Thursday, January 26, 2012

Kupasan Novel Konserto Terakhir - Latar




Latar :

1) Latar Tempat :
# Sekitar Kuala Lumpur.
# Di rumah Datuk Johari -
# Di rumah Dr Nathan - tempat Hilmi berhubung dengan Mamat.
# Di Stesen Minyak Shell, Jalan Setapak - tempat Hilmi bekerja setelah meninggalkan rumah datuk Johari.
# Kedai kopi berdekatan rumah Encik Bakar - Pak Amat Darwin menasihati Hilmi.
# Rumah Encik Bakar - tempat Hilmi belajar alat-alat muzik dan menggubah lagu - tempat hilmi berhubung dengan Azizah.
# Hotel Titiwangsa - tempat Hilmi bermain muzik, menyampaikan lagu "Sebuah Intermeso" - lagu yang mengharumkan nama Hilmi.
# Padang Bandaran Kelantan - tempat orkes Hilmi bermain semasa perayaan Sultan kelantan.
# Hospital Besar Kuala Lumpur - tempat Encik Bakar meninggal dunia dan tempat Hilmi terlantar sakit dan meninggal dunia.
# Dewan Tunku Canselor, UM - tempat berlangsungnya Pertunjukkan orkestra Perdana yang diambil alih oleh Hayati.

Latar Masa :
1. Sebelum tahun 1980 an atau pada zaman moden.
2. Pada masa pegawai Inggeris masih bertugas di Malaysia - Tuan Milton diminta oleh Datuk Johari memberikan pekerjaan kepada Hilmi.
3. Masa masyarakakat kampung belum membangun - penghijrahan org kampung ke bandar.
4. Berlaku pada waktu siang dan malam -

Latar Masyarakat :
1. Masyarakat bandar yang tidak mengamalkan semangat kejiranan.
2. Masyarakat bandar yang mementingkan pangkat dalam pergaulan.
3. Masyarakat bandar yang memandang rendah terhadap orang miskin.
4. Masyarakat bandar yang tidak menagamalkan ajaran agama.
5. Masyarakat bandar yang sibuk dengan tugas sosial.
6. Masyarakat yang meminati bidang muzik.
7. Masyarakat yang penyayang dan berasa simpati.
8. Masyarakat yang ikhlas dalam memberikan pertolongan.
9. Masyarakat yang mendengar nasihat, teguran dan pandangan orang lain.
10. Masyarakat yang gigih berusaha untuk mencapai kejayaaan.
11. Masyarakat yang insaf setelah melakukan kesalahan.
12. Masyarakat yang menunaikan tanggungjawab dan amanah yang diberikan.
13. Masyarakat yang penyayang.
14. Masyarakat kampung yang sanggup berkorban untuk kepentingan orang lain.
15. Masyarakat yang mengamalkan sikap bantu membantu.

Wednesday, January 25, 2012

Kupasan Konserto Terakhir - Watak dan Perwatakan




1. Hilmi.(Watak Utama)
* Seorang pemuda kampung yang miskin dan hanya bersekolah setakat darjah empat Sekolah Melayu.
* Anak Datuk Johari - Dipelihara oleh Pak Karim setelah ibunya diceraikan oleh Datuk Johari.
* Seorang yang rajin melakukan kerja - Hilmi berkebun sayur, memelihara ayam dan menjaga pokok bunga dengan baik sewaktu bekerja sebagai tukang kebun.
* Mempunyai kemahiran artistik - susunan bunga di halaman rumah Datuk Johari sangat menarik.
* Mempunyai bakat yang luar biasa dalam bermain alat muzik - dapat bermain piano dan organ hanya dengan mendengar orang lain memainkannya sahaja.
* Gigih berusaha dan tabah dalam menghadapi cabaran - Belajar bermain alat muzik secara bersungguh-sungguh dengan Encik Bakar.
* Seorang yang penyayang - sangat menyayangi Hayati, anaknya dan Azizah.
* Menghormati orang tua seperti Pak Amat walaupun Pak Amat seorang drebar.
* Taat pada perintah Allah - sentiasa menunaikan solat walaupun sentiasa sibuk.
* Selalu berjimat cermat - Gajinya semasa bekerja di Shell Jalan Setapak hanya diambil sedikit dan bakinya disimpan oleh taukenya.
* Banyak mencipta dan menggubah lagu - lagunya mendapat sambutan daripada orang ramai.
* pernah memenangi Festival Muzik di tokyo dan pesta muzik tahunan RTM.
* Kejayaan paling besar ialah menyediakan "Hilmi Potpouri" dalam pertunjukkan Orkes Perdana RTM di Dewan Tunku Canselor.

2. Hayati.(Watak Sampingan)
* Anak datuk Johari dan Datin Salmah - adik kepada Hilmi dan tunang Mohsin.
* Bermuka bulat dan manis, rambutnya hitam lebat sampai ke bahu.
* Gadis yang penyayang - sayang pada Helmi dan jatuh cinta.
* Bersimpati dengan Hilmi yang didera oleh ibunya - memberi makanan kepada Hilmi.
* Berkahwin dengan Mohsin atas kehendak ibu bapa.
* Sikapnya berubah selepas mencintai Hilmi - Beliau mula membaca buku-buku agama.
* Seorang yang manja dan mudah merajuk - Beliau menangis apabila pianonya rosak.
* Taat pada perintah suami - meminta izin untuk berjumpa dengan Hilmi.
* Menjadi penyelamatdan pengganti Hilmi dalam pertunjukkan Orkestra Perdana.

3. Datin Salmah (Watak Sampingan)
* Anak jati Kuala Lumpur - berjiwa bandar dan tidak mengamalkan semangat kejiranan.
* Bersikap sombong - mementingkan pangkat dan keturunan - memandang rendah kepada orang kampung yang miskin dan tidak setaraf dengannnya.
* Tidak mempunyai sifat belas kasihan - menyeksa Hilmi kerana Hilmi lewat pulang ke rumah - Hilmi tidak diberi makan.
* Suka dipuji - berasa seronok apabila kawan-kawannya memuji keenakan sayur-sayuranya.
* Mempercayai kepercayaan karut iaitu percaya bahawa anaknya telah dibomohkan,
* Sibuk dengan kegiatan sosial sehingga tidak sempat mendidik anak-anak dan mengurus keluarga.
* Mengabaikan ajaran agama - tidak menunaikan solat dan di rumahnya ada sudut khas untuk meminum arak.
* Mudah terpengaruh dengan hasutan keluarga untuk menyingkirkan Hilmi dari rumahnya.

Datuk Johari (Watak Sampingan)
* Suami kepada Datin Salmah - ayah kepada Hilmi dan Hayati.
* Terpengaruh dengan kata-kata isterinya - mementingkan pangkat dan statusnya.
* Tidak bertanggungjawab - anaknya Hilmi dibiarkan sahaja di kampung.
* Mementingkan masa depan anak-anak - mahu Hayati berkawin dengan Mohsin kerana Mohsin berkedudukan tinggi.
* Cuba membantu Helmi - beliau cuba membantu Hilmi untuk mendapatkan pekerjaan tetapi tidak berjaya.
* Bersifat belas kasihan - cuba melindungi Hilmi apabila Datin Salmah memarahi Hilmi.
* Insaf - bleiau menyesal atas perbuatannya yang mensia-siakan Hilmi dan berharap Hilmi akans embuh dan beliau dapat menebus dosanya.
* Meninggal dunia selepas mengetahui berita kematian Hilmi.

Kupasan Novel Konserto Terakhir - Tema dan Persoalan



Tema:
Kegigihan dan ketabahan seorang anak muda dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan sehingga berjaya mengecapai kejayaan yang gemilang sebagai seorang seniman.

Persoalan:
1. Kepentingan Ilmu pengetahuan dalam kehidupan.
a) Hilmi tidak berjaya untuk mendapatkan pekerjaan yang baik walaupun cuba dibantu oleh Datuk Johari kerana beliau tidak mempunyai pendidikan.

2. Kerajinan dan kegigihan dapat menjadikan diri seseorang berjaya.
a) Walaupun tidak berpendidikan dan miskin, Hilmi akhirnya berjaya menjadi seorang seniman yang terkenal kerana usaha gigih beliau mempelajari ilmu bermain alat muzik.

