Tuesday, March 15, 2011

4 Sasterawan Negara Pertahan Novel INTERLOK



Teks sastera bukan dokumen rasmi pemerintah perlu dirapi atau diperindah

KUALA LUMPUR: Empat Sasterawan Negara mempertahankan novel Interlok yang menerima bantahan terutama oleh kaum India sehingga dijadikan isu politik dengan menegaskan teks sastera tidak boleh disamakan dengan teks politik, sejarah atau geografi.

Mereka berpendapat, ini kerana hasil sastera adalah mengenai jiwa, perasaan, nilai serta kepentingan dalam konteks zaman dan sejarah.
Selain itu, teks sastera bukan dokumen rasmi pemerintah yang perlu dirapikan atau diperindahkan sebelum disebar kepada orang ramai kerana ia dihasilkan berdasarkan hakikat kehidupan yang tidak semuanya rapi dan cantik.

Perkara itu ditegaskan Profesor Dr Tan Sri Muhammad Salleh, Datuk Dr Anwar Ridhwan, Datuk Shahnon Ahmad dan Tan Sri Noordin Hassan dalam kenyataan media bersama yang diedarkan semalam.

“Marilah kita rakyat Malaysia, membaca sastera dari pendekatan sastera dan menghormatinya secara wajar dan pintar, supaya dapat kita kutip pemikiran dan kearifan sasterawan kita.

“Benarkan penulis kita melukis kenyataan Malaysia, walau betapa pun tidak manis kerana mereka juga berfikir bagi pihak kita dengan sudut pandangan mereka sendiri, yang walau pun berlainan, masih diperlukan di negara yang demokratis, yang memberi kebebasan kepada sasterawan untuk menulis, berfikir dan berpendirian,” kata kenyataan itu yang mempertahankan karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein.
Kontroversi timbul selepas Kementerian Pelajaran memilih novel itu sebagai teks komponen sastera (KOMSAS) Tingkatan Lima bermula tahun ini kerana didakwa mempunyai perkataan yang menyinggung perasaan kaum India.

Beberapa pertubuhan mewakili masyarakat India termasuk MIC menggesa supaya buku itu ditarik balik dan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pelajaran bagi mencari penyelesaian.

Januari lalu, kerajaan memutuskan membuat pindaan pada kandungan novel berkenaan dan akan terus digunakan sebagai teks KOMSAS. Bagaimanapun, masih ada pihak cuba membangkitkan isu itu apabila pertubuhan tidak sah, Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (HINDRAF) mengadakan de-monstrasi di ibu negara bagi membantah penggunaan Interlok di sekolah.

Kumpulan Sasterawan Negara itu juga berkata, jika pengarang terus didesak mengubah karya asal mereka , selain perubahan hanya membabitkan satu kaum dan tidak pada kaum lain, karya berkenaan tidak lagi seimbang dan benar.

“Kami tidak melihat masalah pada istilah dan lukisan yang digambarkan pengarang dan kami tidak mengesan tujuan menghina mana-mana kaum,” katanya.

Mereka juga berpendapat ramai yang menganggap pelajar kurang mampu menilai apa yang dibaca, sedangkan mereka sudah dituntut dan dilatih untuk membuat pertimbangan, memilih dan membuat kesimpulan sendiri. Sasterawan Negara turut kesal kerana parti politik Melayu tidak memberi sokongan kepada Abdullah dalam isu berkenaan.

Cerpen 2 - Tingkatan 5. (Tanggar Amanat)



Antologi Dirgahayu Bahasaku

Cerpen Tanggar Amanat
(Amaruszati Noor Rahim)



Sinopsis


Di Yellowstone Hawa dan Adam iaitu sepasang suami isteri tinggal di situ. Hawa yang sedang hamil menghadapi konflik apabila Adam suaminya mengajaknya pulang ke Malaysia sedangkan dia ingin terus mempertahankan perusahaan warisan Taman Nasional Melayu Ahmad Abdullah yang pertama di situ. Tambahan lagi kawasan Yellowstone merupakan kawasan lingkaran gunung berapi. Dalam keadaan kebingungan ditinggalkan Adam, Hawa berhalunisasi dengan janin dalam kandungannya yang berdialog dengannya tentang kemusnahan yang akan dihadapi jika terus tinggal di situ. Atas nasihat dan pandangan yang diberikan olah janin dalam kandungannya, Hawa mengambil keputusan untuk mengikut Adam pulang ke Malaysia.

Tema

Semangat patriotik yang disuntik bagi meneruskan warisan keluarga.Halunisasi janin dan Hawa menyebabkan Hawa mengambil keputusan kembali ke Malayisa mengikut suaminya Adam yang mahukan mereka meneruskan perusahaan warisan Taman Nasional Melayu Ahmad Abdullah.

Persoalan

1. Persoalan kegigihan mencari rezeki di tempat orang. Adam gigih mencari rezeki di Yellowstone, Amerika Syarikat..
2. Persoalan perkahwinan campur di luar negara. Adam berasal dari Malaysia berkahwin dengan Hawa gadis kelahiran Yellowstone, Amerika Syarikat..
3. Persoalan kepincangan hidup di tempat orang. Kehidupan di luar negara tidak sama dengan kehidupan di tanah air sendiri.
4. Persoalan kepercayaan atas kuasa Yang Maha Besar. Hawa mengaku segala yang berlaku adalah ketentuan Allah.

Plot

Secara keseluruhannya, plot cerpen ini digarap mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu:

(i) Permulaan


Plot dimulakan dengan memperkenalkan watak Hawa yang mengalami alahan semasa mengandung. Dia terkenangkan Adam yang entah ke mana setelah gagal memujuknya agar meninggalkan tempat itu setelah ada ramalan bahawa Yellowstone akan dilanda bencana.

(ii) Perkembangan


Setelah ditinggalkan Adam, Hawa mula berhalusinasi bahawa dia berada di alam rahim dan berkomunikasi dengan janinnya sendiri.

(iii) Konflik


Konflik timbul apabila janin membangkang keputusan Hawa untuk kekal di tempat itu

(iv) Klimaks


Hawa mula sedar bahawa keselamatan janinnya lebih penting berbanding kepentingan mempertahankan perusahaan di Yellowstone.

(v) Peleraian


Hawa tersedar dari halusinasinya kerana mendengar Adam memanggil namanya berkali-kali.


Teknik Plot / Teknik Pemerian

1. Pemerian
Contohnya :
..Roma tengkuknya meremang. Topi jaket di tarik ke kepala yang pening semenjak subuh tadi. Dunia bagai diayun. Berdiri bagai tidak jejak bumi. Loya menganggu tekak, tetapi dia…

2. Suspens
Contohnya ;
Istighfarnya berenang dalam lautan merah. Hangat terasa. Di mana? Dalam lahar Yellowstone? Tidak mungkin. Ini bukan hangat kawalan api Yellowstone. Tidak mungkin dia hidup dalam tumbuhan gelegak lava. Kalimah Lailahaillallah terdengar…

Watak dan Perwatakan

Watak Utama
1. Hawa

 Keturunan Ahmad Abdullah dan Maria Cruz Abdullah
 Seorang yang penyayang. Dia amat menyayangi anak dalam kandungannya dan suaminya, Adam.
 Seorang yang setia dengan hubungan keluarga. Amat menyayangi Adam suaminya.
 Seorang yang penakut. Dia takut kehilangan suaminya yang akan balik ke Malaysia.
 Isteri kepada Adam

Watak Sampingan

1. Adam

 Suami Hawa
 Seorang yang penyabar.Sabar memujuk Hawa supaya mengikutnya kembali ke Malaysia.
 Mempunyai sifat patriotik yang tinggi . Ingin kembali dan menetap ke Malaysia..

2. Janin

 Generasi ke-8 Ahmad Abdullah.
 Mempunyai keberanian yang tinggi untuk menyatakan pendiriannya.Berani memberi pandangan terhadap ibunya supaya mengikut ayahnya kembali ke Malaysia.
 Ikhlas memberi pandangan.Dia ikhlas member pandangan kepada ibunya.
 Mempunyai semangat patriotik yang tinggi.Mempunyai semangat patriotik terhadap tanah tumpah darah ayahnya, Adam.

Latar

Latar Masa

1. Lapan tahun menunggu zuriat.
2. Generasi kelapan Ahmad Abdullah.

Latar tempat

1. Yellowstone.
2. Devils Tower.
3. Canyon Village.

Latar Masyarakat


1. Masyarakat yang penyayang terhadap hubungan kekeluargaan, iaitu Hawa yang menyayangi janinnya.
2. Masyarakat yang memperjuangkan warisan keluarga, Contohnya Hawa yang berkeras mahu mempertahankan perusahaan keluarganya.
3. Masyarakat yang maju dalam bidang perniagaan, Contohnya Perusahaan Taman Nasional Yellowstone yang sudah bertahan sehingga generasi kelapan.
4. Masyarakat yang percaya kepada kekuasaan Tuhan, Contohnya janin yang mendengar degupan jantung yang berzikir kepada Tuhan.

Gaya Bahasa

1. Kata ganda
Contohnya : tiba-tiba.

2. Metafora
Contohnya :perut bumi.

3. Hiperbola
Contohnya : kita akan terpelanting, lebur, berkecai entah ke mana.

4. Simile
Contohnya : lidah merah melahap bagai naga menyemburkan api.

5. Personifikasi
Contohnya ; kita kembangkan sayap warisan di tempat lain.

6. Kata pinjaman
Contohnya :
Bahasa Arab (Kun Fayakun).

Nilai

1. Nilai kasih sayang, Contohnya Hawa menyayangi perusahaan keluarganya yang telah diwarisi turun-temurun.

2. Nilai kesabararan. Contohnya Adam masih bersabar dengan Hawa semasa menghadapi pertentangan pendapat.

3. Nilai ketabahan. Contohnya Ahmad Abdullah yang tabah menghadapi cabaran hidup di tempat orang.

Pengajaran

1. Kita hendaklah menyayangi sebarang usaha yang menjadi warisan keluarga. Contohnya Hawa yang sanggup mempertahankan perusahaan keluarganya di Yellowstone.

2. Kita hendaklah sabar menghadapi tekanan. Contohnya Adam yang bersabar dengan kedegilan Hawa.

3. Kita mestilah tabah. Contohnya Ahmad Abdullah yang tabah menempuh dugaan hidup di perantauan.

Cerpen 1 (Tingkatan 5) PAHLAWAN BUNTUNG



Antologi Dirgahayu Bahasaku

Cerpen Pahlawan Buntung
(S. Othman Kelantan)



Sinopsis

Pertemuan semula Khalid (aku) anak Pak Hassan dengan Pak Hussain selepas berpisah selama 30 tahun mengimbas kembali peristiwa peperangan pada zaman Jepun sehingga menyebabkan kesengsaraan hidup orang Kampung Pulau Pak Amat. Hal ini menyebabkan mereka terpaksa berpindah apabila kampung mereka diserang tentera Jepun. Sekembali semula dia di kampung halaman selepas tamat perang, orang kampung kembali memulakan kehidupan sebagai nelayan. Selepas itu, Pak Husain terkena serpihan bom tentera Jepun yang mengakibatkan kakinya dipotong. Walau bagaimanapun Pak Hussain dianggap sebagai wira atau pahlawan kerana telah menggadai nyawa demi keselamatan penduduk Kampung Pulau Pak Amat.

Tema

Kesengsaraan hidup akibat peperangan terhadap penduduk kampung serta mengakibatkan kecacatan anggota tubuh badan dan juga kematian.

Persoalan

1. Persoalan kasih sayang yang terjalin antara ahli keluarga terutama semasa kesusahan hidup.
2. Persoalan keberanian dan kecekalan dalam mempertahankan hak dan menentang musuh.
3. Persoalan kerjasama anggota masyarakat dalam menghadapi kesulitan.
4. Persoalan mengenang jasa tokoh yang telah berjasa.
5. Persoalan berusaha membina semula kehidupan selepas kesengsaraan hidup.
6. Persoalan hormat kepada warga tua atau warga emas

Plot

Secara keseluruhannya plot cerpen ini mengikut kronologi. Terdapat empat peringkat garapan plot iaitu;

(i) Permulaan

Watak Pak Husain diperkenalkan melalui imbas kembali Khalid akibat peperangan yang telah berlaku berdasarkan fizikal.

(ii) Perkembangan

Dialog antara Pak Husain dengan Khalid dan imbas kembali Khalid terhadap peperangan yang menyebabkan keluarganya berpindah. Pada ketika itu Pak Husain berusia 30 tahun dan dia telah membantu orang-orang kampung Pulau Pak Amat yang diserang oleh tentera Jepun.

(iii) Konflik

Adik beradik Khalid memeluk ibu mereka kerana perasaan takuat yang amat sangat. Pak Husain hilang semasa mengetuai perpindahan orang-orang kampung. Pak Husain ditahan askar Jepun untuk menggali kubur ketika dalam perjalanan memeriksa barang-barang di rumahnya.

(iv) Klimaks

Sewaktu Pak Husain melarikan diri dari tahanan askar Jepun dan semangat Pak Husain hilang dan sentiasa meracau apabila teringat kembali tentang mayat-mayat yang dikebumikannya. Ketika pendaratan perompak di kampung Pak Amat, dia telah membedil para perompak dengan senapang yang diambil dari askar Punjabi dan menyebabkan rumah Pak Ngah Isa terselamat termasuklah penduduk kampung.

(v) Peleraian

Setahun selepas Jepun menyerah kalah, Pak Husain terkena saki baki bom yang ditanam dan mengakibatkan kaki Pak Husain dipotong. Khalid mengimbas kembali segala peristiwa yang menimpa Pak Husain dan keberaniannya menentang musuh serta berharap hubungannya dengan Pak Husain terus terjalin.

Teknik Penceritaan

1. Pemerian
ketika kami melangkah ke pintu tadi, cahaya Subuh sudah terpancar dari sebelah timur. Kemerah-merahan. Keheningan malam selalunya masa begini telah membawa langkah para nelayan ke gigi ombak…

2. Dialog
“Jemputlah ke rumah kami, kataku. “ kami tinggal di Jalan ayam. Abang dan Adik kebetulan ada.”
“Terima kasih Khalid!” Pak Hussain menanamkan matanya ke dalam mataku.
Teknik Plot

3. Suspens
Dia jugalah mengumpulkan ke pengkalan. Dia segala-galanya. Dan dia tetinggal dalam saat akhir bila Pak Ngah memerintahkan kami meninggalkan pengkalan. Tidak seorang pun di antara kami yang sedar bahawa Pak Husain belum turun ke pengkalan. Dan ketika perahu kami melewati Tuk Lukup, Pulau Tukang Dolah, Pulau Panjang dan Sungai Gali, kami belum sedar akan kehilangan Pak Husain. Mak Bidah, isterinya juga tidak sedar. Dan sekarang. Mak Bidah pula meraung…

4. Imbas kembali
…usianya baru kira-kira tiga puluh tahun. Aku berusia lebih sedikit empat belas tahun. Pak Husain tegap sasa. Dia berani. Dia banyak dicintai oleh gadis-gadis kampungnya…

Latar

Latar Masa

 30 tahun lalu (situasi perang)
 Tahun 1941 – 1973
 Semasa sambutan ulang tahun kemerdekaan
 Semasa zaman penjajahan Jepun

Latar Tempat

 Kampung Pulau Pak Amat
 Kampung Tok Lukup
 Sungai Gali
 Kampung Dal
 Jalan Bayam

Latar Masyarakat

 Masyarakat kampung iaitu Kampung Pulau Pak Amat
 Masyarakat nelayan yang bekerja menangkap ikan
 Masyarakat yang hormat menghormati sesama jiran tetangga
 Masyarakat yang setiakawan dalam memberi pertolongan

Watak Utama

Pak Hussain Berusia 60 tahun
 Dahinya berparut dan kaki kudung (terkena serpihan bom)
 Berpakaian sederhana (keperibadian desa – suci murni)
 Mengetuai orang kampung semasa peperangan dengan Jepun. Pak Hussain telah mengetuai penduduk kampung berpindah ketika Jepun menyerang
Kampong Pulau Pak Amat.
 Berpengalaman dan pernah diseksa oleh tentera Jepun. Pak Hussain dipaksa menggali kubur besar dan menguburkan mayat orang kampung sehari suntuk oleh pihak Jepun sehingga semangat beliau hilang dan dia meracau – racau.
 Berjasa kepada orang –orang kampong. Pak Hussain dengan berani telah memberitahu pihak jepun bahawa semua penduduk telah melarikan diri. Pak hussain juga pernah membedil kawanan perompak bagi menyelamatkan orang kampong.

Watak Sampingan

1. Khalid (aku)

 Anak Pak Hasan
 Menghormati pak Husain. Khalid bergitu mengagumi keberanian dan sikap Pak Hussain yang sanggup membohongi tentera Jepun untuk menyelamatkan penduduk kampong

2. Fatimah
 Ibu Khalid
 Seorang yang penyayang. Semua anak Fatimah memeluk ibu mereka kerana ketakutan apabila Jepun menyerang kampung mereka.

Gaya Bahasa

1. Kata ganda
Contoh: berjabu-jabu

2. Metafora
Contoh : gebar kebingungan

3. Hiperbola
Contoh : diselubungi oleh raksasa ketakutan dan putus asa

4. Personifikasi
Contoh : ombak pagi yang malas


Nilai

1. Nilai keberanian contohnya Pak Husain berani menghadapi tentera Jepun
2. Nilai kebijaksanaan, contohnya Pak Husain bijak menggunakan tipu daya untuk menyelamatkan diri daripada askar Jepun.
3. Nilai kasih sayang, contohnya Mak Da yang menangisi kehilangan Pak Husain ketika mereka berpindah.
4. Nilai patriotisme, contohnya Pak Husain yang sanggup menggadai nyawa untuk mempertahankan tanah air.

Pengajaran

1. Kita hendaklah berani mempertahankan hak di tanah air sendiri.
2. Kita hendaklah bijak memebuat keputusan bagi menyelesaikan masalah.
3. Kita hendaklah menyayangi ahli keluarga dan jiran tetangga.
4. Kita hendaklah mematuhi arahan ketua semasa menjalankan sesuatu tugas.

Monday, March 14, 2011

Pantun Nasihat - Membentuk Generasi Berwawasan

Koleksi Puisi Klasik Dan Moden Yang Segar Sepanjang Zaman ~

Angin teluk menyisir pantai
Hanyut rumpai di bawah titi
Biarlah buruk kain dipakai
Asal pandai mengambil hati

Pergi mendaki Gunung Daik
Hendak menjerat kancil dan rusa
Bergotong-royong amalan yang baik
Elok diamalkan setiap masa

Air melurut ke tepian mandi
Kembang berseri bunga senduduk
Elok diturut resmi padi
Semakin berisi semakin tunduk

Daun sirih ulam Cik Da
Makan sekapur lalu mati
Walaupun banyak ilmu di dada
Biar merunduk resmi padi

Buah pelaga makan dikikir
Dibawa orang dari hulu
Sebarang kerja hendak difikir
Supaya jangan mendapat malu

Kemumu di tengah pekan
Dihembus angin jatuh ke bawah
Ilmu yang tidak diamalkan
Bagai pohon tidak berbuah
Tumbuh melata si pokok tebu
Pergi pasar membeli daging
Banyak harta tak ada ilmu
Bagai rumah tidak berdinding

Tulis surat di dalam gelap
Ayatnya banyak yang tidak kena
Jagalah diri jangan tersilap
Jikalau silap awak yang bencana

Hendak belayar ke Teluk Betong
Sambil mencuba labuhkan pukat
Bulat air kerana pembetung
Bulat manusia kerana muafakat

Pakai baju warna biru
Pergi ke sekolah pukul satu
Murid sentiasa hormatkan guru
Kerana guru pembekal ilmu

Lagu bernama serampang laut
Ditiup angin dari Selatan
Layar dikembang kemudi dipaut
Kalau tak laju binasa badan

Padi segemal kepuk di hulu
Sirih di hilir merekap junjungan
Kepalang duduk menuntut ilmu
Pasir sebutir jadikan intan.

