Friday, February 26, 2016

Rumusan - Buli Dalam Kalangan Pelajar

Hasil carian imej untuk buli di sekolah



Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang kesan-kesan buli dan usaha-usaha mengatasi masalah buli di sekolah. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

Perbuatan buli diertikan sebagai mengkasari orang yang lemah dengan tujuan atau maksud untuk menunjukkan kekuatan. Fenomena buli dapat dikategorikan kepada dua jenis, iaitu buli secara langsung dan buli secara tidak langsung. Buli secara langsung termasuklah aksi mengugut, menyepak, menumbuk, menendang dan sebagainya. Buli secara tidak langsung pula adalah seperti mengejek, menggunakan kata-kata kesat atau lucah dengan tujuan mengacau, mengutuk atau memerli secara berlebih-lebihan dan gosip-gosip liar. Lebih 80 peratus pelajar mengakui pernah terlibat dalam kes buli secara tidak langsung. Murid lelaki lebih banyak terbabit dalam kes buli berbanding murid perempuan. Murid-murid tingkatan empat didapati paling sedikit terbabit dalam kes buli berbanding murid-murid menengah rendah yang lain.
            Mangsa buli akan mengalami kesan negatif dalam tempoh jangka panjang, malah boleh menyebabkan kejadian bunuh diri. Di luar negara seorang murid membunuh diri kerana diejek gemuk dan berambut kerinting, malah ada yang membunuh rakannya kerana tidak tahan dibuli. Mangsa buli juga akan menjadi seorang dewasa yang terlalu emosional sehingga menjejaskan hubungan mereka dengan ahli keluarga dan orang lain. Tingkah laku buli bukan sahaja boleh menimbulkan ketakutan kepada mangsanya, tetapi rakan sekelasnya yang menyaksikan perbuatan itu juga berperasaan sedemikian walaupun mereka tidak dibuli. Presiden Persatuan Kaunseling Malaysia dan Pensyarah Jabatan Pendidikan Psikologi dan Kaunseling, Falkulti Pendidikan, Universiti Malaya, Profesor Dr. Suradi Salim berpendapat bahawa mangsa buli akan merobah personaliti mereka menjadi seorang yang penakut. Mangsa juga takut ke sekolah.
            Sebetulnya, perasaan ‘takut’ yang luar biasa ini amat memeritkan. Jika dibiarkan, peribadi individu terbabit akan menjadi lemah dan kurang berkeyakinan. Akibat ketakutan yang melampau inilah menyebabkan mereka tidak akan mengadu kepada guru atau ibu bapa manakala pembuli pula berasa seronok kerana dapat membuli mangsanya. Masalah ini hanya dapat dikesan apabila menjadi serius sehingga berlaku kecederaan fizikal. Sedangkan selama ini emosi mangsa telah lama ‘cedera’ akibat perbuatan pembuli atau mereka yang tidak begitu mengendahkan aduan mereka. Masalah ini perlu diatasi  segera supaya murid dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada pelajaran. Oleh itu, semua pihak perlu bekerjasama bagi menangani masalah yang semakin meruncing dan berbahaya ini.

(Diubahsuai daripada “Menangani masalah buli di sekolah”

Dewan Siswa, Ogos 2005.)

No comments:

Post a Comment