Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Monday, November 21, 2011
Isu Pemanasan Global
Tajuk:
Isu pemanasan global sudah menjadi perkara lumrah kini. Pelbagai persidangan sudah diatur untuk mencari jalan menyelesaikan masalah ini.
Pada pendapat anda, apakah langkah-langkah kerjasama yang mampu dilakukan oleh pihak masyarakat antarabangsa dalam isu ini?
Contoh Karangan:
Isu pemanasan global dikatakan telah mencairkan ais di kawasan kutub bumi sehingga mempengaruhi perubahan iklim pula. Kejadian hujan lebat bersama-sama angin taufan yang melanda Filipina sedikit masa lalu telah membuktikan betapa isu pemanasan global ini telah mengubah sistem iklim dunia. Masyarakat sudah mula sedar akan impak negatif yang bakal dibawa oleh perubahan cuaca yang agak drastik ini kepada kehidupan harian mereka kelak. Oleh itu, pelbagai tindakan bersama boleh dilakukan oleh masyarakat dunia untuk sama-sama mengurangkan impak pemanasan global ini.
Tindakan kerjasama awal yang boleh dilakukan oleh masyarakat antarabangsa ialah kajian-kajian saintifik boleh diusahakan untuk memperoleh data yang tepat tentang pemanasan global ini. Kewujudan data yang tepat seperti kadar pencairan ais di kutub dan sebagainya ini membolehkan masyarakat dunia membuat tindakan susulan untuk mengatasi perubahan iklim yang dikatakan berlaku itu. Perkongsian data kajian ini juga boleh memberikan gambaran sebenar tentang impak yang bakal dialami oleh dunia dengan lebih jelas. Maka, kerjasama melaksanakan kajian-kajian saintifik merupakan tindakan awal yang boleh dilaksanakan oleh masyarakat antarabangsa.
Selain itu, masyarakat antarabangsa boleh melaksanakan kempen kesedaran tentang isu pemanasan global ini untuk memberikan pemahaman sebenar kepada masyarakat dunia. Kempen kesedaran ini pasti lebih efektif kerana dilakukan di seluruh dunia lalu membawa perubahan yang serupa kepada penduduk dunia dengan lebih pantas. Perubahan yang berlaku itulah mampu dijelmakan dalam tindakan bersepandu masyarakat dunia untuk sama-sama mengatasi fenomena yang mula mengancam perubahan cuaca dunia ini. Sesungguhnya, kempen kesedaran yang bersepandu di seluruh dunia akan membawa perubahan yang lebih nyata terhadap semua tindakan yang dilaksanakan secara bersama-sama itu kelak.
Malah, masyarakat dunia terutama negara-negara maju perlulah menandatangani Perjanjian Kyoto yang berkaitan dengan pengawalan kesan rumah hijau. Semua negara sedar bahawa salah satu punca pemanasan global ialah kadar perlepasan pelbagai gas akibat kemajuan manusia seperti kereta, bas, kilang dan sebagainya tetapi masih banyak negara maju yang enggan mengawal kadar perlepasan gas sebegini sebab bimbang kadar pertumbuha ekonomi mereka akan terjejas pula jika bertindak sedemikian. Semua negara perlu sedar bahawa jika perlepasan gas ini tidak dikawal dunia akan musnah termasuklah negara mereka sendiri. Jelaslah, semua negara perlu menandatangani perjanjian yang mengawal perlepasan gas yang mampu memusnahkan dunia itu dengan segera supaya proses pemanasan global tidak menjadi begitu pantas lagi.
Masyarakat dunia juga boleh mewujudkan satu dana khas untuk membiayai semua projek sains yang membuat penyelidikan untuk mencari jalan mengatasi masalah pemanasan global ini. Dana ini hendaklah disumbangkan oleh semua negara tanpa banyak alasan lagi kerana semakin cepat wang ini dikumpulkan semakin cepat pula projek penyelidikan dijalankan untuk mencari jalan penyelesaiannya. Semua projek penyelidikan itu hendaklah meliputi semua kemungkinan yang dijangka akan berlaku dan disertai oleh ahli-ahli saintis seluruh dunia untuk mendapatkan keputusan yang tepat. Sesungguhnya, usaha mengumpul dana sebegini mampu memupuk semangat kerjasama yang tinggi selain mampu mewujudkan pelbagai projek penyelidikan yang berkualiti dalam tempoh yang singkat.
Konklusinya, semua tindakan itu harus dilaksanakan oleh masyarakat dunia tanpa perlu berlengah masa lagi. Kita tidak harus menimbulkan pelbagai alasan atau sebab yang mampu melambatkan proses mencari jalan penyelesaian kepada kemelut yang bakal menentukan keseinambungan peradaban manusia ini. Kegagalan kita untuk bertindak dengan rasional boleh menyaksikan pupusnya peradaban manusia dalam masa terdekat nanti. Kita perlu sedar bahawa dunia ini bukannya hak kita tetapi warisan yang harus dinikmati oleh generasi akan datang.
(Diubahsuai daripada blog ekarangan)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment