Memartabatkan Bahasa adalah tanggungjawab semua pihak sama ada pihak individu, keluarga, masyarakat, pemimpin atau kerajaan sahaja. Tanggapan yang menyatakan bahawa untuk memartabatkan bahasa, tanggungjawab harus dipikul oleh sekalian guru bahasa, pejuang bahasa atau ahli bahasa sahaja adalah satu tanggapan yang sangat nakal dan tanggapan ini haruslah dicampak jauh-jauh dari jiwa bangsa Malaysia.
Menjaga bahasa bukan satu kerja mudah seperti menjaga seekor binatang ternakan. Bahasa bukan suatu benda yang boleh diperdagangkan kerana nilainya tiada tolok banding, nilainya tiada taruhan dan nilainya tidak tercapai oleh akal insan.Bahasa juga bukan bernilai hanya dengan cakap mulut tetapi perlu kepada penghayatan dan pengamalan berbahasa yang mantap.
Dalam era ini, adalah sesuatu yang sangat malang jika terdapat dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih tidak tahu atau tidak fasih berbahasa Melayu. Kerajaan harus komited dan mempunyai ketegasan dalam hal ini. Pemimpin dan pegawai kerajaan yang dilantik untuk berkhidmat dengan masyarakat haruslah fasih berbahasa Melayu. Ini kerana Bahasa Kebangsaan kita adalah bahasa Melayu dan semestinya semua rakyat negara ini terutamanya pemimpin yang akan berhadapan dengan rakyat mestilah menguasai bahasa Melayu dengan baik sebagai tanda cinta dan kasihnya kepada negara Malaysia. Bagaimana kita hendak menjadi pemimpn kepada negara Malaysia jika kita tidak tahun berbahasa Melayu? Adakah kita hanya bercakap dengan orang asing sahaja? Tidak adakah orang Melayu yang tidak tahu berbahasa asing dalam kalangan pelanggan? Persoalan inilah yang harus ada dalam diri semua pemimpin atau pegawai yang akan menjadi pemimpin dalam masyarakat?
Bahasa Melayu juga mampu untuk meledak sebagai bahasa antarabangsa jika semua rakyat prihatin dan peka dalam penggunaan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bahasa lain di dunia ini. Kemampuan ini tidak boleh diperolehi hanya dengan cita-cita atau angan-angan sahaja. Sesuatu harus dirancang dan direalisasikan untuk memartabatkan bahasa Melayu. Telah terbukti, bahasa Melayu pernah gemilang dan menjadi bahasa perdagangan suatu ketika dulu. Tahukah kita bahawa bahasa Melayu dipertuturkan dalam perkembangan perdagangan di Melaka? Kegemilangan inilah yang harus kita selusuri dan mantapkan penggunaan bahasa Melau terutama dalam era perkembangan teknologi hari ini .
Lihat, negara Jepun, negara mereka maju dengan bahasa mereka sendiri. Apakah bahasa Melayu tidam mampu menjadi seperti bahasa Jepun? Mengapa kita selalu menolak untuk menggunakan bahasa Melayu? Bagaimana akhirnya kesudahan bahasa Melayu jika sikap dan mentaliti rakyat kita tidak diubah? Apakah bahasa Melayu tidak mantap atau adakah kita sengaja memandang bahasa Melayu sebagai bahasa yang tidak berkualit dan bermutu. Persoalan in, harus berlegar dan bermain dibenak jiwa kita jika kita sayang dan cinta kepada bahasa melayu.
Secara jujurnya, jika kita ingin melihat bahasa Melayu dijulang di awan biru, sewajarnya ketegasan pihak kerajaan mengarahkan pihak yang menganjurkan seminar,program, bengkel atau kursus di negara ini seharusnyalah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara. Ketika bercakap dengan media, pemimpin perlu menjadi suri teladan dengan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ucapan atau bahasa ketika mengadakan sidang akhbar. Yakin dan percayalah, tidak akan hilang bisanya ular yang menyusur akar sekalipun kita bercakap dalam bahasa Melayu.
No comments:
Post a Comment