Tuesday, June 19, 2012

Sebuah Perjalanan Membersihkan Diri


Catatan Sebuah Perjalanan - UMRAH
(Lakaran rasa : Saharuddin bin Abdullah)

Alhamdulillah, pada 28 Mei 2012 sehingga 10 Jun 2012, saya bersama dua orang sahabat iaitu Encik Anizan Molaham dan Encik Samsuri Rasib telah berpeluang untuk menjadi tetamu Allah iaitu berpeluang mengunjungi Kota Madinatul Munawarah dan Mekatul Mukarramah. Suatu perjalanan yang telah begitu lama didambarkan dan diimpikan. Perancangan untuk perjalanan ini diatur hampir 3 tahun, maklumlah untuk satu perjalanan suci dan memerlukan perbelanjaan yang banyak dan persediaan yang sewajarnya.

Pada Jun 2011, setelah berbincang dan membuat penilaian kendiri, kami mengesahkan dengan Syarikat Yiros Tours and Travel untuk perjalanan ini. Memang mendebarkan kerana memikirkan dosa-dosa yang membaluti diri dan memikirkan dugaan dan rintangan yang akan dihadapi apabila berada di kota suci itu nanti. Namun, kami tekadkan azam dan kuat semangat, apa jua cabaran dan halangan, akan kami hadapi demi untuk menyucikan jiwa.

Setelah semua persediaan selesai iaitu kursus umrah, membuat pasport, membuat visa, membuat pemeriksaan kesihatan dan membeli peralatan untuk beribadah, maka pada 28 Jun bermulalah sebuah perjalanan yang dinanti-nantikan. Syukur kepada Allah kerana sempat membuat kenduri doa selamat agar selamat pergi dan balik serta dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.

Saya bertolak dari KLIA dengan penerbangan EITHAD Airways. Berlepas dari KLIA pukul 8.20 malam dan sampai di Abu Dhabi pukul 10.20 malam. Transit di Abu Dhabi 2 jam. Sempat melihat panorama Airport Abu Dhabi yang cantik dan tersergam Indah tetapi harga barangan sangat mahal. Air Mineral 8 dirham dan nescafe panas 18 dirham.  Sekadar untuk merasa, maka saya beli jua. Waktu di Abu Dhabi lewat 7 jam dengan waktu kita di Malaysia.

Pukul 12.40 malam saya berlepas dari Abu Dhabi ke Jeddah. Penerbangan mengambil masa 6 jam. Suasana dalam penerbangan agak melucukan. Pelbagai ragam yang mencuit hati berlaku kerana pramugari berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dan Arab dan sebahagian besar sahabat-sahabat dalam penerbangan adalah orang kampung yang hanya tahu berbahasa Melayu.

Kira-kira pukul 6.40 pagi (29 Jun) kami tiba di Airport Jeddah. Airport Jeddah tidaklah secanggih KLIA. Turun dari pesawat, kami dibawa dengan bas ke Terminal Haji. Selepas melalui pemeriksaan imigresen, kami solat subuh. Selepas itu, satu taklimat diberikan oleh agensi untuk perjalanan seterusnya. Bahang udara panas mulai dirasai dan kami dimaklumkan suhu di Jeddah, Madinah dan Mekah antara 48 hingg 52 darjah Celsius.

Kami menaiki bas dari Jeddah ke Madinah. Perjalanan mengambil masa kira-kira 5 jam. Pemandangan padang pasir mengiringi sepanjang perjalanan kami. Suasana berbukit dan berbatu batan kelihatan di kiri kanan jalan raya. Kira-kira 10 kilometer sebelum tiba di kota Madinah, mutawiff menceritakan tentang sirah Rasulullah. Hati kami mula sebak, tergambar dalam pemikiran betapa hebat dan tabahnya Rasulullah menjalani kehidupan di padang pasir sepanjang hidupnya. Kira-kita 5 kilometer sebelum memasuki kota madinah, kami sama-sama berselawat bagi mengingati junjungan besar nabi Muhammad S.A.W.

Alhamdulillah, pukul 11.00 pagi kami menjejak kaki di bumi Madinah. Walaupun cuaca panas, tetapi hati sangat teruja kerana kami telah berada di tanah haram. Kami mendaftar di Hotel Rejal, kira-kira 200 meter dari Masjid Nabi. Suatu fenomena luarbiasa dapat dilihat iaitu apabila azan berkumandang semua kedai akan ditutup dan peniaga-peniaga bergegas ke Masjid Nabi untuk solat berjemaah. Kami solat Zohor di hotel sahaja kerana kepenatan.

Kira-kira pukul 3.00 petang, pertama kali saya memasuki Masjid Nabawi. Ya Allah, terujanya untuk berada di sisi Rasulullah. Selepas solat Asar, saya dibawa untuk melihat Makam Rasulullah. Kami masuk melalui pintu utama. Dalam perjalanan menuju ke makam Rasulullah bersama himpitan ribuan manusia, air mata mulai menitis. Nampak sahaja pintu makam kami sampaikan salam…Asalamualaika Ya Rasulullah, Asalamualaika Ya Habibullah. Di sebelah makam Rasulullah terdapat Makam Syaidina Abu Bakar dan Syaidaina Umar. Selama 4 hari berada di Kota Madinah, setiap hari kami akan menziarahi Makam Rasulullah dan mengambil kesempatan berada dan berdoa di Raudhah. Kami juga menyampaikan salam rakan-rakan untuk junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W. Kami mengadakan ziarah ke Masjid Quba, Jabal Uhud, Masjid Qiblatain, Masjid Tujuh, Kubur Baqi’ dan Kebun Kurma. Pada petang Khamis kami membuat ziarah wada’ ke Makam Rasulullah. Sedih rasa hati kerana akan berjauhan dengan Rasulullah.

Selepas Solat Jumaat (31 Mei 2012), kami meninggalkan kota Madinah. Kami bersiap dengan pakaian Ihram. Perjalanan ke Kota Mekah mengambil masa kira-kira 7 jam. Kami miqat di Bir Ali untuk umrah pertama. Tiba di hotel kira-kira pukul 10.45 malam. Selepas mendaftar, kami terus di bawa untuk umrah pertama.

Tanggal 31 Mei 2012 – jam 11.45 malam, pertama kali memasuki Masjidil Haram melalui laluan Bukit Marwah. Ya Allah, bersyukurnya kerana dapat melihat Kaabah di depan mata. Kami sama-sama sujud syukur. Selepas itu, kami tawaf dan saie secara berjemaah. Selepas tawaf, kami solat sunat tawaf bertentangan dengan Multazam. Semua Jemaah menanggis kerana terlalu gembira dapat berada di Masjidil Haram. Kami selesai saie dan bertahlul kira-kira pukul 3.00 pagi. Kami terus menunggu untuk solat subuh yang akan masuk pada pukul 3.30 pagi. Memang terasa kepenatan, namun kegembiraan dapat menenggelamkan kepenatan. Selepas sarapan pagi, kira-kira pukul 6.00 pagi, saya membawa isteri dan anak-anak untuk tawaf dan saie kerana mereka tidak ikut serta dalam tawaf dan saie secara berjamaah.

2 Jun 2012 – Kami dibawa melawat ke Jabal Thur, Padang Arafah, Jabal Rahmah, Mudzalifah, Jamrah di Mina dan Jabal Nur. Antara yang menarik ialah di Jabal Rahmah, tempat pertemuan ADAM dan HAWA selepas terpisah kerana melanggari arahan ALLAH ketika di Syurga. Apabila mendengar penerangan mutawif, terdetik dihati untuk hadir semula bagi menyempurnakan ibadat haji suatu ketika nanti. Selepas lawatan selesai, kami ke Masjid Ja’ranah untuk miqat umrah kedua. Sampai di Masjidil Haram kira-kira pukul 11.00 pagi, kami terus melakukan tawaf, saie dan bertahlul untuk umrah kedua.

