Tuesday, October 8, 2013

Langkah-langkah Meningkatkan Kualiti Hidup


1.      CARA-CARA MENINGKATKAN KUALITI HIDUP.


Pendahuluan.

·         Peningkatan kualiti hidup rakyat merupakan antara ciri sesebuah negara yang menuju ke arah kemodenan dan kemajuan yang mapan. Hal ini disebabkan kemodenan dan kemajuan sesebuah egara tidak bererti sekiranya kualiti hidup rakyat masih ketinggalan zaman.

·         Kualiti hidup biasanya dikaitkan dengan penyediaan infrastruktur sosial dan fizikal oleh pihak pentadbir di sesuatu kawasan. Walau bagaimanapun, persekitaran yang baik tidak membawa maksud kualiti hidup juga baik kerana hal ini juga turut berkait dengan penerimaan atau penolakan dan tindak balas penduduk terhadap persekitaran yang disediakan.

·         Semua pihak termasuk individu, keluarga, masyarakat, dan kerajaan perlu bersinergi dan memainkan peranan secara bersepadu bagi meningkatkan kualiti hidup di negara ini dan seterusnya mencapai aspirasi negara ke arah Wawasan 2020.

 

        Isi-isi penting:


1. Membina keluarga bahagia

 
ü  Setiap individu dalam keluarga perlu memainkan peranan masing-masing untuk mewujudkan kehidupan keluarga yang harmoni, saling bertoleransi, dan saling menghormati.

ü  Ibu bapa berperanan untuk menyediakan sumber kewangan yang mencukupi bagi memenuhi keperluan anak-anak dan keluarga mereka secara umumnya. Ibu bapa perlu mempunyai pegangan hidup dan sebaik-baiknya bertunjangkan didikan moral dan ajaran agama kerana mereka turut berperanan untuk menanamkan asas-asas didikan moral dan ajaran agama ini dalam diri anak-anak.

ü  Datuk dan nenek pula menguatkan asas binaan keluarga bahagia lagi dengan mendidik cucu cicit mereka agar menghormati ibu bapa, adik beradik, orang tua dan sesiapa sahaja sebagai suatu cara hidup berkomuniti.

ü  Setiap aktiviti juga dilakukan bersama dengan keluarga seperti makan bersama-sama, melakukan aktiviti riadah bersama-sama dan sebagainya. Dengan ini, keluarga yang bahagia dapat dilahirkan.

ü  Keluarga bahagia sememangnya melambangkan kualiti hidup masyarakat yang baik kerana individu daripada keluarga bahagia biasanya akan dapat mengelakkan diri daripada terjebak dalam kancah negatif – selesaikan masalah melalui perbincangan keluarga dan sebagainya.

 

       2. Menambahkan ilmu pengetahuan
 

ü  Penguasaan ilmu pengetahuan melambangkan kualiti hidup yang baik. Setiap individu perlu mengejar dan menambah ilmu setinggi yang boleh supaya tidak menjadi seperti katak di bawah tempurung.

ü  Hadis bermaksud “Carilah ilmu hingga ke negara China” menunjukkan bahawa ilmu ada di mana-mana dan tuntutlah ilmu setinggi yang boleh. Ilmu yang dituntut pula tidak terhad kepada cabang ilmu sains dan teknologi sahaja malah dalam pelbagai bidang ilmu supaya insan berilmu yang terhasil merupakan insan yang kamil dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani, dan intelek.

ü  Individu yang berilmu akan membentuk masyarakat yang berfikiran rasional, berinovasi, dan berdaya saing setanding dengan masyarakat berilmu di negara-negara maju. Individu yang berilmu dapat mengangkat martabat diri, keluarga, dan meningkatkan taraf hidup supaya keluar daripada kepompong kemiskinan apabila mendapat pekerjaan yang baik ataupun menjadi usahawan yang berjaya. Malah, Malaysia akan mempunyai aset modal insan bagi mentransformasikan negara ini bagi mencapai taraf negara maju menjelang tahun 2020 dan masyarakat yang dapat hidup dalam keadaan yang harmoni dan bersatu padu selaras dengan aspirasi konsep 1 Malaysia. Jadi, jelaslah bahawa kualiti hidup dapat ditingkatkan melalui penguasaan ilmu.



3. Menjana pertumbuhan ekonomi negara

ü  Pertumbuhan ekonomi negara turut melambangkan peningkatan kualiti hidup. Individu dan masyarakat termasuk golongan wanita perlu aktif dalam memberikan sumbangan bagi menjana pertumbuhan ekonomi negara. Hal ini bertujuan supaya setiap tenaga kerja yang masih aktif di negara ini dapat digembleng dalam setiap sektor ekonomi sama ada dalam bidang pertanian, perindustrian, pelancongan, pengangkutan, dan banyak lagi.

ü  Pihak kerajaan pula memainkan peranan penting dengan menyediakan pelbagai dasar seperti Dasar Perindustrian Negara, Dasar Penswastaan, Dasar Industri Kecil dan Sederhana, dan Pelan Transformasi Ekonomi Negara bagi menarik pelaburan dari dalam dan luar negara untuk menanam modal dan menyediakan ruang niaga yang kukuh bagi masyarakat Malaysia sendiri.

ü  Hal ini jelas menunjukkan bahawa pelbagai pihak perlu memainkan peranan aktif dalam pembangunan negara bagi menjamin kesuburan pertumbuhan ekonomi. Seterusnya, kualiti hidup rakyat dapat ditingkatkan kerana pihak kerajaan akan mempunyai dana yang kukuh untuk menyediakan pelbagai kemudahan infrastruktur kepada rakyat semula.


4. Penggunaan sistem pengangkutan mesra alam

 

ü  Alam sekitar yang bersih mencerminkan kualiti hidup yang sihat. Oleh itu, kebersihan dan kecantikan alam sekitar perlu dijaga. Oleh itu, penggunaan sistem pengangkutan yang mesra alam adalah perlu untuk mengurangkan pencemaran di negara ini. Hal ini demikian kerana asap daripada cerobong alat-alat pengangkutan yang ketinggalan zaman merupakan antara faktor utama pencemaran alam terutama di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur, Shah Alam, George Town, dan Johor Bahru.

ü  Setakat ini, tidak banyak sistem pengangkutan yang mesra alam digunakan di Malaysia – cuma KLIA Ekspres dan penggunaan minyak NGV – perlu diperluas kepada penggunaan enjin kenderaan elektrik seperti di negara China.

ü  Alam sekitar yang bersih akan mengurangkan risiko penyakit – kualiti hidup meningkat.

Penutup:

·         Terdapat banyak cara yang dapat dipraktikkan dalam kehidupan harian kita.

·         Pelbagai pihak perlu bekerjasama untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat di negara

·         ini.

·         Aspirasi negara dapat direalisasikan dengan mudah dan tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin

 

 

Saturday, October 5, 2013

Kesan Internet Kepada Masyarakat

 
 
 
 
Pada era globalisasi ini, teknologi maklumat terutama internet sangat penting. Walau bagaimanapun, penggunaan internet turut memberikan keburukan kepada masyarakat dan negara.
Bincangkan.


Dalam era langit terbuka dan era ledakan teknologi maklumat hari ini, penggunaan internet kini sudah menjadi satu perkara biasa di Malaysia dan dunia amnya. Kepentingan internet dalam kehidupan manusia sudah tidak boleh disangkal lagi oleh mana-mana pihak pun. Kita boleh melihat remaja, orang tua dan kanak-kanak serta ahli perniagaan melayari internet pada setiap masa dan tempat dengan begitu mudah. Internet mepunyai pelabagai kesan kepada masyarakat sama ada kesan positif mahupun esa negatif. Namun, ada keghairahan kita menerima teknologi ini, pelbagai impak negatif telah melanda negara dan masyarakat tanpa disedari.
Internet memudahkan masyarakat untuk mengakses pelbagai maklumat yang terdapat di dalam internet itu terutama bahan-bahan pronografi. Pendedahan yang sebegini boleh meruntuhkan moral dan merosakkan pemkiran seseorang terutama golongan remaja yang belum mampu untuk memikirkan kesan pendedahan keterlaluan mereka terhadap bahan sebegitu. Masyarakat atau remaja yang mempunyai jati diri yang rendah akan terus hanyut dan bergelumang dalam dunia fantasi yang tidak memberikan apa-apa manfaat pada diri mereka. Remaja akan menganggap bahan-bahan sebegini sesuatu yang lumrah lalu mereka berani melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan moral budaya masyarakat kita sebelum ini pula. Internet telah menyebabkan moral masyarakat yang suatu masa dahulu dipandang tinggi semakin dipinggirkan pula.
Selain itu, penggunaan internet berupaya untuk menjejaskan keharmonian dan perpaduan negara kita. Sudah ada banyak laman web yang sengaja menyebarkan pelbagai fitnah dan gosip. Bagi masyarakat yang tidak mahu berfikir panjang atau membuat kajian, mereka akan menerima apa sahaja berita yang ditulis dalam internet tanpa memikirkan kesahihan berita atau isu terseut. Propaganda negatif yang tersiar ini boleh menimbulkan kekacauan dan kegelisahan masyarakat. Semua bahan yang ditulis itu mampu untuk mencetuskan salah faham dan pergaduhan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini dengan begitu mudah. Jelaslah, internet memudahkan penyebaran pelbagai maklumat palsu dan mengelirukan kepada masyarakat.
Revolusi internet turut membuka peluang berlakunya kes-kes penipuan. Kita sudah banyak kali mendengar rungutan dan aduan masyarakat mengenai diri mereka ditipu oleh pihak tertentu terutama berkaitan dengan perniagaan secara elektronik yang semakin mendapat tempat di internet sekarang ini. Pelabur-pelabur yang tidak begitu mengetahui aspek internet telah ditipu dengan begitu mudah dalam jumlah yang banyak oleh golongan tertentu sehingga memberikan imej buruk kepada dunia perniagaan internet yang lain pula. Jadi, internet menyebabkan berlakunya kerugian kewangan yang banyak kepada masyarakat negara ini.
Remaja sering menghabiskan masa mereka dengan melayari internet sebaik sahaja mereka pulang dari sekolah. Lihat sahaja kafeteria siber yang penuh sesak dengan pelajar-pelajar kita itu baik di bandar mahupun di desa. Semuanya menghabiskan tempoh masa yang lama dengan membazir sahaja selain menghabiskan sejumlah wang yang banyak pula untuk melayari internet. Remaja seolah-olah menganggap melayari internet lebih penting daripada menelaah pelajaran atau menghabikan masa membuat latihan yang diberikan oleh guru sekolah mereka.
Malahan, pengguna internet juga dikatakan golongan masyarakat yang enggan bersosial kerana mereka lebih suka menghabiskan masa di hadapan komputer sahaja. Keadaan ini menyebabkan masa bersama-sama keluarga, sahabat dan jiran semakin dilupakan sehingga hubungan itu menjadi renggang pula. Sudah pasti keadaan ini tidak sesuai buat mana-mana pihak terutama remaja yang perlu menjalani kehidupan sebenar di luar yang boleh memberi banyak pengajaran kepada mereka kelak. Semakin lama seseorang itu melayari internet semakin kuranglah masa yang mereka habiskan dalam dunia realiti sebenarnya.
Kesimpulannya, pengguna internet terutama remaja harus bertanggungjawab dalam tindakan mereka itu. Semua maklumat yang mereka nampak haruslah diteliti dan disahkan kesahihannya sebelum mereka melakukan sebarang tindakan susulan pula. Pihak ibu bapa perlulah lebih peka dengan mengawasi masa dan halaman web yang dilayari oleh anak mereka. Jika boleh ibu bapa turut sama melayari web bersama-sama anak supaya proses pembelajaran berjalan dengan lebih baik. Semua teknologi mempunyai kebaikan dan keburukannya tetapi manusialah yang menentukannya bak kata pepatah ”tepuk dada tanya selera”.

Peranan Ibu Bapa Melahirkan Keluarga Bahagia






Hubungan Kekeluargaan yang Erat Amat Penting dalam Melahirkan Keluarga Bahagia.

Dalam era dunia tanpa sempadan hari ini, istilah 'Rumahku Syurgaku' kian terhakis dalam pemikiran masyarakat. Istilah itu seolah-olah telah hanyut ditelan zaman kerana masyarakat hari ini lebih menumpukan kepada kerjaya dan berlumba-lumba mengejar kemewahan hidup. Kesan daripada itu, institusi keluarga kian rapuh dan berlaku pelbagai pergolakan dalam keluarga. Untuk mengembalikan kegemilangan keluarga, ibu bapa melaksanakan tanggunjawab dengan cemerlang dan perlu bijak menguruskan masa agar hubungan kekeluargaan dapat diperkukuhkan dan dipertautkan kembali. Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mengeratkan hubungan ahli keluarga akan saya huraikan dalam perenggan berikutnya.

Antara peranan utama ibu bapa untuk mengeratkan hubungan ahli keluarga ialah dengan memperuntukkan masa bersama-sama ahli kelurga. Jika ibu bapa  dapat menjadualkan masa untuk bersama-sama dengan anak-anak dalam tempoh tertentu, anak-anak akan berasa dihargai, diberi perhatian dan disayangi oleh ibu bapa mereka. Ibu bapa oleh memperuntukkan masa untuk makan bersama-sama, solat berjemaah, mengadakan mesyuarat keluarga atau sebagainya. Denga cara ini, hubungan ahli keluarga akan dapat dipereratkan dan menimbulkan rasa kasih sayang sesama ahli keluarga.

Selain itu, ibu bapa juga perlu bersikap terbuka dengan anak-anak. Ibu bapa perlu memberi kebebasan yang terkawal kepada anak-anak sesuai dengan zaman semasa. Sikap mengongkong kehidupan anak-anak akan membuatkan mereka memberontak dan akan cuba bertindak di luar kawalan ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mencari ruang masa untuk berbincang dan mendengar permasalahan anak-anak agar mereka dapat meluahkan perasaan berkaitan dengan hal peribadi, keperluan hidup dan memberi idea untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia selari dengan peribahasa muafakat membawa berkat. Dalam kesempatan ini juga, ibu bapa boleh memberi teguran tehadap tingkah laku anak-anak yang dianggap tidak sesuai. Jelaslah bahawa bersikap terbuka mampu mengeratkan hubungan kekeluargaan.

Ibu bapa juga perlu merancang untuk membawa anak-anak mengadakan aktiviti riadah dan rekreasi. Aktiviti riadah dan rekreasi ini umpama serampang dua mata kerana bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan, melepaskan tekanan kerja tetapi juga dapat merapatkan ikatan kekeluargaan. Dalam hal ini, ibu bapa bukan sahaja dapat bersiar-siar, beriadah atau melancong dengan anak-anak tetapi dapat bermesra, bergurau senda dan memahami hati budi anak-anak. Antara aktiviti beriadah yang baik ialah melancong, berkelah, membeli-belah dan sebagainya. Konotasinya, dengan aktiviti beriadah dan berreakrasi dapat memantapkan ikatan kekeluargaan.  

Peranan ibu bapa yang seterusnya untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan ialah dengan menyediakan keperluan harian dan pembelajaran anak-anak. Sebagai anak, mereka mendambakan keperluan sepertimana yang diperoleh rakan-rakan mereka. Antara keperluan harian yang diinginkan ialah pakaian, makanan dan hiburan. Sewajarnya ibu bapa memenuhi keperluan tersebut mengikut kemampuan masing-masing supaya anak-anak tidak berasa terasing atau ketinggalan berbanding dengan rakan-rakan yang lain. Keperluan pembelajaran juga perlu dipenuhi agar anak-anak dapat mengikuti pembelajaran dengan sempurna sama ada di sekolah atau di rumah. Antara keperluan pembelajaran ialah alat tulis,buku-buku latihan dan bilik belajar yang sempurna. Jika semua keperluan ini dapat dipenuhi, anak-anak akan berasa seronok dan ukhwah keluarga dapat dimantapkan.

Konklusinya, ibu bapa perlulah melaksanakan tanggungjawab dan amanah dalam mendidik anak-anak dengan sempurna agar ikatan kekeluargaan dapat dipereratkan. Ibu bapa tidak seharusnya mengabaikan anak-anak hanya kerana untuk mengejar kemewahan hidup atau kerana mementingkan kerjaya. Anak-anak ibarat kain putih yang suci dan bersih, ibu bapalah yang berhak untuk mencorakkan kehidupan anak-anak, untuk menjadikan mereka itu berguna untuk agama, bangsa dan negara. Kemesraan yang terjalin antara ibu bapa dan anak-anak akan mewujudkan keluarga yang bahagia.  


   



    

Friday, October 4, 2013

Usaha-usaha Membantu Rakan Supaya Tidak Berterusan Melakukan Aktiviti Tidak Berfaedah





Usaha-usaha Membantu Rakan Daripada Berterusan Melakukan Perkara
Tidak Berfaedah.


Pepatah Melayu ada menyatakan buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sesekali. Peribahasa ini menggambarkan tentang larangan untuk kita melakukan kejahatan dalam hidup kita. Sekali kita terjebak dalam perkara tidak berfaedah, berkemungkinan kita akan mengulangi perkara tersebut pada masa akan datang. Perbuatan tidak berfaedah yang dilakukan oleh rakan kita berpunca daripada beberapa faktor seperti kurang pengawasan ibu bapa, keruntuhan institusi keluarga, pengaruh rakan sebaya, pengaruh media masa dan sebagainya. Apakah usaha-usaha yang boleh kita lakukan untuk membantu rakan-rakan yang berterusan melakukan perkara tidak berfaedah ini? Persoalan inilah yang akan saya rungkaikan dalam huraian berikutnya.
 
Antara usaha untuk membantu rakan daripada berterusan melakukan perkara tidak berfaedah ialah dengan memberi nasihat dan teguran secara berhemah. Kebiasaannya rakan sebaya lebih berupaya memberi nasihat dan teguran kerana mereka memahami hati budi masing-masing. Teguran yang berhemah dan menusuk jiwa mampu mengubah tingkahlaku rakan daripada melakukan perkara yang sia-sia. Sebagai rakan, kita haruslah memberi nasihat dalam situasi yang sesuai seperti ketika bermain bersama-sama, ketika minum atau ketika kita bergurau senda. Memujuk rakan yang bermasalah ini umpama menarik rambut di dalam tepung, rambut tidak putus dan tepung tidak berselerakan. Jelaslah bahawa dengan memberi nasihat dan teguran yang membina dapat mengelakkan rakan daripada melakukan perkara tidak berfaedah.
 
Selain itu, kita hendaklah mengajak rakan kita untuk mengikuti program-program yang menjurus ke arah pembinaan jati diri. Sekiranya kita mampu mengajak rakan-rakan mengikuti program yang boleh membina jati diri, sudah pasti mereka akan sedar daripada kesilapan dan kekhilafan yang pernah mereka lakukan.  Antara program yang boleh membina jati diri ialah kursus motivasi, program keagamaan, kursus pemerkasaan jati diri dan sebagainya. Program program sebegini selalunya dapat memberi kesedaran dan membina konsep kendiri kepada rakan kita. Terbuktilah, dengan mengikuti program membina jati diri dapat mengelakkan rakan kita daripada berterusan melakukan perkara yang tidak berfaedah.
 
