Friday, March 28, 2014

Peranan Remaja Untuk Membentuk Remaja Cemerlang





Tajuk Perbincangan Kumpulan 4:
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya

Pelbagai masalah remaja menjadi bualan semua pihak dan dikatakan memberi kesan kepada generasi akan datang.

Sebagai remaja, huraikan peranan anda bagi membentuk remaja yang cemerlang

            Dalam era modenisasi ini, dunia menyaksikan iktisad negara membangun seperti cendawan tumbuh selepas hujan. Negara semakin pesat membangun seperti tenggelam sama basah timbul sama hanyut, seiringan dengan negara maju yang lain.  Namun permasalahan remaja cemerlang masih tiada penghujungnya. Dari segi konsepsinya, remaja cemerlang boleh didefinisikan sebagai remaja yang mempunyai matlamat yang jelas dalam membuat sesuatu perkara. Biasanya, remaja yang cemerlang mempunyai sifat-sifat mahmudah sebagai tonggak utama mencapai kejayaan. Natijahnya, remaja yang cemerlang ini akan mengecapi masa depan yang lebih cerah. Remaja yang cemerlang boleh dianalogikan sebagai biji benih yang baik dicampakkan ke darat menjadi permata yakut yang bersinar cemerlang, dicampakkan ke laut menjadi pulau yang penuh khazanah terawang di angkasa menjadi bintang kejora yang bersinar. Dalam huraian yang berikutnya, saya akan jelaskan peranan saya sebagai seorang pelajar bagi memupuk remaja yang cemerlang.

            Sudah terang lagi bersuluh, dengan menghormati ibu bapa dapat melahirkan remaja yang cemerlang. Hal ini kerana ibu bapa berasa lebih tenang dan gembira apabila kita mengormati mereka. Segala yang dilakukan pasti akan mendapat keberkatan. Oleh itu,  setiap remaja haruslah menghormati ibu bapa mereka agar mendapat keberkatan di dunia dan di akhirat. Menurut Dato Dr Fadzillah Kamsah, setiap anak wajib menghormati ibu bapa kerana ibu bapa boleh dianalogikan sebagai cahaya yang sentiasa bersinar dengan terangnya. Bahkan dalam menghormati ibu bapa dapat memupuk remaja yang bersahsiah mulia dan berwawasan. Firman Allah S.W.T dalam surah An-Nahl, ayat 125, serulah ke jalan Tuhanmu, wahai Muhammad  dengan hikmah dan bijaksana serta berbahaslah dengan mereka dengan cara yang baik, sesungguhnya Tuhanmu lebih mengetahui asal usul hambanya. Oleh itu ibu bapa sewajarnya memiliki skil kontemporari dalam mendidik anak-anak. Tambahan pula, ibu bapa ialah golongan  yang wajib kita hormati. Kita sebagai anak tidak sepatutnya menjadi seperti kacang lupakan kulit. Sekiranya setiap remaja menghormati ibu bapa mereka, maka kehidupan keluarga akan sentiasa terjamin

            Selain itu, kita juga perlu bijak menguruskan masa. Hal ini kerana ramai pelajar mahupun remaja sering merungut menghadapi kekangan masa. Namun, tidak dapat dinafikan bahawa pelajar yang cemerlang mampu menguruskan masa dengan baik dan lebih bersistematik dengan membina jadual harian mahupun jadual belajar secara persendirian. Natijahnya, akan lahirlah pelajar yang tidak mengalami tekanan dalam kehidupan seharian mereka. Masa yang terluang perlu diisi dan dimuatkan dengan perkara yang bermanfaat. Pelajar cemerlang SPM tahun 2009, Nik Nur Madihah yang mencapai keputusan 20 A telah menggunakan masa yang terluang dengan mengulang kaji pelajaran. Biarpun masa yang ada tidak mencukupi, namun tiada rungutan yang dikeluarkan olehnya, sebaliknya berusaha menguruskannya dengan bijak. Hal ini telah membuktikan bahawa masa itu amat bernilai dalam diri seseorang pelajar mahupun remaja yang berwawasan. Pelajar yang cemerlang merasakan bahawa kehidupan yang dilayarinya begitu padat sehingga tidak mampu untuk bernafas. Sebaliknya, pelajar mahupun remaja yang tidak mempunyai wawasan hidup yang jelas akan merasakan sehari bagai seminggu untuk dijalani. Pengurusan masa yang sistematik dan teratur  mampu membina  ketenangan  diri sewaktu menghadapi peperiksaan. Sesungguhnya, amatlah rugi kehidupan seseorang remaja sekiranya membiarkan masa yang bernilai ibarat emas berlalu dengan begitu sahaja tanpa disedari. Haruslah diingatkan bahawa, masa yang bernilai tidak akan berulang untuk kali kedua. Sekiranya remaja mahupun pelajar bijak menguruskan dan memanfaatkan masa dengan sebaik mungkin, nescaya kehidupan mereka akan bebas daripada mengalami tekanan mahupun stres yang hebat. Oleh itu, sekiranya setiap remaja mampu menguruskan masa dengan bijak, nescaya kehidupan seseorang individu akan lebih cemerlang dan maju kehadapan . 

            Dari sudut kodifikasi yang berbeza, remaja yang rajin berusaha dan beristiqamah untuk mencapai kejayaan tanpa mengenal erti berputus asa pasti akan berjaya. Hal ini kerana manusia yang mudah mengalah tidak akan mencapai sesuatu yang dikehendakinya tanpa berusaha. Masa depan mereka musnah dan mereka akan hidup tanpa arah tuju yang kukuh. Secara tidak langsung mereka akan menjadi seorang yang mudah terpengaruh dengan budaya kuning. Menurut seorang tokoh terapi minda terkenal iaitu Dr. Muhaya,  manusia yang tidak berharap untuk menang telah sedia kalah. Remaja seharusnya mengikut sikap seperti burung jentayu yang patah sayap bertongkatkan paruh, patah paruh bertongkatkan dagu, patah dagu bertongkatkan kuku. Jika kita menghadapi sesuatu rintangan seperti patah kandar di tengah jalan, kita seharusnya  menghadapinya dengan kental. Remaja yang rajin berusaha pasti tidak akan takut untuk jatuh lalu tertiarap malah pasti akan bangun semula  dari kegagalan. Orang yang tidak berusaha, pasti cetek ilmunya. Sekiranya remaja berusaha ditambah pula dengan doa dan tawakal pasti akan berjaya dan mampu membangun dan membanggakan nama negara kelak.

            Seterusnya, agama sememangnya penting sebagai petunjuk supaya mereka sentiasa berada pada landasan yang sepatutnya. Oleh itu, remaja cemerlang akan mempunyai didikan agama yang sempurna dalam diri mereka. Hal ini kerana didikan agama yang secukupnya  dapat membentuk jati diri dan sahsiah yang mulia. Remaja yang mempunyai didikan agama boleh dianalogikan seperti pokok yang mendapat baja yang baik untuk terus hidup. Menurut Albert Einstein, agama tanpa ilmu adalah buta, ilmu tanpa agama adalah lumpuh. Terbuktilah, agama sangat penting dalam membentuk remaja yang cemerlang, seterusnya dapat membantu untuk merealisasikan visi negara. Oleh itu, ibu bapa perlu memberikan penegasan kepada anak – anak mereka untuk menunaikan solat lima waktu, mengaji dan memberi didikan fardu ain bagi membendung anak – anak terjebak dengan perkara yang sia – sia. Natijahnya, remaja tidak akan terpesong dari landasan yang betul. Jadi benarlah bahawa didikan agama memberi kesan yang mendalam untuk membentuk remaja yang cemerlang

            Kesimpulannya, remaja yang cemerlang merupakan remaja yang sanggup merentasi segala halangan bagi mencapai segala yang diimpikan dan merupakan tonggak kepada keluarga serta menjadi pelapis negara yang sentiasa mempunyai idea untuk menempatkan negara dengan acuannya sendiri. Biasanya, remaja yang ingin mencapai kejayaan di menara gading akan memerah tenaga bagi mencapai kecemerlangan hidup di dunia dan di akhirat. Ibu bapa juga akan menjadi cermin kepada seseorang remaja dan akan menjadikan mereka sebagai idola atau perangsang untuk membina kecemerlangan diri. Remaja yang cemerlang akan menjadi seperti pucuk dengan pelepah. Menurut Dato Dr Haji Fadzillah Kamsah, seorang pakar motivasi, jika tujuan kita jelas , kita boleh mencapai kecemerlangan dengan jayanya. Sebagai pemimpin pelapis, remaja yang cemerlang akan pandai meniti buih supaya selamat tiba di seberang. Janganlah hanya menjadi seperti angan – angan Mat Jenin yang akhirnya jatuh ke perdu pohon. Oleh itu, remaja perlu memiliki sifat – sifat mahmudah bagi menjadi seorang remaja yang cemerlang untuk menerangi kehidupan kelak. Remaja yang cemerlang akan dapat melayari bahtera kehidupan dengan  lebih cemerlang tanpa sebarang masalah. Semoga remaja yang cemerlang dapat merealisasikan Wawasan 2020 bagi memastikan negara duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara lain.

1 comment:

  1. Stupid fucking clickbait just to fish views for that stupid fucking youtube video about fucking cranes

    ReplyDelete