Budak-budak berkejar-kejar
Rasa gembira bermain di sana
Kalau kita rajin belajar
Tentu kita akan berjaya

Jangan pergi mandi di lombong
Emak dan kakak sedang mencuci
Jangan suka bercakap bohong
Semua kawan akan membenci

Buah cempedak bentuknya bujur
Sangat disukai oleh semua
Jika kita bersikap jujur
Hidup kita dipandang mulia

Jikalau tuan mengangkat peti
Tolong masukkan segala barang
Jikalau anak-anak bersatu hati
Kerja yang susah menjadi senang

Asam kandis mari dihiris
Manis sekali rasa isinya
Dilihat manis dipandang manis
Lebih manis hati budinya

Kayu bakar dibuat arang
Arang dibakar memanaskan diri
Jangan mudah menyalahkan orang
Cermin muka lihat sendiri

Selasih tumbuh di tepi telaga
Selasih dimakan si anak kuda
Kasih ibu membaa ke syurga
Kasih saudara masa berada

Masuk hutan pakai sepatu
Takut kena gigitan pacat
Kalau kita selalu bersatu
Apa kerja mudah dibuat

Bandar baru Seberang Perai
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan tulang berkecai
Budi yang baik dikenang juga

Encik Dollah pergi ka Jambi
Pergi pagi kembali petang
Kalau Tuhan hendak membagi
Pintu berkancing rezeki datang

Orang haji dari Jeddah
Buah kurma berlambak-lambak
Pekerjaan guru bukanlah mudah
Bagai kerja menolak ombak

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Terang bulan di malam sepi
Cahya memancar kepangkal kelapa
Hidup di dunia buatlah bakti
Kepada ibu dan juga bapa

Kapal kecil jangan dibelok
Kalau dibelok patah tiangnya
Budak kecil jangan di peluk
Kalau dipeluk patah tulangnya

Asal kapas menjadi benang
Dari benang dibuat kain
Barang yang lepas jangan dikenang
Sudah menjadi hak orang lain

Tengahari pergi mengail
Dapat seekor ikan tenggiri
Jangan amalkan sikap bakhil
Akan merosak diri sendiri

Kapal Anjiman disangka hantu
Nampak dari Kuala Acheh
Rosak iman kerana nafsu
Rosak hati kerana kasih

Tingkap papan kayu bersegi
Sampan sakat di Pulau Angsa
Indah tampan kerana budi
Tinggi darjat kerana bahasa

Anak Siti anak yang manja
Suka berjalan di atas titi
Orang yang malas hendak bekerja
Pasti menyesal satu hari nanti

Bintang tujuh sinar berseri
Bulan purnama datang menerpa
Ajaran guru hendak ditaati
Mana yang dapat jangan dilupa

Parang tajam tidak berhulu
Buat menetak si pokok Ru
Bila belajar tekun selalu
Jangan ingkar nasihat guru

Hari malam gelap-gelita
Pasang lilin jalan ke taman
Sopan santun budaya kita
Jadi kebanggaan zaman berzaman

Pergi berburu sampai ke sempadan
Dapat Kancil badan berjalur
Biar carik baju di badan
Asalkan hati bersih dan jujur

Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik di kenang juga

Ramai orang membeli jamu
Di bawah pokok cuaca redup
Bersungguh-sungguh mencari ilmu
Ilmu dicari penyuluh hidup

Apa guna berkain batik
Kalau tidak dengan sucinya?
Apa guna beristeri cantik
Kalau tidak dengan budinya

Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian

Buah cempedak diluar pagar
Ambil galah tolong jolokkan
Saya budak baru belajar
Kalau salah tolong tunjukkan

Pisang emas dibawa belayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati

Dalam semak ada duri
Ayam kuning buat sarang
Orang tamak selalu rugi
Macam anjing dengan bayang

Baik-baik mengirai padi
Takut mercik ke muka orang
Biar pandai menjaga diri
Takut nanti diejek orang

Ke hulu membuat pagar
Jangan terpotong batang durian
Cari guru tempat belajar
Supaya jangan sesal kemudian

Mari kita tanam halia
Ambil sedikit buat juadah
Usia muda jangan disia
Nanti tua sesal tak sudah

Padi muda jangan dilurut
Kalau dilurut pecah batang
Hati muda jangan diturut
Kalau diturut salah datang

Cuaca gelap semakin redup
Masakan boleh kembali terang
Budi bahasa amalan hidup
Barulah kekal dihormati orang

Orang Daik memacu kuda
Kuda dipacu deras sekali
Buat baik berpada-pada
Buat jahat jangan sekali

Dayung perahu tuju haluan
Membawa rokok bersama rempah
Kalau ilmu tidak diamalkan
Ibarat pokok tidak berbuah

Kalau kita menebang jati
Biar serpih tumbangnya jangan
Kalau kita mencari ganti
Biar lebih kurang jangan

Pinang muda dibelah dua
Anak burung mati diranggah
Dari muda sampai ke tua
Ajaran baik jangan diubah

Pantai Mersing kuala Johor
Pantainya bersih sangat mashyur
Pohonkan doa kita bersyukur
Negara kita aman dan makmur

Orang tua patut disegani
Boleh mendapat ajarnasihat
Ular yang bisa tidak begini
Bisa lagi lidah yang jahat

Ramai orang menggali perigi
Ambil buluh lalu diikat
Ilmu dicari tak akan rugi
Buat bekalan dunia akhirat

Tuan Haji memakai jubah
Singgah sembahyang di tepi lorong
Kalau sudah kehendak Allah
Rezeki segenggam jadi sekarung