Di samping itu, usaha-usaha lain yang boleh dilakukan ialah dengan memaklumkan kegiatan rakan kita kepada pihak yang sewajarnya seperti ibu bapa, agensi penguatkuasa dan pihak kaunselor agar mereka boleh memberi nasihat atau mengambil tindakan yang boleh pengajaran dan kesedaran. Hal ini demikian, jika perkara tidak berfaedah yang dilakukan oleh rakan tersebut dibiarkan, dibimbangi mereka akan mendapat musibah atau kecelakaan yang boleh mendatang kemudaratan pada diri mereka. Pihak yang terbabit sewajarnya mengambil tindakan segera apabila laporan diterima agar tidak menyesal di kemudian hari. Janganlah mengambil sikap sudah terhantuk baharu terngadah dalam menangani isu sebegini. Ternyatalah, melaporkan aktiviti tidak berfaedah yang dilakukan oleh rakan dapat menyekat mereka daripada terus melakukan kegiatan tidak sihat.  
 
Usaha terakhir yang boleh dilakukan untuk membantu rakan daripada berterusan melakukan perkara tidak berfaedah ialah dengan mengajak mereka mengisi waktu lapang dengan aktiviti yang berfaedah seperti melancong, mendaki gunung, memancing ikan, bersukan dan sebagainya. Apabila rakan kita disibukkan dengan aktiviti seperti ini, sudah tentu ruang dan peluang untuk mereka melakukan aktiviti tidak berfaedah semakin berkurangan ataupun terhad. Ketika melakukan aktiviti ini, kita perlulah memastikan ruang yang ada diisi dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan boleh menimbulkan suasana ceria, seronok dan gembira. Dengan cara ini, secara tidak langsung rakan kita dapat melupakan aktiviti tidak berfaedah yang sering mereka lakukan.
 
Daripada huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa rakan sebaya memainkan peranan yang sangat penting dalam usaha untuk membantu rakan agar tidak berterusan melakukan aktiviti-aktiviti tidak berfaedah. Kita janganlah bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing apabila kita mengetahui rakan kita melakukan aktiviti tidak sihat. Sikap hanya sekadar memerhati, melihat dan menjeling tidak mendatangkan sebarang kebaikan kepada diri kita dan juga rakan. Hargailah sebuah persahabatan untuk melahirkan pelapis negara yang berguna untuk membangunkan agama, bangsa dan negara.
 


Soalan Berfokus SPM 2013


Bahagian   B

[ 100 markah ]

[Masa dicadangkan : 1 jam 30 minit]


Pilih satu daripada soalan  di bawah dan tulis sebuah karangan yang  panjangnya lebih  daripada 350  patah  perkataan.

 1.    Anda  seorang pelajar  cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia di peringkat kebangsaan. 
      Pihak sekolah telah mengundang anda  untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk
     ‘Langkah-langkah Menjadi Pelajar Cemerlang’.

     Tulis  ceramah anda selengkapnya.

 
2.    Teknologi siber kini telah maju. Ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengawal
      kecenderungan anak-anak melayari  internet.

      Berdasarkan penyataan  di atas, huraikan  peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak       memanfaatkan internet  pada masa ini.

3.    Siswazah pada hari  ini kurang berminat  menceburkan  diri dalam bidang  pertanian. 
     Oleh itu, pelbagai  pihak perlu  mengambil inisiatif  untuk  menarik  minat  para 
     siswazah  menceburkan  diri dalam bidang  tersebut.

     Huraikan  peranan pihak-pihak berkenaan.

 
4.    Kecenderungan negara-negara  luar untuk campur tangan  dalam  masalah sesebuah
     negara, berpunca daripada pelbagai faktor.

     Huraikan  faktor-faktor tersebut.

 
5.    Anda  begitu teruja untuk  menyertai pertandingan menulis cerpen anjuran Dewan 
     Bahasa dan Pustaka. Berdasarkan  tajuk ‘Kerana Nila Setitik Rosak Susu Sebelanga’.

     Tulis sebuah cerpen  yang menarik.

 

 

KERTAS  SOALAN  TAMAT

Kebaikan Laman Sosial Kepada Pelajar


Lihat rajah di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang kebaikan-kebaikan laman sosial kepada pelajar. Panjangnya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

 

KEBAIKAN-KEBAIKAN LAMAN SOSIAL KEPADA PELAJAR

 

 
 
 
Mendapatkan Maklumat dengan Pantas
 
PerkongsianPelbagai Maklumat          
                
Mengeratkan Perhubungan Sosial

Rangka Karangan:
 
Pendahuluan.

Kebanjiran laman sosial dalam internet - cendawan tumbuh selepas hujan. Istilah ‘facebook’, ‘twitter’, ‘skype’, ‘whatsapp, ‘wechat’ bukan lagi asing dalam diri remaja malah saban waktu meniti dari bibir ke bibir.

 

Isi-Isi Penting.

1.     Mendapatkan maklumat dengan pantas – mengetahui perkembangan kawan setiap waktu - kebolehan mengakses laman sosial di mana-mana sahaja –pada bila-bila masa. Maklumat dihujung jari.

2.     Perkongsian pelbagai maklumat – menggunakan laman sosial untuk perkongsian ilmu yang mendatangkan manfaat - maklumat berkaitan pelajaran, peribadi dan isu-isu semasa.

3.     Mengeratkan perhubungan sosial – merapatkan ikatan persahabatan dengan mengenali rakan dengan lebih dekat walaupun tinggal berjauhan – boleh berbual, sidang video, menghantar gambar.

 

Penutup.

Laman sosial mempunyai banyak kebaikan – seharusnya tidak disalahguna kerana mendatangkan kesan negative dalam kehidupan. Pelajar harus mempunyai jati diri bagi membendung budaya tidak sihat ketika melayari lama sosial – di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.


 

Thursday, October 3, 2013

Cara-cara Memulihara Alam Sekitar








Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, sering kali kita melihat dan menatap pelbagai berita yang berkaitan alam sekitar. Berita tentang alam sekitar yang menghiasai paparan media elektronik ini juga turut menjadi bualan masyarakat di mana-mana sahaja. Sebagai spesis yang paling berkembang di muka bumi, adalah amat penting bagi kita untuk berusaha melindungi dan memelihara penghuni lain di bumi ini. Bumi kita mempunyai sistem yang kompleks dan pelbagai hasil daripada hubungan simbiosis dan saling kebergantungan. Setiap spesis mempunyai tempatnya sendiri dan biasanya tidak boleh ditukar ganti. Sebagai contoh, jika serangga menjadi pupus, banyak tumbuhan tidak akan dapat membiak dan ini mengakitbatkan binatang pemakan tumbuhan kebuluran. Secara langsung, ini akan menjejaskan binatang lain ataupun manusia yang menjadikan binatang tersebut sebagai sumber makanan. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk bergiat aktif dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.




Antara langkah memulihara alam sekitar ialah dengan mengadakan aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan persekitaran. Gotong-royong ini boleh dilakukan dalam kelompok yang kecil iaitu hanya melibatkan ahli keluarga ataupun dalam bentuk kelompok yang besar yang melibatkan masyarakat atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Peribahasa sepakat membawa berkat membuktikan sekiranya kita  mengadakan aktiviti gotong-royong, kita dapat membersihkan kawasan persekitaran kita agar alam sekitar kita lebih bersih dan secara tidak langsung dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Antara aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan untuk memulihara alam sekitar ialah membersihkan kawasan perumahan, kawasan pantai, kawasan rekreasi dan sebaginya. Jelaslah bahawa aktivti gotong royong adalah salah satu cara untuk memulihara alam sekitar.




Selain itu, pemuliharaan alam sekitar juga boleh dilakukan dengan mengadakan aktiviti penanaman semula pokok. Pokok sangat berguna kepada kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. Selain daripada membekalkan oksigen, pokok juga boleh bertindak sebagai penampan kepada kekuatan angin dan membantu menyeimbangkan ekosistem alam. Hari ini peratus pokok yang hidup semakin berkurangan akibat daripada pembalakan haram, penerokaan hutan dan pembukaan kawasan untuk pembangunan. Oleh itu, kita seharusnya menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan oleh kerajaan bagi memulihara alam sekitar.




Cara-cara memulihara alam yang seterusnya ialah dengan penguatkuasaan undang-undang. Pelbagai undang-undang telah digubal dan dipinda untuk memastikan alam sekitar kita dipulihara dan terpelihara. Namun undang-undang tersebut hanya menghiasi di dada-dada helaian kertas dan tidak dikuatkuasakan hingga mengakibatkan manusia semakin rakus menjalankan akitiviti yang merosakkan alam. Undang-undang berkaitan dengan penerokaan hutan, pencemaran alam sekitar, pembuangan sampah dan sebagainya harus dikuatkuasa dengan sepenuhnya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Kita tidak mahu sikap sudah terhantuk baru terngadah menjadi amalan dalam kehidupan kita. Jelaslah bahawa, penguatkuasaan undang-undang sangat penting untuk memulihara alam sekitar.




Cara-cara memulihara alam sekitar yang seterusnya ialah peranan yang perlu dimainkan oleh media massa sama ada ada media elektronik ataupun media cetak. Media masa adalah wahana yang menghubungkan masyarakat dengan dunia luar. Media massa berperanan memberi kesedaran dan info-info tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat. Media masa juga perlu membuat liputan yang meluas tentang kempen, program-program dan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan atau pihak swasta yang menjurus kepada pemuliharaan alam sekitar. Sikap seia sekata dan sederap melangkah antara media massa dan agensi pemuliharaan alam sekitar dapat merealisasikan keinginan kita untuk memulihara alam sekitar. Dengan kerjasama yang diberikan ini, secara tidak langsung media massa dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.




Daripada huraian yang dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita usaha-usaha memulihara alam sekitar ini bukan kerja mudah dan perlu digembeleng oleh semua pihak sama ada pihak ibu bapa, masyarakat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan juga pihak swasta. Jika kita mengamalkan sikap berpeluk tubuh atau hanya sebagai pemerhati tidak akan memberi apa-apa sumbangan dalam memulihara alam sekitar. Untuk menjamin kelangsungan hidup yang sejahtera, aman dan sihat sewajarnya kita membuat anjakan paradigma dengan berusaha memulihara alam sekitar kita. Janganlah setelah nasi menjadi bubur, barulah kita cuba berusaha melestarikan alam sekitar yang sangat bermakna ini. Marilah sama-sama kita berazam untuk terus memulihara alam sekitar yang dikurniakan oleh Allah ini dengan sebaik mungkin. 


* Berikut adalah isi isi lain yang boleh membantu :
Berikut adalah tindakan-tindakan yang boleh diambil:
# Elakkan pembersihan tanah kerana ini mengakitbatkan hakisan tanah yang boleh mencemarkan sungai dan lautan
# Tanamlah pokok kerana ini boleh mengurangkan kesan rumah hijau dan menggantikan karbon dalam udara dengan oksigen
# Kurangkan penggunaan detergen kerana bahan ini mengandungi fosfat yang boleh mengakitbatkan terlalu banyak nutrien terhasil. Kesannya pertumbuhan alga berlebihan akan mengganggu ekosistem semulajadi dan membunuh tumbuh-tumbuhan dan binatang. Jika perlu, gunakan detergen yang mengandungi kurang atau tiada fosfat.
# Gunakan mesin basuh isian hadapan kerana jenis ini menggunakan kurang air dan hanya mulakan basuhan apabila isian penuh.
# Buang sampah dalam tong yang disediakan. Walaupun sampah itu dibuang di sebarang jalan di Kuala Lumpur, kemungkinan akan sampai ke dalam lautan dan membunuh hidupan marin.
# Pastikan ikan sardin atau tuna yang anda beli ditangkap menggunakan jaring yang tidak membahayakan ikan lumba-lumba (biasanya ini tercatat pada tin).
# Elakkan dari membuang minyak masak atau minyak jenis lain ke dalam sinki. Simpan minyak ini dalam bekas dan kitar semula.
# Jangan makan atau gunakan produk yang diperbuat daripada binatang yang terancam atau dilindungi. Misalnya sirip ikan yu, sup penyu, kaki beruang dan lain-lain.