Friday, February 26, 2016

Novel Tirani (Sinopsis)

Novel Tingkatan 5

NOVEL TIRANI

oleh Beb Sabariah

 


BAB 1 – MELONTAR PUING DUKA
Waheeda ingin melakukan pembedahan plastik untuk mencantikkan wajahnya. Namun, ibunya sering menasihatinya supaya memelihara kecantikan asli ciptaan Tuhan.

Walau bagaimanapun, bagi Waheeda, usaha untuk melakukan pembedahan plastik bukanlah mengubah ciptaan Tuhan tetapi bertujuan untuk membaiki, memulih serta menjaga kekemasan diri.

Dia teringat akan zaman persekolahannya. Dia sering diejek dengan panggilan 'hidung pesek'. Kulit mukanya juga sering menggerutu penuh dengan jerawat. Keluarganya pula mendirikan pusat pelancongan di Tajau Emas.

BAB 2 - DAYANG MUDA
Bab 2 novel ini mengisahkan Waheeda, pengurus Chalet Tajau Emas rancak berbual dengan sepupunya, Fatimah, graduan akauntan yang cemerlang.Waheeda terus mencapai telefon apabila deringan kedengaran. Waheeda berubah menjadi serius apabila melibatkan kompromi perniagaan. Dia berasa bahawa kehadiran rombongan istimewa dari Eropah merupakan peluang keemasan baginya untuk memajukan chaletnya. Waheeda kagum akan ayahnya, Fadhli yang merupakan pemandu pelancong, seorang yang peramah dan pandai menghiburkan hati pelawatnya. Fadhli juga sering berkongsi cerita mengenai sejarah Sarawak kepada pelancong.

Waheeda dan Fatimah berbincang tentang persiapan yang perlu dilakukan bagi menyambut rombongan pelawat istimewa itu. Pada hari rombongan itu datang, sedang pekerja chalet melayan tetamu, Kamri beteriak kepada orang ramai dan mengatakan bahawa monyet telah masuk ke dalam chalet. Waheeda yang berada di pejabat telah diserang oleh monyet di bahagian hidung dan pipi. Dia dikejarkan ke hospital. Setelah dirawat, Waheeda risau akan wajahnya yang akan berparut. Doktor Zakaria memperkenalkan Waheeda kepada seorang doktor untuk melakukan pembedahan di muka kerana Waheeda berminat untuk melakukannya.Ibu bapanya berasa bersyukur kerana anak mereka baik-baik sahaja.

BAB 3 – KATARSIS
Melalui bantuan Ghazi, Waheeda meninggalkan kampungnya untuk menjalani pembedahan plastik kerana ingin menjadi cantik. Ibunya, Raidah  menemani Waheeda sebelum perpisahan. Mereka mendengar radio sambil berbual-bual.

Apabila mereka mendapat berita tentang jambatan Tun Abdul Rahman Yakub telah runtuh, Raidah pun mengimbas kembali zaman remajanya kerana zaman itulah jambatan tersebut dibina. Raidah mula bercerita tentang sejarah jambatan itu.

Waheeda pula mengenangkan pembaharuan diri selepas pembedahan plastik. Walaupun mempunyai risiko semasa menjalaninya, Waheeda tidak akan menyesal.

Selepas menghabiskan masa yang panjang dalam perjalanan, mereka tiba di lapangan terbang. Waheeda menitiskan air matanya semasa menaik kapal terbang kerana tidak sanggup untuk berpisah dengan keluarganya, kawannya dan juga tanah airnya.

Sebelum Waheeda tiba di Singapura, dia mengingati rakan lamanya, Bazilah yang bertinggal di Johor. Waheeda tidak mahu menyusahkan kawannya untuk meruangkan masa bagi menjembut kedatangannya di lapangan kerana masa sampainya ialah masa bekerja Bazilah. Oleh itu, dia merahsiakan waktu penerbangannya.

BAB 4 – SEMARAK API SEMARAK HARI
Waheeda sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. Selepas menjamu selera, dia menaiki sebuah teksi dan menuju ke destinasi Bazilah, rakan kolejnya.
Selepas sampai di rumah Bazilah, Bazilah menerangkan perihal tuan rumah tersebut dan bilik yang akan disewa oleh Waheeda sehingga pembedahannya berakhir. Mereka juga berbincang tentang perjumpaan Waheeda dengan Dr. Zahari keesokan harinya.

Pada keesokan harinya, kedua-dua rakan baik tersebut pergi ke salah satu pusat perniagaan di Jalan Orchard dengan menaiki MRT.Mereka berjumpa dengan Dr. Zahari di sebuah kedai buku. Dr. Zahari menerangkan  pembedahan plastik hidung yang hendak dilakukan kepada Waheeda.

Keesokan harinya, Waheeda dan Bazilah pergi ke Silicon Medical Centre untuk berjumpa dengan Dr. Alma Chen. Beliau juga memberikan penerangan mengenai prosedur pembedahan yang hendak dilakukan oleh Waheeda.

BAB 5 – DOA SELAMAT
Waheeda resah memikirkan pembedahan yang bakal dijalaninya. Pembedahan selama 10 jam itu membuatkan dia memikirkan pelbagai perkara yang bakal dihadapinya. Namun, dia sedar bahawa sesuatu yang terjadi pasti ada hikmahnya. Dia bertawakal kepada Allah dalam hal ini. Hatinya menjadi semakin kuat untuk meneruskan pembedahan ini apabila dia melihat wajah-wajah wanita yang berjaya membuat rekonstruksi yang dipamerkan dalam album yang telah dilihatnya ketika di SMC beberapa hari lalu.

Siang berganti malam. Waheeda menceritakan rawatan integrasi yang bakal dilaluinya kepada abangnya melalui emel. Apabila Waheeda menghantar mesej bahawa pembedahannya mengambil masa sehari suntuk, ibunya, Raidah mula cemas. Raidah ingin ke Singapura menemani anaknya sepanjang pembedahan dijalankan. Dia mengarahkan Kamri supaya membeli daun nipah muda untuk dibuat ketupat lepas.

Keesokan paginya, Waheeda menceritakan ketupat lepas kepada Bazilah seperti yang dijanjikan. Selepas itu, Waheeda mengemas rumah yang disewanya kerana Bazilah terpaksa menghadiri kuliah lebih awal pada pagi itu. Bibir merungut seolah-olah sudah menjadi suri rumah. Tiba-tiba ibunya, Raidah menelefon. Dia bergegas ingin bersiap ke Lapangan Terbang Changi. Tanpa diduga, ibunya muncul di depan pintu rumah. Mereka saling berpelukan dengan begitu erat sekali.


Hari berganti hari. Bazilah menemani Waheeda dan ibunya ke SMC. Mereka terus menuju ke tingkat dua untuk berjumpa dengan Dr. Alma Chen dan perbincangan bernada serius saling berganti. Mala, juru rawat di situ diarahkan oleh Dr. Alma Chen untuk menemani mereka ke bilik bedah. Dalam perasaan yang begitu takut, Waheeda menggenggam erat tangan ibunya. Setibanya di hadapan dewan kuarantin, Waheeda terus memeluk ibunya erat-erat. Kemudian, dia memeluk Bazilah. Dia masuk ke bilik persediaan pembedahan dengan harapan dia akan selamat selepas pembedahan dan impiannya menjadi kenyataan.

1 comment: