Friday, January 14, 2011

HADIAH ISTIMEWA BUAT SEMUA GURU CEMERLANG



GURINDAM TITIPAN AYAHANDA HJ ABDUL TALIB HAMID (ppd KUALA LANGAT)

GURU CEMERLANG
(Dititip Buat Semua Guru Cemerlang Daerah Kuala Langat)

Guru cemerlang besar peranan
Mendidik generasi pewaris keturunan

Guru cemerlang mahir ‘headcount’
Prestasi murid dipantau bertahun

Guru cemerlang cintakan ilmu
Yang kurang dicari sehingga ketemu

Guru cemerlang pengalaman dikongsi
Ilmu segar tidaklah basi

Guru cemerlang tekun mengajar
Pelajar sayang hingga dikejar

Guru cemerlang kesantunan tinggi
Perangai baik tidaklah ranggi

Guru cemerlang jiwanya tenang
Rakan taulan sering terkenang

Guru cemerlang seorang kreatif
Pedagogi terkini ia sensitif

Guru cemerlang tak lekang berfikir
Formula baharu dapat diukir

Guru cemerlang kerjanya cermat
Latihan murid diperiksa berhemat

Guru cemerlang suka mengkaji
Kelemahan murid disukat diuji

Guru cemerlang tidak mengeluh
Sabar tinggi semangat tak luluh

Guru cemerlang pemurah masa
Bimbing murid dengan selesa

Guru cemerlang serba boleh
Arahan dibuat tanpa dalih

Guru cemerlang jalannya terang
‘Fast track’ di hadapan hatinya girang

Guru cemerlang didikannya mengena
Maruah dijaga agar tidak dihina

Guru cemerlang mantap emosi
Pelbagai halangan cepat diatasi

Guru cemerlang bertindak matang
Kerja bertimbun tetap ditatang

Guru cemerlang bahagia rasa
Muridnya cemerlang lebih selaksa

Guru cemerlang bakti dikenang
Kiranya ikhlas reda ditenang

Guru cemerlang tak lupa Tuhan
Yang buruk dibuang, yang baik bertahan

Hasil Fikir,

Abdul Talib Hamid
Ahad 11 April 2010
6.45 petang
Teratak Mawaddah

No comments:

Post a Comment