3 Jun 2012 – program bebas, kami mengambil kesempatan untuk tawaf sunat dan beribadah di Masjidil Haram. Terasa terlalu kerdil di sisi ALLAH dan terlalu banyak dosa yang membaluti diri.  Selepas tawaf sempat solat di Multazam, memegang Kaabah dan Solat di Hijir Ismail. Pukul 4.45, kami mengikuti tazkirah berkaitan sirah Rasulullah yang disampaikan oleh Ustaz Khairul di dewan makan hotel.

4 Jun 2012 – Kami dibawa melawat ke Muzium Haramain dan ladang ternakan unta. Ketika sampai di lading unta, kami sempat bergambar dan minum susu unta. Di Muzium Haramain, terdapat pelbagai barangan lama Masjidil Haram yang disimpan dan dipamerkan. Kebetulan ketika itu, kami bertemu dengan Imam Besar Masjidil Haram iaitu Abd Rahman bin Sadas. Kami miqat di Masjid Hudaibiyah untuk umrah ketiga. Sampai di Masjidil Haram pukul 11.00 pagi, kami terus melaksanakan tawaf, saie dan bertahlul.
6 Jun 2012, kami melakukan umrah keempat. Kami menaiki van ke Masjid Tanaim untuk miqat. Tambang van ialah 10 riyal seorang dan kami pergi bersama 16 orang jamaah. Pukul 8.30 pagi, kami tiba di Masjidil Haram untuk melakukan tawaf , saie dan bertahlul.

8 Jun 2012 – Aktiviti bebas. Kami mengambil kesempatan membeli beberapa barangan sebagai kenangan-kenangan. Terlalu banyak barangan yang ada disekitar hotel. Kekadang nafsu mengatasi diri, apabila tiba di hotel barangan yang dibeli terlalu banyak. Terpaksa mencari beg dan kotak untuk mengisi barangan yang dibeli. Pada sebelah petang kami mengerjakan tawaf sunat dan beberapa orang rakan berjaya mengucup Hajarul Aswad. Isteri dan anak lelaki saya juga berjaya mengucup Hajarul Aswad. Dikesempatan ini, dihadapan Kaabah kami mendoakan keafiatan rakan-rakan seperjuangan, kecemerlangan anak-anak didik dalam peperiksaan, kesejahteraan kaum keluarga dan dihindari sekolah daripada gangguan makhluk halus yang mengganggu situasi pengajaran dan pembelajaran.

9 Jun 2012 – Selepas solat Subuh kami melakukan tawaf Wada’. Terharu dan sangat sedih kerana kami akan meninggalkan Kaabah dan Masjidil Haram. Ya Allah, berikan kami kesempatan untuk hadir lagi, dan jika ditakdirkan inilah kunjungan kami yang terakhir, maka haramkan jasad dan roh kami dari menjadi bakaran api neraka. Pukul 9.00 pagi, kami bertolak dari hotel ke Airport Jeddah. Perjalanan mengambil masa 2 jam. Penerbangan kami pada pukul 4.30 petang dari Jeddah ke Abu Dhabi. Kami tiba di Abu Dhabi kira-kira pukul 6.50 petang.

10 Jun 2012 - Kami transit di Abu Dhabi selama 6 jam. Suasana di Airport Abu Dhabi sangat sejuk. Kira-kira pukul 2.40 pagi, kami bertolak dari Abu Dhabi ke KLIA. Penerbangan mengambil masa kira-kira 6 jam. Kami mendarat di KLIA pukul 2 petang (waktu Malaysia). Setelah selesai pemeriksaan imigresen kami mengambil bagasi dan sanak saudara telah menanti di balai ketibaan. Alhamdulillah, kami selamat pergi dan kembali untuk meneruskan tugasan harian.

Sesungguhnya perjalanan ini sangat menyeronokkan. Sama-samalah kita berazam untuk mengunjugi Kota Madinah dan Kota Mekah.

No comments:

Post a Comment