. Syair Kelebihan Ilmu

Pilihan LPM :

1. Semua soalan komsas 2(b), 2(c) dan 2(d) menggunakan sepenuhnya teks yang belum pernah digunakan. Satu strategi yang tidak pernah dilakukan sebelum ini kecuali pada kali pertama diperkenalkan dalam peperiksaan SPM N.2001.

2. Menggunakan semula semua teks yang pernah digunakan dalam peperiksaan SPM dan mengabaikan langsung teks yang belum pernah digunakan. Strategi ini tidak pernah digunakan. Jika strategi ini digunakan, rakan guru yang berpengalaman (bukannya menggunakan sotong Paul), dapat membuat telahan teks yang akan digunakan berdasarkan analisis soalan sebelumnya.

3. Menggabungkan strategi 2+1 iaitu sama ada 2 teks baru+ 1 teks lama atau 2 teks lama+ 1 teks baru. Strategi ini biasa digunakan iaitu ( 2 teks baru dan 1 teks lama ). Biasanya teks prosa klasik akan menggunakan semula bahan yang pernah digunakan.

NASIHAT PROFESIONAL :

1. Jangan pedulikan mana-mana sekalipun teks yang akan digunakan kerana peluang menjawab soalan adalah sangat besar kerana soalan berdasarkan satu petikan teks.

a. Soalan rangkai kata adalah berdasarkan teks.
b. Soalan konteks memerlukan calon mengemukakan isi yang terdapat dalam petikan.
c. Soalan KBKK memerlukan pengetahuan sedia ada pelajar.
d. Sebahagian soalan KOMSAS berdasarkan petikan. Misal:
*** nilai dalam petikan
*** persoalan dalam petikan
*** perwatakan dalam petikan
*** pengajaran dalam petikan
*** latar tempat/ masyarakat dalam petikan.

Sebahagian lagi soalan berdasarkan teks keseluruhan.


Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian jawab soalan-soalan berikutnya dengan menggunakan perkataan anda sendiri.
Junainah?
Fuad tidak dapat menafikan hubungan mesranya dengan Junainah. Sudah dua tahun dia mengenali gadis itu. Dan selama tempoh itu juga Fuad faham benar titik perasaannya terhadap Junainah. Dalam keadaan begitu pun, Fuad juga yakin, bukan dia saja yang bermain dengan mimpi. Junainah sendiri, gadis berusia 21 tahun, berambut panjang sampai ke pinggul, memiliki sepasang mata jeli, bermuka bulat, bertubuh tinggi lampai dan berkulit cerah itu, juga hampir tak sanggup lagi berlekang dengan Fuad.
“Tapi aku hanya pekerja ayah kau Jun,” kata Fuad suatu hari, ketika mereka duduk-duduk di halaman rumah Junainah sambil menyedut udara harum dari percikan bau bunga di taman.
“Kadang-kadang aku rasa terlalu ideal mimpi aku Jun,” tambah Fuad lagi. “Kau tahu Jun, kerja aku bukannya tetap. Nama saja penyelia, tapi apa sangatlah dipandang orang? Malah diberi kerja ini pun, kadang-kadang aku rasa semata-mata kerana ada belas ihsan daripada ayah kau.”
Junainah menggeleng cepat.
(i) Apakah bukti yang menunjukkan perhubungan Fuad dan Junainah sangat intim?
[3 markah]
Bukti yang menunjukkan perhubungan Junainah dan Fuad sangat intim ialah Fuad sendiri yang mengakui hakikat tersebut, memandangkan mereka telah berkawan selama dua tahun. Junainah sendiri sudah tidak boleh lagi berenggang dengan Fuad.
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah Junainah menggelengkan kepalanya setelah mendengar kata-kata Fuad?
[3 markah]
Pada pendapat saya, Junainah menggeleng-gelengkan kepalanya kerana tidak bersetuju dengan pandangan Fuad bahawa dia hanya berangan-angan memiliki Junainah. Fuad juga menyatakan bahawa dia tidak memiliki pekerjaan tetap. Junainah juga tidak bersetuju dengan anggapan bahawa pekerjaan Fuad sebagai penyelia tidak dipandang tinggi. Seterusnya, Junainah juga ingin menafikan pekerjaan Fuaz sekarang juga diperoleh dengan belas ihsan ayah Junainah.
(iii) Huraikan dua unsur gaya bahasa seperti yang terdapat dalam petikan dan dua gaya bahasa yang terdapat dalam cerpen.
[3 markah]
Dua unsur gaya bahasa dalam petikan di atas ialah sinkope dan metafora. Contoh sinkope ialah perkataan ‘kau’ iaitu kependekan kepada ‘engkau’, dan contoh metafora pula ialah ‘titik perasaan’. Dua gaya bahasa dalam cerpen ialah personifikasi dan simile. Contoh personifikasi ialah ‘malam semakin merangkak’ dan contoh simile pula ialah ‘Fuad berasa dirinya telah begitu dihina, seolah-olah dianggap macam sampah, macam daun kering

LAMBAIAN MALAR HIJAU :
SINOPSIS
Datuk Daneng mengimbau kenangan 25 tahun yang lalu apabila Cikgu Jo, seorang guru yang cukup dedikasi berjaya memujuknya untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Ketika itu Daneng hanya anak seorang asli yang tidak berwawasan selain mahu terus tinggal dan mati di kampung halamannya sendiri. Walaupun berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR dan ditawarkan belajar di sebuah sekolah di bandar yang menawarkan banyak kemudahan, namun Daneng bertindak nekad meninggalkan sekolah dan balik ke Lembah Tualang, desa halamannya. Daneng berpendapat bahawa hutan memberi erti kehidupan sebenar kepada dirinya, keluarga dan masyarakatnya. Cikgu Jo yang menyedari potensi akademik Daneng sanggup bersusah payah datang ke tempat Daneng hanya untuk memujuknya kembali bersekolah di bandar. Bagi Cikgu Jo, dengan pelajaran yang tinggi, Daneng dapat membela bukan sahaja nasib dirinya, keluarganya bahkan seluruh masyarakatnya yang ternyata perlukan pembelaan. Hal ini berbeza dengan Daneng yang memiliki wawasan yang satu iaitu hidup yang bahagia dengan cara bertemankan seluruh isi hutan. Usaha yang tidak mengenal erti penat akhirnya membuahkan hasil apabila Daneng berjaya dipujuk untuk kembali menyambung pelajaran yang telah ditinggalkan selama enam bulan. Cikgu Jo, bagaimanapun memperoleh satu pengalaman berharga kerana apabila hidup berdamping dengan Daneng, banyak perkara berkaitan kemiskinan dan kemunduran masyarakat orang asli yang terserlah dan ini memberikan Cikgu Jo satu jawaban konkrit tentang sebab Daneng tidak mahu belajar di bandar. Cikgu Jo juga terharu akan layanan yang diterima daripada keluarga Daneng yang begitu baik walaupun ternyata mereka hidup dalam keadaan miskin. Pada pandangan Ckigu Jo, keluarga Daneng sebenarnya miskin pada pandangan orang sepertinya tetapi mereka sebenarnya mempunyai kekayaan alam yang tidak akan habis untuk diwarisi jika tahu menggunakannya dengan cermat. Berkat usaha yang gigih, Daneng berjaya dianugerahi Hadiah Nobel berkat usaha gigihnya terhadap pemuliharaan hutan di seluruh dunia. Anugerah tertinggi ini bagaimanapun tidak menghalang Daneng daripada menghormati Cikgu Jo akan jasanya memujuknya kembali belajar 25 tahun yang lalu.

Soalan KBKK:
Isi jawaban tidak boleh dipetik daripada petikan yang diberi.

1. Pada pendapat anda mengapakah hutan perlu dipelihara dan dipulihara?
- habitat flora dan fauna
- kawasan tadahan hujan
- sumber perubatan tradisional
- kepentingan ekonomi
- imbangan suhu bumi/ ekosistem

Jawaban contoh :
Pada pendapat saya hutan perlu dipelihara dan dipulihara kerana hutan merupakan habitat atau tempat tinggal untuk beribu-ribu spesies flora dan fauna. Hutan juga merupakah kawasan tadahan hujan yang membekalkan sumber air kepada rakyat. Tidak kurang penting, hutan membekalkan pelbagai jenis herba dan tumbuh-tumbuhan yang digunakan dalam perubatan tradisional.

2. Pada pendapat anda, apakah cara-cara yang terbaik untuk memulihara hutan ?
- Pendidikan alam sekitar
- Media massa elektronik dan bercetak
- Kempen yang berterusan
- Penanaman semula hutan secara mandatori
- Penguatkuasaan undang-undang perhutanan

Jawaban contoh:
Pada pendapat saya cara terbaik untuk memulihara hutan adalah melalui penerapan pendidikan alam sekitar dalam kurikulum di sekolah rendah, menengah dan di peringkat universiti. Media massa sama ada berbentuk elektronik atau cetak boleh memaparkan isu berkaitan kepentingan memulihara hutan. Kerajaan juga boleh menetapkan peraturan bahawa setiap pokok yang ditebang harus ditanam semula untuk memastikan hutan dapat dipulihara.

3. Pada pendapat anda mengapakah masyarakat orang asli kurang menitikberatkan aspek pendidikan dalam kehidupan seharian ?
- Pendidikan tidak menjamin masa depan orang asli
- kemiskinan masyarakat- tidak mampu membiayai kos pendidikan
- kurang kesedaran tentang kepentingan pendidikan
- Obligasi/ tanggungjawab untuk membantu keluarga
- Kurang mengamalkan pemakanan seimbang/ berzat - kesan terhadap IQ

4. Pada pendapat anda mengapakah Daneng tidak mahu meneruskan pelajarannya walaupun dia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR?
- Dia lebih mencintai kehidupan di hutan/ kampung halaman
- Tiada kebebasan bergerak dan bertindak di bandar
- Dia anak harapan keluarga di kampung
- Dia tidak dikaunseling/ diberi penerangan jelas tentang kepentingan belajar
sehingga ke peringkat yang tinggi.
- Mata pencarian daripada hutan mampu menyara keluarganya.

5. Pada pendapat anda apakah cara terbaik menasihati pelajar yang tidak bermotivasi
untuk belajar ?
- Mengenal pasti latar belakang keluarganya- sosio ekonomi keluarga.
- Selalu berbual-bual dan berbincang hal-hal yang berfaedah dengan pelajar tersebut.
- Sediakan kelas tuisyen khas untuk membantu mereka
- Dampingkan mereka dengan seorang Pembimbing Rakan Sebaya yang berkebolehan
- Sediakan keperluan pembelajaran mereka- buku latihan yang sesuai
- Nasihati dan sentiasa mengingatkan kepentingan pelajaran pada masa hadapan.

6. Pada pendapat anda mengapakah Cikgu Jo bersungguh-sungguh untuk memujuk Daneng agar meneruskan pelajarannya di bandar?
- Memang tanggungjawab guru untuk mendidik anak muridnya.
- Sedar akan kepentingan untuk memajukan masyarakat orang asli
- Usaha memulihara hutan lebih berkesan dipikul oleh Daneng jika berpelajaran
- Ingin melihat Daneng membela hidup keluarganya agar tidak tercicir daripada arus pembangunan.





Prosa Tradisional Anak Laut:
1. Cerita Bayan Tidak Menurut Kata Ibu Bapanya
2. Pertarungan Tuah dengan Jebat

Prosa Tradisional Kerusi:
1. Sabor (Perlu bersedia walaupun ramai yang ramalkan tidak keluar kerana ada unsur negatif. Ikuti pandangan cikgu Azam di sini)
2. Kezaliman Membawa Padah

Puisi Anak Laut:
1. PT : Seloka Pak Kaduk (Pengajaran, Persoalan)
2. SAJAK : Jalan-jalan Raya Kotaku (Pengajaran)

Puisi Kerusi:
1. PT : Syair Kelebihan Ilmu (Bentuk, Persoalan, Gaya Bahasa, Nilai)
2. PT : Pantun Enam Kerat
3. SAJAK : Di Ruang Gemanya (Persoalan)
4. SAJAK : Duhai Pentafsir

Baca petikan puisi di bawah ini dengan teliti,kemudian jawab soalan-soalan yang berikutnya dengan menggunakan ayat anda sendiri.
DUHAI PENTAFSIR
Pentafsir, sebenarnya telah lama kucari
suaramu yang sarat
ke mana jatuhnya gema itu?
Di manakah tempat istirahat
setelah pengembaraan yang penat
Di manakah telah kaurakamkan
pertemuan matahari, rimba dan lautan?

Senja ini menemuiku
dengan lusuh catatanmu
angin sedang cuba mengoyak-ngoyakkan lembar-lembar buku
sedang aku belum bertemu
surat yang kau tuliskan padaku.

Telah hilangkah ia
atau kau tidak pernah menulisnya
ah, aku tidak bisa tidur dan melupakan
racun keresahan telah membunuh lenaku
sejak kudahagai penawar dalam lautan nota-notamu
kiranya terdampar dalam angin yang ragu
yang tidak mengenal arah tiupannya
angin tanpa sabar yang telah melunturkan
kehijauan dalam keriangan masa kecilku.

Pentafsir, musim telah terlalu tua
kaca jendela menjadi kelabu
dan aku telah terlalu lesu
untuk menari bersama bayang-bayangmu
senja pun semakin larut
lembar-lembar jadi semakin kuning
Apakah aku harus mengebumikan buku-buku ini
di samping pusaramu yang sepi

Hentikan ejekanmu
biar kupecahkan kaca ini
melihat keluar. Lalu mengenal
rumpun-rumpun yang redup
adalah pengakuanmu, Tuhanku!
yang menjernihkan mataku

ZURINAH HASSAN
Antologi Kerusi,
Dewan Bahasa Dan Pustaka

(i) Apakah yang sedang dicari oleh penyajak? [2 markah]
(ii) Pada pendapat anda, mengapakah ‘aku’ berasa resah apabila usia semakin tua?
[4 markah]
(iii) Jelaskan tiga pengajaran yang terdapat dalam sajak di atas
[3 markah]
CADANGAN JAWAPAN:
i) Perkara yang dicari penyajak:
- Suara yang sarat
- Tempat istirahat
- Tempat pertemuan matahari, rimba dan lautan
- Kedamaian perasaan dan ketenangan hati
[2 markah]

(ii)
- kematian semakin hampir
- Penyajak belum bersedia untuk mati
- Menyesali kesalahan yang telah dilakukannya
- Dia belum memperbaiki kelemahan dirinya
- Dia belum mendalami ajaran agama
[maksimum 4 markah]

(iii) Pengajaran
- Kita mestilah menginsafi kesalahan diri
- Kita perlulah tabah menghadapi cabaran dan dugaan dalam hidup
- Kita mestilah bersabar apabila berdepan dengan masalah dan kesulitan
- Kita mestilah beramal dan berbuat baik sepanjang hayat
- Kita mestilah menuntut ilmu agama sejak usia muda lagi/kecil
- Kita perlulah bertenang dan tidak mengikut perasaan hati

2 comments: