Friday, March 28, 2014

Perancangan Untuk Mencapai Kecemerlangan Dalam Peperiksaan



Tajuk Perbincangan Kumpulan 2
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya

Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia semakin hampir. Anda berazam untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut.
Jelaskan perancangan-perancangan anda untuk mencapai matlamat itu.

                  Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya murid-murid  berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi  untuk mencapainya. Murid-murid  tidak sepatutnya menganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh sebab itu, saya sebagai salah seorang murid, berazam untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam Peperiksaan  Sijil Pelajaran  Malaysia, harus berusaha untuk mencapai kecemerlangan tersebut. Persoalannya, apakah usaha-usaha yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan tersebut?

Antara usaha yang akan saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ialah saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di bilik darjah. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar sudah tentulah sesuatu pembelajaran tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi terkenal pernah menyatakan bahawa “ lima puluh peratus” kejayaan pelajar-pelajar adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan. Contohnya, saya akan bertanya kepada guru sekiranya terdapat sesuatu topik yang saya kurang fahami kerana berdasarkan satu kajian yang telah saya jalankan dan saya telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar-pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan-soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Jelaslah, memberi  tumpuan ketika guru-guru sedang mengajar merupakan salah satu langkah dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik. Contohnya, saya akan menyediakan jadual waktu belajar  dan saya akan mengikutinya dengan tegas. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulang kaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Terbuktilah, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

Di samping itu, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya akan membuat lebih banyak latihan dan saya juga akan mengulang kaji pelajaran secara berterusan. Ungkapan yang dipetik daripada Bahasa Inggeris iaitu, “practice makes perfect”. Kalau ungkapan ini ditukarkan ke dalam Bahasa Melayu, maka ungkapannya akan menjadi, “praktis asas kecemerlangan”. Kedua-dua ungkapan ini membawa maksud yang sama iaitu jikalau seorang itu membuat latihan yang banyak maka dia akan mencapai kecemerlangan dalam hidup. Contohnya, saya akan membuat latihan bagi setiap mata pelajaran setelah selesai mengulang kaji sesuatu topik dan saya akan membuat ulang kaji secara berterusan untuk memastikan saya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran. Ternyatalah, membuat lebih banyak latihan dan mengulang kaji pelajaran secara berterusan, pastinya saya akan mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti.

 Seterusnya, saya akan mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Contohnya, saya akan menyertai segala program-program yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan-soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai dalam program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan pelbagai jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Tuntasnya, penyertaan saya dalam program-program sekolah merupakan salah satu usaha bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Usaha yang berikutnya ialah bersikap sabar, tabah dan tidak mudah putus asa. Seseorang yang ternama pernah menyatakan bahawa jika seseorang itu berjaya dalam hidupnya, tentu dia telah menemui kegagalan beberapa kali kerana untuk mencapai sesuatu kejayaan tentu ada kekangan yang akan kita tempuhi. Contohnya, jika saya gagal mendapat penyelesaian untuk sesuatu soalan, saya tidak akan putus asa, malah saya akan mencuba beberapa kali sehingga saya mendapat penyelesaiannya. Sudah terang lagi bersuluh, saya perlu bersikap sabar, tabah dalam menghadapi halangan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan dan tidak akan mudah putus asa untuk memperoleh kecemerlangan dalam peperiksaan.

Kesimpulannya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya hendaklah mempratikkan usaha-usaha yang telah saya huraikan dalam huraian di atas. Saya berazam untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan adalah untuk masa depan saya agar tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap-gelita. Oleh itu, saya akan belajar berungguh-sungguh  untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

7 comments: