Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Thursday, November 24, 2011
Celoteh - Pengisian Waktu Cuti
Buat semua pelajar di seluruh tanah air,
Selamat mengharungi cuti penggal akhir tahun untuk pelajar darjah 1 - tingkatan 4. Kita akan berjumpa lagi melalui sesi persekolahan 2012 yang akan bermula pada 4 Januari 2012. Peganglah falsafah, cuti penggal ini bukan cuti belajar tetapi cuma cuti daripada menghadirkan diri ke sekolah. Meskipunn begitu, terdapat sebahagian daripada rakan kalian yang berada di tingkatan 2 dan 4 akan terus bersekolah sehingga 15 Disember 2011 sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan PMR dan SPM pada tahun hadapan.
Cikgu mengharapkan agar dalam ruang dan peluang sewaktu cuti ini, semua pelajar dapat merenung dan menilai kembali tahap penguasaan pembelajaran sepanjang tahun ini. Jika terasa ada kekurangan dan kelemahan, cubalah perbaiki dan atasi kekurangan ]]]dan kelemahan itu. Jangan dibiarkan kelemahan itu terus kekal dalam diri pelajar kerana kesannya sangat tidak baik untuk masa depan kita.
Bagaimana kita hendak mengetahui kekuatan dan kelemahan kita ? Jawapannya ialah melalui keputusan peperiksaan akhir tahun (PAT). Pelajar boleh lihat keputusan peperiksaan itu secara online melalui laman web SAPS...cetak dan lihatlah apa yang anda perolehi. Pelajar juga berhak mendapatkan keputusan itu melalui pihak sekolah. Kenalpasti mata pelajaran yang perlu diperbaiki sebelum memulakan sesi persekolahan 2012. Dalam masa yang sama, dapatkan bimbingan daripada kawan-kawan atau guru-guru dalam bab yang anda tidak kuasai. Jika ini anda lakukan, Insya Allah anda akan berjaya dengan cemerlang.
Pelajar harus ingat, dalam dunia tanpa sempadan hari ini, Ilmu sangat penting. Ilmu boleh menjadikan kita popular, ilmu boleh menjadikan kita berkuasa dan ilmu boleh menjadikan diri kita kaya dan yang lebih penting ilmu juga boleh menyelamatkan diri kita daripada menjadi manusia yang tiada hala tuju dalam kehidupan. Namun begitu, pastikan kita mempunyai ilmu dunia dan ilmu akhirat yang seimbang bagi memastikan kita mendapat kebahagiaan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.
Hari ini, kita dikejutkan dengan pelbagai isu dan masalah yang timbul dalam kalangan pelajar. Sewajarnya, pelajar dapat menilai setiap tingkahlaku dan perbuatan mereka - sama ada, apa yang kita lakukan itu perkara yang baik ataupun perkara yang buruk. Sebagai seorang yang waras, kita tahu kesan jika kita melakukan perkara yang buruk. Oleh itu, sewajarnya kita menjauhi perkara-perkara itu. Janganlah sesudah "nasi menjadi bubur" barulah kita menyesal. Ingatlah buat baik berpada-pada dan buat jahat sangat sesekali.
Akhirul kalam, marilah kita sama-sama membuat anjakan paradigma dan menanam semangat jitu dalam diri untuk menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan hari esok lebih baik dari hari ini. Tiada orang lain yang boleh mencorakkan kehidupan kita kecuali diri kita sendiri. Kitalah penentu siapa diri kita pada masa depan. Marilah kita berubah demi sebuah kehidupan yang gemilang.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
kata-kata cikgu sesungguhnya adalah perangsang yang berguna untuk kami..terima kasih..
ReplyDelete