Tajuk Pembentangan Kumpulan 5
Tingkatan 5 Sains 2 – SMK Sijangkang Jaya.
Berdasarkan
beberapa kajian, kesedaran membaca dalam kalangan remaja dikatakan masih
rendah.
Huraikan peranan
yang harus dilaksanakan oleh ibu bapa bagi memupuk budaya membaca dalam
kalangan anak-anak.
Sedasawarsa ini,
sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia tentang isu budaya membaca yang
kian meruncing dalam kalangan remaja. Acap kali kita dengar, slogan Membaca
Jambatan Ilmu sering menghiasi di dada-dada akhbar, internet dan televisyen.
Hal ini jelas menunjukkan bahawa budaya membaca dapat memberikan banyak manfaat
kepada masyarakat. Namun demikian, masyarakat Malaysia terutamanya golongan
remaja tidak gemar membaca sehingga menyebabkan mereka tidak menguasai ilmu
pengetahuan dan bolehlah diibaratkan seperti katak di bawah tempurung. Siapakah
yang harus dipersalahkan sekiranya fenomena ini berlaku sehingga remaja
Malaysia banyak yang buta maklumat? Tepuk dada tanya selera. Sesungguhnya Ibu
bapa berperanan penting untuk mencorakkan budaya membaca dalam diri anak-anak
Apakah peranan yang
perlu dimainkan oleh ibu bapa dalam memupuk semangat membaca dalam kalangan
remaja? Hal ini kerana ibu bapalah orang yang paling hampir dengan anak-anak
dan sudah tentulah ibu bapa tahu cara yang terbaik untuk berdepan dengan
masalah ini. Oleh yang demikian, ibu bapa sewajarnya mengeluarkan modal
dengan membeli bahan-bahan bacaan dan bahan-bahan ilmiah untuk anak-anak
mereka. Dalam konteks ini, minat membaca dalam diri remaja akan dapat disemai
sekali gus menambahkan ilmu pengetahuan kepada remaja. Ibu bapa juga perlulah
kerap membawa anak-anak mereka ke kedai buku pada setiap hujung minggu.
Berdasarkan manifestasi tersebut, remaja dapat memilih buku-buku yang hendak
dibeli oleh mereka sekali gus menambahkan minat dalam diri mereka. Setelah
dikaji hingga ke akar umbi, remaja dapat mengetahui jenis-jenis buku yang
dibaca oleh mereka sekiranya remaja kerap ke kedai buku. Umum mengetahui,
anak-anak diibaratkan kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya sama ada kearah
kejayaan atau kegagalan
Pada masa yang sama,
ibu bapa hendaklah menyediakan bilik khas untuk membaca di rumah seperti
perpustakaan mini yang mempunyai banyak buku di dalamnya. Dalam konteks ini, remaja
dapat membaca dalam keadaan yang lebih kondusif, senyap dan harmoni. Secara
tidak langsung, remaja tidak akan terlibat dengan kegiatan yang tidak berfaedah
seperti melepak di pusat-pusat membeli-belah, merokok dan lumba haram. Hal ini
kerana, remaja mengisi masa terluang mereka dengan membaca bahan-bahan ilmiah
di rumah mereka. Mereka menjadikan rumah sebagai pusat atau gedung ilmu yang
boleh mencanai minda sihat. Oleh yang demikian, remaja akan memanfaatkan masa
dengan berkesan kerana masa itu emas. Manakala ibu bapa pula akan berasa
selamat kerana anak-anak berada di rumah. Jadi tidak timbullah fenomena sudah
terhantuk baru tergadah kerana kegagalan ibu bapa memanfaatkan masa yang
terluang anak-anak, maka mereka terlibat dengan dakyah songsang.
Selain itu, ibu bapa
hendaklah menyediakan banyak sudut bacaan di rumah. Secara tidak
langsung, remaja tidak akan berasa bosan untuk membaca, malah semakin minat
untuk membaca. Hal ini kerana mereka tidak tertakluk dalam satu-satu ruang
bacaan sahaja sebaliknya mereka boleh memanfaatkan semua sudut rumah mereka
sebagai tempat untuk membaca. Dalam pada masa yang sama, ibu bapa usah
jemu-jemu memberi dorongan dan nasihat kepada remaja agar mereka terus
mengamalkan budaya membaca dalam kehidupan mereka. Secara tidak langsung,
remaja akan menyedari kepentingan membaca dalam kehidupan mereka. Ibu bapa juga
harus memupuk minat membaca dalam diri mereka sendiri agar dapat dicontohi
anak-anak, bak kata pepatah ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Oleh
itu, sesuai dengan kata-kata mantan Perdana Menteri kita Tun Dr Mahathir Bin
Muhammad iaitu Kepimpinan Melalui Teladan kerana bapa borek anak rintik
Umum mengetahui
bahawa setiap tahun pihak kerajaan akan mengadakan Karnival Buku yang
merangkumi pameran buku atau jualan buku di mana-mana sahaja di negara kita.
Kesempatan sebegini harus digunakan oleh ibu bapa untuk membawa seisi
keluarga mengunjungi karnival tersebut. Dalam konteks ini, remaja akan
didedahkan secara terus tentang buku-buku terkini yang ada di pasaran. Kaedah
ini secara tidak langsung mewujudkan keadaan dua dalam satu iaitu sambil
mengunjungi karnival buku bersama-sama, secara konotasinya dapat memantapkan
hubungan kekeluargaan. Sudah semestinya ibu bapa akan menggunakan peluang ini
untuk membeli buku-buku yang banyak kerana ada potongan harga dengan kadar yang
rendah diberikan. Penjimatan dapat dilakukan sambil melabur untuk kepentingan
pendidikan anak-anak pada masa akan datang. Impaknya, ibu bapa mampu menyemai
budaya membaca dalam kalangan remaja seawal usia muda.
Meninjau kepentingan
membaca dalam kalangan remaja ini, ibu bapa perlu memainkan peranan yang
berterusan agar mempunyai kesimbungan dengan ilmu pengetahuan. Antara
kaedah yang boleh dijalankan ialah dengan menampal keratan-keratan akhabar, artikel ilmiah baik berkaitan
pelajaran ataupun pengetahuan am. Hal ini, tanpa disedari remaja akan melihat
dan membaca berulang-ulang kali tentang bahan yang ditampal tersebut. Pada
realitinya, budaya membaca sewajarnya ditekankan dalam lingkungan ahli keluarga
amnya dan remaja khasnya. Oleh itu, penggunaan masa yang sebaik mungkin akan
dapat menambahkan ilmu pengetahuan sekaligus menjadikan remaja lebih
bermaklumat dan mampu untuk memberikan idea dan pandangan apabila mereka berada
dalam kelompok masyarakat persekitaran
Sebagai konklusinya, budaya membaca perlu dipupuk dalam kalangan remaja.
Ibu bapa merupakan agen penting dalam memupuk kesedaran ini kerana budaya
membaca mampu mencetuskan idea yang bernas dan penuh dengan visi dan misi dalam
kehidupan mereka. Justeru, ibu bapa yang berjaya memupuk minat membaca dalam
kalangan remaja secara langsung dapat mengelakkan remaja daripada terlibat
dalam perkara-perkara yang tidak berfaedah dan mendatangkan impak yang negatif
kepada mereka. Biar kita menangis dahulu sebelum kita menangis kemudian kerana
sesal dahulu pendapat, sesal kemudian tiada gunanya. Jelaslah bahawa Bangsa
Membaca, Bangsa Berjaya.
re3ere343434
ReplyDelete