Saturday, April 16, 2011

Remaja Perlu Diberi Motivasi Untuk Menangani Masalah Sosial

KEHIDUPAN remaja penuh pancaroba. Ada juga yang mengatakan kehidupan remaja penuh warna-warni. Bagaimanapun, remaja perlukan bimbingan dan motivasi untuk terus meningkatkan kejayaan dalam pelajaran demi mengejar cita-cita yang diimpikan.

Kebanyakan remaja lelaki berusia antara 13 hingga 17 tahun sering terperangkap dengan angan-angan, cinta dan khayalan. Manakala remaja perempuan pula sering terperangkap dengan masalah cinta dan kematangan. Mereka yang terlibat dengan masalah ini tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap pelajaran.

Dalam tempoh usia ini juga kebanyakan remaja mudah terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang menjerumuskan mereka ke arah keburukan. Bermula dengan berkenal-kenalan melalui perbualan telefon dan facebook, akhirnya mereka mudah terikut dengan pengaruh kawan dan terbabit dengan pergaulan bebas serta gejala sosial.


Justeru, remaja perlu mengekalkan dan mengawal minat mereka ke arah perkara yang bermanfaat dan lebih baik untuk diri dan keluarga. Melalui minat bermanfaat yang dipupuk sejak kecil seseorang itu dapat mengembangkan minat dan kecenderungan hingga dewasa. Minat yang baik seperti membaca, melukis dan bermain alat muzik dikatakan dapat mengisi kekosongan dan menghaluskan jiwa.

Kajian ahli psikologi pendidikan H W Bernard dalam bukunya Psychology of Learning (1965), menyatakan remaja perlu mendapat sentuhan motivasi iaitu proses ke arah membangkitkan, mengekalkan dan mengawal minat.

Oleh itu, melalui motivasi sebagai suatu desakan yang menjadikan manusia mengubah sikap, minat atau kegiatannya ke arah kebaikan. Ia dapat menghindarkan seseorang remaja terjebak dalam perkara tidak baik dan tidak mendatangkan faedah. Sebagai contoh, bidang sukan dan permainan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah.


Menurut pakar pendidikan Sharifah Alwiah Alsagof, motivasi juga dikatakan sebagai perangsang tindakan terhadap sesuatu tujuan yang dulunya hanya terdapat sedikit atau tiada minat terhadap tujuan tersebut menjadi bertambah minat. Oleh itu, motivasi penting ke arah mencapai suatu matlamat tertentu, termasuk mengubah sikap, minat dan tingkah laku seseorang.

Sesetengah ahli psikologi mengklasifikasikan motivasi kepada motivasi fisiologi (misalnya, keperluan asas manusia seperti makanan, minuman, seks dan sebagainya) dan motivasi sosial (misalnya, berharap mendapat reputasi dan keuntungan). Ia terbahagi kepada dua iaitu motivasi asas yang bersifat semula jadi dan motivasi dibentuk daripada pembelajaran.


Kajian menunjukkan bahawa keperluan sosial manusia meliputi keperluan mencapai kecemerlangan, pergaulan sosial, autonomi, pemeliharaan dan perlindungan, mempengaruhi dan mengawal orang lain, menunjukkan kebaikan, peraturan dan kekemasan dalam sistem organisasi, hiburan, rekreasi dan keselesaan yang memerlukan motivasi.

Di sebalik kejayaan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) masih ada pelajar yang kurang cemerlang dan merosot keputusannya. Sepatutnya, sekolah sudah dapat mengenal pasti kumpulan ini. Kalangan pelajar dari sekolah yang pencapaiannya kurang cemerlang, kurang baik dan tidak memuaskan seharusnya diberikan motivasi.

Justeru, pelajar yang kurang cemerlang dalam peperiksaan SPM, diberi kaunseling dan motivasi. Mereka yang berjaya juga seharusnya memberikan semangat, kata-kata rangsangan, motivasi serta kaedah belajar yang berkesan dan bergaul dengan mereka yang kurang cemerlang.

Ahli keluarga dan saudara-mara pelajar yang kurang cemerlang juga wajar memberikan kata-kata semangat dan rangsangan kepada mereka supaya terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Dorongan dan kata-kata motivasi dapat meningkatkan semangat mereka dalam pelajaran. Kegagalan dalam peperiksaan bukan bermakna berakhirnya suatu kehidupan. Banyak mereka yang gagal dalam peperiksaan berjaya mencipta masa depan dalam bidang lain seperti bidang perniagaan.

Kata-kata motivasi dapat membangkitkan semula semangat dan bangkit daripada kegagalan untuk mencipta kejayaan yang baru. Napoleon Hill pernah berkata, apabila anda mempersoalkan kegagalan, sama dengan anda mengundang kegagalan dan apabila anda mempersoalkan kejayaan bererti anda akan mengundang kejayaan pula.

Menurut pandangan Babara Cartland, janganlah anda menyesali kegagalan yang anda alami dengan menuduh orang lain, tetapi akui dengan sungguh-sungguh kegagalan itu adalah akibat perbuatan anda sendiri. Sebagai motivasi Robert H Schuller menyatakan, kegagalan tidak bererti kita mensia-siakan hidup, tetapi bererti kita perlu mulai lagi dengan cara lain dan lebih giat serta penuh kesabaran.

Begitulah cara mengatasi kegagalan dalam kehidupan. Kebijaksanaan lebih banyak belajar daripada kegagalan bukan daripada kejayaan. Kegagalan juga mengajar kita untuk mencapai kejayaan seterusnya.

Setiap remaja memerlukan motivasi dalam mencapai cita-cita terutama mencapai kecemerlangan dalam pelajaran. Selain itu, remaja juga mempunyai semangat yang kuat, usaha gigih, tenaga yang mampu untuk bersaing dalam dunia globalisasi bagi menentukan kejayaan seterusnya. Minat yang mendalam dalam sesuatu bidang boleh diasaskan dan dicetuskan melalui motivasi berterusan.

Kebanyakan pelajar yang gagal dalam pelajaran adalah disebabkan hilang fokus dan minat ke arah pelajaran. Beberapa faktor yang menyebabkan hal ini berlaku antaranya kurang motivasi daripada ibu bapa, keluarga, rakan sebaya, guru-guru dan persekitaran yang tidak menggalakkan.

Melalui motivasi iaitu proses dalaman menimbulkan perubahan tingkah laku seseorang. Sekiranya perubahan tingkah laku itu yang ditimbulkan oleh motivasi berpusat pada suatu aktiviti dan aktiviti itu dapat menghasilkan kepuasan, seseorang individu akan meneruskan aktiviti tersebut secara berulang-ulang seperti pembacaan, penulisan dan reka cipta.

Dalam konteks pendidikan, naluri ingin tahu merupakan motivasi. Oleh itu melalui naluri ingin tahu menjadi penggerak penting yang amat bernilai untuk memperoleh ilmu pengetahuan. Naluri ingin tahu dalam diri kanak-kanak lahir secara semula jadi dan harus dipupuk hingga dewasa.

Motivasi berlandaskan naluri ingin tahu adalah ditimbulkan daripada rangsangan dalam persekitaran. Sikap, harapan dan aspirasi seseorang pula mempengaruhi motivasinya. Strategi pengajaran dan pembelajaran juga penting untuk mewujudkan motivasi. Kesediaan belajar banyak bergantung pada motivasi yang sesuai dan penting untuk menggerakkan pembelajaran.

Lantaran itu, Islam juga menggalakkan motivasi dalam melaksanakan setiap ibadah. Melalui rangsangan dan semangat yang gigih, ibadah dapat dilakukan dengan baik dan sempurna serta berterusan. Kesabaran ibu bapa juga penting dalam melaksanakan penerusan motivasi dalam diri seseorang anak berkaitan dengan pelajaran dan ibadah. Oleh itu, motivasi penting dalam kehidupan untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Sumber : http : //www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment