Saturday, April 16, 2011

Antologi Remaja : Sajak Di Perpustakaan



Di Perpustakaan

Melangkah ke ruangmu
Satu pertukaran yang kontras
Dari kehangatan merata
Kedinginan yang menerpa
Terlalu hening di sini
Gua pendeta bersemadi
Di puncak sepi
Di sana sini
Kepala-kepala runduk meneliti
Mata dan fikir bersebati

Maju ke ruang buku
Terlalu kerdil aku di sini
Terapung di laut ilmu
Tercurah berzaman
Dalam tak terselam
Betapapun kulayari
Bahtera ilmu di sini
Tak terteroka
Yang akan kucatat
Hanya sedetik dari tinta
Yang akan kupetik
Hanya sebiji dari mutiara
Engkau adalah pusaka moyang
Gedung peradaban insan
Terhimpun berzaman

Bersemadi di sini
Aku adalah pelayar yang dahaga
Di dada samudera
Tak berpantai
Betapapun kuteguk darinya
Dahaga tak pernah langsai.

Shafie Abu Bakar
Antologi Harga Remaja,
Dewan Bahasa dan Pustaka,2009.


Maksud Sajak.

Rangkap 1
Penyajak menggambarkan suasana di dalam perpustakaan sangat berbeza daripada tempat-tempat lain. Perpustakaan amat kaya dengan pelbagai ilmu. Para pengunjungnya pula tekun menelaah.

Rangkap 2
Penyajak berasakan bahawa dirinya terlalu kerdil apabila berada di rak buku yang mengandungi pelbagai jenis buku. Penyajak berasakan ilmu yang dimilikinya terlalu sedikit jika dibandingkan dengan lautan ilmu yang terdapat di perpustakaan dan dirinya tidak mugkin dapat menguasai semua ilmu yang ada di dunia.

Rangkap 3
Penyajak berusaha mencari ilmu pengetahuan walaupun dia mengetahui ilmu yang ada tidak akan habis diterokainya.


Tema.

Perpustakaan merupakan gedung ilmu yang menjadi kunjungan pencinta ilmu.


Persoalan.

1.Persoalan pelbagai khazanah ilmu yang terdapat di perpustakaan dan perlu dimanfaatkan.
2.Persoalan tentang pencarian ilmu pengetahuan yang terlalu luas bidangnya.
3.Persoalan cinta akan ilmu pengetahun.


Bentuk Sajak.

1.Terdiri daripada tiga rangkap
2.Bilangan barisnya tidak sama. Rangkap pertama ada sepuluh baris, rangkap kedua ada lima belas baris dan rangkap ketiga terdiri daripada enam baris.
3.Mengandungi antara dua hingga lima patah kata sebaris.
4.Rima akhirnya bebas abccdddddd, abacdbbefegehcc,, abbaba.
5.Sajak ini berbentuk bebas.


Nada.
Sinis


Gaya Bahasa.
1.Pemilihan kata atau diksinya indah. Contoh : Gua pendeta bersamadi.

2.Aliterasi :pengulangan konsonan n
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa (rangkap 1 baris 4)
Pengulangan konsonan t
Contoh : satu pertukaran yang kontras

3.Asonansi :pengulangan vokal a
Contoh :Dahaga tak pernah langsai (rangkap 3, baris 6)
Pengulangan vokal i
Contoh : hanya sebiji dari mutiara (rangkap 2, baris 12)

4.Anafora – pengulangan perkataan pada awal baris
Contoh : Di puncak sepi
Di sana sini (rangkap 1, baris 7-8)

5.Metafora
Contoh : Di dada samudera (rangkap 3, baris 3)
Bahtera ilmu (rangkap 2, baris 7)

6.Sinkope
Contoh : Melangkah ke ruangmu
Yang akan kucatat

7.Personifikasi
Contoh : Ke kedinginan yang menerpa

8.Imejan
Contoh : Gua pendeta bersemadi. (rangkap 1, baris 6)


Nilai.

1.Nilai kerajinan, contohnya rajin menuntut ilmu.
2.Nilai ketekunan, contohnya tekun dalam mempelajari ilmu pengetahuan.
3.Nilai bertanggungjawab contohnya berminat untuk mendalami ilmu pengetahuan.


Pengajaran.

1.Kita hendaklah tekun semasa menuntut ilmu.
2.Kita hendaklah meneliti minat untuk mendalami sesuatu bidang ilmu.
3.Kita hendaklah memiliki kegigihan dalam usaha mngejar ilmu.
4.Kita hendaklah rajin mengunjungi perpustakaan.


Soalan Latiha:

1.Mengapakah penyajak berasa kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan?

2.Nyatakan dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat.

Jawapan:

1.Penyajak kagum apabila melangkah ke ruang perpustakaan kerana dipenuhi pelbagai buku ilmiah yang membezakan perpustakaan daripada tempat-tempat lain.

2.Dua kepentingan perpustakaan kepada masyarakat ialah tempat rujukan kepada pencinta ilmu dan sumber ilmu dalam pelbagai bidang.

Diubahsuai daripada Nota BPK KPM

3 comments: