Thursday, February 16, 2012

Industri Pelancongan di Malaysia




Industri pelancongan memberikan sumber pendapatan kepada negara. Apakah langkah-langkah yang boleh diambil untuk memajukan industri pelancongan negara.

Kementerian Pelancongan telah mengisytiharkan Tahun 2007 sebagai Tahun Melawat Malaysia. Rentetan daripada itu, beberapa buah negeri juga telah mengumumkan tahun melawat negeri mereka seperti negeri Melaka, Sabah, Trengganu dan Selangor. Ini membuktikan bahawa pelancongan berpotensi untuk dimajukan di negara kita. Banyak tempat menarik yang terdapat di negara kita boleh dikunjungi oleh pelancong-pelancong asing dan tempatan seperti melihat mercu tanda, tempat bersejarah, kawasan tanah tinggi, alam semula jadi dan sebagainya. Oleh itu pelbagai usaha boleh dilaksanakan untuk memajukan industri pelancongan tersebut sama ada oleh pihak kerajaan sendiri mahupun agensi yang berkaitan.

Antara usaha yang telah dilaksanakan oleh pihak kerajaan ialah menambah kemudahan pengangutan dan perhubungan ke destinasi-destinasi yang menarik di negara kita. Kemudahan pengangkutan ini dapat memberi peluang yang lebih banyak kepada pelancong untuk pergi ke destinasi yang mereka sukai. Sebagai contohnya, kerajaan telah membina kemudahan lebuh raya baru ke Cameron Highland iaiti lebuh raya yang dihububungi dengan bandar Kuala Lipis, Gua Musang di samping membesarkanjalan melalui Simpang Pulai. Usaha ini dilakukan agar pusat pelancongan ini mudah dikunjungi pelancong. Jadual penerbangan ke Malaysia juga perlu ditambah terutama dengan mengadakan promosi tambang murah kepada pelancong asing yang ingin melawat ke Malaysia. Dengan cara ini, para pelancong akan berasa selesa apabila berkunjung ke Malaysia.

Selain itu, usaha untuk meningkatkan jumlah tempat-tempat penginapan seperti hotel dan chalet perlu ditingkatkan. Usaha ini boleh dilaksanakan dengan memperbanyakan pembinaan hotel lima bintang yang mengenakan kadar bayaran berpatutan diiringi dengan bilik yang selesa untuk menarik minat pelancong. Sebagai contohnya, usaha yang dijalankan oleh Hotel Seri Malaysia memperkenalkan pakej penginapan murah berserta makanan tradisional tempatan telah berjaya meningkatkan jumlah pelancong menginap di hotel tersebut. Selain itu, penginapan ala kampung juga telah dirancang dengan menyediakan program 'homestay' iaitu penginapan bercirikan suasana kampung. Justeru, sekiranya usaha seperti ini dilaksanakan secara berterusan, jumlah pelancong asing yang akan kembali semula ke Malaysia akan bertambah di samping menggalakkan kedatangan pelancong baru.

Malaysia yang mempunyai pelbagai budaya dan agama sangat menarik perhatian masyarakat antarabangsa. Kerajaan telah memperkenalkan kebudayaan rakyat Malaysia yang berkaitan dengan perayaan, kesenian, pakaian dan cara hidup kepada masyarakat dunia sebagai salah satu pengisian dalam program melawat Malaysia. Promosi tentang destinasi pelancongan yang menarik, kebudayaan dan karnival jualan boleh di laksanakan dengan giat sama ada di dalam mahupun di luar negara. Usaha mempromosikan negara ini juga boleh dijalankan melalui penggunaan teknologi maklumat seperti internet bagi menyebarkan maklumat tentang pelancongan di negara ini. Penggunaan internet dapat memastikan semua pelancong memperoleh maklumat berguna mengenai destinasi pelancongan menarik dan aktiviti pelancongan di Malaysia. Jelasnya, promosi yang giat dapat memastikan semua maklumat pelancongan disebarkan secara berkesan bagi menarik kunjungan pelancong.

Salah satu aspek penting yang ditekankan oleh pelancong terutama pelancong asing ialah aspek kebersihan dan kemudahan prasarana. Kawasan pelancongan mestilah sentiasa bersih dan diselenggarakan dengan baik. Petugas- petugas di kawasan pelancongan perlu ditambah bagi memastikan kebersihan sentiasa terkawal. Begitu juga halnya dengan kemudahan prasarana bagi membolehkan pelancong membeli-belah dengan selesa. Sebagai contohnya, kemudahan seperti bank, insuran serta pusat membeli belah perlu dibina di kawasan pelancongan. Langkah-langkah seperti ini mampu menjadi daya tarikan pelancong untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan yang diminati.

Selain usaha tersebut, usaha menarik pelancong ini turut dipikul oleh rakyat negara ini. sikap ramah dan suka membantu pelancong harus diutamakan oleh rakyat Malaysia. Keramahan rakyat negara ini harus dibuktikan melalui sikap ikhlas melayan tetamu kita itu. Umpamanya, pemandu teksi yang dianggap “duta pelancongan negara” haruslah bersikap ramah, mesra dan menjauhi amalan ingin mengambil kesempatan atas kehadiran pelancong asing bagi mengaut keuntungan mudah. Rakyat perlulah menunjukkan nilai sopan santun dan lembut bahasa kerana “bahasa menunjukkan bangsa”. Jadi, rakyat negara ini harus mengubah sikap mereka dengan melayan pelancong tempatan atau asing ini dengan lebih baik agar kunjungan mereka ke Malaysia sentiasa memberi kenangan manis di sepanjang hidup mereka.


Memandangkan persaingan dalam industri pelancongan semakin sengit, agensi-agensi pelancongan perlu bersikap lebih kreatif bagi menerokai bidang pelancongan baru. Konsep pelancongan perlu diperluaskan dengan memperkenalkan pelbagai jenis pelancongan seperti “ekopelancongan”, pelancongan alam sekitar, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan dan sebagainya. Hal ini sesuai dengan pepatah Melayu, “tak kenal maka tak cinta”. Jika pelancongan versi baru ini tidak dicuba di negara kita, kita tidak akan mengetahui potensi yang dapat diperoleh daripada industri pelancongan tersebut. Pada masa yang sama, pelbagai aktiviti sukan seperti Le Tour De Langkawi serta persidangan antarabangsa seperti Persidangan APEC yang diadakan di Kuala Lumpur, mampu menarik jumlah pelancong berkunjung ke Malaysia.

Tuntasnya, “jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”, jika usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia menjadi nyata? Segala tindakan yang dirancang dan direncana memerlukan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatianan dan rasa bertanggungjawab dan cinta akan negara, nama Malaysia akan menjadi sebutan dan tumpuan utama seluruh penduduk dunia untuk berkunjung sambil merehatkan minda mereka. .

6 comments:

  1. Karangan yang sangat baik.

    ReplyDelete
  2. terima kasih..
    amat berguna..
    hanya Allah dapat membalas jasa anda..berkongsi ilmu
    InsyaAllah..

    ReplyDelete
  3. baik dan lebih baik dari karangan yang lain, setakat yang telah saya baca.

    ReplyDelete
  4. Mana Karagan merdeka

    ReplyDelete