Kehidupan Hari Esok, Bermula Dari Sini. Berhenti Sejenak, Sebelum Terus Melangkah Untuk Memastikan Perjalanan Seterusnya Tiada Halangan. Semalam Yang Berlalu, Menjanjikan Seribu Kilauan Bintang Untuk Hari Yang Mendatang
Friday, June 17, 2011
Perjuangan Kemerdekaan & Harapan Untuk Masa Hadapan
Buat tatapan semua saudara sebangsa denganku,
Tanah tumpah darah kita, bukanlah terjelma dengan senyum tawa atau terbentuk dengan hilai manja. Dalam ketenangan hari ini, pejuang-pejuang kita telah banyak yang terkorban dan terpaksa menanggung derita. Izinkan saya memaparkan keperitan jasmani, jiwa, emosi, dan rohani dalam mempertahankan tanah air ini.
Masih terbayang di ruang mataku, rakan-rakan seperjuanganku terpaksa memikul senjata dan mengangkat mata pedang untuk mempertahankan maruah diri, keluarga, bangsa dan negara. Dalam situasi itu, terdapat rakanku yang gugur sebagai bunga bangsa. Tubuh mereka berlumuran dengan darah perwira, ada juga diantara mereka yang terpaksa menanggung derita kerana kehilangan pancaindera atau anggota badan. Berlinangan air mata, pilu rasa hati menyaksikan kejadian itu. Bayangkanlah, tubuh aku terpaksa mengesat percikan darah dan cebisan anggota tubuh mereka yang mengenai tubuhku. Betapa besarnya, jasa pejuang ini dalam mempertahankan negara.
Saudaraku,
Tentunya kita masih ingat, negara kita pernah dijajah oleh bangsa Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. Kehadiran penjajah ini bukan sekadar untuk berniaga tetapi juga cuba mengambil kekayaan hasil bumi dan menguasai ekonomi negara dan lebih parah cuba menjajah negara kita. Masih aku ingat, pejuang Melayu seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut dan beberapa pejuang Melayu lain yang bangun sebagai pejuang bangsa dalam mempertahankan agama, bangsa dan negara kita. Mereka tidak sempat untuk berehat, beriadah dan berhibur seperti warga Malaysia hari ini. Dalam jiwa mereka padat dengan semangat patriotik dan kental jati diri. Siang dan malam mereka berfikir untuk membebaskan tanah air tercinta daripada cengkaman penjajah durjana. Mereka lupakan keinginan untuk berseronok bersama ahli keluarga.
Penderitaan paling menyiksakan ketika negara kita dicerobohi oleh Jepun. Ramai rakyat yang kebuluran dan terpaksa mengikat perut. Ramai bangsa kita yang disiksa terkorban dan dipancung dalam memenuhi impian tentera Jepun di tanah air tercinta. Lebih malang, apabila ada dalam bangsa kita menjadi talibarut kepada tentera Jepun dan mereka "menikmati kebahagiaan atas penderitaan bangsa mereka" sendiri. Kejam, kejam dan sangat kejam mereka berperangai seperti ini. Biarpun berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.
Seterusnya,aku terpaksa berhadapan dengan kemunculan gerombolan pengganas komunis. Pengganas bintang tiga ini sangat tidak berperikemanusiaan. Mereka merampas hak rakyat, menganggu kehidupan, menyiksa masyarakat dan melakukan kekejaman. Ribuan anggota tentera terkorban dalam mempertahankan tanah air ini. Masih terbayang dimataku, beberapa orang rakanku terkorban dalam jerangkap samar dan tidak kurang juga yang menjadi kudung akibat ledakan bom serta tembakan senapang pengganas komunis. Kita dapat saksikan kekejaman mereka jika kita menonton filem Bukit Kepong. Itulah hakikat kehidupan aku dalam zaman komunis tapi syukur aku selamat untuk membolehkan aku berkongsi keperitan hidup diketika itu.
Saudaraku,
Daripada celotehku dalam perjalanan hidupku lebih 85 tahun lalu, banyak pengajaran yang dapat kita ambil dan mesti dijadikan ikhtibar agar kemerdekaan yang kita kecapi lebih 54 tahu lalu mampu dipertahankan. Harapanku kepada pewaris bangsa ;
a) Binalah kekuatan jati diri dan semangat patriotisme yang jitu demi untuk menjadi bangsa yang sayang akan diri, masyarakat, bangsa, negara dan agama tercinta. Jangan biarkan diri kita dipengaruhi oleh anasir luar atau kita terpengaruh dengan perkara-perkara yang boleh memusnah hidup kita.
b) Bersama-sama kita pertahankan kestabilan politik dalam negara kita. Berfikirlah dengan semasak-masaknya apabila membuat tindakan dan keputusan. Selalulah muhasabah diri dan pastikan setiap tindakan kita mempunyai banyak kebaikkan daripada keburukkan. Pilihlah pemimpin yang berjuang untuk negara bukan untuk keuntungan diri sendiri atau kaum keluarga.
c) Pastikan kekayaan negara kita diagihkan sama rata untuk rakyat di negara kita dan pastikan kekayaan negara diagih secara adil supaya tidak timbul rasa kecewa dalam diri rakyat negara ini. Kekecewaan yang timbul akan mencetuskan suasana tidak harmoni dan boleh menggugat keamanan.
d) Bina dan mantapkan perpaduan kaum. Perpaduan membolehkan kita hidup dalam suasana harmoni bersama dengan kaum lain. Elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kaum. Keistimewaan sebagai kaum peribumi hendaklah dihormati dan jangan dipersoalkan.
e) Bersikap terbuka dalam semua perkara. Bersedialah untuk dikritik dan bersedialah untuk menerima pandangan orang lain. Sesungguhnya kita bukanlah insan yang sempurna, insan yang terlalu hebat dan insan yang terlalu baik. Setiap kita ada kelemahan dan kekurangan. Akur dengan apa yang kita ada dan kita bina kekuatan dengan sokongan pelbagai pihak lain.
f) Dalam era ledakan maklumat, semua masyarakat dan rakyat telah matang dan memperoleh pelbagai maklumat daripada banyak pihak. Janganlah kita melakukan perkara-perkara "bodoh" dengan menyangka masih terdapat masyarakat yang akan mengangguk apa sahaja yang kita lakukan.
g) Berpolitik secara bijaksana, matang jujur dengan melakukan perkara-perkara yang boleh memberi faedah dan manfaat kepada majoriti rakyat dan masyarakat. Jangan bersikap berat sebelah dalam apa jua hal dan janganlah melindungi orang-orang ternyata tidak baik dimata rakyat.
h) Binalah dasar negara sama ada dari segi ekonomi, pendidikan, undang-undang dan sebagainya berpandukan agama dan syariat Islam agar Allah sentiasa meredhai kita semua. Yakinlah bahawa Islam adalah cara hidup yang terbaik.
Saya yakin jika harapan di atas dipenuhi, rakyat di negara ini akan menyokong kerajaan dan mendokong dasar-dasar yang ingin dilaksanakan. Rakyat hari ini lebih matang untuk menilai antara kaca dan permata dan mampu memilih intan disebalik jutaan serpihan kaca yang bertaburan. Ketelusan dan kejujuran kerajaan akan memberi impak besar dalam pembangunan negara.
Hanya ini yang dapat saya coretkan dalam warkah ini. Semoga negara Malaysia yang dicintai akan terus maju, makmur dan sejahtera untuk mengharungi hari-hari mendatang dan dalam menghampiri wawasan 2020.
Sekian, terima kasih.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
mantap la karangan ckgu...trus ada idea nak buat krangan....
ReplyDeleteterima kasih....krgn ckg mberi sy idea,,,teruskan usha ckg dlm mndidik ank bangsa..kami amt mengahragainya..
ReplyDelete