PELITA YANG MENERANGI ALAM :
SASTERA Islam menurut pandangan Muhammad Qutb adalah karya-karya indah yang membawa pengkarya dan pembacanya mendekati Maha Pencipta. Sebaliknya, sastera jahiliah bersifat melalaikan dan tidak selaras dengan wahyuNya iaitu al-Quran dan sunnah. Islam amat mementingkan aktiviti kesusasteraan sebagaimana penurunan wahyu pertama yang berbunyi 'Iqra'. Ia menggambarkan bahawa proses ilmu bermula dengan pembacaan karya-karya yang baik serta membina keperibadian diri dan rohani. Justeru, kesusasteraan Islam membentangkan qudwah kepada manusia untuk mengenal Pencipta, mengeratkan hubungan sesama manusia dan mencintai alam sekelilingnya.
Sebelum kedatangan Islam, aktiviti sastera telah berlangsung dengan baik dalam kalangan masyarakat Arab. Kabilah-kabilah Arab sering mendendangkan puisi dan syair di Pasar Ukaz yang terletak berhampiran Kota Mekah. Puisi digunakan untuk melawan kabilah-kabilah lawan serta menaikkan dan menjatuhkan sesuatu puak. Seseorang yang mahir dalam puisi dianggap tokoh dalam masyarakat Arab sebelum kedatangan Islam. Mereka adalah penghibur, seniman, wartawan, sejarawan dan jurucakap bagi kabilahnya. Para penyair juga menikmati status kehidupan yang baik sekiranya puisi-puisi dendangannya digemari oleh ketua-ketua kabilah. Namun, selepas kedatangan Islam, para penyair ini telah dicabar untuk menghasilkan puisi dan syair yang bertepatan dengan fitrah manusia. Malahan, Islam turut membezakan para penyair yang baik dengan para penyair yang menyesatkan manusia daripada kebenaran.
FirmanNya dalam Surah Asy-Syua'ra ayat 224-227 yang bermaksud: " Ahli-ahli penyair sentiasa menjadi ikutan orang-orang yang bodoh. Tidaklah engkau lihat bahawa mereka itu berlebihan pada tiap lembah (perkataan). Sungguh mereka mengatakan apa yang tidak mereka lakukan kecuali orang-orang (para penyair) yang beriman dan beramal soleh serta banyak mengingati Allah dan mereka beroleh kemenangan setelah teraniaya.".
Ketika penyebaran agama Islam dihalangi kaum musyrikin dan munafik, Nabi Muhammad SAW menggunakan khidmat para penyair Muslim seperti Abdullah bin Rawahah dan Hasan bin Tsabit untuk melantunkan syair-syair yang mengesakan Tuhan, mendedahkan keburukan syirik dan maksiat serta meninggikan martabat insani. Tugas para penyair ini sama pentingnya dengan tugas pahlawan-pahlawan Islam yang berjuang di medan perang.
Medan HSKU bagi sastera Islam
Kini, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) berusia 26 tahun. Melalui saluran akhbar Mingguan Malaysia serta majalah-majalah terbitan Kumpulan Utusan, para pengkarya daripada genre puisi, cerpen, novel dan rencana sastera terus mengerahkan nadi kreativiti mereka. Pengiktirafan anugerah HSKU menjadi kekuatan dan sumbu motivasi kepada para penulis menghasilkan karya-karya yang indah dan berkualiti.
Dalam tempoh yang panjang itu, HSKU telah melahirkan para penulis yang prolifik menyampaikan dakwah Islam. Walaupun di kalangan mereka telah menghuni alam abadi, tetapi roh karyanya terus hidup dan menerangi masyarakat. Nama Haji Ali Haji Ahmad (Allaryarham Pak Nora), Allahyarham Azizi Hj Abdullah dan Allahyarham Gunawan Mahmood adalah antara penerima HSKU yang giat menerapkan nilai Islam dalam karya-karya mereka.
Harus diingatkan, karya-karya yang terpilih memenangi HSKU terutama cerpen dan novel remaja adalah teks sastera yang dapat membina keperibadian generasi muda. Selain bergelut dengan persoalan peribadi, kekeluargaan dan emosi yang dianggap klise, golongan ini perlu diangkat sebagai watak utama yang mendepani cabaran global dan penyelesai masalah massa. Inilah kandungan sastera Islam yang perlu dimuatkan para penulis dan ternyata, saban HSKU, akan muncullah karya-karya unggul bercitra Islam. Novel 1515 dan 1515H (Kombat) karya Faisal Tehrani yang memenangi hadiah utama kategori novel remaja tahun 2002 dan 2003 adalah percubaan pertama penulis memaknakan jihad fisabilillah lewat karya HSKU. Sebelumnya, novel-novel HSKU yang bernuansa Islam sering menerobos ruang kasih-sayang, persaudaraan, kekeluargaan, persoalan hijrah, perjuangan bangsa, ekonomi dan pendidikan Islam. Tema begini wujud dalam Novel Panas Salju karya Talib Samat, Tanah Ini karya Gunawan Mahmood, Titian Rindu karya Abu Hassan Morad, Pia karya Hartini Hamzah dan Sekolah Hidup karya Hasidah Disan.
Kecenderungan meneroka dunia Islam global yang melangkaui batas geografi turut merancakkan karya-karya HSKU. Misalnya, Novel Natasya karya Abu Hassan Morad menjengah kehidupan Muslim di negara Bosnia Hezergovina. Penulis yang sama juga menggarapkan watak-watak Melayu yang merumpuni Kota Madinah dan Australia melalui Novel Cinta Madinah dan Julia. Latar negara timur tengah turut dimuatkan dalam Novel Sesegar Nailafor dan Rona Bosphorus karya Zaid Akhtar. Penerokaan dunia luar ini memberikan pesona pengetahuan kepada para pembaca. Ia dapat menjelaskan bahawa dunia Islam bersifat universal dan tidak dimiliki orang-orang Melayu secara eksklusif.
Dalam genre cerpen dan puisi HSKU, sastera Islam menjadi nafas yang mendominasi tubuh karya. Sejak tahun 1990-an, selaras dengan perkembangan Islam di Malaysia, para penulis mengambil saran agama sebagai solusi permasalahan semasa. Malahan, agama tidak lagi dianggap alternatif penyelesaian masalah sebaliknya sebagai satu keperluan dan asas pembinaan peribadi masyarakat dalam abad ini. Misalnya, Antologi Fort Margherita menyerlahkan nilai sastera Islam dalam setiap cerpen remaja yang memenangi HSKU 2009.
Dakwah bukan paksaan
Karya sastera Islam seharusnya melalui proses alamiah yang tidak menekan para pembacanya untuk menganut seruan pengkarya secara drastik. Menelusuri sirah Nabi Muhammad SAW, baginda telah berdakwah selama 23 tahun bermula pada umur 40 tahun. Sejak kecil dan remaja, baginda SAW telah dikenali sebagai pemuda al-amin yang jujur, berakhlak mulia, lemah-lembut dan disenangi manusia. Justeru, apabila Nabi Muhammad SAW menyebarkan dakwahnya, sebahagian masyarakat Mekah menerima kerana yakin dengan peribadi baginda SAW. Walau bagaimanapun, kaum musyrikin Mekah menolak seruan Islam akibat kesombongan diri. Ini termasuklah bapa saudara baginda yang bernama Abu Talib. Kaedah yang digunakan Nabi Muhammad SAW adalah berterusan menyampaikan dakwah secara berhikmah dan bijaksana tanpa unsur paksaan walaupun kebenarannya jelas. Peranan ini perlu dipakaikan kepada setiap pengkarya Islam. Mereka tidak boleh berasa 'tamak' dan tergesa-gesa menumpahkan ilmu kepada pembaca.
Medan HSKU melahirkan novel-novel yang baik dan berkualiti untuk santapan minda pembaca. Hasil penilaian yang ketat, hanya yang terbaik akan dijelmakan sebagai naskhah pemenang. Tentunya, karya-karya yang menerapkan nilai Islam sama ada secara langsung atau bijaksana, akan terpilih sebagai naskhah yang wajar dimiliki kita. Novel Advencer Si Peniup Ney dan Detektif Indigo karya Faisal Tehrani serta Justeru Impian di Jaring karya Zaid Akhtar antara novel remaja Islam terbaik yang melalui salur HSKU. Novel-novel ini menggalurkan dakwah dengan cara tidak langsung dan bijaksana serta signifikan dengan fenomena generasi muda.
Rencam kerosakan dan jenayah di seluruh dunia mengembalikan kita ke zaman sebelum kedatangan Islam. Kuasa Rom dan Parsi yang gagah hampir runtuh dek kebuasan hawa nafsu masyarakatnya. Di Semenanjung Tanah Arab, sikap asobiyah dan jahil menyelimuti masyarakat Arab menyebabkan mereka jauh dari ketamadunan ilmu pengetahuan. Sinar Islam telah menyembuhkan kegelapan bermula di Kota Mekah dan Madinah seterusnya bertebaran di seluruh pelosok dunia. Sebahagian peranan ini dipikul oleh karyawan, sasterawan, dan para penyair Muslim.
Barangkali HSKU seperti satu pelita di celah pelita-pelita yang lain, namun selagi ia tidak terpadam, golongan sasterawan Muslim perlu memastikan ia terus bernyala dan menerangi masyarakat. Ya, melalui tulisan yang ampuh mendakap insani mereka.
Sumber : http : //www.utusan.com.my/
No comments:
Post a Comment