Patah gading serpih tanduk
Mari diletak di atas papan
Jika tahu ganja itu mabuk
Buat apakah ia dimakan

Anak rusa masuk ke taman
Puas sudah orang memburu
Kalau muda jadikan teman
Kalau tua jadikan guru

Berakit ke hulu dengan bergalah
Buluh pecah terbelahdua
Orang tua jangan dilangkah
Kelak biadap dituduhnya pula

Rusa betina berbelang kaki
Mati terkena jerat sembat
Orang yang muda kita sanjungi
Orang yang tua kita hormat

Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suruh makan awak makan
Suruh mengaji awak tak mahu

Adik ke kedai membeli halia
Emak memesan membeli laksa
Jadilah insan berhati mulia
Baik hati berbudi bahasa

Friday, March 11, 2011

KERJA RUMAH UNTUK PELAJAR TINGKATAN 4 EA 2 DAN 4 MPV (SMK SIJANGKANG JAYA)


Semua jawapan hendaklah dibuat dalam kertas kajang. Pelajar tidak perlu menyalin soalan.

LATIHAN SPM 1
a) Tukarkan ayat-ayat aktif berikut kepada ayat pasif.

1. Puan Azizah telah memarahi Azmi kerana memecahkan pasu bunga.

2. Ibu bapa harus mengawasi tingkah laku anak-anak supaya mereka tidak tersalah langkah.

3. Puan Sarah menghadiahi Atiqah sebuah kereta Kancil setelah lulus dalam ujian memandu.

4. Ayah saya menyambut kedatangan birasnya yang baru tiba dari Sabah.

5. Dia mendayung sampan itu dengan laju dengan harapan untuk mendapat tempat pertama dalam pertandingan tersebut.

b) Tulis satu ayat bagi tiap – tiap perkataan di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh memberikan imbuhan, menukarkan imbuhan, menjadikannya sebagai nama khas dan peribahasa.

(i) Baling – buang
(ii) Bengkok – bongkok
(iii) Menanak - menjerang


c) Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti,kemudian berikan peribahasa yang sesuai.

(i) Anizah seorang pelajar yang rajin. Dia bukan sahaja tidak suka membuang masa, bahkan setiap masa yang terluang digunakan dengan melakukan kerja – kerja berfaedah. Anizah juga tidak pernah datang lewat ke sekolah.
(ii) Sejak belakangan ini, rakyat negara Indonesia menghadapi pelbagai masalah khususnya bencana alam. Pada tahun 2004 negara tersebut telah dilanda bencana tsunami. Pada tahun 2006, berlaku letusan gunung berapi di Yokyakarta. Begitulah peritnya penderitaan rakyat negara jiran kita ini.
(iii) Semasa Encik Azman pergi bercuti ke luar negara bersama keluarganya,beliau mengamanahkan adik sepupunya untuk menjaga rumahnya selama tiga minggu.Malangnya adik sepupunya mengajak kawan-kawannya berjudi dan mengambil beberapa barang kemas di rumahnya. Motosikal kepunyaan anak Encik Azman turut dijual.

d) Tulis satu ayat bagi tiap – tiap kata di bawah supaya jelas menunjukkan bahawa anda faham akan perbezaan maksud dan penggunaannya. Anda tidak boleh memberikan imbuhan, menukarkan imbuhan, menjadikannya sebagai nama khas dan peribahasa.

(i) Kasih
(ii) Kekasih
(iii) Kasihan
(iv) Mengasihi
(v) Mengasihani
(vi) Pengasih

(e) Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.

Puan Zainab amat menyayangi anak tunggalnya itu. Dia tidak pernah marah, memukul dan membantah segala kehendak anaknya itu. Puan Zainab juga sanggup bergadai untuk memberikan pendidikan kepada anaknya itu. Malangnya apabila anaknya sudah dewasa dan bekerja dia tidak dipedulikan. Puan Zainab tidak dijaga dan dibiarkan duduk bersendirian di rumah usang itu. Puan Zainab sungguh berasa sedih dan kecewa dengan sikap dan perlakuan anaknya itu.

Kerja Rumah Masa Cuti - Untuk Tingkatan 5 Sains 1 dan 5 PD 2 (SMK Sijangkang Jaya)

Berikut cikgu paparkan beberapa kerja rumah untuk disiapkan dalam cuti yang bermula pada 12 - 20 Mac 2011. Semua kerja hendaklah disiapkan dalam kertas kajang. Anda tidak perlu menyalin soalan.

Kesalahan ejaan dan imbuhan
Panduan menjawab;
•Fahami arahan soalan
•Garisi satu perkataan yang mengandungi kesalahan ejaan dan satu perkataan yang mengandungi kesalahan imbuhan dalam setiap ayat
•Menulis semula ayat yang mengandungi perkatan yang telah dibetulkan ejaan dan imbuhannya
•Garisi jawapan yang diberi

LATIHAN 1:

Dalam setiap ayat di bawah ini terdapat dua kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan membetulkannya dengan menulis ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i) Nawi selalu menasihatkan kawan-kawannnya agar tabah dalam menghadapi cabaran hidup tetapi ketika musibah menimpa dirinya, dia tidak dapat menanggongnya.

ii) Kebanyakan pelancung lebih gemar berkunjung ke pulau-pulau yang cantik di pesisiran pantai Malaysia.

iii) Kerajaan menggalakkan orang ramai menyertai progrem kemasyarakatan supaya hubung antara kaum dapat dipereratkan.

LATIHAN 2
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat-ayat itu semula tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i) Malaysia mampu memajukan bidang eko-pelancongan kerana mengayakan sumber alam semula jadi.

ii) Guru bimbingan itu telah memberikan keterangan yang jelas tentang profesyen sebagai pakar bedah.

iii) Persatuan belia yang baru ditubuhkan itu mengenakan moto yang berteraskan perpaduan belia semalaysia.


LATIAHN 3 :
Dalam setiap ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan ejaan dan imbuhan. Kenal pasti dan betulkan kesalahan-kesalahan itu dengan menulis ayat-ayat itu semula tanpa mengubah struktur an maksud asalnya.

i) Wakil Rakyat di kawasan pedalaman itu telah mensyorkan pembinaan sebuah stesen jana kuasa kecil di situ.

ii) Penggunaan e-mel memberikan kemudahan untuk seseorang menyampai mesej dalam beberapa minit sahaja.

iii) Kempen anti-dadah peringkat kebangsaan yang dilancar oleh kerajaan mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.


LATIHAN 4:

Dalam ayat-ayat di bawah, terdapat kesalahan penggunaan kata atau istilah bahasa. Kenal pasti kesalahan-kesalahan itu dan betulkannya dengan menulis semula ayat itu tanpa mengubah struktur dan maksud asalnya.

i) Oleh kerana terperangkap dalam kecelaruan lalu lintas, ayah sering pulang lewat.

ii) Adik saya adalah antara peserta-peserta pertandingan melukis yang diadakan di pentas legar pusat beli-belah itu.

iii) Para peserta lawatan sambil belajar dibahagi pada beberapa kumpulan untuk memudahkan amalan daftar masuk lapangan terbang.


LATIHAN 5:

Dalam setiap ayat di bawah terdapat satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Senaraikan dan betulkan kesalahan-kesalahan itu. Bagi setiap ayat, anda tidak boleh menyenaraikan lebih daripada satu kesalahan penggunaan kata atau istilah dan satu kesalahan tatabahasa. Anda tidak perlu menyalin ayat itu semula.

i) Hasrat Aiman supaya menyertai ekspedisi mendaki Gunung Kinabalu terpaksa dimansuhkan kerana masih belum mendapat keizinan dariapada kedua-dua ibu bapanya.

ii) Wang gaji yang diperoleh saya setiap bulan dibelanjakan secara berhemah dan bakinya disimpan di dalam bank.

iii) Jabatan Meteorologi menganggarkan bahawa cuaca di pantai timur Semananjung Malaysia mendung, manakala di lain-lain kawasan cuacanya cerah.


LATIHAN 6 :
Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian kemukakan tiga peribahasa yang menggambarkan tiga situasi yang berbeza yang terdapat dalam petikan.

Perpaduan rakyat menjadi tunggak kegemilangan negara Malaysia. Mereka saling membantu antara satu sama lain. Mereka amat sedar bahawa pada masa ini sikap negatiif akan menyukarkan kerajaan untuk menyatupadukan rakyat. Sekiranya hal ini wujud, maka tiada sesiapa yang untung. Sebaliknya, mereka akan kehilangan segala-galanya.


LATIHAN 7 :
Baca ayat-ayat di bawah dengan teliti dan kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan ayat-ayat tersebut.

i) Walaupun kita berasa kasihan atas nasib malang yang menimpa Amira, tetapi dia yang menanggungnya tentulah berasa lebih perit lagi.

ii) Jamal menikmati segala kemewahan yang disediakan oleh bapanya tetapi dia tidak gembira kerana tidak dibenarkan bergaul bebas sesuka hati seperti renaja lain.

iii) Perbelanjaan kita biarlah bersesuaian dengan pendapatan dan janganlah kita berbelanja berlebih-lebihan.


LATIHAN 8 :
Baca dialog di bawah dengan teliti, kemudian senaraikan peribahasa atau kata-kata hikmat yang sesuai untuk diisikan pada tempat-tempat kosong.

Amir : Banyak pengguna bahasa Melayu suka menggunakan bahasa rojak semasa berkomunikasi.

Sofea : Yalah, bukan itu sahaja! Media massa pun sering mengabaikan penggunaan bahasa yang betul

Amir : Jika kita sayang akan bahasa, kita mesti menggunakan bahasa yang betul pada setiap masa dan keadaan kerana (i)…….

Sofea : Media msssa perlulah memainkan peranan yang bersungguh-sungguh dalam mendaulatkan bahasa Melayu tanpa perlu berdolak-dalik, bak kata perpatah (ii)…….

Amir : Saya bersetuju dengan pendapat kamu. Media massa dapat menyalurkan idea dan kritikan dengan lebih berkesan kerana (iii)…….

LATIHAN 9 :
Baca ayat di bawah dengan teliti, kemudian nyatakan peribahasa yang sesuai dengan maksud ayat tersebut.

i) Orang yang lupa akan asal usulnya.

ii) Bersama-sama dalam menghadapi kesusahan dan kesenangan.

iii) Bersusah payah terlebih dahulu untuk mendapatkan kesenangan pada kemudian hari.

LATIHAN 10:
Tulis satu ayat bagi tiap-tiap kata di bawah ini untuk menunjukkan bahawa anda faham akan maksud dan penggunannya. Anda tidak boleh menambahkan imbuhan, menukarkan imbuhan, serta menggunakan perkataan itu sebagai peribahasa dan nama khas.

i hias
ii berhias
iii menghiaskan
iv menghiasi
v perhiasan
vi penghias

KERTAS SOALAN TAMAT. BUAT KERJA DENGAN BAIK DAN SEMPURNA. SEMOGA ANDA MENDAPAT MANFAAT.

PERHATIAN UNTUK PELAJAR 5 SAINS 1 :
Latihan rumusan berkaitan dengan Perpaduan dan Kes Buli yang dibincangkan pada 9/3/2011 hendaklah ditulis dalam kertas kajang dan akan ditampal apabila saya serahkan buku pada hari Isnin (21/3/1011).

Wednesday, March 9, 2011

Latihan Rumusan - Latihan Kendiri

Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti, kemudian buat suatu rumusan tentang punca-punca berlakunya keracunan makanan dan kepentingan makanan berkhasiat kepada orang ramai. Panjangnya rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah kata.


Kes keracunan makanan terutamanya di sekolah semakin kerap disiarkan oleh media sejak akhir-akhir ini. Isu ini bukan suatu perkara yang baharu tetapi telah lama dibincangkan oleh pihak-pihak yang terlibat. Keracunan makanan bukan hanya berlaku di sekolah, tetapi di mana-mana sahaja disebabkan berlakunya pencemaran makanan. Malah keracunan makanan juga boleh berlaku di rumah jika cara penyediaannya tidak dijaga dengan baik.
Namun, kita sering memerhatikan bahawa ramai pengendali makanan yang tidak menjaga kebersihan makanan yang dihidangkan kepada pelanggan mereka, sama ada di kantin sekolah, restoran, gerai di tepi jalan atau di pasar malam. Sepatutnya pengendali makanan mengamalkan kebersihan diri dengan membasuh tangan sebelum menyentuh atau menyediakan makanan. Mereka juga dilarang menghisap rokok, batuk dan meludah semasa menyediakan atau mengendalikan makanan. Bahan yang digunakan untuk memasak makanan hendaklah bersih. Proses memasak makanan juga memainkan peranan yang penting. Makanan yang tidak dimasak dengan sempurna akan menyebabkan berlakunya pembiakan mikroorganisma berbahaya terutamanya dalam bahan makanan yang berprotein tinggi seperti daging, ayam, makanan laut, telur dan hasil tenusu. Makanan dari peti sejuk mestilah dinyahbekukan dengan sempurna dan dimasak secukupnya untuk memastikan bakteria berbahaya terhapus. Bakteria juga boleh membiak dengan cepat pada suhu bilik. Makanan yang telah dimasak atau disediakan awal jika tidak disejukbekukan akan terdedah dengan pembiakan bakteria yang mencemarkan makanan. Malah makanan yang disimpan pada suhu bilik dengan begitu lama juga tidak selamat walaupun telah dipanaskan kerana cara ini tidak akan menghapuskan bakteria atau kuman penyebab keracunan makanan.
Keracunan makanan juga boleh berlaku apabila seseorang individu mengambil makanan dan minuman yang tercemar oleh bakteria, virus atau organisma berbahaya. Keadaan ini berlaku disebabkan penyediaan makanan yang tidak bersih di samping penggunaan bekas makanan yang tercemar. Malah penggunaan bahan kimia dan bahan beracun yang semakin berleluasa terhadap sayur-sayuran juga akan mencemarkan bahan makanan itu tanpa mengira cara memasaknya. Gejala yang dialami mangsa keracunan juga berbeza mengikut individu bergantung pada tahap ketahanan seseorang. Keracunan makanan juga akan berlaku dalam kalangan bayi, kanak-kanak, warga tua dan individu yang mempunyai imuniti yang rendah terhadap penyakit. Mangsa keracunan makanan akan mengalami gejala-gejala yang berikut seperti loya atau pening, muntah, cirit-birit, sakit di bahagian abdomen dan demam.
Isu keracunan makanan dapat diatasi jika semua pihak melaksanakan peranan masing-masing dengan baik. Yang paling penting, kesedaran semua pihak terhadap kepentingan memakan makanan yang bersih dan berkhasiat. Mencegah sesuatu lebih baik daripada mengubatinya.


(Dipetik dan diubahsuai daripada Keracunan Makanan,
Dewan Siswa, Oktober 2007).




Pemahaman Petikan Umum

Berdasarkan petikan HIKMAH 2 , jawab soalan-soalan yang berikut dengan menggunakan ayat anda sendiri.

(i) Berikan maksud rangkai kata hasil tenusu. [2 markah]

(ii) Apakah keadaan yang menggalakkan pembiakan bakteria dalam makanann?
[3 markah]

(iii) Sebagai seorang pelajar, apakah tindakan yang perlu dilakukan jika anda mendapati makanan di kantin sekolah anda tidak bersih dan boleh menyebabkan berlakunya keracunan makanan?
[4 markah]