3. Sikap sesetengah masyarakat yang mementingkan pangkat dan memandang rendah pada orang lain.
a) Datin Salmah memandang hina kepada Hilmi kerana beliau anak kampung yang tidak berpendidikan dan miskin.
b) Datin Salmah menganggap kehadiran Hilmi ke rumah beliau hanya menjejaskan status keluarganya. Hilmi juga dimarah apabila mengusik piano anaknya Hayati.

4. Keikhlasan dalam memberikan pertolongan tanpa mengharapakan balasan.
a) Encik Bakar sanggup mengajar Hilmi bermain alat muzik dan mencipta lagu sehingga Hilmi berjaya menjadi seorang seniman yang terkenal. Encik Bakar tidak mengenakan apa-apa bayaran semasa mengajar Hilmi.

5. Berkorban demi kebahagiaan orang lain.
a) Hayati sanggup mengorbankan cintanya demi kebahagiaan ibu bapanya. Hayati mencintai Hilmi tetapi berkahwin dengan Mohsin kerana memenuhi kehendak Datuk Johari dan Datin Salmah.
b) Pak Karim berkorban untuk kebahagiaan Datuk Johari dan Datin Salmah. Pak Karim sanggup merahsiakan Hilmi adalah anak Datuk Johari kerana takut mengancam kebahagiaan rumah tangga Datuk Johari dan Datin Salmah.

6. Sifat bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
a) Hilmi menunaikan tanggungjawab dengan sebaiknya sebagai tukang kebun. Hilmi menanam pelbagai sayur seperti bayam, petola, terung, kacang dan mentimun. Hilmi menternak ayam dan hasilnya dapat dijadikan lauk pauk. Hilmi dapat menjaga pokok bunga sehingga halaman rumah Datuk Johari sangat cantik.
b) Hilmi bekerja keras untuk menjayakan Pertunjukan Orkestra Perdana kerana tugas itu telah diamanahkan kepadanya oleh Ketua pengarah RTM.

7. Menyedari kesilapan yang pernah dilakukan.
a) Datuk Johari insaf akan perbuatannya yang kejam terhadap isteri pertamanya.
b) Datin Salmah menangis apabila mengetahui kisah sebenar Hilmi ketika Hilmi sedang sakit.
c) Azizah menyesali kerana perbuatannya meninggalkan Helmi. Beliau datang ke hospital memohon maaf daripada Pak Karim kerana berbuat salah terhadap Hilmi.

Sunday, January 15, 2012

Santapan Rohani -



Gangguan syaitan ketika menghadapi sakaratul maut.

Iblis dan Syaitan akan sentiasa mengganggu manusia, bermula dengan memperdayakan manusia dari terjadinya dengan setitik mani hinggalah ke akhir hayat mereka, dan yang paling dahsyat ialah sewaktu akhir hayat iaitu ketika sakaratul maut. Syaitan mengganggu manusia sewaktu sakaratul maut disusun menjadi 7 golongan dan rombongan.
Hadith Rasulullah s.a.w.. menerangkan:

Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung dengan Engkau daripada perdayaan Syaitan di waktu maut.”

Rombongan 1

Akan datang Syaitan dengan banyaknya dengan berbagai rupa yang pelik dan aneh seperti emas, perak dan lain-lain, serta sebagai makanan dan minuman yang lazat-lazat. Maka disebabkan orang yang di dalam sakaratul maut itu di masa hidupnya sangat tamak dan loba kepada barang-barang tersebut, maka diraba dan disentuhnya barangan Syaitan itu, di waktu itu nyawanya putus dari tubuh. Inilah yang dikatakan mati yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t. inilah jenis mati fasik dan munafik, ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 2

Akan datang Syaitan kepada orang yang didalam sakaratul maut itu merupakan diri sebagai rupa binatang yang di takuti seperti, Harimau, Singa, Ular dan Kala yang berbisa. Maka Apabila yang sedang didalam sakaratul maut itu memandangnya saja kepada binatang itu, maka dia pun meraung dan melompat sekuat hati. Maka seketika itu juga akan putuslah nyawa itu dari badannya, maka matinya itu disebut sebagai mati lalai dan mati dalam keadaan lupa kepada Allah s.w.t., matinya itu sebagai Fasik dan Munafik dan ke nerakalah tempatnya.

Rombongan 3

Akan datang Syaitan mengacau dan memperdayakan orang yang di dalam sakaratul maut itu dengan merupakan dirinya kepada binatang yang menjadi minat kepada orang yang hendak mati itu, kalau orang yang hendak mati itu berminat kepada burung, maka dirupai dengan burung, dan jika dia minat dengan Kuda lumba untuk berjudi, maka dirupakan dengan Kuda lumba (judi).

Jika dia minat dengan dengan ayam sabung, maka dirupakan dengan ayam sabung yang cantik. Apabila tangan orang yang hendak mati itu meraba-raba kepada binatang kesayangan itu dan waktu tengah meraba-raba itu dia pun mati, maka matinya itu di dalam golongan yang lalai dan lupa kepada Allah s.w.t.. Matinya itu mati Fasik dan Munafik, maka nerakalah tempatnya.

Rombongan 4

Akan datang Syaitan merupakan dirinya sebagai rupa yang paling dibenci oleh orang yang akan mati, seperti musuhnya ketika hidupnya dahulu maka orang yang di dalam sakaratul maut itu akan menggerakkan dirinya untuk melakukan sesuatu kepada musuh yang dibencinya itu. Maka sewaktu itulah maut pun datang dan matilah ia sebagai mati Fasik dan Munafik, dan nerakalah tempatnya

Rombongan 5

Akan datang Syaitan merupakan dirinya dengan rupa sanak-saudara yang hendak mati itu, seperi ayah ibunya dengan membawa makanan dan minuman, sedangkan orang yang di dalam sakaratul maut itu sangat mengharapkan minuman dan makanan lalu dia pun menghulurkan tangannya untuk mengambil makanan dan minuman yang dibawa oleh si ayah dan si ibu yang dirupai oleh Syaitan, berkata dengan rayu-merayu “Wahai anakku inilah sahaja makanan dan bekalan yang kami bawakan untukmu dan berjanjilah bahawa engkau akan menurut kami dan menyembah Tuhan yang kami sembah, supaya kita tidak lagi bercerai dan marilah bersama kami masuk ke dalam syurga.”

Maka dia pun sudi mengikut pelawaan itu dengan tanpa berfikir lagi, ketika itu waktu matinya pun sampai maka matilah dia di dalam keadaan kafir, kekal ia di dalam neraka dan terhapuslah semua amal kebajikan semasa hidupnya.

Rombongan 6

Akan datanglah Syaitan merupakan dirinya sebagai ulamak-ulamak yang membawa banyak kitab-kitab, lalu berkata ia: “Wahai muridku, lamalah sudah kami menunggu akan dikau, berbagai ceruk telah kami pergi, rupanya kamu sedang sakit di sini, oleh itu kami bawakan kepada kamu doktor dan bomoh bersama dengan ubat untukmu.” Lalu diminumnya ubat, itu maka hilanglah rasa penyakit itu, kemudian penyakit itu datang kembali. Lalu datanglah pula Syaitan yang menyerupai ulamak dengan berkata: “Kali ini kami datang kepadamu untuk memberi nasihat agar kamu mati didalam keadaan baik, tahukah kamu bagaimana hakikat Allah?”

Berkata orang yang sedang dalam sakaratul maut: “Aku tidak tahu.”

Berkata ulamak Syaitan: “Ketahuilah, aku ini adalah seorang ulamak yang tinggi dan hebat, baru sahaja kembali dari alam ghaib dan telah mendapat syurga yang tinggi. Cubalah kamu lihat syurga yang telah disediakan untukmu, kalau kamu hendak mengetahui Zat Allah s.w.t. hendaklah kamu patuh kepada kami.”

Ketika itu orang yang dalam sakaratul maut itu pun memandang ke kanan dan ke kiri, dan dilihatnya sanak-saudaranya semuanya berada di dalam kesenangan syurga, (syurga palsu yang dibentangkan oleh Syaitan bagi tujuan mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut). Kemudian orang yang sedang dalam sakaratul maut itu bertanya kepada ulamak palsu:

“Bagaimanakah Zat Allah?” Syaitan merasa gembira apabila jeratnya mengena .

Lalu berkata ulamak palsu: “Tunggu, sebentar lagi dinding dan tirai akan dibuka kepadamu. “

Apabila tirai dibuka selapis demi selapis tirai yang berwarna warni itu, maka orang yang dalam sakaratul maut itu pun dapat melihat satu benda yang sangat besar, seolah-olah lebih besar dari langit dan bumi.

