Friday, January 14, 2011

BERBAHASA DENGAN BETUL - PENGGUNAAN KATA GANTI DIRI SINGKAT (KGDS)



KAU-KU-MU-NYA

Kau, ku, mu dan nya ialah kata ganti diri singkat (KGDS) atau dikenali juga sebagai klitik. Terdapat peraturan tertentu tentang penggunaan kata ganti tersebut.KGDS `kau’ digunakan hanya di awal kata. Kedudukannya pula mestilah rapat dengan kata kerja pasif yang mengikutinya. Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat.

Ayat contoh:
1a. Buku itu telah kaubaca.[/]
1b. Buku itu telah kau baca [x]

2a. Kau telah membaca buku itu. [x]
2b. Engkau telah membaca buku itu. [/]

KGDS `ku’ boleh digunakan di awal dan di akhir kata.Kata ini tidak boleh menjadi subjek ayat.

Ayat contoh:
1a. Segala masalah akan kuselesaikan.[/]
1b. Segala masalah akan ku selesaikan.[x]

2a. Terimalah pemberian daripada ayahku ini. [/]
2b. Terimalah pemberian daripada ayah ku ini. [x]

3a. Ku akan melawat ke Jepun. [x]
3a. Aku akan melawat ke Jepun. [/]

KGDS `mu’ digunakan di akhir kata sahaja. Kata ini tidak boleh dijadikan subjek ayat dan kata ini tidak boleh dijarakkan dengan kata sebelumnya. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.

Ayat contoh:
1a. Saya akan meminta sahabatmu tunggu di sini. [/]
1b. Saya akan meminta sahabat mu tunggu di sini. [x].

2a.Terimalah doa daripada hambu-Mu yang kerdil ini.[/]
2a.Terimalah doa daripada hambamu yang kerdil ini. [x]

KGDS `nya’ digunakan di akhir kata sahaja.Kata ini tidak boleh bertugas sebagai subjek ayat. Kata ini hendaklah ditulis dengan huruf besar di pangkal kata itu serta dibubuh tanda sempang jika digunakan untuk mengganti nama Tuhan.

Ayat contoh:
1a. Dia memberitahunya tentang perkara itu.[/]
1b. Dia memberitahu nya tentang perkara itu. [x]

2a. Kita hendaklah berdoa kepada-Nya untuk memohon perlindungan. [/]
2b. Kita hendaklah berdoa kepadanya untuk memohon perlindungan.[x]

Akhir sekali, kesemua kata tersebut tidak boleh digandingkan supaya menjadi ianya, kukau, mukau, kumu, munya, nyamu, nyakau, dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment