Dalam era ledakan teknologi maklumat hari ini, sering kali kita melihat dan menatap pelbagai berita yang berkaitan alam sekitar. Berita tentang alam sekitar yang menghiasai paparan media elektronik ini juga turut menjadi bualan masyarakat di mana-mana sahaja. Sebagai spesis yang paling berkembang di muka bumi, adalah amat penting bagi kita untuk berusaha melindungi dan memelihara penghuni lain di bumi ini. Bumi kita mempunyai sistem yang kompleks dan pelbagai hasil daripada hubungan simbiosis dan saling kebergantungan. Setiap spesis mempunyai tempatnya sendiri dan biasanya tidak boleh ditukar ganti. Sebagai contoh, jika serangga menjadi pupus, banyak tumbuhan tidak akan dapat membiak dan ini mengakitbatkan binatang pemakan tumbuhan kebuluran. Secara langsung, ini akan menjejaskan binatang lain ataupun manusia yang menjadikan binatang tersebut sebagai sumber makanan. Oleh itu, adalah amat penting bagi kita untuk bergiat aktif dalam usaha-usaha pemuliharaan alam sekitar.
Antara langkah memulihara alam sekitar ialah dengan mengadakan aktiviti gotong- royong membersihkan kawasan persekitaran. Gotong-royong ini boleh dilakukan dalam kelompok yang kecil iaitu hanya melibatkan ahli keluarga ataupun dalam bentuk kelompok yang besar yang melibatkan masyarakat atau agensi-agensi kerajaan yang berkaitan. Peribahasa sepakat membawa berkat membuktikan sekiranya kita mengadakan aktiviti gotong-royong, kita dapat membersihkan kawasan persekitaran kita agar alam sekitar kita lebih bersih dan secara tidak langsung dapat menjamin kesihatan diri, keluarga dan masyarakat. Antara aktiviti gotong-royong yang boleh dijalankan untuk memulihara alam sekitar ialah membersihkan kawasan perumahan, kawasan pantai, kawasan rekreasi dan sebaginya. Jelaslah bahawa aktivti gotong royong adalah salah satu cara untuk memulihara alam sekitar.
Selain itu, pemuliharaan alam sekitar juga boleh dilakukan dengan mengadakan aktiviti penanaman semula pokok. Pokok sangat berguna kepada kehidupan manusia. Kepentingan pokok terhadap alam sekitar umpama aur dengan tebing iaitu saling memerlukan. Selain daripada membekalkan oksigen, pokok juga boleh bertindak sebagai penampan kepada kekuatan angin dan membantu menyeimbangkan ekosistem alam. Hari ini peratus pokok yang hidup semakin berkurangan akibat daripada pembalakan haram, penerokaan hutan dan pembukaan kawasan untuk pembangunan. Oleh itu, kita seharusnya menyahut seruan atau menyokong kempen penanaman pokok yang dijalankan oleh kerajaan bagi memulihara alam sekitar.
Cara-cara memulihara alam yang seterusnya ialah dengan penguatkuasaan undang-undang. Pelbagai undang-undang telah digubal dan dipinda untuk memastikan alam sekitar kita dipulihara dan terpelihara. Namun undang-undang tersebut hanya menghiasi di dada-dada helaian kertas dan tidak dikuatkuasakan hingga mengakibatkan manusia semakin rakus menjalankan akitiviti yang merosakkan alam. Undang-undang berkaitan dengan penerokaan hutan, pencemaran alam sekitar, pembuangan sampah dan sebagainya harus dikuatkuasa dengan sepenuhnya bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Kita tidak mahu sikap sudah terhantuk baru terngadah menjadi amalan dalam kehidupan kita. Jelaslah bahawa, penguatkuasaan undang-undang sangat penting untuk memulihara alam sekitar.
Cara-cara memulihara alam sekitar yang seterusnya ialah peranan yang perlu dimainkan oleh media massa sama ada ada media elektronik ataupun media cetak. Media masa adalah wahana yang menghubungkan masyarakat dengan dunia luar. Media massa berperanan memberi kesedaran dan info-info tentang kepentingan menjaga alam sekitar kepada masyarakat. Media masa juga perlu membuat liputan yang meluas tentang kempen, program-program dan usaha-usaha yang dijalankan oleh kerajaan atau pihak swasta yang menjurus kepada pemuliharaan alam sekitar. Sikap seia sekata dan sederap melangkah antara media massa dan agensi pemuliharaan alam sekitar dapat merealisasikan keinginan kita untuk memulihara alam sekitar. Dengan kerjasama yang diberikan ini, secara tidak langsung media massa dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada masyarakat berkaitan dengan kepentingan pemuliharaan alam sekitar.
Daripada huraian yang dinyatakan di atas, jelaslah kepada kita usaha-usaha memulihara alam sekitar ini bukan kerja mudah dan perlu digembeleng oleh semua pihak sama ada pihak ibu bapa, masyarakat, pemimpin masyarakat, agensi kerajaan dan juga pihak swasta. Jika kita mengamalkan sikap berpeluk tubuh atau hanya sebagai pemerhati tidak akan memberi apa-apa sumbangan dalam memulihara alam sekitar. Untuk menjamin kelangsungan hidup yang sejahtera, aman dan sihat sewajarnya kita membuat anjakan paradigma dengan berusaha memulihara alam sekitar kita. Janganlah setelah nasi menjadi bubur, barulah kita cuba berusaha melestarikan alam sekitar yang sangat bermakna ini. Marilah sama-sama kita berazam untuk terus memulihara alam sekitar yang dikurniakan oleh Allah ini dengan sebaik mungkin.
* Berikut adalah isi isi lain yang boleh membantu :
Berikut adalah tindakan-tindakan yang boleh diambil:
# Elakkan pembersihan tanah kerana ini mengakitbatkan hakisan tanah yang boleh mencemarkan sungai dan lautan
# Tanamlah pokok kerana ini boleh mengurangkan kesan rumah hijau dan menggantikan karbon dalam udara dengan oksigen
# Kurangkan penggunaan detergen kerana bahan ini mengandungi fosfat yang boleh mengakitbatkan terlalu banyak nutrien terhasil. Kesannya pertumbuhan alga berlebihan akan mengganggu ekosistem semulajadi dan membunuh tumbuh-tumbuhan dan binatang. Jika perlu, gunakan detergen yang mengandungi kurang atau tiada fosfat.
# Gunakan mesin basuh isian hadapan kerana jenis ini menggunakan kurang air dan hanya mulakan basuhan apabila isian penuh.
# Buang sampah dalam tong yang disediakan. Walaupun sampah itu dibuang di sebarang jalan di Kuala Lumpur, kemungkinan akan sampai ke dalam lautan dan membunuh hidupan marin.
# Pastikan ikan sardin atau tuna yang anda beli ditangkap menggunakan jaring yang tidak membahayakan ikan lumba-lumba (biasanya ini tercatat pada tin).
# Elakkan dari membuang minyak masak atau minyak jenis lain ke dalam sinki. Simpan minyak ini dalam bekas dan kitar semula.
# Jangan makan atau gunakan produk yang diperbuat daripada binatang yang terancam atau dilindungi. Misalnya sirip ikan yu, sup penyu, kaki beruang dan lain-lain.
Karangan initial memang terbaikkk
ReplyDeleteTerbaik
ReplyDeleteIngin meminta pendapat sekiranya penggunaan pestisid boleh memulihara Alam sekitar. Sila beri pendapt.
ReplyDeleteTENKIU
ReplyDeleteMintak kebenaran control c and control v
ReplyDelete