Berkata Syaitan: “Itulah dia Zat Allah yang patut kita sembah.”

Berkata orang yang dalam sakaratul maut: “Wahai guruku, bukankah ini benda yang benar-benar besar, tetapi benda ini mempunyai jihat enam, iaitu benda besar ini ada di kirinya dan kanannya, mempunyai atas dan bawahnya, mempunyai depan dan belakangnya. Sedangkan Zat Allah tidak menyerupai makhluk, sempurna Maha Suci Dia dari sebarang sifat kekurangan. Tapi sekarang ini lain pula keadaannya dari yang di ketahui dahulu. Tapi sekarang yang patut aku sembah ialah benda yang besar ini.”

Dalam keraguan itu maka Malaikat Maut pun datang dan terus mencabut nyawanya, maka matilah orang itu di dalam keadaan dikatakan kafir dan kekal di dalam neraka dan terhapuslah segala amalan baik selama hidupnya di dunia ini.

Rombongan 7

Rombongan Syaitan yang ketujuh ini Syaitan terdiri dari 72 barisan sebab menjadi 72 barisan ialah kerana dia menepati Iktikad Muhammad s.a.w. bahawa umat Muhammad akan terbahagi kepada 73 puak (barisan). Satu puak sahaja yang benar (ahli sunnah waljamaah) 72 lagi masuk ke neraka kerana sesat.

Ketahuilah bahawa Syaitan itu akan mengacau dan mengganggu anak Adam dengan 72 macam yang setiap satu berlain di dalam waktu manusia sakaratul maut. Oleh itu hendaklah kita mengajarkan kepada orang yang hampir meninggal dunia akan talkin Laa Ilaaha Illallah untuk menyelamatkan dirinya dari gangguan Syaitan dan Iblis yang akan berusaha bersungguh-sungguh mengacau orang yang sedang dalam sakaratul maut.

Bersesuaian dengan sebuah hadith yang bermaksud: “Ajarkan oleh kamu (orang yang masih hidup) kepada orang yang hampir mati itu: Laa Ilaaha Illallah

Saturday, January 14, 2012

Sinopsis - Novel Konserto Terkahir.



Novel Konserto Terakhir

- Konserto Terakhir sebuah novel karya Abdullah Hussain berlatar belakang zaman Negara menuju era kemajuan dan membawa reality yang seiring berlaku sekitar tahu 1980-an.
- Kisah bermula apabila Hilmi, seorang anak muda yang berasal dari kampong berhijrah ke Bandar dalam usaha mengubah nasib keluarganya yang miskin.
- Di bandar, Hilmi menumpang di rumah “bapa saudaranya,” Datuk Johari untuk meminta pertolongan agar mencarikan pekerjaan yang sesuai.
- Kedatangan Hilmi tidak disenangi oleh Datin Salmah kerana keluarga di pihak keluarga Datuk Johari kurang berpendidikan dan miskin pula. Datuk Johari seorang pegawai tinggi kerajaan berasal dari keluarga miskin, sedangkan Datin Salmah anak jati Kuala Lumpur daripada keluarga berada, berkedudukan, dan hidup dalam kemodenan.
- Datuk Johari berusaha mencarikan pekerjaan untuk Hilmi yang berkelulusan darjah empat Sekolah Melayu dengan menggunakan pengaruhnya tetapi tidak berjaya malah beliau sendiri mendapat malu kerana mendedahkan asal usul keluarganya yang dirahsiakan selama ini.
- Akhirnya Hilmi bekerja sebagai tukang kebun di rumah Datuk Johari dan dia menerima denan senang hati kerana sudah biasa dengan kerja-kerja kampong tetapi ditentang oleh Datin Salmah, namun akhirnya mengalah.
- Kerja-kerja yang dilakukan oleh Hilmi menyebabkan persekitaran rumah Datuk Johari berubah dan sering mendapat pujian daripada jiran dan kenalan Datuk Johari, menyebabkan tanggapan Datin Salmah terhadap Hilmi berubah.
- Hilmi berminat belajar piano dengan Encik Bakar. Encik Bakar gembira melihat bakat Hilmi, begitu juga anaknya Azizah.
- Datin Salmah amat membenci Hilmi kerana anaknya Hayati menyukai Hilmi berbanding Mohsin tunangnya.
- Sikap Datin Salmah menyebabkan Hilmi meninggalkan rumah itu dengan alas an ayahnya sakit dan mahu pulang ke kampong, tetapi sebenarnya Hilmi bertugas sebagai pencuci kereta.
- Hilmi terus belajar dengan Encik Bakar dan akhirnya bekerja di kelab malam.
- Hilmi terkejut dengan perkahwinan Hayati dengan Mohsin. Dan dia sendiri akhirnya berkahwin dengan Azizah. Namun perkahwinan itu tidak bahagia, lalu mereka berpisah.
- Dalam keadaan gelisah, Hilmi mencipta lagu menyebabkan namanya dikenali ramai. Akibat tidak pandai mengurus diri , akhirnya dia jatuh sakit.
- Petunjukan Orkestra Perdana yang diketuainya mendapat sambutan luar biasa, namun keadaan tegang kerana Hilmi sakit tenat dan berada di hospital.
- Dalam keadaan kritikal, kedatangan Hayati dari London yang mempunyai ijazah muzik menyelamatkan keadaan apabila bersetuju menggantikan Hilmi.
- Hilmi yang sakit tenat akhirnya meninggal dunia dengan meninggalkan seorang anak. Ketika itu terbongkarlah bahawa Hilmi sebenarnya anak Datuk Johari.
- Kematiannya menyedarkan semua pihak. Datuk Johari berjanji akan menjaga cucunya sebagai menebus kesalahannya selama ini. Datin Salmah pula menyesal dengan perbuatannya selama ini.
- Hayati berasa sedih kerana lelaki yang disayanginya selama ini adalah abang kandungnya.

Wednesday, January 11, 2012

Persekolahan Di Negara Malaysia

Setiap tahun, di samping cuti panjang, yang akan menjadi tumpuan adalah sesi persekolahan dan sesi tahun 2012 sudah bermula. Dalam kerancakan membeli pakaian, kasut dan beg sekolah, ada juga dalam kalangan ibu bapa dan penjaga berlumba-lumba mencari bahan bacaan, dan tidak kurang yang cuba mendapatkan guru tuisyen terbaik untuk anak mereka.

Yang berada di Tahun 6, pelajar yang akan menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM); sudah pasti merasa bahangnya bukan saja diri sendiri tetapi ibu bapa yang mahu memastikan mereka mendapat keputusan terbaik dengan gred A sahaja.

Apakah makna sekolah sebenarnya? Adakah sekolah merupakan hanya tempat untuk mendapat gred terbaik atau ia sebenarnya merupakan penginstitusian tersohor melahirkan modal insan yang bukan hanya mencari ilmu tetapi turut menampilkan kreativiti dan kebolehan di samping menerokai nilai karakter keperibadian mulia. Apakah guru hanya menjadi cikgu yang mengajar ataupun sebagai 'pendidik'?

Iqra atau 'bacalah' merupakan tuntutan yang barangkali mahu melentur pembentukan insaniah yang berwajahkan akidah dan akhlak serta memenuhi acuan individu yang bersifat menyeluruh yang antaranya melibatkan peranan 'Cikgu' yang merupakan ungkapan yang amat mulia. Dalam wadah pendidikan, jasa dan sumbangan warga pendidik terhadap negara dan masyarakat amat besar. Guru menjadi ejen yang membina, melahir dan melentur generasi yang ada untuk kesinambungan negara-bangsa.

Guru juga berperanan memastikan sekolah menjadi lokasi paling disukai pelajar dan murid. Dahulu, ramai suka dan mahu terus berada di sekolah walaupun berhadapan dengan guru yang garang tetapi ia diimbangi dengan sikap ambil tahu dan menganggap murid seperti anak sendiri walau dari pelbagai latar belakang manakala bagi ibu bapa, guru adalah 'dewa ilmu' anugerah Tuhan yang tahu baik buruk untuk anak mereka. Maka guru diberi 'lesen' melakukan apa sahaja ke atas anak mereka kerana percaya guru komited ke atas ilmu; guru mahu memastikan sekurang-kurangnya murid mempunyai asas membaca, mengira dan menulis.

Inilah realiti alam sekolah kerana sukar mengharapkan kesemua pelajar akan mempunyai kecekapan dan kebolehan yang sama tetapi guru yang cekal serta gembira mengajar dan sentiasa mahu berada di sekolah kerana komitmen menjadi pendidik yang bukan sekadar sebagai satu 'pekerjaan' tetapi 'ibadah'.

Pelajar harus memahami makna sekolah tanpa merasa terpaksa ke institusi ini atau mahu diucap 'terima kasih' kerana hadir ke sekolah. Murid dapat memudahkan tanggungjawab guru jika memahami tanggungjawab dan peranan sebagai pelajar dan memberi maksud ke atasnya. Sekolah merupakan tempat pembinaan budaya ilmu dan pembudayaan negara bangsa dan aspirasi ini akan dapat dijiwai dengan mudah jika proses pengajaran dan pembelajaran tidak dianggap sebagai 'pilihan' atau 'paksaan'.

Jika ada yang menjadi guru kerana tidak ada 'pilihan', wajar imbas semula peranan guru mereka sendiri satu ketika dahulu dan bagaimana kesungguhan guru ketika itu yang memberi keutamaan kepada proses pemurnian sekolah itu sendiri. Barulah, cabaran dalaman dan luaran dapat diatasi dengan mudah kerana motivasi, keazaman dan kesungguhan memahami perkembangan alam sekolah; menguasai subjek dan pedagogi; menguasai teknologi terkini sebagai nilai tambah kepada kreativiti dan inovasi serta memiliki keyakinan yang membolehkan kepercayaan dilahirkan ke atas guru dan murid.

Alam sekolah yang kondusif turut memerlukan fungsi pentadbir yang tidak mengejar kedudukan peratusan kelulusan semata-mata tetapi percayalah mereka akan turut dihormati sekiranya mendahulukan pelajar yang terpinggir dan murid yang terkandas atau tercicir dalam pelajaran.

Mereka juga mahu didalami dan difahami bukan dimarahi tetapi memberi petunjuk dan menjadi idola sepanjang hayat mereka kemudiannya. Ramai yang berjaya hari ini bukan sekadar bergantung kepada ilmu tetapi tunjuk ajar guru yang menjadikan mereka 'manusia' dengan didikan berterusan tanpa mengira penat-lelah.

Guru sebegini harus diberikan pengiktirafan oleh pentadbir sekolah supaya mereka tahu dihargai. Pada zaman 1960-an dan 1970-an, profesion guru dianggap yang paling mulia kerana tanggungjawab sebagai pendidik. Mereka dihormati kerana sanggup mendaki gunung tinggi, menyusuri lurah bukit serta berpayung dalam hujan dan berkayuh basikal berbatu jauhnya semata-mata menjalankan tanggungjawab sebagai guru yang komited dengan matlamat untuk melahirkan pelajar yang berilmu.

Sebagaimana kata arwah Usman Awang, jika hari ini ada Perdana Menteri berkuasa; Raja menaiki takhta; Ulama yang mulia, Presiden sebuah negara; Peguam menang bicara; Penulis terkemuka; sejarahnya adalah bukan sahaja dari keluarga tetapi alam sekolah yang menjadikan mereka dewasa dan diajar penerapan akhlak mulia.

Bermakna, pelajar yang bermasalah juga memerlukan perhatian supaya tidak berkecenderungan membantut dan menamatkan hayat pembelajaran murid yang merupakan penjana wawasan dan misi negara. Jika murid itu gagal, kesemua pihak terbabit iaitu ibu bapa, guru, sekolah, media, rakan sebaya, persekitaran atau individu itu sendiri memilih untuk melakukan kesalahan bertanggungjawab. Alam sekolah hanya bermakna jika masing-masing memainkan peranan dan tanggungjawab dengan jujur dan ikhlas untuk membangunkan seseorang murid.

Malahan, alam sekolah tidak sewajarnya membebankan. Subsidi berterusan diberikan oleh pihak berwajib dan baucar tuisyen dan kemudahan lain boleh diperhebatkan melalui pelbagai mekanisme agar pelajar tidak menjadikan ia sebagai alasan tidak mahu merasai alam sekolah.

Bagaimana pelajar yang tidak berkemampuan dapat menyesuaikan diri dengan persaingan yang diwujudkan oleh guru dan harapan serta tuntutan ibu bapa jika sekiranya tidak bermakna kepadanya sehingga berkecenderungan untuk melahirkan pelajar yang inferior ke atas prestasinya akibat ketiadaan dayatahan pertembungan dengan pelajar yang berkemampuan.

Kita tidak boleh membiarkan pelajar yang berkemampuan terjerumus dalam kancah pertarungan yang memberi kepentingan bertunjangkan kepada materialisme pemilikan wang ringgit. Budaya pencapaian pelajar yang sebenarnya berkemampuan dari segi akal-fikirannya tetapi menjadi mangsa kerana berada dalam kepompong keluarga berpendapatan rendah tidak boleh dikompromi.

Alam sekolah dicorakkan oleh guru, murid, pentadbir, ibu bapa dan kita sebagai anggota masyarakat. Jika murid gagal, kita juga bertanggungjawab ke atas kegagalan tersebut sebagaimana kita merasa mahu berkongsi kejayaan mereka. Memperkasakan alam sekolah adalah tanggungjawab bersama dan memartabatkan ilmu, kemahiran dan kebolehan juga adalah tanggungjawab bersama.

Saya berterima kasih kepada alam persekolahan yang berbeza-beza baik di Tanjung Malim mahupun Kuala Lumpur kerana tanpanya dan keberkatan ilmu, pedoman dan ajaran mereka, tidak mungkin kegagalan boleh membawa pancaran sinar baru dalam kehidupan.

Kepada yang melangkah masuk dan sudah berada di persimpangan, gunakanlah peluang ini sebaik mungkin dengan diberkati mereka yang ada di sekeliling anda, berikanlah sekolah makna dalam hidup anda.

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia.

Sumber : http : //www.utusan.com.my/

Kekangan Dipermulaan Persekolahan

Alhamdulillah, telah bermula sesi persekolahan tahun 2012 - Ketika coretan ini saya nukilkan, sudah 11 hari pelayaran kita dalam tahun 2012. Terasa terlalu cepat masa beralu dan secara tidak langsung usia kita juga semakin tua atau kalau malu untuk disebut tua ; usia kita semakin bertambah. Semoga Allah memberikan kita kekuatan dan merahmati kita untuk meneruskan kehidupan yang fana ini.

Agak lama juga saya tidak dapat menulis dalam blog ini...mungkin ada yang merindui bahan ilmu daripada saya. Insya Allah, saya akan cuba mengaktifkan diri untuk menulis semula dalam waktu terdekat ini. Tujuan utama saya menulis bukan untuk menonjolkan diri, sekadar untuk berkongsi ilmu dan bertukar pandangan serta idea dengan sahabat, dengan anak-anak didik dan dengan pencinta ilmu. Ilmu yang dipaparkan adalah ilmu Allah yang digarap, diolah dan ditambah nilai untuk mudah difahami. Semoga dapat dimanfaatkan untuk mencapai cita-cita, sterusnya berbakti kepada agama, bangsa dan negara.

Seperti biasa, di awal persekolahan ini agak sibuk, banyak perkara yang perlu dirancang dan diselesaikan. Antara yang perlu diberi perhatian ialah post mortem PMR, penyediaan head count, pelbagai mesyuarat, proses pembelajaran dan pengajaran, perancangan strategik dan lain-lain. Tak menang tangan dibuatnya. Walau bagaimanapun, kerja tetap perlu diteruskan. Kita perlu senaraikan semua tindakan yang perlu dibuat dan dilaksanakan mengikut keutamaan. Bak kata pepatah, berdikit-dikit, lama-lama jadi bukit.

Alhamdulillah, anak-anak didik tidak menimbulkan banyak masalah setakat ini. Harap-harap mereka telah sedar daripada lena mimpi semalam. Moga jati diri mereka terus kukuh dan ampuh, moga mereka terus bermotivasi dan moga mereka dalam rahmat Allah. Tiada yang menggembirakan hati seorang guru, selain daripada mempunyai anak didik yang sangat dedikasi, amanah, bertanggungjawab, berdisiplin dan mematuhi peraturan sekolah.

Moga tahun ini SMK Sijangkang Jaya akan terus unggul dan cemerlang.